Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 9

Hasil Kerja Penyebaran—Ladang Sudah Menguning dan Siap untuk Dituai

Hasil Kerja Penyebaran—Ladang Sudah Menguning dan Siap untuk Dituai

FOKUS BAB INI

Yehuwa membuat benih-benih kebenaran bertumbuh

1, 2. (a) Mengapakah murid-murid Yesus tidak memahami kata-katanya? (b) Tuaian apakah yang dimaksudkan oleh Yesus?

 “LIHATLAH, ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai,” kata Yesus kepada murid-muridnya. Namun, mereka tidak memahami apa yang dikatakan oleh Yesus. Mereka memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Yesus, tetapi apa yang terbentang di depan mata mereka ialah ladang barli yang menghijau. Memandangkan biji-biji barli itu baru bercambah, mereka mungkin tertanya-tanya, “Masih ada beberapa bulan lagi sebelum musim menuai tiba. Tuaian apakah yang dimaksudkannya?”​—Yoh. 4:35.

2 Namun, Yesus bukannya bercakap tentang tuaian yang sebenar. Dia sedang mengajar murid-muridnya dua hal penting tentang tuaian rohani, atau kerja “menuai” orang. Apakah dua hal itu? Mari kita bincangkan catatan itu dengan lebih terperinci.

Dua Pengajaran yang Penting tentang Tuaian Rohani

3. (a) Apakah yang mungkin mendorong Yesus untuk berkata, “Ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai”? (b) Bagaimanakah Yesus menjelaskan kata-katanya?

3 Yesus telah mengucapkan kata-kata itu kepada murid-muridnya pada hujung tahun 30 M. Ketika itu, mereka berada dekat Sikhar, sebuah pekan di Samaria. Semasa murid-murid Yesus masuk ke pekan itu, Yesus duduk berhampiran sebuah perigi. Di perigi itu Yesus berkongsi kebenaran rohani dengan seorang wanita. Wanita itu segera memahami pentingnya ajaran Yesus. Ketika murid-murid Yesus kembali, wanita itu bergegas ke Sikhar untuk memberitahu jiran-jirannya tentang apa yang dipelajarinya. Ramai orang berminat setelah mendengar laporannya, dan mereka segera ke perigi itu untuk mencari Yesus. Semasa Yesus nampak ramai orang Samaria datang dari jauh ke arahnya, mungkin pada masa itulah dia berkata, “Lihatlah, ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai.” Kemudian, Yesus menjelaskan bahawa tuaian itu ialah tuaian rohani dengan berkata, “Penuai . . . sedang mengumpulkan hasil tuaian, iaitu orang yang akan menerima kehidupan kekal.”​—Yoh. 4:5-30, 36.

4. (a) Apakah dua pengajaran tentang tuaian rohani yang diajarkan oleh Yesus? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

4 Apakah dua pengajaran penting yang ditegaskan oleh Yesus tentang tuaian rohani? Pertama, kerja itu harus dilakukan dengan segera. Dengan mengatakan bahawa “ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai,” Yesus sedang menyeru para pengikutnya untuk mengambil tindakan. Dia juga menambah, “Penuai sudah pun menerima upah.” Ya, masa menuai sudah bermula dan tuaian harus dikumpulkan dengan segera! Kedua, para pekerja bersukacita. Yesus mengatakan bahawa penabur benih dan penuai akan “bersukacita bersama-sama.” (Yoh. 4:35b, 36) Yesus pasti bersukacita apabila ‘banyak orang Samaria beriman kepadanya.’ Begitu juga, murid-muridnya pasti menikmati sukacita yang besar semasa mereka menyertai kerja menuai dengan sepenuh jiwa. (Yoh. 4:39-42) Catatan itu sangat penting bagi kita, kerana kata-kata Yesus menggambarkan apa yang berlaku sekarang, iaitu ketika tuaian rohani yang paling besar sedang berlangsung. Bilakah masa untuk menuai bermula? Siapakah yang menyertainya? Apakah hasilnya?

Raja Kita Mengetuai Kerja Menuai yang Terbesar

5. Siapakah yang mengetuai kerja menuai orang di serata dunia, dan bagaimanakah penglihatan Yohanes menunjukkan bahawa kerja itu harus dijalankan dengan segera?

5 Dalam penglihatan yang diberikan kepada rasul Yohanes, Yehuwa menyingkapkan bahawa Dia telah melantik Yesus untuk memimpin kerja menuai orang di serata dunia. (Baca Wahyu 14:14-16.) Dalam penglihatan ini, Yesus memakai mahkota dan memegang sebilah sabit. “Mahkota emas” di atas kepalanya menunjukkan bahawa dia sedang memerintah sebagai Raja. “Sabit yang tajam” dalam tangannya menunjukkan bahawa dia ialah Penuai. Melalui malaikat, Yehuwa berfirman, “Tuaian di bumi sudah masak.” Dengan itu, Yehuwa menegaskan bahawa kerja itu harus dijalankan dengan segera. Sesungguhnya, “masa menuai sudah tiba,” dan kerja itu tidak boleh ditangguhkan! Semasa Tuhan berfirman, “Gunakanlah sabitmu,” Yesus mengayunkan sabitnya ke bumi, lalu tuaian, iaitu orang di bumi, dikumpulkan. Penglihatan itu mengingatkan kita sekali lagi bahawa “ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai.” Adakah penglihatan itu membantu kita mengenal pasti bila kerja menuai orang di serata dunia bermula? Sudah pasti!

6. (a) Bilakah “musim menuai” bermula? (b) Bilakah kerja mengumpulkan “tuaian di bumi” bermula? Jelaskan.

6 Penglihatan Yohanes dalam Wahyu bab 14 menggambarkan Yesus sebagai Penuai yang memakai mahkota. (Ayat 14) Daripada hal itu, kita tahu bahawa pelantikannya sebagai Raja pada tahun 1914 sudah pun berlalu. (Dan. 7:13, 14) Tidak lama selepas itu, Yesus disuruh memulakan kerja menuai. (Ayat 15) Turutan peristiwa yang sama juga ditunjukkan dalam perumpamaan Yesus tentang kerja menuai gandum. Yesus berkata, “Musim menuai ialah penghujung sistem dunia ini.” Maka, musim menuai dan penghujung sistem dunia ini bermula pada masa yang sama​—tahun 1914. Tetapi kerja menuai tidak bermula pada tahun itu. Yesus menyatakan bahawa pemilik tuaian akan menyuruh penuai untuk memulakan kerja menuai “pada musim menuai.” (Mat. 13:30, 39) Apabila kita menoleh ke belakang dan meninjau apa yang berlaku, kita dapat melihat bahawa kerja menuai tidak bermula sebaik sahaja Yesus mula memerintah sebagai Raja pada tahun 1914. Sebaliknya, kerja itu bermula beberapa tahun kemudian. Dari tahun 1914 hingga awal tahun 1919, Yesus telah memurnikan para pengikutnya yang terurap. (Mal. 3:1-3; 1 Ptr. 4:17) Kemudian pada tahun 1919, barulah kerja mengumpulkan “tuaian di bumi” bermula. Tanpa berlengah-lengah, Yesus menggunakan hamba yang setia yang baru dilantik untuk membantu saudara saudari kita sedar bahawa kerja penyebaran mesti segera dilaksanakan. Perhatikan apa yang berlaku.

7. (a) Apakah yang membantu saudara saudari kita untuk memahami pentingnya kerja penyebaran? (b) Saudara saudari kita digalakkan untuk melakukan apa?

7 Pada bulan Julai 1920, majalah The Watch Tower menyatakan, “Setelah mengkaji Bible, jelaslah bahawa [sidang] diberikan penghormatan yang besar untuk menyampaikan berita mengenai Kerajaan Tuhan.” Misalnya, nubuat Yesaya menyedarkan saudara saudari kita bahawa berita tentang Kerajaan Tuhan harus dikhabarkan ke seluas dunia. (Yes. 49:6; 52:7; 61:1-3) Mereka tidak tahu bagaimana tugas itu akan dilaksanakan, tetapi mereka yakin bahawa Yehuwa akan membuka jalan untuk mereka. (Baca Yesaya 59:1.) Setelah mempunyai pemahaman yang lebih jelas tentang pentingnya kerja penyebaran, saudara saudari kita digalakkan untuk menggandakan usaha mereka dalam kerja ini. Apakah reaksi mereka?

8. Pada tahun 1921, apakah dua fakta tentang kerja penyebaran yang difahami oleh saudara saudari kita?

8 Pada bulan Disember 1921, majalah The Watch Tower membuat pengumuman berikut: “Tahun ini paling berhasil; berbanding tahun-tahun yang lalu, paling ramai orang telah mendengar berita tentang kebenaran pada tahun 1921.” Majalah itu menyambung, “Masih ada banyak kerja untuk dilakukan. . . . Mari kita melakukannya dengan sukacita.” Kata-kata itu menunjukkan bahawa saudara saudari kita memahami dua fakta penting tentang kerja penyebaran yang diajarkan oleh Yesus kepada para rasulnya: Kerja itu harus dilakukan dengan segera, dan para pekerja melakukannya dengan sukacita.

9. (a) Apakah hasil yang diraih daripada usaha saudara saudari kita dalam kerja penyebaran? Pada tahun 1954, apakah yang dinyatakan dalam majalah The Watchtower tentang kerja menuai? (b) Huraikan peningkatan bilangan penyiar sepanjang 50 tahun yang lalu. (Lihat carta “ Peningkatan Sedunia.”)

9 Pada tahun 1930-an, saudara saudari kita telah memahami bahawa kumpulan besar yang terdiri daripada biri-biri lain akan mendengar berita tentang Kerajaan Tuhan. Selepas itu, usaha untuk menjalankan kerja penyebaran telah digandakan lagi. (Yes. 55:5; Yoh. 10:16; Why. 7:9) Apakah hasilnya? Jumlah orang yang menyebarkan berita Kerajaan Tuhan bertambah dari 41,000 orang pada tahun 1934 kepada 500,000 orang pada tahun 1953! The Watchtower terbitan 1 Disember 1954 membuat kesimpulan ini: “Kerja menuai di seluas dunia dapat dilaksanakan dengan adanya daya aktif Yehuwa dan kuasa Firman-Nya.” a​—Za. 4:6.

 

PENINGKATAN SEDUNIA

Negara

1962

1987

2013

Australia

15,927

46,170

66,023

Brazil

26,390

216,216

756,455

Perancis

18,452

96,954

124,029

Itali

6,929

149,870

247,251

Jepun

2,491

120,722

217,154

Mexico

27,054

222,168

772,628

Nigeria

33,956

133,899

344,342

Filipina

36,829

101,735

181,236

Amerika Syarikat

289,135

780,676

1,203,642

Zambia

30,129

67,144

162,370

 

BILANGAN PELAJAR BIBLE YANG SEMAKIN BANYAK

1950

234,952

1960

646,108

1970

1,146,378

1980

1,371,584

1990

3,624,091

2000

4,766,631

2010

8,058,359

Hasil Kerja Menuai​—Digambarkan dengan Jelas

10, 11. Apakah aspek-aspek pertumbuhan benih yang ditonjolkan dalam perumpamaan tentang biji sawi?

10 Beberapa perumpamaan Yesus tentang Kerajaan Tuhan telah menggambarkan hasil yang akan diraih daripada kerja menuai. Mari kita bincangkan perumpamaan tentang biji sawi dan ragi. Kita akan mengkaji bagaimana kata-kata Yesus dalam dua perumpamaan ini menjadi kenyataan pada hari-hari terakhir.

11 Perumpamaan tentang biji sawi. Seorang lelaki menanam biji sawi. Biji itu kemudiannya bertumbuh menjadi sebatang pokok yang menjadi tempat naungan burung. (Baca Matius 13:31, 32.) Apakah aspek-aspek pertumbuhan benih yang ditonjolkan dalam perumpamaan ini? (1) Kadar pertumbuhan yang menakjubkan. Biji sawi, yang merupakan “benih yang terkecil,” menjadi sebatang pokok yang mempunyai ‘dahan yang besar.’ (Mrk. 4:31, 32) (2) Pertumbuhan pasti berlaku. Yesus tidak berkata, “Biji sawi itu mungkin tumbuh.” Sebaliknya dia mengatakan bahawa ‘biji sawi yang ditanam itu bertumbuh.’ Tiada apa-apa yang dapat menghalang pertumbuhannya. (3) Pokok yang bertumbuh itu menarik pelawat dan menyediakan tempat tinggal. “Dahannya yang besar menjadi naungan dan tempat tinggal bagi burung-burung di langit.” Bagaimanakah ketiga-tiga aspek ini menggambarkan tuaian rohani yang berlangsung pada zaman moden?

12. Apakah kaitan antara perumpamaan biji sawi dengan kerja menuai hari ini? (Lihat juga carta “ Bilangan Pelajar Bible yang Semakin Banyak.”)

12 (1) Kadar pertumbuhan: Perumpamaan itu menggambarkan bagaimana berita baik disebarkan dengan semakin luas, dan bagaimana sidang Kristian bertumbuh dengan pesat. Sejak tahun 1919, para penuai yang bersemangat dikumpulkan ke dalam sidang yang telah dipulihkan secara rohani. Bilangan penuai pada masa itu sedikit, tetapi angkanya meningkat dengan laju. Pertumbuhan sidang dari awal abad ke-20 sehingga hari ini cukup luar biasa. (Yes. 60:22) (2) Pertumbuhan pasti berlaku: Pertumbuhan sidang Kristian tidak dapat dihalang. Biarpun tentangan musuh seperti batu yang bertimbun-timbun di atas benih kecil itu, benih tersebut terus bertumbuh dan menolak semua halangan ke tepi. (Yes. 54:17) (3) Tempat tinggal: “Burung-burung di langit” yang mencari tempat tinggal di pokok itu melambangkan jutaan orang yang berhati jujur dari kira-kira 240 negara. Mereka telah menyambut berita Kerajaan Tuhan dan menyertai sidang Kristian. (Yeh. 17:23) Di situ mereka diberi makanan rohani. Mereka juga disegarkan dan dilindungi secara rohani.​—Yes. 32:1, 2; 54:13.

Perumpamaan tentang biji sawi menunjukkan bahawa sidang menjadi tempat berteduh dan tempat perlindungan bagi ahli-ahlinya (Lihat perenggan 11, 12)

13. Apakah aspek-aspek pertumbuhan yang ditonjolkan dalam perumpamaan tentang ragi?

13 Perumpamaan tentang ragi. Setelah seorang wanita mencampurkan sedikit ragi dengan tepung, seluruh adunan itu naik. (Baca Matius 13:33.) Apakah aspek-aspek pertumbuhan yang ditonjolkan dalam perumpamaan tersebut? (1) Pertumbuhan menyebabkan perubahan. Ragi itu bertindak “sehingga seluruh adunan itu naik.” (2) Pertumbuhan itu sangat meluas. Ragi itu membuat kesemua “10 kilogram tepung” itu naik. Bagaimanakah dua aspek ini menggambarkan tuaian rohani yang berlangsung pada zaman moden?

14. Apakah kaitan perumpamaan tentang ragi dengan kerja menuai dewasa ini?

14 (1) Pertumbuhan menyebabkan perubahan: Ragi itu melambangkan berita tentang Kerajaan Tuhan, dan adunan tepung itu melambangkan umat manusia. Adunan tepung yang dicampurkan dengan ragi akan berubah. Begitu juga, apabila seseorang menyambut berita tentang Kerajaan Tuhan, hatinya akan terdorong untuk membuat perubahan. (Rm. 12:2) (2) Pertumbuhan itu sangat meluas: Ragi yang tersebar dalam adunan tepung melambangkan berita tentang Kerajaan Tuhan yang tersebar dalam kalangan manusia. Ragi akan bertindak balas dengan tepung sehingga tersebar ke seluruh adunan itu. Begitu juga, berita tentang Kerajaan Tuhan telah tersebar “ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Aspek ini juga menunjukkan bahawa walaupun kita tidak dapat menginjil secara terbuka di sesetengah negara kerana kerja kita diharamkan, berita baik masih akan tersebar.

15. Bagaimanakah kata-kata di Yesaya 60:5, 22 menjadi kenyataan? (Lihat juga kotak “ Tiada Apa-apa yang Mustahil bagi Yehuwa” pada muka surat 105, dan “ Bagaimana ‘yang Terkecil Menjadi Bangsa yang Kuat’” pada muka surat 108-109.)

15 Sekitar 800 tahun sebelum Yesus menceritakan dua perumpamaan itu, Yehuwa telah menggambarkan betapa luasnya tuaian rohani yang akan dijalankan pada zaman moden dan betapa gembiranya para penuai. b Tuhan telah menggunakan kata-kata yang indah untuk menunjukkan bagaimana orang dari “negeri jauh” akan berduyun-duyun ke organisasi-Nya. Kepada baki kaum terurap di bumi, Yehuwa berfirman, “Engkau akan melihat hal itu lalu wajahmu berseri-seri, engkau akan terharu dan berbesar hati. Harta bangsa-bangsa akan dibawa kepadamu; kekayaan dari seberang laut akan mengalir kepadamu.” (Yes. 60:1, 4, 5, 9) Kata-kata itu memang telah menjadi kenyataan! Apabila hamba-hamba Yehuwa yang telah lama berkhidmat melihat bagaimana bilangan penyiar di kawasan mereka bertambah dari bilangan yang kecil sehingga menjadi beribu-ribu orang, mereka sesungguhnya merasai kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Umat Yehuwa Ada Sebab untuk Bersukacita

16, 17. Apakah salah satu sebab “penabur benih dan penuai dapat bersukacita bersama-sama”? (Lihat juga kotak “ Dua Risalah yang Menyentuh Hati Dua Insan di Amazon.”)

16 Sebelum ini, kita telah memperhatikan kata-kata Yesus yang berikut: “Penuai . . . sedang mengumpulkan hasil tuaian, iaitu orang yang akan menerima kehidupan kekal. Dengan itu, penabur benih dan penuai dapat bersukacita bersama-sama.” (Yoh. 4:36) Mengapakah kita dapat “bersukacita bersama-sama” dalam kerja menuai yang dijalankan di serata dunia? Perhatikan tiga hal yang berikut.

17 Pertama, kita bersukacita apabila kita melihat Yehuwa memberkati kerja menuai. Semasa kita menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan, kita menanam benih. (Mat. 13:18, 19) Semasa kita membantu orang menjadi murid Kristus, kita menuai hasilnya. Semasa kita melihat bagaimana Yehuwa menyebabkan benih Kerajaan Tuhan “bercambah dan bertumbuh tinggi,” kita semua berasa kagum dan sangat bersukacita. (Mrk. 4:27, 28) Sesetengah benih yang kita tabur bercambah pada kemudian hari dan dituai oleh orang lain. Anda mungkin mempunyai pengalaman yang serupa dengan Joan, seorang saudari di Britain yang dibaptis 60 tahun yang lalu. Dia berkata, “Saya pernah berjumpa dengan beberapa orang yang memberitahu saya bahawa saya telah menanam benih dalam hati mereka semasa saya menginjil kepada mereka bertahun-tahun yang lalu. Tanpa pengetahuan saya, Saksi-Saksi lain telah membantu mereka mempelajari Bible dan menjadi hamba Yehuwa. Saya bersukacita kerana benih yang saya tanam telah bertumbuh dan dituai.”​—Baca 1 Korintus 3:6, 7.

18. Bagaimanakah ayat di 1 Korintus 3:8 membantu kita untuk bersukacita?

18 Kedua, kita akan terus bekerja dengan sukacita jika kita mengingat kata-kata Paulus yang berikut: “Setiap orang akan menerima ganjaran menurut kerja masing-masing.” (1 Kor. 3:8) Yehuwa memberikan ganjaran kepada seseorang kerana orang itu bekerja dengan keras dan bukannya kerana hasil yang diraihnya lumayan. Bagi saudara saudari yang menginjil di kawasan yang penduduknya kurang berminat, jaminan ini pasti meneguhkan hati mereka! Dalam mata Tuhan, setiap Saksi yang menyertai kerja menanam dengan sepenuh hati sedang “menghasilkan banyak buah,” dan itulah sebabnya mereka harus bersukacita.​—Yoh. 15:8; Mat. 13:23.

19. (a) Apakah kaitan nubuat Yesus di Matius 24:14 dengan sukacita kita? (b) Apakah yang harus kita ingat meskipun kita tidak berjaya membantu orang lain untuk menjadi murid Yesus?

19 Ketiga, kita bersukacita kerana apabila kita menginjil, nubuat Yesus menjadi kenyataan. Semasa rasul-rasul bertanya kepada Yesus, “Apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?” Yesus memberitahu mereka bahawa salah satu ciri bagi tanda kehadirannya ialah kerja penyebaran yang dijalankan di serata dunia. Adakah dia memaksudkan kerja menjadikan orang muridnya? Tidak. Dia berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa.” (Mat. 24:3, 14) Ya, kerja penyebaran, iaitu kerja menanam benih, ialah satu ciri daripada tanda kehadiran Kristus. Oleh itu, semasa kita menyebarkan berita baik, ingatlah bahawa biarpun kita tidak berjaya membantu orang menjadi murid Yesus, kita sudah berjaya memberikan kesaksian. c Tidak kira apa pun reaksi orang, kita mempunyai sebab yang baik untuk bersukacita, kerana kita sedang melakukan kerja yang dinubuatkan oleh Yesus, dan kita diberi penghormatan untuk menjadi “rakan sekerja Tuhan.”​—1 Kor. 3:9.

“Di Seluruh Dunia”

20, 21. (a) Bagaimanakah kata-kata di Maleakhi 1:11 menjadi kenyataan pada hari ini? (b) Berkenaan kerja menuai, apakah tekad anda, dan mengapa?

20 Pada abad pertama, Yesus membantu rasul-rasulnya sedar bahawa kerja menuai harus dijalankan dengan segera. Sejak tahun 1919, Yesus telah membantu para pengikutnya pada zaman moden untuk menyedari kebenaran yang sama. Hasilnya, umat Tuhan telah menggandakan usaha mereka dalam kerja menuai. Kerja itu tidak dapat dihalang. Seperti yang dinubuatkan oleh nabi Maleakhi, kerja penyebaran kini dijalankan “di seluruh dunia.” (Mal. 1:11) Tidak kira di mana pun, penabur dan penuai di seluruh dunia bekerja dan bersukacita bersama-sama. Dari masa matahari terbit hingga masa matahari terbenam, penabur dan penuai di seluruh dunia bekerja keras tanpa berlengah-lengah.

21 Apabila kita menoleh kira-kira 100 tahun ke belakang dan melihat bagaimana hamba-hamba Tuhan telah bertambah daripada sekumpulan kecil orang sehingga menjadi “bangsa yang kuat,” kita sememangnya “terharu dan berbesar hati.” (Yes. 60:5, 22) Semoga rasa sukacita itu dan kasih kita kepada Yehuwa, iaitu “Pemilik tuaian,” menggerakkan kita semua agar berusaha untuk menyempurnakan kerja menuai yang terbesar dalam sejarah!​—Luk. 10:2.

a Untuk maklumat lanjut tentang hasil kerja menuai dari tahun 1919 hingga tahun 1992, kami menggalakkan anda untuk membaca buku Jehovah’s Witnesses​—Proclaimers of God’s Kingdom, muka surat 425-520.

b Untuk maklumat lanjut tentang nubuat ini, lihat Isaiah’s Prophecy​—Light for All Mankind II, muka surat 303-320.

c Kebenaran yang penting itu telah difahami oleh Pelajar Bible masa awal. Zion’s Watch Tower terbitan 15 November 1895, menyatakan, “Biarpun hanya sedikit gandum dapat dikumpulkan, sekurang-kurangnya kesaksian yang besar demi kebenaran dapat diberikan. . . . Semua orang dapat memberitakan injil.”