Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 17

‘Wahai Gog, Aku Akan Melawan Engkau’

‘Wahai Gog, Aku Akan Melawan Engkau’

YEHEZKIEL 38:3

ISI UTAMA: Penjelasan tentang “Gog” dan “tanah” yang diserangnya

1, 2. Apakah perang terbesar yang bakal berlaku, dan apakah beberapa soalan yang timbul? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

SELAMA ribuan tahun, dunia ini dipenuhi dengan pertumpahan darah akibat peperangan. Contohnya, pada abad ke-20, Perang Dunia Pertama dan Kedua telah meragut banyak nyawa. Namun, perang terbesar dalam sejarah manusia akan berlaku tidak lama lagi. Perang itu bukanlah pertempuran sesama manusia demi kepentingan negara mereka, tetapi merupakan “perang yang akan tercetus pada hari besar Tuhan Yang Maha Kuasa.” (Why. 16:14) Perang itu akan berlaku kerana musuh Tuhan menyerang tanah-Nya yang berharga. Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa? Dia akan melampiaskan kemarahan-Nya dalam cara yang tidak pernah dialami dunia ini.

2 Sebagai penyembah Yehuwa, peristiwa-peristiwa itu melibatkan kita. Maka, kita ingin tahu jawapan kepada beberapa soalan yang penting ini: Siapakah musuh itu? Apakah tanah yang akan diserangnya? Bila, mengapa, dan bagaimana dia akan melakukannya? Jawapannya terdapat dalam sebuah nubuat menarik yang tercatat di Yehezkiel bab 38 dan 39. Mari kita kajinya bersama-sama.

Musuh yang Menyerang​—Gog dari Magog

3. Apakah ringkasan nubuat tentang Gog dari Magog?

 3 Baca Yehezkiel 38:1, 2, 16, 18; 39:4, 11. Inilah nubuatnya secara ringkas: “Pada hari-hari terakhir,” musuh yang dipanggil “Gog dari . . . Magog” akan menyerang “tanah” umat Tuhan. Serangan itu menimbulkan ‘kemarahan Tuhan,’ maka Dia akan campur tangan untuk menewaskan Gog. * Kemudian, Yehuwa akan menjadikan musuh itu dan semua konco-konconya sebagai “makanan kepada semua jenis burung pemangsa dan binatang-binatang liar di padang.” Akhir sekali, Yehuwa akan memberi Gog suatu “tempat perkuburan.” Untuk mengetahui bagaimana nubuat ini akan menjadi kenyataan, kita perlu mengenal pasti identiti Gog terlebih dahulu.

4. Apakah yang kita tahu tentang Gog dari Magog?

4 Siapakah Gog dari Magog? Daripada nubuat Yehezkiel, kita tahu bahawa Gog ialah musuh ibadat sejati. Adakah Gog merujuk kepada Syaitan, iaitu musuh ketat Tuhan? Selama puluhan tahun, itulah yang dinyatakan dalam bahan bacaan kita. Tetapi, setelah kajian yang lebih mendalam dibuat, pemahaman ini telah dikemaskinikan. Sejak kebelakangan ini, Menara Pengawal menjelaskan bahawa Gog dari Magog bukanlah suatu makhluk roh tetapi merujuk kepada bangsa-bangsa bersekutu yang akan menyerang ibadat sejati. * Sebelum membincangkan bagaimana kita mencapai kesimpulan ini, mari kita kaji dua hal dalam nubuat Yehezkiel yang menunjukkan bahawa Gog tidak merujuk kepada suatu makhluk roh.

5, 6. Apakah dua hal dalam nubuat Yehezkiel yang menunjukkan bahawa Gog dari Magog bukan suatu makhluk roh?

5 “Kamu akan menjadi makanan kepada semua jenis burung pemangsa.” (Yeh. 39:4) Dalam Bible, burung pemangsa yang memakan bangkai sering menggambarkan amaran tentang penghakiman Tuhan. Yehuwa telah memberikan amaran sedemikian kepada bangsa Israel dan bangsa-bangsa lain. (Ul. 28:26; Yer. 7:33; Yeh. 29:3, 5) Amaran-amaran itu tidak diberikan kepada makhluk roh, tetapi kepada manusia. Selain itu, dapatkah burung pemangsa dan binatang liar memakan makhluk roh? Pasti tidak! Maka, hal ini menunjukkan bahawa Gog bukan suatu makhluk roh.

6 “Aku akan memberi Gog tempat perkuburan . . . di Israel.” (Yeh. 39:11) Bible tidak pernah menyatakan bahawa makhluk roh dikuburkan di bumi. Sebaliknya, Syaitan dan roh-roh jahat akan dilemparkan ke dalam jurang yang dalam selama 1,000 tahun. Selepas itu, mereka akan dibuang ke dalam tasik api yang melambangkan pembinasaan kekal. (Luk. 8:31; Why. 20:1-3, 10) Memandangkan Gog diberikan “tempat perkuburan” di bumi, kita dapat menyimpulkan bahawa Gog bukanlah suatu makhluk roh.

7, 8. Bilakah “penghujung [raja utara] akan tiba”? Seperti yang berlaku kepada Gog, apakah yang akan berlaku kepada “raja utara”?

7 Sekarang kita sudah tahu bahawa Gog bukanlah suatu makhluk roh. Namun, apakah bukti yang menunjukkan bahawa Gog merujuk kepada bangsa-bangsa yang bersekutu? Untuk mengetahui jawapannya, kita akan melihat dua nubuat Bible yang berikut.

8 “Raja utara.” (Baca Daniel 11:40-45.) Nabi Daniel menubuatkan sesetengah kuasa dunia dalam sejarah manusia. Dia menyebut tentang dua kuasa politik yang bermusuhan, iaitu “raja selatan” dan “raja utara.” Sepanjang sejarah, beberapa kerajaan di dunia yang sering merebut kuasa telah memainkan peranan sebagai raja-raja ini. Mengenai serangan terakhir yang dilancarkan oleh raja utara “pada akhir zaman,” Daniel berkata, “Dia akan pergi dengan penuh kemarahan untuk melenyapkan dan menghapuskan banyak orang.” Siapakah sasaran utama raja utara? Penyembah ibadat sejati. * Tetapi serangannya atas umat Tuhan akan gagal sama sekali. Pada masa itulah “penghujungnya akan tiba”! Sepertimana Gog dari Magog akan dimusnahkan, raja utara juga pasti dibinasakan!

9. Seperti yang berlaku kepada Gog, apakah yang akan berlaku kepada “raja-raja di seluruh bumi”?

9 “Raja-raja di seluruh bumi.” (Baca Wahyu 16:14, 16; 17:14; 19:19, 20.) Buku Wahyu menubuatkan serangan yang akan dilancarkan oleh “raja-raja di seluruh bumi” terhadap Yesus, “Raja atas segala raja.” Oleh sebab Yesus berada di syurga, mereka tidak dapat mengapa-apakannya. Maka, mereka menyerang para penyokong Kerajaan Tuhan di bumi. Tetapi akhirnya, mereka akan ditewaskan semasa perang Armagedon. Seperti yang berlaku kepada Gog dari Magog, raja-raja di bumi akan dibinasakan selepas mereka menyerang umat Tuhan. *

10. Apakah yang telah kita pelajari tentang identiti Gog?

10 Berdasarkan apa yang sudah dibincangkan, kita belajar dua hal berikut tentang identiti Gog: (1) Gog bukanlah suatu makhluk roh, dan (2) Gog merujuk kepada bangsa-bangsa di bumi yang akan menyerang umat Tuhan pada masa depan. Nampaknya bangsa-bangsa di serata dunia perlu bergabung kuasa dan bersepakat untuk menyerang umat Tuhan yang berada di seluruh bumi. (Mat. 24:9) Kita memang tahu bahawa dalang di sebalik serangan itu ialah Syaitan kerana dia telah lama mempengaruhi bangsa-bangsa di bumi untuk menentang ibadat sejati. (1 Yoh. 5:19; Why. 12:17) Tetapi nubuat Yehezkiel tentang Gog dari Magog tidak bertumpu kepada peranan Syaitan, sebaliknya bertumpu kepada peranan bangsa-bangsa di bumi yang akan menyerang umat Yehuwa. *

“Tanah”​—Apakah Maksudnya?

11. Apakah yang dikatakan oleh Yehezkiel tentang “tanah” yang akan diserang oleh Gog?

11 Dalam  perenggan 3 bab ini, kita belajar bahawa Gog dari Magog akan menyerang tanah umat Tuhan yang berharga lalu membangkitkan kemarahan-Nya. Apakah tanah itu? Mari kita kembali kepada nubuat Yehezkiel. (Baca Yehezkiel 38:8-12.) Nubuat itu menyatakan bahawa Gog akan “menyerang tanah yang penduduknya telah dibawa pulang” dan “dikumpulkan daripada kalangan bangsa-bangsa.” Mereka yang pulang ke tanah itu “hidup dengan aman,” “mempunyai kekayaan,” dan tinggal di petempatan yang “tidak mempunyai tembok, palang, dan pintu gerbang.” Dewasa ini, umat Tuhan di seluas bumi tinggal di tanah itu. Bagaimana kita tahu?

12. Apakah pemulihan yang berlaku di tanah air orang Israel?

12 Mula-mula, perhatikan apa yang berlaku kepada umat Israel dan tanah air mereka. Oleh sebab mereka tidak setia, Yehezkiel menubuatkan bahawa tanah air mereka akan menjadi tandus dan terbiar. (Yeh. 33:27-29) Tetapi, Yehuwa juga mengatakan bahawa sebilangan tawanan yang setia akan dibebaskan dari Babilon lalu kembali untuk memulihkan ibadat sejati. Pada waktu itu, Yehuwa akan memberkati mereka dan tanah mereka akan pulih subur “seperti Taman Eden.” (Yeh. 36:34-36) Pemulihan itu telah bermula pada 537 SM apabila tawanan Yahudi kembali ke Yerusalem untuk memulihkan ibadat sejati.

13, 14. (a) Apakah tanah kiasan yang disebutkan dalam nubuat Yehezkiel? (b) Mengapakah tanah ini sangat bernilai di mata Yehuwa?

13 Pada zaman moden, umat Tuhan juga mengalami pemulihan yang serupa. Seperti yang dibincangkan dalam Bab 9, mereka dibebaskan daripada Babilon Besar pada tahun 1919. Kemudian, Yehuwa membawa mereka ke suatu “tanah” kiasan, iaitu firdaus rohani. Di sini, mereka dapat menyembah Tuhan yang benar dan menikmati keadaan rohani yang selamat dan makmur. Ya, kita mendapat ketenangan minda dan hati di firdaus rohani ini. (Ams. 1:33) Kita juga menerima makanan rohani yang melimpah dan melakukan kerja menginjil yang memuaskan. Sememangnya, kita setuju dengan kata-kata ini: “Berkat Yehuwalah yang menjadikan seseorang kaya, dan berkat-Nya tidak disertai kepedihan hati.” (Ams. 10:22) Tidak kira di mana kita hidup, kita masih berada di firdaus rohani ini jika kita terus menyokong ibadat sejati melalui kata-kata dan perbuatan kita.

14 Mengapakah firdaus rohani ini sangat bernilai di mata Yehuwa? Kerana penduduknya merupakan “sesuatu yang bernilai dalam kalangan semua bangsa,” dan Dialah yang membawa mereka ke tanah yang indah ini. (Hag. 2:7; Yoh. 6:44) Mereka berusaha untuk mengenakan keperibadian baharu dan mencerminkan sifat-sifat Tuhan yang luhur. (Ef. 4:23, 24; 5:1, 2) Sebagai penyembah ibadat sejati, mereka berkhidmat kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh agar dapat memuliakan-Nya dan membuktikan kasih mereka kepada-Nya. (Rm. 12:1, 2; 1 Yoh. 5:3) Bayangkan sukacita Yehuwa apabila melihat umat-Nya bekerja keras untuk mengindahkan firdaus rohani ini. Sememangnya, apabila anda mengutamakan ibadat sejati dalam hidup, anda membuat hati-Nya gembira dan mencantikkan lagi firdaus ini!​—Ams. 27:11.

Tidak kira di mana kita hidup, kita masih berada di firdaus rohani jika kita terus menyokong ibadat sejati (Lihat perenggan 13, 14)

“Tanah”​—Bila, Mengapa, dan Bagaimana Gog Akan Menyerangnya?

15, 16. Bilakah Gog akan menyerang firdaus rohani umat Tuhan?

15 Tidak lama lagi, bangsa-bangsa yang bersekutu akan menyerang tanah kita yang indah. Kita ingin mengetahui lebih banyak maklumat tentang serangan ini kerana hal ini melibatkan semua penyembah Yehuwa. Sekarang, mari kita kaji tiga soalan tentang serangan ini.

16 Bilakah Gog dari Magog akan menyerang firdaus rohani umat Tuhan? Nubuat Yehezkiel menyatakan bahawa Gog akan menyerang umat Tuhan “pada hari-hari terakhir.” (Yeh. 38:16) Maka, kita akan diserang pada penghujung hari-hari terakhir. Ingatlah, kesengsaraan besar akan bermula dengan pembinasaan Babilon Besar. Selepas agama palsu dibinasakan dan sebelum bermulanya Armagedon, Gog akan melancarkan serangan habis-habisan terhadap penyembah ibadat sejati.

17, 18. Apakah yang akan dilakukan oleh Yehuwa selepas pembinasaan Babilon Besar?

17 Mengapakah Gog dari Magog akan menyerang firdaus rohani? Yehezkiel menyingkapkan bahawa hal ini akan berlaku kerana dua sebab berikut: (1) Yehuwa akan bertindak, dan (2) Gog didorong oleh niatnya yang jahat.

18 Yehuwa akan bertindak. (Baca Yehezkiel 38:4, 16.) Yehuwa berfirman kepada Gog, “Aku akan memasang cangkuk pada rahangmu” dan “membiarkan engkau menyerang negeri-Ku [atau, tanah-Ku].” Adakah Yehuwa memaksa bangsa-bangsa untuk menyerang umat-Nya? Tidak! Mustahil Yehuwa sengaja menyebabkan umat-Nya menderita. (Ayb. 34:12) Tetapi, Yehuwa tahu bahawa Gog membenci penyembah-Nya dan tidak akan melepaskan peluang untuk melenyapkan mereka. (1 Yoh. 3:13) Jadi, Yehuwa akan bertindak untuk memastikan segalanya berlaku selaras dengan kehendak-Nya dan pada waktu yang ditentukan-Nya. Selepas pembinasaan Babilon Besar, Yehuwa akan memasang cangkuk pada Gog, iaitu dengan mengumpannya untuk melaksanakan hasratnya itu. Gog mungkin berasa bahawa itulah peluangnya untuk menyerang dan melenyapkan umat Tuhan. Serangan Gog akan mencetuskan perang terbesar di dunia, iaitu perang Armagedon. Pada masa itulah Yehuwa akan menyelamatkan umat-Nya, menyucikan nama-Nya, dan menegakkan kedaulatan-Nya.​—Yeh. 38:23.

Bangsa-bangsa ingin menyerang ibadat sejati kerana mereka membencinya dan semua yang menyokongnya

19. Mengapakah Gog mahu menyerang ibadat sejati?

19 Gog didorong oleh niatnya yang jahat. Sejak dulu lagi, Gog sangat membenci penyembah Yehuwa. Maka, dia akan “membuat rancangan jahat” untuk menyerang umat Tuhan. Dia berfikir bahawa umat Tuhan mudah diserang kerana mereka tinggal di kawasan yang “tidak mempunyai tembok, palang, dan pintu gerbang.” Gog akan ‘merompak dan merampas banyak barang’ daripada mereka yang “mempunyai kekayaan.” (Yeh. 38:10-12) Apakah “kekayaan” yang dimiliki umat Tuhan? Mereka mempunyai penghormatan untuk menjalankan ibadat sejati dan menyembah Yehuwa. Inilah harta mereka yang paling bernilai. Maka, bangsa-bangsa ingin merampasnya kerana mereka membenci ibadat sejati dan semua yang menyokongnya.

Gog akan “membuat rancangan jahat” untuk melenyapkan ibadat sejati (Lihat perenggan 19)

20. Bagaimanakah Gog akan menyerang firdaus rohani?

20 Bagaimanakah Gog dari Magog akan menyerang firdaus rohani? Bangsa-bangsa akan cuba menghalang kita daripada menyembah Tuhan atau melakukan rutin rohani. Contohnya, mereka mungkin menyekat makanan rohani kita, melarang kita berhimpun atau menginjil, dan merosakkan perpaduan kita. Dengan berbuat demikian, mereka sedang menyerang firdaus rohani kita. Sebagai musuh utama Tuhan, Syaitan akan mempengaruhi mereka untuk melenyapkan umat Tuhan dan ibadat sejati.

21. Mengapakah anda berasa syukur kerana Yehuwa telah menyingkapkan apa yang bakal berlaku?

21 Semasa Gog menyerang ibadat sejati, penyembah Tuhan yang berada di firdaus rohani akan mengalami banyak cabaran. Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa telah mempersiapkan kita untuk menghadapi apa yang bakal berlaku? Sementara menantikan ketibaan kesengsaraan besar, semoga kita bertekad untuk mencantikkan firdaus rohani dengan menjunjung ibadat sejati dan mengutamakannya dalam hidup kita. Dengan itu, kita akan berpeluang untuk melihat Yehuwa bertindak demi umat-Nya dan nama suci-Nya semasa Armagedon. Peristiwa yang menakjubkan ini akan dibincangkan dalam bab seterusnya.

^ per. 3 Bab seterusnya dalam buku ini akan menjelaskan bagaimana dan bila kemarahan Tuhan yang dahsyat akan dilampiaskan terhadap Gog dari Magog. Kita juga akan belajar kaitan peristiwa ini dengan penyembah ibadat sejati.

^ per. 4 Lihat Menara Pengawal 15 Mei 2015, ms. 29-30, “Pertanyaan Pembaca.”

^ per. 8 Daniel 11:45 menunjukkan bahawa sasaran utama raja utara ialah umat Tuhan. Ayat itu menyatakan bahawa raja ini akan “mendirikan khemah-khemah diraja di antara lautan besar [Laut Mediterranean] dan gunung suci di Tanah yang Indah [pusat ibadat sejati dan tempat letaknya Rumah Tuhan].”

^ per. 9 Bible juga menyebut tentang “Assyria” zaman moden yang melancarkan serangan untuk melenyapkan umat Tuhan. (Mi. 5:5) Empat serangan yang dinubuatkan, iaitu serangan Gog, raja utara, raja-raja di seluruh bumi, dan Assyria, mungkin merujuk kepada serangan yang sama.

^ per. 10 Lihat Bab 22 dalam buku ini untuk maklumat lanjut tentang identiti “Gog dan Magog” di Wahyu 20:7-9.