Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN EMPAT

Perasaan Bersalah​—“Bersihkanlah Aku daripada Dosaku”

Perasaan Bersalah​—“Bersihkanlah Aku daripada Dosaku”

“Taraf hidup keluarga saya lebih baik selepas saya mendapat kerja yang baru. Tetapi saya juga melakukan perbuatan yang tidak selaras dengan kehidupan Kristian. Saya mula menyambut perayaan, terlibat dalam aktiviti politik, dan menghadiri gereja. Saya ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang tidak aktif selama 40 tahun. Hari demi hari, saya semakin percaya bahawa Yehuwa tidak dapat mengampuni saya. Saya sentiasa rasa bersalah kerana masih melakukan dosa walaupun sudah mengetahui kebenaran.”​—Martha.

PERASAAN bersalah boleh menjadi seperti beban yang amat berat. Raja Daud menulis, “Aku lemas dalam banjir dosaku; dosaku terlalu berat bagiku.” (Mazmur 38:5) Sesetengah orang Kristian diselubungi kesedihan kerana mereka berasa bahawa Yehuwa tidak akan mengampuni mereka. (2 Korintus 2:7) Adakah kesimpulan ini benar? Adakah anda begitu terasing daripada Yehuwa kerana dosa serius sehingga anda tidak dapat diampuni? Tidak!

“Marilah Kita Selesaikan Perkara Ini”

Yehuwa tidak meninggalkan hamba-Nya yang ingin bertaubat. Sebaliknya, Dia ingin membantu mereka! Dalam perumpamaan anak yang hilang, Yesus menggambarkan Yehuwa sebagai seorang bapa yang pengasih. Anak bongsunya telah meninggalkan bapanya dan menjalani kehidupan yang tidak bermoral. Lama-kelamaan, anak itu memutuskan untuk pulang ke rumah. “Apabila bapanya nampak [anak bongsunya] dari jauh, bapanya berasa kasihan terhadapnya lalu berlari ke arahnya, memeluknya, dan menciumnya.” (Lukas 15:11-20) Adakah anda ingin kembali kepada Yehuwa, tetapi berasa bahawa anda masih “jauh” daripada-Nya? Seperti bapa dalam perumpamaan itu, Yehuwa ingin menunjukkan belas kasihan kepada anda dan ingin sekali menerima anda kembali.

Bagaimana pula jika anda berasa bahawa dosa anda terlalu serius atau terlalu banyak? Adakah Yehuwa akan mengampuni anda? Perhatikanlah jemputan Yehuwa di Yesaya 1:18. Yehuwa berkata, “Marilah kita selesaikan perkara ini. Walaupun kamu merah marak kerana dosa kamu, Aku akan mencuci kamu sehingga menjadi putih seperti salji.” Ya, Yehuwa dapat mencuci dosa yang bagaikan merah marak sehingga menjadi putih.

Yehuwa tidak mahu anda terus dibelenggu perasaan bersalah. Bagaimanakah anda boleh mendapat kelegaan hati daripada pengampunan Yehuwa serta hati nurani yang bersih? Perhatikan dua langkah yang telah diambil oleh Raja Daud. Pertama, dia berkata, ‘Aku mengambil keputusan untuk mengakui dosaku kepada Yehuwa.’ (Mazmur 32:5) Ingatlah, Yehuwa telah menjemput anda untuk menghampiri-Nya dalam doa dan ‘menyelesaikan perkara’ dengan-Nya. Terimalah jemputan itu. Akuilah dosa anda dan luahkanlah isi hati anda kepada-Nya. Pengalaman Daud meyakinkan dia untuk berdoa, “Bersihkanlah aku daripada dosaku. . . . Hati yang remuk dan sesal, akan Engkau terima.”​—Mazmur 51:419.

Kedua, Daud menerima bantuan daripada nabi Natan, wakil yang dilantik Tuhan. (2 Samuel 12:13) Hari ini, Yehuwa menggunakan para penatua yang terlatih untuk membantu orang yang bertaubat agar dapat memulihkan hubungan mereka dengan-Nya. Apabila anda meminta bantuan para penatua, mereka akan menggunakan ayat Bible dan berdoa untuk melegakan hati anda, mengatasi perasaan negatif anda, serta membantu anda sembuh secara rohani.​—Yakobus 5:14-16.

Yehuwa ingin anda menikmati kelegaan daripada hati nurani yang bersih

“Berbahagialah Orang yang Dosa Mereka Telah Diampunkan”

Anda mungkin berasa susah untuk mengakui dosa anda kepada Yehuwa dan mendapatkan bantuan daripada para penatua. Sebenarnya, Daud pun pernah berasa sedemikian. Dia ‘tidak mengakui dosanya’ untuk suatu jangka masa tertentu. (Mazmur 32:3) Namun, dia memperoleh manfaat setelah mengakui dosanya dan membetulkan jalan hidupnya.

Daud memperoleh semula sukacitanya, dan inilah manfaat terbesar yang dia nikmati. Dia menulis, “Berbahagialah orang yang dosa mereka telah diampunkan, yang kesalahan mereka telah dimaafkan.” (Mazmur 32:1) Dia juga berdoa, ‘Tolonglah aku berkata-kata, ya Yehuwa, lalu aku akan memberi Engkau pujian.’ (Mazmur 51:17) Daud berjaya mengatasi perasaan bersalah, dan dia amat menghargai pengampunan Yehuwa. Hasilnya, dia didorong untuk memberitahu orang lain tentang Yehuwa.

Yehuwa ingin anda menikmati kelegaan daripada hati nurani yang bersih. Dia juga ingin anda memberitahu orang tentang Dia dan tujuan-Nya, bukan dengan hati yang dibebani perasaan bersalah, tetapi dengan keikhlasan hati dan sukacita yang mendalam. (Mazmur 65:2-5) Ingatlah jemputan Yehuwa untuk berpaling kepada-Nya “supaya dosa kamu dihapuskan. Dengan itu, Yehuwa sendiri akan menyegarkan kamu.”​—Kisah 3:19.

Inilah yang berlaku kepada Martha. Dia berkata, “Anak saya selalu menghantar majalah Menara Pengawal dan Awake! kepada saya. Secara beransur-ansur, saya seperti berkenalan semula dengan Yehuwa. Perkara yang paling susah bagi saya untuk kembali adalah meminta pengampunan Yehuwa atas dosa-dosa yang telah saya lakukan. Akhirnya, saya berdoa kepada Yehuwa dan merayu agar Dia mengampuni saya. Tidak sangka, selepas 40 tahun, saya masih sempat kembali kepada Yehuwa. Pengalaman saya membuktikan bahawa orang yang sudah lama meninggalkan Yehuwa masih berpeluang menyembah-Nya dan kembali berada di bawah naungan kasih Tuhan.”