SOALAN 2
Kenapa Saya Terlalu Risau dengan Penampilan Saya?
APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?
Bayangkan situasi ini: Apabila Julia melihat cermin, dia berasa dirinya sangat gemuk. “Saya perlu kurangkan berat badan,” katanya, meskipun ibu bapa dan kawan-kawannya kata dia kurus macam lidi.
Baru-baru ini, Julia sanggup melakukan apa-apa sahaja supaya berat badannya turun beberapa kilogram. Dia mahu mengikat perut untuk beberapa hari . . .
Kalau anda ialah Julia, apakah yang akan anda lakukan?
FIKIRLAH SEJENAK!
Tidak salah untuk menjaga penampilan anda. Sebenarnya, Bible pun memuji penampilan beberapa orang seperti Abigail, Sara, Rahel, Yusuf, dan Daud. Malah, Bible menyebut Abisag sebagai seorang wanita yang “sangat cantik.”—1 Raja-Raja 1:4.
Namun, banyak remaja terlalu mementingkan penampilan mereka. Hal ini boleh menyebabkan masalah yang serius. Perhatikan laporan berikut:
-
Dalam satu kajian, 58 peratus gadis berasa bahawa mereka ada masalah berat badan, padahal hanya 17 peratus yang mempunyai masalah itu.
-
Menurut kajian lain, 45 peratus wanita yang mempunyai masalah kurang berat badan berasa mereka terlalu berat!
-
Dalam usaha untuk mengurangkan berat badan, beberapa remaja telah menjadi mangsa anoreksia, iaitu sejenis penyakit yang membuat mereka enggan makan sehingga kesihatan mereka terancam.
PERUBAHAN TERBAIK YANG DAPAT ANDA LAKUKAN!
Apa yang menentukan sama ada seseorang itu menarik atau tidak ialah keperibadiannya. Fikirkanlah Absalom, putera Raja Daud. Bible menyatakan,
“Tiada sesiapa pun yang lebih kacak daripada dia. Dari telapak kaki sampai ke hujung rambutnya, dia tidak ada cacat.”—2 Samuel 14:25.
Namun, pemuda ini sangat sombong, bercita-cita tinggi, dan licik! Bible tidak menggambarkan Absalom sebagai orang yang bersifat baik, tetapi sebagai orang yang tidak tahu malu, tidak setia, dan kuat berdendam.
Oleh itu, Bible memberi kita nasihat ini:
“Hendaklah kamu mengenakan keperibadian baru.”—Kolose 3:10.
“Janganlah menghias diri kamu dengan apa yang dapat dilihat oleh orang lain . . . Sebaliknya, hiaslah batin kamu.”—1 Petrus 3:3, 4.
Memang tidak salah untuk menjaga penampilan anda, tetapi apa yang jauh lebih penting ialah keperibadian anda. Orang akan lebih tertarik kepada sifat-sifat baik anda, dan bukan kepada bentuk badan anda yang menawan atau tegap! Seorang gadis yang bernama Felicia berkata, “Kecantikan memang dapat menarik perhatian orang. Tetapi akhirnya, mereka akan lebih mengingati keperibadian dan sifat-sifat baik kamu.”
PERIKSALAH PENAMPILAN ANDA
Adakah anda selalu tidak puas hati dengan penampilan anda?
Pernahkah anda terfikir untuk membuat pembedahan kosmetik atau mengamalkan diet yang keterlaluan agar kelihatan lebih menarik?
Jika diberikan pilihan, apakah yang ingin anda ubah? (Pilih semua yang berkenaan.)
-
KETINGGIAN
-
BERAT
-
BADAN
-
RAMBUT
-
BENTUK BADAN
-
MUKA
-
WARNA KULIT
-
LAIN-LAIN
Adakah anda menjawab ya untuk dua soalan yang pertama dan memilih lebih daripada dua pilihan untuk soalan ketiga? Jika ya, anda mungkin mempunyai pandangan yang negatif terhadap diri sendiri. Sebenarnya, orang lain tidak memandang anda seperti yang anda fikirkan. Memang mudah untuk menjadi terlalu risau tentang penampilan sendiri sehingga anda hilang keseimbangan.—1 Samuel 16:7.