Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB SATU

“Habel Masih Berkata-kata meskipun Dia Sudah Mati”

“Habel Masih Berkata-kata meskipun Dia Sudah Mati”

1. Apakah yang menghalang Adam, Hawa, dan anak-anak mereka, daripada memasuki Taman Eden? Apakah harapan Habel?

HABEL sedang melihat kawanan bebirinya meragut rumput di lereng bukit. Kemudian pandangannya beralih kepada sesuatu yang bercahaya di kejauhan. Dia tahu bahawa di situ terdapat sebilah pedang berapi yang berpusing-pusing untuk menjaga jalan menuju ke Taman Eden. Selepas ibu bapanya diusir dari taman itu, baik mereka mahupun anak-anak mereka dilarang memasukinya. Hembusan bayu senja mengusik rambut Habel seraya dia menengadah ke langit dan berfikir tentang Penciptanya. “Alangkah baiknya jika manusia dapat berbaik semula dengan Tuhan,” bisiknya dalam hati.

2-4. Bagaimanakah Habel “bercakap” kepada kita dewasa ini?

2 Sebenarnya Habel sedang bercakap kepada kita pada hari ini. Dapatkah anda mendengar suaranya? Hal ini nampaknya mustahil kerana dia sudah meninggal kira-kira 6,000 tahun dahulu, dan tubuhnya sudah kembali menjadi debu. Lagipun Bible menyatakan, “Orang mati tidak tahu apa-apa pun.” (Pkh. 9:5, 10) Bible juga tidak pernah mencatatkan kata-kata Habel. Jadi bagaimanakah dia dapat bercakap kepada kita?

3 Berkenaan Habel, Paulus menulis, “Kerana imannya itu, Habel masih berkata-kata meskipun dia sudah mati.” (Baca Ibrani 11:4.) Habel ialah manusia pertama yang menunjukkan iman. Dia seolah-olah masih “hidup” kerana melalui teladannya, kita dibantu untuk memupuk iman. Jadi semasa kita mempelajari kisah hidup Habel dan berusaha meniru imannya, dia seolah-olah sedang bercakap kepada kita.

4 Bible tidak mengandungi banyak catatan tentang Habel, jadi bagaimanakah kita dapat belajar daripadanya dan meniru imannya? Marilah kita melihat caranya.

Hidup pada Waktu “Dunia Diasaskan”

5. Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus apabila dia mengaitkan Habel dengan ungkapan “dunia diasaskan”? (Lihat juga nota kaki.)

5 Habel dilahirkan pada permulaan sejarah manusia. Yesus pernah mengaitkan Habel dengan saat “dunia diasaskan.” (Baca Lukas 11:50, 51.) “Dunia” yang dimaksudkan oleh Yesus ialah umat manusia yang dapat dibebaskan daripada dosa. Habel ialah manusia keempat yang wujud di bumi, tetapi di mata Tuhan, dia ialah orang pertama yang layak diselamatkan. * Nampaknya Adam, Hawa, dan Kain, tidak menetapkan teladan yang baik untuk Habel.

6. Apakah yang berlaku pada awal sejarah manusia?

6 Meskipun sejarah manusia baru bermula, kesuraman sudah menyelubungi keluarga Habel. Ibu bapa Habel, iaitu Adam dan Hawa, merupakan manusia yang indah paras rupa dan cerdas akal fikiran. Tetapi mereka telah memberontak terhadap Yehuwa dan diusir dari Taman Eden. Lantaran itu, mereka kehilangan kesempurnaan dan hidup abadi. Ya, mereka sanggup menggadaikan masa depan anak-anak mereka semata-mata untuk memuaskan keinginan sendiri.​—Kej. 2:15–3:24.

7, 8. Apakah yang dikatakan oleh Hawa apabila Kain dilahirkan? Apakah yang mungkin difikirkan olehnya?

7 Adam dan Hawa hidup susah setelah mereka diusir dari Taman Eden. Namun demikian, saat mereka menimang cahaya mata yang pertama, Hawa berkata, “Aku telah melahirkan seorang anak lelaki dengan bantuan Yehuwa.” Pada masa itu, Hawa mungkin terfikir tentang nubuat pertama yang diucapkan oleh Yehuwa di Taman Eden. Dia mungkin menyangka bahawa dialah wanita yang dimaksudkan itu, dan Kain ialah keturunan yang akan memusnahkan ular yang telah menyesatkan mereka.​—Kej. 3:15; 4:1.

8 Jika begitu, sangkaannya meleset sama sekali. Tambahan lagi, jika dia dan Adam menyemai benih kesombongan ini dalam hati Kain, pastinya Kain akan bersikap angkuh. Tetapi pada kemudian hari, apabila Hawa melahirkan anaknya yang kedua, mereka menamakannya “Habel” yang mungkin bererti “Hembusan Nafas” atau “Kesia-siaan.” (Kej. 4:2) Hal ini mungkin menandakan bahawa mereka menaruh harapan yang lebih tinggi kepada Kain daripada Habel.

9. Apakah iktibar yang dapat diperoleh ibu bapa daripada Adam dan Hawa?

9 Dewasa ini, para ibu bapa dapat mengambil iktibar daripada Adam dan Hawa. Adakah anda menyemai sikap angkuh, suka bersaing, dan sikap mementingkan diri, dalam hati anak anda? Atau adakah anda akan mengajar mereka untuk mengasihi Yehuwa dan menjadi sahabat-Nya? Sedihnya, Adam dan Hawa gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Tetapi keturunan mereka masih mempunyai harapan.

Bagaimanakah Habel Membina Imannya?

10, 11. Apakah pekerjaan yang dilakukan oleh Kain dan Habel? Apakah perkara penting yang dilakukan oleh Habel?

10 Kain dan Habel semakin membesar. Barangkali Adam mengajar mereka cara untuk menampung kehidupan keluarga. Kain bekerja sebagai petani, manakala Habel menjadi gembala.

11 Namun, Habel juga melakukan sesuatu yang lebih penting. Dia membina imannya sedikit demi sedikit, tetapi hal ini tidak mudah kerana keluarganya tidak menetapkan teladan yang baik. Jadi bagaimanakah dia dapat membina iman terhadap Yehuwa? Marilah kita melihat tiga perkara yang telah membantunya.

12, 13. Bagaimanakah ciptaan Yehuwa membantu Habel membina imannya?

12 Ciptaan Yehuwa. Meskipun Yehuwa telah mengutuk tanah dan menyebabkannya dipenuhi semak berduri dan lalang, bumi masih menghasilkan makanan yang mencukupi bagi keluarga Habel. Lagipun, semua haiwan, termasuk burung dan ikan, tidak dikutuk. Gunung, tasik, sungai, lautan, langit, awan, matahari, bulan, dan bintang, juga tidak dikutuk. Ya, Habel dikelilingi ciptaan Tuhan yang menyingkapkan kasih, kebijaksanaan, dan kebaikan-Nya. (Baca Roma 1:20.) Seraya Habel merenungkan hal-hal ini, imannya bertambah teguh.

Melalui ciptaan Yehuwa, Habel melihat bukti yang kukuh untuk beriman kepada Pencipta

13 Bayangkanlah kehidupan Habel sebagai seorang gembala. Dia perlu memimpin kawanan bebirinya merentasi bukit dan menuruni lembah untuk mencari rumput yang paling hijau, air minum yang paling jernih, dan tempat rehat yang paling selamat. Semasa menjaga kawanan bebirinya, dia dapat melihat bahawa bebiri diciptakan oleh Tuhan sebagai haiwan yang memerlukan bimbingan dan perlindungan. Sesungguhnya hal ini menyedarkan Habel bahawa dia juga memerlukan bimbingan dan perlindungan Penciptanya yang jauh lebih bijaksana dan berkuasa daripada mana-mana manusia. Habel pasti mengungkapkan fikirannya ini semasa dia berdoa kepada Tuhan, dan hasilnya imannya bertambah kuat.

14, 15. Bagaimanakah janji-janji Yehuwa membantu Habel membina imannya?

14 Janji-janji Yehuwa. Sudah pasti Adam dan Hawa telah memberitahu anak-anak mereka tentang apa yang berlaku di Taman Eden. Maka Habel mempunyai banyak hal untuk direnungkan.

15 Sebagai contoh, Yehuwa berfirman bahawa tanah akan dikutuk, dan tepat seperti yang difirmankan, Habel melihat tanah dipenuhi semak berduri dan lalang. Yehuwa juga berfirman bahawa Hawa akan mengalami kesakitan semasa bersalin, dan Habel melihat hal ini terjadi apabila ibunya melahirkan adik-adiknya. Selain itu, Yehuwa menubuatkan bahawa Hawa akan sangat menginginkan kasih dan perhatian suaminya, dan suaminya akan menguasainya. Habel nampak hal ini terjadi dalam keluarganya. Ya, semua firman Tuhan telah menjadi kenyataan. Maka Habel mempunyai sebab yang kukuh untuk beriman kepada janji Tuhan tentang keturunan yang akan melenyapkan segala akibat buruk pemberontakan di Taman Eden.​—Kej. 3:15-19.

16, 17. Bagaimanakah para malaikat Yehuwa membantu Habel membina imannya?

16 Hamba-hamba Yehuwa. Meskipun tiada seorang pun ahli keluarga Habel yang menetapkan teladan baik baginya, dia masih dapat mencontohi teladan makhluk ciptaan Yehuwa yang lain. Setelah Tuhan mengusir Adam dan Hawa dari Taman Eden, Dia menempatkan kerub-kerub dan sebilah pedang berapi yang berpusing-pusing di jalan menuju ke Taman Eden untuk menghalang sesiapa pun daripada memasukinya. (Baca Kejadian 3:24.) Kerub-kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi, dan mereka telah menetapkan teladan yang baik bagi Habel.

17 Bayangkanlah apa yang berlaku semasa Habel masih kecil. Dia pasti sangat terpesona dengan penampilan kerub-kerub yang gagah perkasa. Pastinya dia juga kagum melihat pedang berapi yang terus berpusing tanpa henti. Seraya dia meningkat dewasa, dia tidak pernah melihat para malaikat itu meninggalkan tugas mereka kerana bosan. Musim silih berganti, namun para malaikat itu tetap tidak berganjak dari tempat mereka. Maka Habel dapat meniru kesetiaan dan kepatuhan yang ditunjukkan oleh mereka terhadap Yehuwa. Sesungguhnya teladan baik mereka telah menguatkan iman Habel.

Sepanjang hayatnya, Habel dapat melihat kerub-kerub yang setia dan yang patuh kepada Yehuwa

18. Mengapakah kita mempunyai sebab yang kukuh untuk beriman kepada Tuhan?

18 Habel menguatkan imannya dengan merenungkan sifat-sifat Yehuwa yang ditunjukkan menerusi ciptaan-Nya, janji-janji-Nya, dan teladan baik para malaikat. Teladan Habel khususnya dapat membantu kaum muda, kerana tidak kira ahli keluarga mereka beriman atau tidak, mereka masih dapat memupuk iman yang teguh terhadap Tuhan Yehuwa. Hari ini, kita bukan sahaja dikelilingi ciptaan Tuhan yang menakjubkan, kita bahkan juga dapat membaca seluruh Bible. Selain itu, kita dapat memerhatikan iman yang ditunjukkan oleh hamba-hamba Tuhan. Maka kita mempunyai sebab yang kukuh untuk beriman kepada Tuhan.

Korban yang Diperkenankan Tuhan

19. Apakah hakikat penting yang dipelajari oleh Habel tentang Tuhan?

19 Seraya iman Habel terhadap Tuhan bertambah teguh, hatinya tergerak untuk menunjukkan imannya itu. Tetapi bagaimanakah dia dapat berbuat demikian? Apakah yang dapat dipersembahkannya kepada Pencipta alam semesta? Akhirnya Habel menyedari sesuatu yang amat penting: Jika dia berhati jujur dan mempersembahkan apa yang terbaik kepada Tuhan, Tuhan pasti senang hati.

Habel mempersembahkan korban dengan ikhlas, tetapi Kain tidak

20, 21. Apakah korban yang dipersembahkan oleh Kain dan Habel kepada Yehuwa? Apakah reaksi Tuhan?

20 Habel bercadang untuk mempersembahkan beberapa ekor bebiri, maka dia memilih anak bebiri sulung yang terbaik daripada kawanannya. Kain juga ingin mendapat perkenan dan berkat Tuhan, maka dia mempersembahkan hasil tanamannya kepada Tuhan. Tetapi dia tidak berhati jujur seperti adiknya. Marilah kita melihat apa yang berlaku seterusnya.

21 Mereka berdua mungkin telah membina mazbah dan menyalakan api untuk mempersembahkan korban mereka kepada Tuhan berdekatan tempat kerub-kerub itu berkawal. Apakah reaksi Yehuwa terhadap korban mereka? Bible menyatakan, “Yehuwa berasa senang hati dengan Habel dan persembahannya.” (Kej. 4:4) Tetapi Bible tidak menjelaskan bagaimana Yehuwa menunjukkan perkenan-Nya.

22, 23. Mengapakah Yehuwa senang hati dengan persembahan Habel?

22 Mengapakah Tuhan senang hati dengan Habel? Adakah kerana korbannya lebih baik? Habel telah mempersembahkan bebiri, iaitu makhluk yang bernyawa, dan mencurahkan darah bebiri itu. Adakah Habel sedar bahawa korbannya itu membawa makna yang mendalam? Mungkin tidak. Hal ini demikian kerana berabad-abad kemudian, barulah Tuhan menggunakan korban bebiri yang tidak ada kecacatan untuk menggambarkan bahawa Anak-Nya yang sempurna, iaitu “Anak Bebiri Tuhan,” akan menyerahkan nyawanya dan menumpahkan darahnya untuk menghapuskan dosa manusia.​—Yoh. 1:29; Kel. 12:5-7.

23 Hakikatnya ialah Habel telah mempersembahkan apa yang terbaik. Korban yang dipersembahkan oleh Habel digerakkan oleh kasih dan imannya terhadap Yehuwa. Itulah sebabnya Yehuwa senang hati dengan Habel dan persembahannya.

24. (a) Adakah persembahan Kain kurang baik? Jelaskan. (b) Bagaimanakah kebanyakan orang dewasa ini mencerminkan sikap Kain?

24 Sebaliknya Yehuwa “tidak senang hati dengan Kain dan persembahannya.” (Kej. 4:5) Mengapa? Adakah persembahan Kain kurang baik? Tidak, kerana pada kemudian hari, Hukum Tuhan mengizinkan orang untuk mempersembahkan hasil tanaman mereka. (Im. 6:14, 15) Yehuwa tidak senang hati dengan Kain kerana ‘perbuatannya jahat.’ (Baca 1 Yohanes 3:12.) Seperti kebanyakan orang dewasa ini, Kain tidak ikhlas. Walaupun dia mempersembahkan korban kepada Tuhan, dia sebenarnya tidak mengasihi dan tidak beriman kepada Tuhan. Tindakannya yang seterusnya membuktikan hal ini.

25, 26. Apakah nasihat yang diberikan oleh Yehuwa kepada Kain? Tetapi apakah yang dilakukan oleh Kain?

25 Apabila Kain tahu bahawa Yehuwa tidak senang hati dengan-Nya, adakah dia sudi mencontohi teladan Habel? Tidak. Sebaliknya dia mula membenci adiknya. Yehuwa tahu apa yang bermain dalam benaknya, maka Dia menasihatinya dengan sabar. Dia memberitahu Kain bahawa jika Kain tidak berubah, ‘dosa sedang menanti-nantikan peluang untuk menguasainya.’ Tetapi jika Kain sudi berubah, dia akan mendapat perkenan Tuhan.​—Kej. 4:6, 7.

26 Malangnya Kain tidak menghiraukan amaran Tuhan. Dia mengajak adiknya pergi ke padang. Kemudian Kain menyerang adiknya lalu membunuhnya di situ. (Kej. 4:8) Dengan demikian, Habel menjadi manusia pertama yang mati demi imannya. Tetapi meskipun Habel sudah mati, kisahnya belum berakhir.

27. (a) Mengapakah kita yakin bahawa Habel akan dibangkitkan? (b) Jika kita ingin berjumpa dengan Habel di firdaus, apakah yang perlu kita lakukan?

27 Jadi bagaimanakah “Habel masih berkata-kata meskipun dia sudah mati”? Selepas dia mati, Bible menyatakan, ‘Darah Habel berseru kepada Yehuwa’ untuk meminta keadilan, dan Tuhan menghukum Kain. (Kej. 4:9-12) Yang terpenting, imannya terhadap Tuhan sedang “bercakap” kepada kita pada hari ini. Meskipun dia hanya hidup selama kira-kira 100 tahun, dia hidup dalam cara yang diperkenankan Tuhan. Sememangnya Habel akan dibangkitkan di bumi firdaus kelak kerana Bapa kita yang pengasih pasti tidak akan melupakannya. (Yoh. 5:28, 29; Ibr. 11:4) Adakah anda akan bersua dengannya pada masa itu? Anda pasti berpeluang berbuat demikian jika anda berusaha mendengar kata-kata Habel dan meniru iman yang ditunjukkannya.

^ per. 5 Ungkapan “dunia diasaskan” merangkumi idea melahirkan anak. Meskipun Kain dan Habel ialah anak-anak Adam dan Hawa, mengapakah Yesus hanya mengaitkan ungkapan “dunia diasaskan” dengan Habel? Hal ini demikian kerana Kain telah memberontak terhadap Yehuwa. Maka seperti ibu bapanya, Kain nampaknya tidak akan dibebaskan daripada dosa dan tidak akan dibangkitkan.