BAHAGIAN 20
Yesus Kristus Dibunuh
Yesus memulakan sambutan baru; dia dikhianati dan digantung mati pada sebatang tiang
SELEPAS menghabiskan tiga tahun setengah untuk menjalankan kerja penyebaran dan pengajaran, Yesus tahu bahawa tidak lama lagi, kehidupannya di bumi akan berakhir. Para pemimpin agama telah berkomplot untuk membunuhnya, tetapi mereka takut akan kekecohan yang mungkin ditimbulkan oleh orang ramai yang menyanjung Yesus sebagai seorang nabi. Sementara itu, Syaitan berjaya mempengaruhi salah seorang daripada 12 orang rasul Yesus, iaitu Yudas Iskariot, untuk mengkhianati Yesus. Para pemimpin agama telah menawarkan 30 keping wang perak kepada Yudas untuk mengkhianati Yesus.
Pada malam terakhir, Yesus mengumpulkan rasul-rasulnya untuk menyambut Perayaan Paska. Selepas Yudas meninggalkan mereka, Yesus memperkenalkan sambutan baru yang dikenali sebagai Perjamuan Malam Tuan. Dia mengambil roti, berdoa, lalu mengedarkan roti itu kepada baki 11 orang rasulnya. “Inilah tubuhku, yang diberikan untuk kamu,” kata Yesus. “Berbuatlah demikian untuk mengenang aku.” Dalam cara yang sama, dia juga mengambil secawan wain lalu berkata, “Cawan wain ini perjanjian [Tuhan] yang baru, yang disahkan dengan darahku.”
Banyak perkara yang ingin disampaikan oleh Yesus kepada para rasulnya pada malam itu. Dia memberi mereka satu hukum yang baru
Di Taman Getsemani, Yesus berlutut lalu berdoa kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh. Beberapa lama kemudian, sekumpulan askar yang bersenjata, imam-imam, dan beberapa orang yang lain sampai di sana untuk menahannya. Untuk menunjukkan Yesus kepada mereka, Yudas menghampiri Yesus lalu menciumnya. Semasa askar-askar itu menahan Yesus, rasul-rasulnya telah melarikan diri.
Di depan seluruh Majlis Agama Yahudi, Yesus menyatakan bahawa dia merupakan Anak Tuhan. Majlis Agama ini menganggap Yesus telah mengkufuri Tuhan dan patut dihukum mati. Yesus kemudiannya dibawa untuk berjumpa dengan seorang gabenor Roma yang bernama Pontius Pilatus. Walaupun dia mendapati Yesus tidak bersalah, dia masih menyerahkan Yesus kepada segerombolan orang yang memekik-mekik sambil menuntut supaya Yesus dibunuh.
Yesus dibawa ke Golgota dan dipakukan pada sebatang tiang. Secara mukjizat, siang hari menjadi gelap seperti malam. Lewat tengah hari itu, Yesus meninggal dan sebuah gempa bumi yang dahsyat berlaku. Tubuh Yesus diletakkan di dalam sebuah makam yang digali daripada batu besar. Adakah Yesus akan terus berada di dalam makam tersebut? Tidak. Mukjizat yang paling menakjubkan bakal berlaku!