Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

LAMPIRAN

Pecahan Kecil Darah dan Prosedur Pembedahan

Pecahan Kecil Darah dan Prosedur Pembedahan

Pecahan kecil darah. Pecahan kecil dihasilkan daripada empat komponen darah yang utama—sel darah merah, sel darah putih, platelet, dan plasma. Sebagai contoh, sel darah merah mengandungi protein hemoglobin. Produk yang dibuat daripada hemoglobin manusia atau haiwan digunakan untuk merawat pesakit yang menghidap penyakit anemia yang teruk atau yang mengalami pendarahan yang banyak.

Plasma terdiri daripada 90 peratus air, dan mengandungi banyak hormon, garam tak organik, enzim, dan nutrien, termasuk mineral dan gula. Plasma juga mengandungi faktor pembekuan, antibodi untuk melawan penyakit, dan protein seperti albumin. Jika seseorang dijangkiti penyakit tertentu, doktor mungkin memberikan suntikan gamma globulin yang diekstrak daripada plasma orang yang mempunyai keimunan. Sel darah putih merupakan sumber interferon dan interleukin yang digunakan untuk merawat sesetengah jangkitan virus dan penyakit barah.

Patutkah orang Kristian menerima terapi yang menggunakan pecahan kecil darah? Bible tidak memberikan butiran terperinci, maka setiap orang mesti membuat keputusan berdasarkan hati nurani masing-masing kerana kita bertanggungjawab kepada Tuhan. Ada yang akan menolak semua pecahan kecil. Mereka menaakul bahawa Hukum Tuhan kepada umat Israel menuntut agar darah yang dikeluarkan daripada suatu makhluk ‘dicurahkan ke tanah.’ (Ulangan 12:22-24) Yang lain pula akan menolak transfusi darah utuh dan komponen darah yang utama, tetapi mungkin menerima rawatan yang menggunakan pecahan kecil darah. Mereka mungkin menaakul bahawa pada tahap tertentu, pecahan kecil yang diekstrak daripada darah suatu makhluk tidak lagi mewakili nyawanya.

Semasa membuat keputusan mengenai pecahan kecil darah, pertimbangkan soalan-soalan yang berikut: Adakah saya sedar bahawa jika saya menolak semua pecahan kecil darah, maksudnya saya juga menolak sesetengah ubat yang digunakan untuk melawan penyakit atau yang membantu dalam proses pembekuan darah supaya pendarahan dihentikan? Dapatkah saya menerangkan kepada doktor mengapa saya menolak atau menerima pecahan kecil darah tertentu?

Prosedur pembedahan. Prosedur-prosedur ini merangkumi pencairan darah (hemodilution) dan penyelamatan sel (cell salvage). Dalam proses pencairan darah, darah disalurkan keluar dari badan, digantikan dengan cecair pengembang isi padu, dan kemudian dikembalikan kepada pesakit. Penyelamatan sel mengumpulkan dan mengembalikan darah yang hilang semasa pembedahan. Darah akan dikumpulkan daripada luka atau rongga badan, dibersihkan atau ditapis, dan kemudian dikembalikan kepada pesakit. Oleh sebab kaedah yang digunakan oleh setiap doktor berbeza-beza, seorang Kristian patut mengetahui apa yang ingin dilakukan oleh doktornya.

Semasa membuat keputusan mengenai prosedur-prosedur ini, tanyalah diri: “Jika sebahagian daripada darah saya disalurkan keluar dari badan saya, dan peredaran darah saya mungkin terganggu untuk suatu jangka masa, adakah hati nurani saya membenarkan saya untuk menganggap bahawa darah ini masih sebahagian daripada tubuh saya, dan dengan demikian tidak perlu ‘dicurahkan ke tanah’? (Ulangan 12:23, 24) Adakah hati nurani saya yang dilatih oleh Bible terganggu jika semasa prosedur perubatan, sebahagian daripada darah saya dikeluarkan, diubah, dan dikembalikan ke dalam badan saya? Adakah saya sedar bahawa jika saya menolak semua prosedur perubatan yang melibatkan penggunaan darah saya, maksudnya saya juga menolak prosedur seperti ujian darah, hemodialisis, atau penggunaan mesin jantung paru-paru?”

Seorang Kristian mesti membuat keputusan sendiri tentang bagaimana darahnya akan digunakan semasa prosedur pembedahan. Hal yang sama perlu dilakukan untuk ujian perubatan dan terapi terkini yang mana sedikit darah sendiri dikeluarkan, diubah dalam cara tertentu, dan kemudian dikembalikan ke dalam badan.