Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 3

Kasihi Mereka yang Dikasihi Tuhan

Kasihi Mereka yang Dikasihi Tuhan

“Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak.”AMSAL 13:20.

1-3. (a) Apakah kebenaran yang dinyatakan dalam Bible mengenai persahabatan? (b) Bagaimanakah kita dapat memilih sahabat yang dapat mempengaruhi kita untuk melakukan perkara yang baik?

MANUSIA ibarat kapas. Mereka cenderung menyerap apa-apa di sekeliling mereka. Tanpa disedari, kita mudah menyerap sikap, nilai, serta keperibadian orang yang bergaul rapat dengan kita.

2 Bible menyatakan suatu kebenaran yang tidak boleh dinafikan: “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak; orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” (Amsal 13:20, ABB) Mengenai ayat ini, sebuah karya rujukan Bible menyatakan bahawa perkataan “bergaul dengan” boleh membawa maksud “kasih dan perikatan.” Tidakkah anda setuju bahawa kita cenderung meniru orang yang kita kasihi? Oleh sebab emosi kita terikat kepada orang yang kita kasihi, mereka dapat mempengaruhi kita untuk berbuat baik atau jahat.

3 Jika kita hendak terus berada di bawah naungan kasih Tuhan, kita mesti mencari sahabat yang akan mempengaruhi kita untuk berbuat baik. Bagaimanakah kita dapat melakukan hal ini? Kita perlu mengasihi mereka yang dikasihi oleh Tuhan dan menjadikan mereka sahabat kita. Fikirkanlah sejenak, dapatkah anda memilih sahabat yang lebih baik daripada mereka yang diperkenankan Yehuwa? Sekarang, mari kita bincangkan sifat-sifat yang dimiliki oleh mereka yang dikasihi oleh Tuhan. Jika kita jelas memahami pandangan Yehuwa, kita akan dibantu untuk memilih sahabat yang dapat mempengaruhi kita secara positif.

MEREKA YANG DIKASIHI TUHAN

4. Mengapakah Yehuwa berhak untuk memilih sahabat-Nya dengan sangat teliti, dan mengapakah Yehuwa memanggil Abraham “sahabat-Ku”?

4 Yehuwa memilih sahabat-sahabat-Nya dengan sangat teliti. Dia hanya menjalin persahabatan dengan mereka yang memenuhi syarat-syarat-Nya. Adakah Yehuwa berhak berbuat demikian? Sudah tentu. Yehuwa merupakan Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat, dan persahabatan dengan-Nya merupakan penghormatan terbesar. Maka, Dia memilih siapa sebagai sahabat-Nya? Yehuwa mendekati mereka yang yakin terhadap-Nya dan yang menaruh kepercayaan kepada-Nya dengan sepenuh hati. Sebagai contoh, mari kita bincang tentang Abraham, seorang lelaki yang dikenali kerana kepercayaannya yang menakjubkan. Tuhan menyuruh Abraham mempersembahkan anak kesayangannya sebagai korban. Hal ini merupakan ujian kepercayaan yang paling sukar bagi seorang bapa. * Walaupun begitu, Abraham “bersedia mempersembahkan anaknya yang tunggal sebagai korban” kerana dia mempunyai kepercayaan yang kukuh bahawa Tuhan “berkuasa membangkitkan Ishak daripada kematian.” (Ibrani 11:17-19) Oleh sebab Abraham memperlihatkan kepercayaan dan kepatuhan, Yehuwa dengan penuh kasih memanggilnya “sahabat-Ku.”Yesaya 41:8; Yakobus 2:21-23.

5. Apakah pandangan Yehuwa terhadap mereka yang mematuhi-Nya dengan setia?

5 Kesetiaan dan kepatuhan sangat penting di mata Yehuwa. Dia mengasihi mereka yang menunjukkan bahawa kesetiaan kepada-Nya adalah perkara terpenting dalam kehidupan mereka. (2 Samuel 22:26) Seperti yang telah kita pelajari dalam Bab 1, Yehuwa berasa sangat gembira dengan mereka yang memilih untuk mematuhi-Nya kerana didorong oleh kasih. “Dia akrab dengan orang yang baik,” kata Amsal 3:32. Dengan baik hati, Yehuwa menjemput orang yang mengikut kehendak-Nya dengan setia untuk menjadi tetamu di Rumah-Nya. Hal ini bermaksud mereka dijemput untuk menyembah-Nya dan berdoa kepada-Nya bila-bila sahaja.Mazmur 15:1-5.

6. Bagaimanakah kita boleh menunjukkan bahawa kita mengasihi Yesus, dan apakah perasaan Yehuwa terhadap mereka yang mengasihi Anak-Nya?

6 Yehuwa mengasihi mereka yang mengasihi Anak Tunggal-Nya, Yesus. Yesus berkata, ‘Sesiapa mengasihi aku akan mentaati ajaranku. Bapaku akan mengasihi dia. Bapaku dan aku akan datang kepada orang itu dan tinggal dengan dia.’ (Yohanes 14:23, ABB) Bagaimanakah kita dapat memperlihatkan kasih terhadap Yesus? Kita dapat berbuat demikian dengan mematuhi perintah yang diberikannya, termasuk perintah untuk mengkhabarkan berita baik dan menjadikan orang pengikut Yesus. (Matius 28:19, 20; Yohanes 14:15, 21) Kita juga menunjukkan bahawa kita mengasihi Yesus apabila kita ‘mengikut jejaknya,’ iaitu meniru perbuatan serta pertuturannya dengan sebaik mungkin walaupun kita tidak sempurna. (1 Petrus 2:21) Yehuwa sangat gembira apabila mereka yang mengasihi Anak-Nya berusaha untuk mengikut jejak Kristus.

7. Mengapakah bijak untuk menjadikan sahabat Yehuwa sahabat kita?

7 Kepercayaan, kesetiaan, kepatuhan, serta kasih terhadap Yesus dan haluan hidupnya merupakan antara sifat-sifat yang dikehendaki Yehuwa daripada sahabat-sahabat-Nya. Setiap seorang daripada kita patut bertanya, “Adakah sahabat karib saya mempunyai sifat-sifat dan haluan hidup sebegini? Adakah sahabat-sahabat Yehuwa sahabat saya?” Adalah bijak jika kita menjadikan sahabat Tuhan sahabat kita. Individu yang berusaha memupuk sifat-sifat yang disenangi Tuhan serta mengkhabarkan berita baik Kerajaan Tuhan dengan semangat yang berkobar-kobar boleh mempengaruhi kita secara positif. Mereka dapat menguatkan tekad kita untuk menyenangkan hati Tuhan.—Lihat kotak “ Ciri-ciri Sahabat yang Baik.”

BELAJAR DARIPADA CONTOH DALAM BIBLE

8. Apakah yang menarik perhatian anda mengenai persahabatan antara (a) Naomi dan Rut? (b) tiga pemuda Ibrani? (c) Paulus dan Timotius?

8 Di dalam Bible terdapat banyak contoh tentang orang yang memperoleh manfaat kerana memilih sahabat yang mempengaruhi mereka secara positif. Anda dapat membaca mengenai persahabatan antara Naomi dan menantunya Rut, antara tiga pemuda Ibrani yang menjalin persahabatan yang erat di Babilon, dan juga antara Paulus dan Timotius. (Rut 1:16; Daniel 3:17, 18; 1 Korintus 4:17; Filipi 2:20-22) Tetapi, marilah kita beri perhatian kepada satu lagi contoh yang menonjol, iaitu persahabatan antara Daud dan Yonatan.

9, 10. Apakah dasar persahabatan antara Daud dan Yonatan?

9 Bible menyatakan bahawa selepas Daud membunuh Goliat, “Yonatan sangat tertarik kepada Daud, dan mula mengasihinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” (1 Samuel 18:1) Walaupun Yonatan jauh lebih tua daripada Daud, persahabatan mereka bagaikan isi dengan kuku. Persahabatan mereka berkekalan sampai Yonatan mati di medan pertempuran. * (2 Samuel 1:26) Apakah dasar bagi hubungan erat yang dijalin antara dua orang sahabat ini?

10 Ikatan persahabatan antara Daud dan Yonatan terjalin kerana mereka mengasihi Tuhan dan mempunyai keinginan yang kuat untuk terus setia kepada-Nya. Mereka disatukan oleh ikatan rohani dan masing-masing memperlihatkan sifat yang menyerlah. Yonatan tentu kagum dengan keberanian dan semangat membara yang diperlihatkan oleh Daud yang mempertahankan nama Yehuwa tanpa mengenal takut. Daud pula tentu menghormati sahabatnya yang lebih tua kerana dia menyokong aturan Yehuwa dengan setia dan mengutamakan kepentingan Daud. Sebagai contoh, mari kita lihat apa yang berlaku apabila Daud sangat tawar hati kerana terpaksa hidup sebagai pelarian di padang gurun supaya tidak dibunuh oleh bapa Yonatan, iaitu Raja Saul yang fasiq. Yonatan telah memperlihatkan kesetiaan yang luar biasa dengan mengambil inisiatif untuk ‘menemui Daud dan meyakinkan dia bahawa Tuhan melindungi dia.’ (1 Samuel 23:16) Bayangkan perasaan Daud apabila sahabat yang dikasihinya datang untuk membantu dan menggalakkannya! *

11. Apakah yang dapat anda pelajari mengenai persahabatan daripada Yonatan dan Daud?

11 Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Yonatan dan Daud? Kita belajar bahawa perkara terpenting dalam sebuah persahabatan ialah nilai rohani yang sama. Apabila kita mendekati mereka yang berkongsi kepercayaan dan nilai moral yang sama dengan kita, dan yang juga berhasrat untuk terus setia kepada Tuhan, kita boleh saling berkongsi pendapat, perasaan, dan pengalaman yang menggalakkan dan menguatkan kita. (Roma 1:11, 12) Kita dapat menjumpai sahabat yang berminat dalam hal rohani dalam kalangan penyembah Yehuwa. Tetapi, adakah hal ini bermakna bahawa semua yang datang ke Dewan Perjumpaan merupakan sahabat yang baik? Tidak semestinya.

CARA MEMILIH SAHABAT KARIB

12, 13. (a) Walaupun di sidang Kristian, mengapakah kita mesti memilih sahabat karib dengan teliti? (b) Apakah masalah yang dihadapi sidang Kristian pada abad pertama, dan hal ini menggerakkan Paulus untuk memberi amaran apa?

12 Walaupun di sidang Kristian, kita mesti memilih sahabat dengan teliti supaya kita dibina secara rohani. Patutkah hal ini menghairankan kita? Tidak. Sesetengah orang Kristian di sidang mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menjadi matang secara rohani, sepertimana sesetengah buah pada pokok mengambil masa yang lebih lama untuk menjadi masak. Maka dalam setiap sidang, kita dapat menjumpai orang Kristian yang mempunyai tahap kerohanian yang berbeza. (Ibrani 5:12–6:3) Sudah tentu, kita patut bersabar dan menunjukkan kasih kepada mereka yang baru atau yang lebih lemah kerana kita ingin membantu mereka tumbuh secara rohani.Roma 14:1; 15:1.

13 Kadangkala, mungkin terdapat situasi di sidang yang memerlukan kita berwaspada dalam pergaulan kita. Sesetengah individu mungkin melakukan perkara yang meragukan. Mungkin yang lain pula mempunyai kecenderungan untuk berasa marah dan kecewa, atau suka merungut. Sidang-sidang pada abad pertama Masihi pun menghadapi masalah yang sama. Walaupun kebanyakan ahli sidang setia, terdapat beberapa individu yang tidak berkelakuan baik. Oleh sebab beberapa ahli sidang di Korintus tidak mengikut ajaran Kristian tertentu, hawari Paulus memberi amaran kepada sidang itu, “Janganlah kamu tertipu! ‘Persahabatan yang buruk merosakkan akhlak baik.’” (1 Korintus 15:12, 33, ABB) Paulus telah mengingatkan Timotius bahawa dalam kalangan orang Kristian pun terdapat mereka yang tidak berkelakuan mulia. Timotius diminta menjauhkan diri daripada mereka dan jangan bergaul rapat dengan mereka.2 Timotius 2:20-22.

14. Bagaimanakah kita dapat menerapkan prinsip di sebalik amaran Paulus mengenai pergaulan?

14 Bagaimanakah kita dapat menerapkan prinsip di sebalik amaran Paulus? Dengan mengelakkan pergaulan rapat dengan orang yang boleh menjadi pengaruh buruk, sama ada di dalam atau di luar sidang. (2 Tesalonika 3:6, 7, 14) Kita mesti menjaga kerohanian kita. Ingat, kita bagaikan kapas yang menyerap sikap dan haluan hidup sahabat karib kita. Kapas yang direndamkan di dalam air kotor tidak akan menyerap air yang bersih. Maka, kita tidak boleh menyerap apa yang positif, jika kita bergaul dengan mereka yang mempengaruhi kita dalam cara yang negatif.1 Korintus 5:6.

Anda boleh menjumpai sahabat yang mempunyai pengaruh positif dalam kalangan penyembah Yehuwa

15. Apakah yang boleh anda lakukan untuk mendapat sahabat di sidang yang berminat dalam hal rohani?

15 Tetapi, kita boleh bersyukur kerana terdapat banyak peluang untuk mencari sahabat yang mempengaruhi kita secara positif di kalangan saudara saudari kita. (Mazmur 133:1) Bagaimanakah anda boleh mencari sahabat-sahabat di sidang yang berminat dalam hal rohani? Seraya anda memupuk sifat-sifat dan haluan hidup yang disenangi Tuhan, sudah tentu mereka yang sehati akan mendekat kepada anda. Pada masa yang sama anda mungkin perlu mengambil langkah praktikal dalam usaha untuk menjalin persahabatan baru dalam sidang. (Lihat kotak “ Cara Menjalin Persahabatan yang Baik.”) Carilah sahabat yang mempunyai sifat-sifat yang ingin anda perlihatkan. Ikutlah nasihat Bible untuk ‘membuka hati’ dengan menjalin persahabatan dengan penyembah Yehuwa tanpa mengira kaum, bangsa, ataupun budaya. (2 Korintus 6:13; 1 Petrus 2:17) Ingatlah bahawa Yonatan jauh lebih tua daripada Daud. Maka, jangan hadkan pergaulan kepada mereka yang berada dalam lingkungan umur anda sahaja. Sememangnya sahabat yang lebih tua dapat berkongsi pengalaman dan kebijaksanaan mereka dengan anda.

APABILA TIMBULNYA KESUSAHAN

16, 17. Mengapakah kita tidak patut menjauhkan diri daripada sidang jika seorang penyembah Yehuwa melukai hati kita?

16 Oleh sebab personaliti dan latar belakang ahli sidang amat berbeza, dari semasa ke semasa masalah mungkin timbul. Seorang saudara atau saudari mungkin melakukan atau mengatakan sesuatu yang melukai hati kita. (Amsal 12:18) Adakalanya, masalah timbul kerana terdapat percanggahan personaliti atau pendapat, dan perselisihan faham. Adakah kita akan tersandung dan menjauhkan diri daripada sidang apabila hal ini berlaku? Kita tidak akan melakukan hal ini jika kita benar-benar mengasihi Yehuwa dan orang yang dikasihi-Nya.

17 Sebagai Pencipta dan Pemelihara Kehidupan, Yehuwa layak menerima kasih serta penyembahan kita. (Penyingkapan 4:11) Selain itu, sidang yang digunakan Yehuwa patut menerima sokongan setia kita. (Ibrani 13:17) Jadi, jika seorang penyembah Yehuwa melukai hati atau mengecewakan kita, wajarkah kita menjauhkan diri daripada sidang untuk menunjukkan bahawa kita tidak puas hati? Tidak, kerana bukannya Yehuwa yang melukai hati kita. Jika kita benar-benar mengasihi Yehuwa, “tiada apa pun yang boleh menjatuhkan” kita ataupun menyebabkan kita berpaling daripada Yehuwa dan umat-Nya!Mazmur 119:165, Berita Baik Untuk Manusia Moden.

18. (a) Apakah yang dapat kita lakukan untuk menggalakkan kedamaian dalam sidang? (b) Apakah berkat yang boleh dinikmati jika kita memaafkan seseorang yang mengesali perbuatannya?

18 Kasih bagi saudara saudari menggalakkan kedamaian dalam sidang. Yehuwa tidak mengharapkan kesempurnaan daripada mereka yang dikasihi-Nya, dan kita patut meniru teladan-Nya. Kasih membolehkan kita memaafkan kesalahan kecil dan mengingatkan kita bahawa kita semua tidak sempurna dan melakukan kesalahan. (Amsal 17:9; 1 Petrus 4:8) Kasih membantu kita untuk sentiasa “saling mengampuni.” (Kolose 3:13) Tetapi nasihat ini tidak selalu mudah diamalkan. Jika kita membenarkan perasaan negatif bermaharajalela, kita cenderung untuk terus berasa geram dan barangkali berfikir bahawa kemarahan kita sedang menghukum orang yang menyinggung perasaan kita. Tetapi sebenarnya, perasaan geram hanya memudaratkan diri. Sebaliknya jika kita memaafkan seseorang yang mengesali perbuatannya, kita akan meraih banyak berkat. (Lukas 17:3, 4) Kita akan menikmati ketenangan hati dan fikiran, kedamaian dalam sidang akan terpelihara, dan yang terpenting, hubungan kita dengan Yehuwa tidak terjejas.Matius 6:14, 15; Roma 14:19.

BILA UNTUK MEMUTUSKAN PERSAHABATAN

19. Bilakah kita harus memutuskan hubungan dengan seseorang di sidang?

19 Kadangkala kita diminta memutuskan persahabatan dengan seorang saudara atau saudari yang disingkirkan daripada sidang kerana dia mengingkari hukum Tuhan dan tidak mahu bertaubat; atau dia menolak penyembahan sejati dengan mengajarkan ajaran palsu atau dengan menyisihkan diri daripada sidang. Firman Tuhan jelas menyatakan bahawa kita “tidak patut bergaul” dengan individu-individu sebegini. * (1 Korintus 5:11-13; 2 Yohanes 9-11) Hal ini mungkin merupakan cabaran yang besar jika individu tersebut merupakan kawan kita ataupun mempunyai pertalian darah dengan kita. Adakah kita akan berpegang teguh pada pendirian kita dan menunjukkan bahawa kita mengutamakan kesetiaan kepada Yehuwa dan hukum-hukum-Nya yang adil benar? Ingatlah, kesetiaan dan kepatuhan sangat penting di mata Yehuwa.

20, 21. (a) Mengapakah aturan penyingkiran merupakan aturan yang memperlihatkan kasih Yehuwa? (b) Mengapakah sangat penting untuk memilih sahabat-sahabat kita dengan bijak?

20 Sebenarnya aturan penyingkiran adalah aturan yang memperlihatkan kasih Yehuwa. Mengapakah kita dapat berkata demikian? Penyingkiran pendosa yang enggan bertaubat menunjukkan bahawa kita mengasihi Yehuwa, menjunjung nama suci-Nya, dan menghormati piawaian-Nya. (1 Petrus 1:15, 16) Penyingkiran memelihara keselamatan sidang. Ahli sidang yang setia dilindungi daripada pengaruh buruk pendosa yang sengaja melanggar hukum Tuhan, dan mereka boleh terus menyembah Yehuwa dengan mengetahui bahawa sidang adalah tempat yang selamat dalam dunia yang fasiq ini. (1 Korintus 5:7; Ibrani 12:15, 16) Disiplin tegas sebenarnya menunjukkan kasih kepada pesalah. Hal ini mungkin membuka mata pesalah dan menyedarkannya bahawa dia harus mengubah sikapnya dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk kembali kepada Yehuwa.Ibrani 12:11.

21 Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa sahabat karib kita mempunyai pengaruh yang kuat ke atas kita. Maka, adalah sangat penting untuk memilih sahabat kita dengan bijak. Jika kita menjalin persahabatan dengan sahabat Yehuwa dan mengasihi mereka yang dikasihi Tuhan, kita akan dikelilingi sahabat-sahabat yang terbaik. Mereka akan menguatkan tekad kita untuk menjalani kehidupan yang menyenangkan hati Yehuwa.

^ per. 4 Dengan meminta Abraham melakukan hal ini, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia sendiri bakal mempersembahkan Anak Tunggal-Nya sebagai korban. (Yohanes 3:16) Yehuwa kemudiannya menghalang Abraham daripada membunuh Ishak dan menyediakan seekor biri-biri jantan untuk menggantikan Ishak.Kejadian 22:1, 2, 9-13.

^ per. 9 Daud “masih sangat muda” apabila dia membunuh Goliat dan umurnya kira-kira 30 tahun pada masa kematian Yonatan. (1 Samuel 17:33; 31:2; 2 Samuel 5:4) Yonatan mati semasa dia berumur lebih kurang 60 tahun. Maka Yonatan adalah kira-kira 30 tahun lebih tua daripada Daud.

^ per. 10 Seperti yang tercatat di 1 Samuel 23:17, Yonatan telah memberitahu Daud lima perkara untuk menggalakkannya: (1) Dia menyeru Daud supaya jangan takut. (2) Dia meyakinkan Daud bahawa usaha Saul akan gagal. (3) Dia mengingatkan Daud bahawa Daud akan menjadi raja seperti yang dijanjikan Tuhan. (4) Dia menjanjikan kesetiaannya kepada Daud. (5) Dia memberitahu Daud bahawa Saul pun tahu tentang kesetiaannya kepada Daud.

^ per. 19 Untuk maklumat lanjut mengenai cara untuk memperlakukan individu yang telah disingkirkan atau yang menyisihkan diri, sila lihat Lampiran “Cara Memperlakukan Individu yang Telah Disingkirkan.”