Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 18

Haruskah Saya Membaktikan Diri kepada Tuhan dan Dibaptis?

Haruskah Saya Membaktikan Diri kepada Tuhan dan Dibaptis?

1. Apakah yang mungkin anda fikirkan setelah mempelajari buku ini?

ANDA telah mempelajari banyak kebenaran Bible daripada buku ini, contohnya janji Tuhan untuk memberi kita kehidupan kekal, keadaan orang mati, dan harapan pembangkitan. (Pengkhutbah 9:5; Lukas 23:43; Yohanes 5:28, 29; Wahyu 21:3, 4) Anda mungkin sudah mula menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa dan percaya bahawa mereka beribadat dengan cara yang betul. (Yohanes 13:35) Barangkali, anda sudah menjadi sahabat rapat Yehuwa dan membuat keputusan untuk menyembah-Nya. Jadi, anda mungkin berfikir, “Apakah langkah yang seterusnya?”

2. Mengapakah seorang lelaki Etiopia ingin dibaptis?

2 Seorang lelaki Etiopia pada zaman Yesus pernah memikirkan soalan yang sama. Beberapa lama selepas Yesus dibangkitkan, Filipus menginjil kepada lelaki itu dan membuktikan kepadanya bahawa Yesus ialah Mesias. Lelaki itu begitu tersentuh dengan kebenaran yang dipelajarinya dan segera berkata, “Lihat, di sini ada air! Apakah yang menghalang aku daripada dibaptis?”​—Kisah 8:26-36.

3. (a) Apakah perintah Yesus kepada para pengikutnya? (b) Bagaimanakah orang Kristian harus dibaptis?

3 Bible menunjukkan bahawa untuk menyembah Yehuwa, anda perlu dibaptis. Yesus memberitahu para pengikutnya, “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka.” (Matius 28:19) Yesus sendiri pun dibaptis. Pembaptisannya tidak dilakukan dengan memercikkan air ke atas kepalanya. Sebaliknya, seluruh tubuhnya dimasukkan ke dalam air. (Matius 3:16) Hari ini, orang Kristian yang dibaptis juga perlu dimasukkan atau dicelup sepenuhnya ke dalam air.

4. Pembaptisan anda menunjukkan apa?

4 Semasa dibaptis, anda menunjukkan bahawa anda benar-benar ingin menjadi sahabat Tuhan dan menyembah-Nya. (Mazmur 40:7, 8) Namun, apakah yang perlu anda lakukan agar boleh dibaptis?

PENGETAHUAN DAN IMAN

5. (a) Apakah yang perlu anda lakukan terlebih dahulu sebelum anda boleh dibaptis? (b) Mengapakah perjumpaan sangat penting?

5 Sebelum anda boleh dibaptis, anda mesti mengenal Yehuwa dan Yesus. Anda sudah mula berbuat demikian semasa mengkaji Bible. (Baca Yohanes 17:3.) Tetapi itu tidak cukup. Bible menyatakan bahawa anda mesti “dipenuhi dengan pengetahuan yang tepat” tentang kehendak Yehuwa. (Kolose 1:9) Dengan menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa, hubungan anda dengan Yehuwa akan bertambah erat. Itulah satu sebab yang penting untuk menghadiri perjumpaan secara tetap.​—Ibrani 10:24, 25.

Sebelum dibaptis, anda mesti mengkaji Bible

6. Seberapa banyakkah pengetahuan Bible yang anda perlukan untuk dibaptis?

6 Sudah pasti, Yehuwa tidak mewajibkan anda untuk mengetahui segala maklumat dalam Bible sebelum dibaptis. Lelaki Etiopia itu pun tidak perlu mengetahui segala-galanya untuk dibaptis. (Kisah 8:30, 31) Kita akan terus belajar tentang Tuhan buat selama-lamanya. (Pengkhutbah 3:11) Namun, sebelum dibaptis, anda perlu mengetahui dan menerima ajaran asas Bible.​—Ibrani 5:12.

7. Apakah hasilnya setelah anda mengkaji Bible?

7 Bible berkata, “Tanpa iman, tidak ada seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan.” (Ibrani 11:6) Jadi, anda perlu beriman sebelum dibaptis. Bible memberitahu kita bahawa pada zaman dahulu, setelah mendengar ajaran murid Yesus, sesetengah orang di kota Korintus “mula percaya kepada Yesus lalu dibaptis.” (Kisah 18:8) Begitu juga, setelah mengkaji Bible, anda dibantu untuk beriman kepada janji-janji Tuhan dan korban Yesus yang dapat menyelamatkan kita daripada dosa dan kematian.​—Yosua 23:14; Kisah 4:12; 2 Timotius 3:16, 17.

BERITAHULAH ORANG LAIN TENTANG KEBENARAN BIBLE

8. Apakah yang akan menggerakkan anda untuk memberitahu orang lain tentang hal yang anda pelajari?

8 Apabila anda semakin mengenali Bible dan merasai manfaatnya dalam kehidupan sendiri, iman anda akan bertambah kuat. Anda akan tergerak untuk memberitahu orang lain tentang hal yang anda pelajari. (Yeremia 20:9; 2 Korintus 4:13) Anda boleh memberitahu siapa?

Iman harus menggerakkan anda untuk memberitahu orang lain tentang kepercayaan anda

9, 10. (a) Mula-mulanya, anda boleh memberitahu siapa tentang hal yang anda belajar? (b) Apakah yang harus anda lakukan jika anda ingin menginjil bersama sidang?

9 Anda mungkin ingin memberitahu ahli keluarga, kawan, jiran, atau rakan kerja, tentang hal yang anda belajar. Usaha itu memang baik, tetapi lakukannya dengan sopan. Kemudian, apabila anda berasa bahawa anda sudah bersedia untuk menginjil bersama sidang, nyatakanlah keinginan anda kepada Saksi yang mengajar anda. Jika dia mendapati bahawa anda sudah bersedia, dan jika anda sedang hidup mengikut ajaran Bible, anda berdua akan berjumpa dengan dua orang penatua di sidang.

10 Semasa pertemuan itu, penatua-penatua akan memastikan bahawa anda memahami dan mempercayai ajaran Bible yang asas, hidup menurut ajaran Bible, dan benar-benar ingin menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Ingatlah bahawa penatua bertanggungjawab menjaga semua ahli sidang, termasuk anda. Jadi, janganlah takut untuk bercakap dengan mereka. (Kisah 20:28; 1 Petrus 5:2, 3) Selepas pertemuan itu, mereka akan memberitahu anda sama ada anda boleh menginjil bersama sidang atau tidak.

11. Mengapakah begitu penting untuk membuat perubahan sebelum menginjil bersama sidang?

11 Para penatua mungkin menjelaskan bahawa anda perlu membuat lebih banyak perubahan sebelum boleh menginjil bersama sidang. Mengapakah perubahan itu begitu penting? Apabila kita bercakap dengan orang lain tentang Tuhan, kita sedang mewakili-Nya. Jadi, cara hidup kita mesti memuliakan Tuhan.​—1 Korintus 6:9, 10; Galatia 5:19-21.

BERTAUBAT DAN BERPALING KEPADA TUHAN

12. Mengapakah semua orang perlu bertaubat?

12 Ada satu hal lagi yang mesti anda buat sebelum dibaptis. Rasul Petrus berkata, “Bertaubatlah, dan berpalinglah kepada Tuhan supaya dosa kamu dihapuskan.” (Kisah 3:19) Apakah maksud bertaubat? Maksudnya kita menyesali apa-apa kesalahan yang pernah kita lakukan. Contohnya, jika anda dahulunya hidup tidak bermoral, anda perlu bertaubat. Biarpun anda sentiasa berusaha berbuat baik selama ini, anda masih perlu bertaubat, kerana semua orang berdosa dan memerlukan pengampunan Tuhan.​—Roma 3:23; 5:12.

13. Apakah maksud ‘berpaling kepada Tuhan’?

13 Adakah menyesali kesalahan yang lampau sudah cukup? Tidak. Petrus berkata bahawa anda juga perlu ‘berpaling kepada Tuhan.’ Maksudnya anda perlu menolak perbuatan salah yang anda lakukan dahulu dan mula melakukan apa yang betul. Sebagai contoh, katakan anda sedang dalam perjalanan ke suatu tempat yang tidak pernah anda lawat. Tidak lama kemudian, anda mendapati bahawa anda telah mengikut jalan yang salah. Apakah yang akan anda lakukan? Sudah pasti anda akan memperlahankan kenderaan, berhenti, dan berpaling ke arah yang betul. Begitu juga, semasa mengkaji Bible, anda mungkin mendapati bahawa tabiat anda atau sesetengah perkara dalam kehidupan anda perlu diubah. Janganlah teragak-agak untuk berubah dan ‘berpaling’ kepada apa yang benar.

MEMBAKTIKAN DIRI

Sudahkah anda berjanji kepada Yehuwa bahawa anda akan menyembah-Nya?

14. Bagaimanakah anda membaktikan diri kepada Tuhan?

14 Satu lagi langkah yang penting sebelum anda boleh dibaptis ialah membaktikan diri kepada Yehuwa. Semasa membaktikan diri kepada Yehuwa, anda berdoa kepada-Nya dan berjanji bahawa anda akan menyembah-Nya sahaja dan menjadikan kehendak-Nya hal terpenting dalam kehidupan anda.​—Ulangan 6:15.

15, 16. Apakah yang menggerakkan seseorang untuk membaktikan diri kepada Tuhan?

15 Berjanji untuk menyembah Yehuwa sahaja sama seperti berjanji untuk menghabiskan seumur hidup bersama orang yang tercinta. Bayangkan seorang lelaki yang bercinta dengan seorang wanita. Apabila lelaki itu semakin mengenali wanita tersebut, dia semakin mencintainya dan ingin mengahwininya. Walaupun hal itu serius dan merupakan tanggungjawab besar, lelaki itu sudi melakukannya kerana dia mencintai wanita tersebut.

16 Apabila anda semakin mengenali Yehuwa, anda semakin mengasihi-Nya dan ingin melakukan yang terbaik untuk menyembah-Nya. Keinginan itu akan menggerakkan anda untuk berdoa kepada-Nya dan berjanji untuk menyembah-Nya. Bible menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang ingin mengikut Yesus mesti “menolak kepentingan sendiri.” (Markus 8:34) Maksudnya, anda akan mengutamakan perintah dan kehendak Yehuwa dan menganggapnya lebih penting daripada keinginan atau cita-cita sendiri.​—Baca 1 Petrus 4:2.

JANGAN TAKUT GAGAL

17. Mengapakah sesetengah orang tidak membaktikan diri kepada Yehuwa?

17 Sesetengah orang tidak membaktikan diri kepada Yehuwa. Mengapa? Ada yang takut bahawa mereka tidak dapat menunaikan janji sendiri lalu mengecewakan Yehuwa. Yang lain pula berfikir bahawa jika mereka tidak membaktikan diri, mereka tidak perlu bertanggungjawab kepada Yehuwa atas perbuatan sendiri.

18. Jika anda berasa takut bahawa anda mungkin mengecewakan Yehuwa, apakah yang dapat membantu anda?

18 Jika anda mengasihi Yehuwa, anda tidak perlu takut bahawa anda akan mengecewakan-Nya. Kasih itu akan membantu anda melakukan yang terbaik untuk menunaikan janji anda kepada-Nya. (Pengkhutbah 5:4; Kolose 1:10) Anda tidak akan berasa bahawa kehendak Yehuwa terlalu susah. Rasul Yohanes menulis, “Mengasihi Tuhan bererti mematuhi perintah-Nya. Perintah-Nya pun tidak membebankan.”​—1 Yohanes 5:3.

19. Mengapakah anda tidak perlu takut untuk membaktikan diri kepada Yehuwa?

19 Anda tidak perlu menjadi sempurna untuk membaktikan diri kepada Yehuwa. Dia tidak pernah menyuruh kita melakukan sesuatu yang di luar kemampuan kita. (Mazmur 103:14) Dia pasti membantu anda untuk melakukan apa yang benar. (Yesaya 41:10) Maka percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hati, dan “Dia akan meluruskan jalan hidupmu.”​—Amsal 3:5, 6.

MENYATAKAN IMAN ANDA DI HADAPAN UMUM

20. Selepas anda membaktikan diri kepada Tuhan, apakah langkah yang seterusnya?

20 Sudahkah anda bersedia membaktikan diri kepada Yehuwa? Selepas membaktikan diri, anda boleh mengambil langkah seterusnya, iaitu dibaptis.

21, 22. Bagaimanakah anda dapat menyatakan iman anda “di hadapan umum”?

21 Beritahulah koordinator badan penatua di sidang anda bahawa anda sudah membaktikan diri kepada Yehuwa dan ingin dibaptis. Dia akan mengaturkan beberapa orang penatua untuk membincangkan ajaran asas Bible bersama anda. Jika mereka mendapati anda sudah bersedia untuk dibaptis, mereka akan memaklumkan anda bahawa anda boleh dibaptis semasa perhimpunan atau konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa yang seterusnya. Di perhimpunan, seorang penceramah akan menjelaskan maksud pembaptisan. Kemudian, dia akan menanyakan dua soalan mudah kepada orang yang ingin dibaptis. Dengan menjawab soalan-soalan itu, anda sedang menyatakan iman anda “di hadapan umum.”​—Roma 10:10.

22 Selepas itu, anda akan dibaptis. Anda akan dimasukkan sepenuhnya ke dalam air. Pembaptisan menunjukkan kepada semua orang bahawa anda sudah membaktikan diri kepada Yehuwa dan sudah menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.

MAKSUD PEMBAPTISAN ANDA

23. Apakah maksud dibaptis “atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan”?

23 Yesus berkata bahawa murid-muridnya akan dibaptis “atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan.” (Baca Matius 28:19.) Maksudnya anda mengakui kedudukan dan kuasa Yehuwa, peranan Yesus dalam tujuan Tuhan, dan cara Tuhan menggunakan kuasa suci-Nya untuk melaksanakan kehendak-Nya.​—Mazmur 83:18; Matius 28:18; Galatia 5:22, 23; 2 Petrus 1:21.

Semasa dibaptis, anda menunjukkan bahawa anda ingin melakukan kehendak Tuhan

24, 25. (a) Apakah maksud pembaptisan? (b) Apakah yang akan kita bincang dalam bab yang terakhir?

24 Pembaptisan membawa makna yang sangat penting. Semasa anda dimasukkan ke dalam air, hal itu bermaksud cara hidup anda yang lama sudah mati atau ditinggalkan. Apabila anda keluar dari air, anda memulakan kehidupan baharu yang tertumpu kepada kehendak dan ibadat Yehuwa. Ingatlah, anda tidak membaktikan diri kepada manusia, organisasi, atau kerja. Anda telah membaktikan kehidupan anda kepada Yehuwa.

25 Pembaktian akan membantu anda menjadi sahabat rapat Tuhan. (Mazmur 25:14) Namun, hal itu tidak bermaksud bahawa seseorang akan diselamatkan hanya kerana dia sudah dibaptis. Rasul Paulus menulis, “Hendaklah setiap seorang daripada kamu berusaha supaya kamu diselamatkan. Teruslah melakukan hal itu dengan rasa takut dan hormat.” (Filipi 2:12) Pembaptisan hanyalah permulaan. Jadi, bagaimanakah anda dapat tetap menghampiri Yehuwa? Bab terakhir dalam buku ini akan menjawab soalan itu.