BAHAGIAN 4
Perjanjian Tuhan dengan Abraham
Abraham mentaati dan menaruh kepercayaan pada Tuhan. Yehuwa berjanji bahawa Dia akan memberkatinya dan melipatgandakan bilangan anak cucunya
KIRA-KIRA 350 tahun sudah berlalu sejak Banjir berlaku pada zaman Nuh. Abraham hidup di sebuah kota makmur yang dipanggil kota Ur; kini kota ini terletak di Iraq. Abraham ialah seorang lelaki yang mempunyai kepercayaan yang sangat kuat. Tetapi, sekarang imannya diuji.
Yehuwa menyuruh Abraham meninggalkan tanah airnya dan pergi ke sebuah negeri asing. Abraham tidak teragak-agak untuk mentaati kata-kata Tuhan. Dia membawa isterinya Sara, anak saudaranya Lot, dan hamba-hambanya bersamanya. Akhirnya, selepas perjalanan mereka yang jauh, mereka sampai di Kanaan. Di Kanaan, mereka tinggal di dalam khemah-khemah. Dalam perjanjian yang dibuat oleh Yehuwa kepada Abraham, Yehuwa berjanji bahawa Dia akan menjadikan keturunan Abraham sebuah bangsa yang besar, keturunannya akan memiliki negeri Kanaan, dan semua keluarga di bumi akan diberkati melaluinya.
Abraham dan Lot hidup makmur. Kawanan bebiri dan lembu mereka makin hari makin banyak. Dengan murah hati, Abraham mengizinkan Lot untuk memilih mana-mana kawasan yang diingininya. Lot memilih tanah yang subur di daerah Sungai Yordan dan dia tinggal berdekatan kota Sodom. Tetapi, penduduk Sodom tidak bermoral—mereka menentang Yehuwa dengan melakukan dosa-dosa yang menjijikkan.
Sekali lagi, Tuhan Yehuwa memberi kepastian kepada Abraham dengan menyatakan bahawa bilangan anak cucu Abraham akan menjadi banyak bagaikan bilangan bintang-bintang yang memenuhi langit. Abraham mempercayai janji Yehuwa. Namun begitu, isteri kesayangan Abraham, Sara masih tidak mempunyai anak. Kemudian, apabila Abraham berumur 99 tahun, dan Sara berumur hampir 90 tahun, Tuhan memberitahu Abraham bahawa dia dan isterinya akan dikurniakan seorang anak. Seperti apa yang telah dikatakan oleh Tuhan, Sara telah melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Ishak. Abraham mempunyai anak-anak yang lain juga, tetapi Penyelamat yang telah dijanjikan di Taman Eden akan datang daripada keturunan Ishak.
Sementara itu, Lot dan keluarganya tinggal di kota Sodom. Lot tidak berubah menjadi seperti penduduk di situ yang tidak bermoral; dia setia kepada Tuhan. Apabila Yehuwa membuat keputusan untuk membinasakan Sodom, Dia mengutus malaikat-Nya awal-awal lagi untuk memberi amaran kepada Lot tentang pembinasaan yang bakal menempuh. Malaikat itu menggesa Lot dan keluarganya untuk melarikan diri dari Sodom; mereka diarahkan supaya tidak menoleh ke belakang. Kemudian, Yehuwa menurunkan hujan belerang yang berapi ke atas Sodom dan satu lagi kota berdekatan yang penuh kejahatan, Gomora. Semua penduduk di situ telah dibinasakan. Lot dan kedua-dua anak perempuannya berjaya melarikan diri. Tetapi isteri Lot menoleh ke belakang, mungkin dengan rasa rindu akan harta benda yang ditinggalkannya. Akibat daripada keingkarannya, dia mati.