Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 16

Ketibaan Mesias

Ketibaan Mesias

Yehuwa mengenal pasti Yesus dari Nasaret sebagai Mesias yang telah dijanjikan

ADAKAH Yehuwa akan membantu orang untuk mengenal pasti identiti Mesias? Ya. Mari kita lihat apa yang telah dilakukan oleh Tuhan. Kira-kira empat abad selepas Kitab Ibrani siap ditulis, seorang wanita muda yang bernama Maria menerima kunjungan yang amat mengejutkan. Maria tinggal di kota Nasaret, iaitu bahagian utara kawasan Galilea. Satu malaikat yang bernama Gabriel telah mengunjungi Maria lalu memberitahunya bahawa Tuhan akan menggunakan daya aktif-Nya, atau roh suci-Nya, untuk menyebabkan Maria melahirkan seorang anak lelaki, walaupun Maria masih seorang perawan. Anak ini akan menjadi Raja yang telah lama dijanjikan, iaitu Raja yang akan memerintah untuk selama-selamanya! Anak ini sebenarnya merupakan Anak Tuhan, yang nyawanya telah dipindahkan dari syurga ke dalam rahim Maria.

Maria menerima tugas yang menakjubkan itu dengan rendah hati. Tunangnya, seorang tukang kayu yang bernama Yusuf, mengahwini Maria selepas malaikat Tuhan menerangkan kepadanya sebab Maria hamil. Bagaimana pula dengan nubuat yang menyatakan bahawa Mesias akan dilahirkan di Betlehem? (Mikha 5:1) Jarak kota yang kecil itu ialah kira-kira 140 km dari kota Nasaret!

Seorang pemerintah Roma telah mengeluarkan arahan agar satu banci diambil. Semua orang dikehendaki mendaftar diri di kota kelahiran masing-masing. Nampaknya Yusuf dan Maria berasal dari Betlehem. Maka Yusuf membawa isterinya yang hamil ke sana. (Lukas 2:3) Maria melahirkan anaknya di dalam sebuah kandang, dan dia meletakkan anaknya dalam sebuah palung. Kemudian, Tuhan menghantar banyak malaikat untuk memberitahu penggembala-penggembala di lereng sebuah bukit bahawa anak yang baru dilahirkan itu merupakan Mesias yang telah dijanjikan, atau Kristus.

Selepas itu, orang lain juga akan memberi kesaksian bahawa Yesus merupakan Mesias yang telah dijanjikan. Nabi Yesaya telah menubuatkan bahawa seorang lelaki akan muncul untuk membuka jalan kepada kerja penting yang akan dilakukan oleh Mesias. (Yesaya 40:3) Pembuka jalan yang dimaksudkan itu ialah Yohanes Pembaptis. Apabila dia nampak Yesus, dia berseru, ‘Lihatlah Anak Bebiri Tuhan yang menghapus dosa dunia!’ Beberapa orang pengikut Yohanes mengikut Yesus dengan serta-merta. Salah seorang daripada mereka berkata, “Kami sudah berjumpa dengan Mesias!”Yohanes 1:29, 36, 41.

Kita mempunyai bukti lanjut. Apabila Yohanes membaptiskan Yesus, Yehuwa sendiri telah bercakap dari syurga. Melalui daya aktif-Nya, Dia melantik Yesus sebagai Mesias, lalu berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku.” (Matius 3:16, 17) Mesias yang dijanjikan itu akhirnya telah tiba!

Bilakah hal ini berlaku? Pada tahun 29 M, sebaik sahaja 483 tahun yang telah dinubuatkan oleh Daniel berakhir. Ya, ini merupakan sebahagian daripada bukti yang nyata yang menunjukkan bahawa Yesus ialah Mesias, atau Kristus. Tetapi, apakah mesej yang akan dihebahkannya semasa di bumi?

—Berdasarkan Matius bab 1 hingga bab 3; Markus bab 1; Lukas bab 2; Yohanes bab 1.