Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 2

“Tuhan Berkenan” dengan Pemberian Mereka

“Tuhan Berkenan” dengan Pemberian Mereka

IBRANI 11:4

ISI UTAMA: Sejarah tentang aturan Yehuwa untuk ibadat sejati

1-3. (a) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan? (b) Apakah empat syarat bagi ibadat sejati yang akan kita bincangkan? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

HABEL memeriksa kawanan bebirinya. Dia telah menjaga bebirinya dengan penuh kasih selama ini. Sekarang, dia memilih beberapa ekor daripadanya, menyembelih bebiri itu, lalu mempersembahkannya kepada Tuhan sebagai korban. Memandangkan Habel tidak sempurna, adakah Yehuwa akan berkenan dengan pemberiannya?

2 Mengenai Habel, Rasul Paulus telah diilhami untuk menulis, “Tuhan berkenan dengan pemberiannya.” Tetapi, Yehuwa telah menolak pemberian Kain. (Baca Ibrani 11:4.) Mengapakah Tuhan menerima ibadat Habel tetapi menolak ibadat Kain? Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Habel, Kain, dan orang lain yang disebut di Ibrani bab 11? Jawapan kepada soalan-soalan ini akan membantu kita lebih memahami apa yang terlibat dalam ibadat sejati.

3 Seraya kita membincangkan beberapa peristiwa yang berlaku dari zaman Habel hingga Yehezkiel, perhatikan empat syarat yang harus dipenuhi agar penyembahan kita diterima oleh Tuhan: (1) Penerimanya haruslah Yehuwa, (2) mutunya haruslah yang terbaik, (3) caranya haruslah selaras dengan kehendak Tuhan, dan (4) niat orang itu haruslah tulus ikhlas.

Mengapakah Penyembahan Kain Ditolak?

4, 5. Mengapakah Kain dapat menyimpulkan bahawa korbannya harus diberikan kepada Yehuwa?

4 Baca Kejadian 4:2-5. Kain tahu bahawa hanya Yehuwa yang layak menerima korbannya. Dia dan adiknya Habel mungkin berumur hampir 100 tahun semasa mereka mempersembahkan korban kepada Yehuwa. * Maka, mereka mempunyai banyak masa dan peluang untuk belajar tentang Yehuwa. Sejak kecil lagi, mereka pasti tahu tentang Taman Eden, dan bahkan mungkin pernah melihat taman yang indah itu dari jauh. Mereka juga pasti melihat kerub-kerub menjaga jalan masuk ke dalam taman itu. (Kej. 3:24) Ibu bapa mereka tentu memberitahu mereka bahawa Yehuwalah Pencipta segala sesuatu dan bahawa Dia tidak menciptakan mereka untuk menjadi tua dan mati. (Kej. 1:24-28) Memandangkan Kain sudah tahu tentang hal-hal ini, dia pasti dapat menyimpulkan bahawa korbannya harus diberikan kepada Tuhan.

5 Selain itu, Yehuwa telah menubuatkan bahawa terdapat ‘keturunan’ yang akan meremukkan kepala “ular” yang telah menggoda Hawa. (Kej. 3:4-6, 14, 15) Sebagai anak sulung, Kain mungkin menyangka bahawa dialah ‘keturunan’ yang dijanjikan itu. (Kej. 4:1) Lagipun, Yehuwa masih berkomunikasi dengan manusia yang berdosa. Contohnya setelah Adam berdosa, Tuhan telah berfirman kepadanya mungkin melalui malaikat. (Kej. 3:8-10) Yehuwa juga telah berfirman kepada Kain selepas dia memberikan korbannya. (Kej. 4:6) Jelaslah, Kain tahu bahawa hanya Yehuwa yang layak disembah.

6, 7. Adakah mutu korban Kain tidak cukup baik atau korbannya dipersembahkan dalam cara yang salah? Jelaskan.

6 Jadi mengapakah Yehuwa tidak menerima korban Kain? Adakah mutu korbannya tidak cukup baik? Kita tidak tahu jawapannya kerana Bible hanya menyatakan bahawa Kain membawa “hasil tanamannya.” Pada kemudian hari, Yehuwa menunjukkan dalam Hukum Musa bahawa hasil tanaman juga diterima sebagai korban. (Bil. 15:8, 9) Lagipun pada waktu itu, manusia hanya makan sayur dan buah, dan tanah di luar Taman Eden telah dikutuk oleh Tuhan. (Kej. 1:29; 3:17-19) Maka, korban Kain ialah hasil kerja keras dan titik peluhnya! Walaupun demikian, Yehuwa tetap tidak berkenan dengan korban Kain.

7 Adakah hal ini bermaksud bahawa Kain mempersembahkan korbannya dalam cara yang salah? Nampaknya tidak. Mengapa? Kerana semasa Yehuwa menolak korban Kain, Dia tidak menegur Kain tentang cara korbannya dipersembahkan. Sebenarnya, Bible tidak menyebut tentang cara Kain atau Habel mempersembahkan korban mereka. Jadi, apakah masalahnya dengan korban Kain?

Kain tidak mempunyai niat yang tulus (Baca perenggan 8, 9)

8, 9. (a) Mengapakah Yehuwa tidak menerima Kain dan korbannya? (b) Apakah yang menarik mengenai catatan Kain dan Habel dalam Bible?

8 Kata-kata Paulus dalam buku Ibrani menunjukkan sebabnya korban Kain tidak diterima Tuhan. Yehuwa tidak senang hati dengan Kain bukan kerana korbannya bermasalah tetapi kerana niat hatinya tidak tulus dan dia tidak beriman. (Kej. 4:5-8; Ibr. 11:4; 1 Yoh. 3:11, 12) Sebagai Bapa yang pengasih, Yehuwa mencuba untuk membantu Kain. Tetapi Kain menolak bantuan Yehuwa. Hatinya yang penuh dengan “permusuhan, perkelahian, [dan] kecemburuan” beransur-ansur meracuninya. (Gal. 5:19, 20) Meskipun ibadatnya memenuhi syarat-syarat yang lain, semuanya sia-sia di mata Tuhan. Contoh Kain mengajar kita bahawa jika hati kita tidak tulus, Tuhan tidak akan menerima ibadat kita.

9 Bible mengandungi banyak maklumat tentang Kain. Misalnya, kita dapat membaca tentang perbualan antara Yehuwa dengan Kain, dan bahkan nama dan perbuatan sesetengah keturunannya turut dicatatkan. (Kej. 4:17-24) Bagaimana pula dengan Habel? Bible tidak menyebut tentang keturunannya atau kata-kata yang diucapkannya. Tetapi, teladan Habel meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kita hari ini. Mengapakah kita dapat berkata demikian?

Habel Menetapkan Teladan dalam Ibadat Sejati

10. Bagaimanakah Habel menetapkan teladan dalam ibadat sejati?

10 Habel memberikan korbannya kepada Yehuwa kerana dia tahu bahawa Yehuwa sahajalah yang layak menerimanya. Mutu korbannya adalah yang terbaik. Dia telah “mempersembahkan beberapa ekor anak bebiri sulung daripada kawanannya.” Meskipun Bible tidak menyatakan sama ada korbannya dipersembahkan di atas mazbah atau tidak, cara korbannya dipersembahkan memang diterima Tuhan. Namun, apa yang menjadikan korban Habel istimewa ialah niatnya. Kira-kira 6,000 tahun selepas Habel memberikan korbannya, kita masih dapat belajar daripada teladannya. Korban Habel didorong oleh iman kepada Tuhan dan kasih terhadap prinsip Tuhan yang luhur. Bagaimanakah kita tahu?

Habel menunjukkan empat syarat ibadat sejati yang harus dipenuhi (Baca perenggan 10)

11. Mengapakah Yesus menggambarkan Habel sebagai seorang yang melakukan apa yang benar?

11 Mula-mula, perhatikan kata-kata Yesus tentang Habel. Semasa Habel masih hidup, Yesus dapat melihatnya dari syurga. Yesus amat mengenalinya dan mengambil berat terhadapnya. (Ams. 8:22, 30, 31; Yoh. 8:58; Kol. 1:15, 16) Maka, semasa Yesus menggambarkan Habel sebagai seorang yang melakukan apa yang benar, dia sedang bercakap berdasarkan apa yang dilihatnya sendiri. (Mat. 23:35) Seseorang yang melakukan apa yang benar mengakui bahawa Yehuwa berhak menentukan apa yang betul dan salah. Dia menunjukkan daripada kata-kata dan perbuatannya bahawa dia bersetuju dengan piawaian Tuhan. (Bandingkan Lukas 1:5, 6.) Masa diperlukan untuk membina reputasi sebegini. Tentunya Habel sudah memiliki nama baik di hadapan Yehuwa sebelum dia mempersembahkan korbannya. Namun, hal ini pasti tidak mudah bagi Habel. Mengapa? Kerana abangnya Kain jahat dan bukan pengaruh yang baik. (1 Yoh. 3:12) Ibunya pula melanggar perintah Tuhan, dan bapanya memberontak terhadap Tuhan kerana mahu menentukan sendiri apa yang baik dan jahat. (Kej. 2:16, 17; 3:6) Maka, Habel pasti memerlukan keberanian untuk memilih haluan yang berbeza daripada keluarganya!

12. Apakah perbezaan antara Kain dengan Habel?

12 Perhatikan juga bagaimana Paulus mengaitkan iman dengan perbuatan yang diperkenankan Tuhan. Dia menulis, “Kerana beriman, Habel mempersembahkan korban kepada Tuhan, dan korbannya lebih bernilai daripada korban yang dipersembahkan oleh Kain. Dengan imannya itu, Habel menerima kesaksian bahawa dia diperkenankan Tuhan.” (Ibr. 11:4) Kata-kata Paulus jelas menunjukkan bahawa Habel sangat berbeza daripada Kain. Habel beriman kepada Yehuwa seumur hidupnya dan yakin bahawa haluan Yehuwa adalah yang terbaik.

13. Apakah yang kita pelajari daripada teladan Habel?

13 Teladan Habel menunjukkan bahawa ibadat sejati hanya dapat lahir daripada hati yang murni. Niat kita sangat penting. Yehuwa mahu kita beriman kepada-Nya dengan sepenuh hati dan menjunjung piawaian-Nya yang luhur. Selain itu, satu perbuatan yang murni sahaja tidak akan membawa perkenan Tuhan. Sebaliknya, ibadat sejati merangkumi setiap perbuatan dalam kehidupan kita.

Lelaki Lain yang Menjalankan Ibadat Sejati

14. Mengapakah Yehuwa menerima korban yang dipersembahkan oleh Nuh, Abraham, dan Yakub?

14 Habel ialah seorang lelaki yang tidak sempurna dan dia telah menjalankan ibadat sejati. Terdapat juga orang lain yang telah berbuat demikian. Rasul Paulus menyebut tentang beberapa lelaki yang menyembah Yehuwa dalam cara yang diingini-Nya, seperti Nuh, Abraham, dan Yakub. (Baca Ibrani 11:7, 8, 17-21.) Yehuwa telah menerima korban yang dipersembahkan oleh mereka. Mengapa? Kerana mereka bukan sekadar memberikan korban tetapi mereka juga memenuhi empat syarat ibadat sejati. Mari kita meneliti contoh mereka.

Korban Nuh memberikan pengajaran penting (Baca perenggan 15, 16)

15, 16. Adakah Nuh memenuhi empat syarat ibadat sejati? Jelaskan.

15 Nuh dilahirkan 126 tahun selepas Adam mati. Dunia pada masa itu sudah dicemari dengan ibadat palsu. * (Kej. 6:11) Sebelum Banjir, hanya Nuh dan keluarganya yang menyembah Yehuwa dalam cara yang diterima-Nya. (2 Ptr. 2:5) Selepas selamat mengharungi Banjir, Nuh telah membina mazbah pertama yang disebutkan dalam Bible, dan dia mempersembahkan korban kepada Yehuwa. Melalui tindakannya itu, semua keturunannya tahu bahawa hanya Yehuwa yang layak menerima penyembahan kita. Antara semua binatang di dalam bahtera, Nuh memilih “beberapa ekor binatang yang halal dan beberapa ekor makhluk terbang yang halal.” (Kej. 8:20) Mutu korbannya adalah yang terbaik kerana Yehuwa menganggap semua binatang itu suci atau halal.​—Kej. 7:2.

16 Adakah cara Nuh mempersembahkan korbannya diterima Tuhan? Ya! Bible menyatakan bahawa “bau korban itu menyenangkan hati Yehuwa,” dan Dia telah memberkati Nuh dan anak-anaknya. (Kej. 8:21; 9:1) Tetapi, sebab utama Yehuwa menerima korban Nuh adalah kerana niatnya tulus. Korban Nuh ialah satu cara lagi dia menunjukkan bahawa dia sangat beriman kepada Yehuwa dan yakin bahawa segala perbuatan Yehuwa adalah benar. Sepanjang hidupnya, Nuh selalu mematuhi perintah Yehuwa dan menjunjung piawaian-Nya. Itulah sebabnya Bible menyatakan bahawa Nuh “hidup akrab dengan Tuhan yang benar” dan mendapat perkenan-Nya.​—Kej. 6:9; Yeh. 14:14; Ibr. 11:7.

17, 18. Adakah Abraham memenuhi empat syarat ibadat sejati? Jelaskan.

17 Abraham menetap di Ur, sebuah kota yang penuh dengan ibadat palsu. Di sana, terdapat sebuah kuil besar yang dibina untuk dewa bulan yang bernama Nanna. * Bahkan bapa Abraham pernah menyembah dewa-dewa. (Yos. 24:2) Namun, Abraham memilih untuk menyembah Yehuwa. Barangkali dia belajar tentang Tuhan yang benar daripada anak Nuh, iaitu Sem. Moyang Abraham ini hidup hingga Abraham berumur 150 tahun.

18 Sepanjang hidupnya, Abraham telah mempersembahkan banyak korban kepada Yehuwa. Bagi Abraham, Yehuwalah satu-satunya Tuhan yang layak menerima penyembahannya. (Kej. 12:8; 13:18; 15:8-10) Bagaimana pula dengan mutu korbannya? Adakah Abraham sanggup memberikan yang terbaik kepada Yehuwa? Jawapannya jelas kerana dia bahkan rela mengorbankan anak kesayangannya, iaitu Ishak. Pada waktu itu, Yehuwa memberi Abraham arahan terperinci tentang cara untuk mempersembahkan korbannya itu. (Kej. 22:1, 2) Abraham menurut segala perintah Yehuwa, tetapi akhirnya Yehuwa telah menghalangnya daripada mengorbankan Ishak. (Kej. 22:9-12) Yehuwa menerima penyembahan Abraham kerana niatnya tulus. Paulus menulis, “Oleh sebab Abraham beriman kepada Yehuwa, dia mendapat perkenan-Nya.”​—Rm. 4:3.

Yakub menetapkan teladan bagi keluarganya (Baca perenggan 19, 20)

19, 20. Adakah Yakub memenuhi empat syarat ibadat sejati? Jelaskan.

19 Yakub menghabiskan sebahagian besar daripada kehidupannya di Kanaan, iaitu tanah yang dijanjikan Yehuwa kepada Abraham dan keturunannya. (Kej. 17:1, 8) Tetapi ibadat palsu di kota itu begitu menjijikkan sehingga Yehuwa berkata bahawa Dia akan “mengusir [penduduk negeri itu] dari situ.” (Im. 18:24, 25) Semasa berumur 77 tahun, Yakub meninggalkan Kanaan, berkahwin, lalu kembali ke Kanaan dengan keluarganya. (Kej. 28:1, 2; 33:18) Tetapi, sesetengah ahli keluarganya telah terjebak dalam ibadat palsu. Biarpun begitu, semasa Yehuwa menyuruh Yakub membina sebuah mazbah di Bethel, Yakub segera bertindak dan memberitahu keluarganya, “Buanglah patung-patung dewa asing yang ada pada kamu, lalu bersihkanlah diri kamu.” Kemudian, dia menuruti semua perintah Tuhan dengan setia.​—Kej. 35:1-7.

20 Yakub telah membina beberapa mazbah di Tanah yang Dijanjikan, dan semua korbannya diberikan kepada Yehuwa sahaja. Yakub sedar bahawa hanya Yehuwa yang layak menerima penyembahannya. (Kej. 35:14; 46:1) Selain itu, mutu korbannya, cara dia beribadat, dan niatnya yang tulus menyenangkan hati Tuhan. Maka, Tuhan memanggil Yakub sebagai orang “yang tidak bercela.” (Kej. 25:27) Melalui cara hidupnya, Yakub menetapkan teladan yang baik bagi keturunannya, iaitu bangsa Israel.​—Kej. 35:9-12.

21. Apakah yang dapat kita pelajari daripada lelaki yang setia pada zaman dahulu?

21 Apakah yang dapat kita pelajari daripada lelaki yang setia pada zaman dahulu? Seperti mereka, kita mungkin dikelilingi ahli keluarga atau orang lain yang melemahkan tekad kita untuk menyembah Yehuwa sahaja. Maka, kita mesti membina iman yang kuat dan yakin sepenuhnya bahawa perintah Yehuwa sentiasa benar dan adalah demi kebaikan kita. Kita memperlihatkan iman yang teguh dengan mentaati Yehuwa dan menggunakan masa, tenaga, dan harta milik kita untuk menyembah-Nya. (Mat. 22:37-40; 1 Kor. 10:31) Apabila kita beribadat kepada Yehuwa dengan niat hati yang tulus, memberi-Nya yang terbaik, dan menurut segala perintah-Nya, Dia amat berkenan dengan kita!​—Baca Yakobus 2:18-24.

Sebuah Bangsa yang Menjalankan Ibadat Sejati

22-24. Bagaimanakah Hukum Musa menekankan siapa yang layak menerima ibadat sejati, mutu korban yang dipersembahkan, dan cara untuk mempersembahkannya?

22 Yehuwa telah memberikan Hukum Musa kepada keturunan Yakub. Maka, mereka pasti tahu apa yang dikehendaki oleh Tuhan daripada mereka. Jika mereka mematuhi Yehuwa, mereka akan menjadi “bangsa yang suci” dan ‘umat pilihan-Nya.’ (Kel. 19:5, 6) Perhatikan bagaimana Hukum Musa menekankan empat syarat ibadat sejati.

23 Yehuwa dengan jelas menyatakan kepada bangsa Israel bahawa hanya Dialah yang layak menerima ibadat sejati. Dia berkata, “Jangan menyembah tuhan-tuhan lain. Sembahlah Aku sahaja.” (Kel. 20:3-5) Mutu korban yang dipersembahkan kepada-Nya pula haruslah yang terbaik. Contohnya, binatang yang dikorbankan mesti sihat dan tidak mempunyai sebarang kecacatan. (Im. 1:3; Ul. 15:21; bandingkan Maleakhi 1:6-8.) Semasa orang Lewi menerima pemberian daripada orang Israel, mereka pun harus memilih bahagian terbaik untuk diberikan sebagai korban kepada Yehuwa. (Bil. 18:29) Mengenai cara untuk beribadat, orang Israel diberitahu perincian seperti apa, di mana, dan bagaimana untuk mempersembahkan korban mereka. Lebih daripada 600 hukum telah diberikan untuk membimbing hidup mereka, dan mereka diberitahu, “Pastikanlah bahawa kamu semua mematuhi setiap perintah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu. Janganlah menyimpang daripadanya, baik ke kiri mahupun ke kanan.”​—Ul. 5:32.

24 Haruskah mereka memberikan korban di tempat yang tertentu sahaja? Ya. Yehuwa mengarahkan umat-Nya untuk membina khemah suci yang menjadi pusat ibadat sejati. (Kel. 40:1-3, 29, 34) Jika orang Israel mahu korban mereka diterima oleh Tuhan, mereka mesti mempersembahkannya di sana. *​—Ul. 12:17, 18.

25. Semasa memberikan korban, apakah perkara yang terpenting bagi Yehuwa? Jelaskan.

25 Namun, apa yang terpenting ialah niat hati mereka semasa memberikan korban. Mereka harus didorong oleh kasih yang mendalam kepada Yehuwa dan piawaian-Nya. (Baca Ulangan 6:4-6.) Apabila ibadat mereka dijalankan sebagai kewajipan sahaja, Yehuwa tidak menerima korban-korban mereka. (Yes. 1:10-13) Melalui Nabi Yesaya, Yehuwa berfirman, ‘Umat ini menghormati Aku dengan bibir mereka, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.’ Ya, Yehuwa tidak terpedaya dengan orang yang berpura-pura menyembah-Nya.​—Yes. 29:13.

Ibadat di Rumah Tuhan

26. Mengapakah Salomo membina Rumah Tuhan?

26 Berabad-abad selepas orang Israel menduduki Tanah yang Dijanjikan, Raja Salomo telah membina sebuah bangunan untuk dijadikan pusat ibadat sejati. Bangunan itu jauh lebih indah daripada khemah suci. (1 Raj. 7:51; 2 Taw. 3:1, 6, 7) Pada mulanya, orang Israel mempersembahkan korban di sana dan Yehuwalah penerima korban-korban itu. Salomo dan rakyatnya memberikan banyak sekali korban yang bermutu tinggi mengikut cara yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan. (1 Raj. 8:63) Walaupun bangunan itu sangat mewah dan banyak korban telah dipersembahkan di sana, apa yang terpenting bagi Yehuwa ialah niat hati pemberinya. Hal ini juga ditegaskan oleh Salomo semasa pentahbisan Rumah Tuhan. Dia berkata, “Hendaklah kamu menyembah Yehuwa, Tuhan kita, dengan hati yang tidak berbelah bahagi, dan hidup menurut peraturan serta hukum-Nya, seperti yang kamu lakukan pada hari ini.”​—1 Raj. 8:57-61.

27. Apakah yang berlaku kepada raja-raja Israel dan rakyat mereka, dan apakah yang dilakukan oleh Yehuwa?

27 Sedihnya, orang Israel tidak menurut perintah itu. Mereka gagal memenuhi syarat-syarat ibadat sejati. Seraya masa berlalu, raja-raja Israel dan rakyat mereka tidak beribadat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati. Mereka tidak beriman kepada-Nya dan meninggalkan haluan-Nya. Tetapi Yehuwa berkali-kali mengutus nabi-Nya untuk menasihati mereka dan memberi mereka amaran. (Yer. 7:13-15, 23-26) Salah seorang nabi yang digunakan oleh Yehuwa ialah Yehezkiel. Dia menjadi nabi Tuhan pada masa yang genting dalam sejarah ibadat sejati.

Yehezkiel Melihat Ibadat Sejati Dicemari

28, 29. Apakah yang kita tahu tentang Yehezkiel? (Lihat kotak “Yehezkiel​—Kehidupan dan Peristiwa pada Zamannya.”)

28 Yehezkiel pasti mengetahui aturan ibadat yang dijalankan di Rumah Tuhan. Bapanya ialah seorang imam dan pasti telah berkhidmat di sana. (Yeh. 1:3) Barangkali bapanya telah mengajarnya tentang Yehuwa dan Hukum Musa. Jadi Yehezkiel mungkin mempunyai zaman kanak-kanak yang bahagia. Sekitar masa Yehezkiel dilahirkan, “kitab Hukum Musa” telah dijumpai di dalam Rumah Tuhan. * Setelah mendengar kandungan kitab itu dibacakan, Raja Yosia melipatgandakan usahanya untuk memulihkan ibadat sejati.​—2 Raj. 22:8-13.

Barangkali bapa Yehezkiel telah mengajarnya tentang Yehuwa dan Hukum Musa (Baca perenggan 28)

29 Seperti lelaki setia yang hidup sebelumnya, Yehezkiel juga memenuhi empat syarat bagi ibadat sejati. Dalam buku Yehezkiel, kita akan melihat bagaimana dia menyembah Yehuwa sahaja, selalu memberikan yang terbaik, dan melakukan segala perintah Yehuwa mengikut cara yang ditetapkan-Nya. Perbuatan Yehezkiel didorong oleh iman kepada Yehuwa. Namun, kebanyakan orang yang hidup sezaman dengannya amatlah berbeza. Oleh itu, sejak kecil lagi Yehezkiel selalu mendengar tentang penghakiman yang disampaikan oleh Nabi Yeremia yang mula bernubuat pada 647 SM.

30. (a) Apakah yang kita pelajari melalui catatan dan nubuat Yehezkiel? (b) Apakah maksud perkataan “nubuat,” dan bagaimanakah nubuat-nubuat Yehezkiel patut difahami? (Lihat kotak “Memahami Nubuat Yehezkiel.”)

30 Catatan Yehezkiel menunjukkan betapa jauhnya umat Tuhan telah menyimpang dari haluan-Nya. (Baca Yehezkiel 8:6.) Maka, Yehuwa telah menghukum Yehuda, dan akibatnya umat Israel, termasuk Yehezkiel, telah ditawan ke Babilon. (2 Raj. 24:11-17) Namun, Yehezkiel tidak dihukum oleh Tuhan. Sebaliknya, Yehuwa telah memberinya tugasan sebagai nabi dalam kalangan para tawanan Yahudi. Penglihatan dan nubuat Yehuwa kepada Yehezkiel menunjukkan bagaimana ibadat sejati akan dipulihkan di Yerusalem. Selain itu, kita juga akan memahami bagaimana ibadat sejati akhirnya akan dipulihkan bagi semua orang yang mengasihi Yehuwa.

31. Apakah yang akan kita pelajari dalam buku ini?

31 Dalam buku ini, kita akan membaca tentang penglihatan mengenai syurga, mengkaji bagaimana ibadat sejati telah dicemari, melihat bagaimana Yehuwa memulihkan ibadat sejati dan membela umat-Nya, dan mengamati masa depan apabila semua orang akan menyembah Yehuwa. Dalam bab seterusnya, kita akan membincangkan penglihatan pertama yang dicatatkan oleh Yehezkiel. Penglihatan ini akan membantu kita membayangkan keagungan Yehuwa dan kemuliaan bahagian organisasi-Nya di syurga, dan menekankan mengapa hanya Yehuwa yang harus disembah.

^ per. 4 Habel dilahirkan selepas Adam dan Hawa diusir dari Taman Eden. (Kej. 4:1, 2) Kejadian 4:25 menyatakan bahawa Tuhan “menggantikan Habel” dengan Set. Adam berumur 130 tahun ketika Set dilahirkan. Pada masa itu, Habel sudah pun meninggal. (Kej. 5:3) Maka, Habel mungkin berumur sekitar 100 tahun semasa Kain membunuhnya.

^ per. 15 Kejadian 4:26 menyatakan bahawa pada zaman Enos, iaitu cucu Adam, “orang mula menyeru nama Yehuwa.” Nampaknya, mereka sedang mengaitkan nama Yehuwa dengan patung berhala. Maka, mereka sebenarnya menghina nama Yehuwa.

^ per. 17 Nama lain bagi Dewa Nanna ialah Sin. Walaupun penduduk Ur menyembah banyak dewa, kebanyakan kuil dan mazbah di kota itu digunakan untuk menyembah Nanna.

^ per. 24 Semasa tabut perjanjian tidak berada di khemah suci, korban-korban yang dipersembahkan di tempat lain nampaknya diterima Yehuwa juga.​—1 Sam. 4:3, 11; 7:7-9; 10:8; 11:14, 15; 16:4, 5; 1 Taw. 21:26-30.

^ per. 28 Nampaknya Yehezkiel berumur 30 tahun semasa dia mula bernubuat pada tahun 613 SM. Jadi, dia lahir kira-kira pada tahun 643 SM. (Yeh. 1:1) Yosia menjadi raja pada 659 SM, dan kitab Hukum Musa (mungkin catatan yang asal) dijumpai sekitar tahun ke-18 pemerintahannya, iaitu kira-kira pada tahun 642-641 SM.