SOALAN 8
Apakah yang Perlu Saya Ketahui tentang Gangguan Seksual?
APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?
Sebelum Ann sempat menyedari apa yang berlaku, dia telah pun dilemparkan ke lantai. “Saya cuba melawannya. Saya menjerit, tetapi tiada bunyi yang keluar. Saya menolak, menendang, menumbuk, dan mencakarnya. Tiba-tiba, saya terasa tusukan pisau ke dalam tubuh saya. Saya tidak terdaya untuk buat apa-apa,” katanya.
Jika anda dalam situasi tersebut, apakah reaksi anda?
FIKIRLAH SEJENAK!
Anda mungkin berjaga-jaga semasa keluar pada waktu malam. Namun, perkara buruk masih boleh berlaku. Bible berkata, “Pelari yang pantas tidak selalu menang . . . dan orang yang handal tidak selalu memperoleh kedudukan yang tinggi.” Hal ini kerana perkara yang tidak diduga “boleh menimpa setiap orang.”—Pengkhutbah 9:11.
Seperti Ann, sesetengah anak muda juga diserang oleh orang yang tidak dikenali. Yang lain pula diganggu secara seksual oleh kenalan atau ahli keluarga. Semasa berusia 10 tahun, Natalie dicabul oleh seorang remaja yang tinggal berhampiran dengannya. Dia berkata, “Saya sangat takut dan malu. Pada mulanya, saya tidak berani beritahu orang tentang hal ini.”
ANDA TIDAK BERSALAH
Ann masih menyalahkan dirinya atas apa yang telah berlaku. Dia berkata, “Kejadian itu asyik bermain dalam fikiran saya. Saya rasa saya tidak melakukan sedaya upaya untuk melawannya. Hakikatnya, saya sangat takut dan tidak dapat buat apa-apa selepas ditusuk pisau. Tapi saya rasa, saya memang patut lakukan sesuatu pada masa itu.”
Natalie juga masih berasa bersalah atas kejadian yang menimpanya. Dia berkata, “Saya tidak sepatutnya mudah mempercayai orang lain. Ibu bapa saya kata, jika saya dan adik bermain di luar, kami mesti selalu bersama. Tetapi saya tidak ikut cakap mereka. Saya rasa sayalah yang beri dia peluang untuk ambil kesempatan terhadap saya. Saya rasa bersalah kerana kejadian itu membuat keluarga saya menderita. Inilah yang memedihkan hati saya.”
Adakah perasaan anda sama seperti Ann atau Natalie? Jika ya, ingatlah bahawa seseorang dirogol bukan kerana dia rela, tetapi kerana dipaksa. Sesetengah orang menganggap perkara itu tidak serius, malah ada pula yang menyalahkan mangsa rogol. Tetapi, tiada seorang pun yang patut mengalami perbuatan keji itu! Jika anda seorang mangsa, anda tidak bersalah!
Meskipun demikian, anda mungkin berasa susah untuk percaya bahawa anda tidak bersalah. Sesetengah mangsa tidak sanggup menceritakan apa yang berlaku. Mereka terus menyalahkan diri dan dibebani perasaan yang negatif. Tetapi, siapakah yang rugi jika anda berdiam diri? Demi kebaikan anda, janganlah pendamkan perasaan anda.
CERITAKAN KISAH ANDA
Bible memberitahu kita bahawa apabila Ayub berasa sangat sengsara, dia berkata, “Aku akan meluahkan kepahitan jiwaku.” (Ayub 10:1) Anda juga boleh berbuat demikian. Luahkanlah perasaan anda kepada orang yang anda percayai. Mereka dapat melegakan hati anda dan membantu anda menangani keperitan anda.
Ann mendapat manfaat selepas meluahkan perasaannya. Dia berkata, “Saya ceritakan hal ini kepada sahabat saya. Dia galakkan saya untuk bercakap dengan penatua sidang. Saya bersyukur kerana mengikut nasihatnya. Beberapa kali, para penatua berjumpa dengan saya. Mereka kata kejadian itu bukanlah salah saya. Saya langsung tidak bersalah.”
Natalie meluahkan apa yang berlaku kepada ibu bapanya. Dia berkata, “Mereka membantu saya dan galakkan saya untuk menceritakannya kepada mereka. Selepas itu, saya tidak lagi berasa begitu sedih dan marah.”
Doa juga membawa kelegaan kepada Natalie. Dia berkata, “Doa sangat membantu, terutamanya bila saya rasa susah untuk meluahkan perasaan saya kepada orang lain. Saya dapat cakap tentang apa-apa saja. Selepas itu, hati saya lebih tenang dan tenteram.”
Bible berkata bahawa ada “waktu untuk menyembuhkan” keperitan anda. (Pengkhutbah 3:3) Jagalah kesihatan anda dan bertumpu kepada hal-hal yang positif. Dapatkan rehat yang secukupnya. Yang terpenting, teruslah bersandar pada Tuhan Yehuwa yang dapat melegakan hati anda.—2 Korintus 1:3, 4.
JIKA ANDA CUKUP DEWASA UNTUK BERDATING
Jika anda seorang perempuan dan anda dipaksa untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral, katakan dengan tegas: “Jangan buat begitu!” atau “Jangan sentuh saya!” Janganlah takut untuk kehilangan teman lelaki anda. Jika dia berpisah dengan anda kerana hal ini, dia tidak layak bagi anda! Anda layak mendapat teman lelaki yang menghormati anda dan tubuh anda.
KUIZ GANGGUAN SEKSUAL
“Semasa di sekolah, budak lelaki suka tarik tali bra saya dan sebut hal yang tidak senonoh. Mereka cakap saya pasti lebih gembira jika saya tidur dengan mereka.”—Coretta.
Pada pendapat anda, adakah budak-budak lelaki itu sedang
-
Mengusik dia?
-
Mengurat dia?
-
Melakukan gangguan seksual?
“Semasa dalam bas, seorang budak lelaki cakap tentang hal yang lucah dan mula meraba saya. Saya pukul tangannya dan suruh dia pergi. Tetapi dia pandang saya macam saya ini orang gila.”—Candice.
Pada pendapat anda, adakah budak lelaki itu sedang
-
Mengusik dia?
-
Mengurat dia?
-
Melakukan gangguan seksual?
“Tahun lepas, ada seorang budak cakap dia suka saya. Dia asyik ajak saya keluar walaupun saya beritahu dia saya tidak mahu. Kadangkala dia meraba-raba tangan saya. Dia tidak berhenti meskipun saya sudah melarang dia. Pernah sekali, dia pukul punggung saya semasa saya sedang mengikat tali kasut.”—Bethany.
Pada pendapat anda, adakah budak lelaki itu sedang
-
Mengusik dia?
-
Mengurat dia?
-
Melakukan gangguan seksual?
Jawapan bagi ketiga-tiga soalan ini ialah C.
Apakah perbezaan antara gangguan seksual dengan perbuatan mengusik atau mengurat seseorang?
Gangguan seksual dilakukan oleh satu pihak sahaja. Perbuatan ini berterusan meskipun orang yang berbuat demikian disuruh untuk berhenti.
Gangguan seksual sangat berbahaya dan dapat mengakibatkan perbuatan seks yang lebih serius.