Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 13

Raja-Raja Baik dan Raja-Raja Jahat

Raja-Raja Baik dan Raja-Raja Jahat

Kerajaan Israel berpecah belah. Banyak raja memerintah orang Israel dan kebanyakan daripada mereka tidak setia kepada Yehuwa. Yerusalem dimusnahkan oleh orang Babilon

SEPERTI yang telah dinubuatkan oleh Yehuwa, kerajaan Israel berpecah belah selepas Salomo mengabaikan penyembahan sejati. Penggantinya ialah anak lelakinya yang bernama Rehabeam. Dia merupakan seorang raja yang zalim. Oleh itu, 10 suku bangsa Israel memberontak dan membentuk kerajaan Israel di utara. Baki dua suku bangsa Israel tetap setia kepada keturunan diraja Daud di Yerusalem. Mereka membentuk kerajaan Yehuda di selatan.

Kedua-dua kerajaan ini mengalami banyak kesulitan dan sering berada dalam keadaan yang tidak tenteram. Penyumbang utama kepada keadaan ini ialah raja-raja mereka yang tidak setia dan tidak taat kepada Tuhan. Kerajaan Israel mengalami lebih banyak kesulitan daripada kerajaan Yehuda kerana raja-raja kerajaan Israel menggalakkan penyembahan palsu dari mula-mula lagi. Nabi Elia dan Elisa melakukan banyak mukjizat yang menakjubkan. Malah, kedua-dua nabi itu telah menghidupkan semula orang yang telah mati. Namun begitu, penduduk kerajaan Israel tetap berbalik semula kepada kehidupan mereka yang jahat. Akhirnya, Tuhan mengizinkan orang Asyur untuk membinasakan kerajaan utara.

Kerajaan Yehuda bertahan lebih lama daripada kerajaan Israel. Lebih daripada 100 tahun selepas kerajaan Israel dibinasakan, kerajaan Yehuda juga dihukum oleh Tuhan. Hanya beberapa orang raja Yehuda yang menyambut baik amaran yang diberikan oleh nabi-nabi Tuhan dan mencuba membimbing penduduk di negeri mereka untuk kembali kepada penyembahan Yehuwa. Misalnya, Raja Yosia mula membersihkan penyembahan palsu di kerajaan Yehuda dan memulihkan Rumah Yehuwa. Apabila naskhah asli Hukum Tuhan yang diberikan melalui Musa telah dijumpai, hati Yosia amat tersentuh; dia melipatgandakan usahanya untuk membawa perubahan di kerajaannya.

Malangnya, pengganti-pengganti Yosia tidak mengikut teladan baiknya. Maka, Yehuwa telah mengizinkan bangsa Babilon menawan Yehuda, dan memusnahkan Yerusalem dan Rumah Tuhan. Mereka yang tidak dibunuh dibuang negeri dan dibawa ke Babilon. Tuhan telah menubuatkan bahawa mereka akan dibuang negeri selama 70 tahun. Yehuda berada dalam keadaan terbiar sepanjang 70 tahun itu sehingga orang Israel diizinkan pulang ke tanah air mereka seperti yang telah dijanjikan oleh Tuhan.

Walau bagaimanapun, tidak ada raja lagi daripada jurai keturunan Daud yang akan memerintah sebagai raja sehingga kedatangan Penyelamat yang dijanjikan, iaitu Mesias. Kebanyakan raja yang telah memerintah di Yerusalem telah menunjukkan bahawa manusia yang tidak sempurna tidak layak untuk memerintah. Hanya Mesias sahaja yang benar-benar layak. Oleh itu, Yehuwa telah berkata tentang Mesias, “Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaannya tidak akan berakhir.”Lukas 1:33.

—Berdasarkan 1 Raja-Raja; 2 Raja-Raja; 2 Tawarikh bab 10 hingga bab 36; Yeremia 25:8-11.