Masa Depan yang Gemilang
Syaitan dan roh-roh jahatnya tidak akan terus menipu manusia. Yehuwa sudah pun membuang mereka dari syurga. (Wahyu 12:9) Tidak lama lagi, Tuhan akan mengambil tindakan ke atas Syaitan dan roh-roh jahatnya sekali lagi. Dalam suatu penglihatan yang dikurniakan oleh Tuhan, Rasul Yohanes mengatakan, “Setelah itu, aku nampak satu malaikat turun dari syurga. Di dalam tangannya terdapat kunci jurang yang dalam dan seutas rantai yang besar. Malaikat itu menangkap naga itu, iaitu ular tua yang merupakan Iblis dan Syaitan, lalu mengikatnya selama 1,000 tahun. Kemudian, malaikat itu membuangnya ke dalam jurang yang dalam itu lalu menutupi dan memeterai jurang itu supaya dia tidak akan menyesatkan bangsa-bangsa lagi, sehingga 1,000 tahun itu berakhir.” (Wahyu 20:1-3) Akhirnya, Si Iblis dan roh-roh jahatnya akan dimusnahkan untuk selama-lamanya.—Wahyu 20:10.
Orang jahat di bumi juga akan dilenyapkan.—Mazmur 37:9, 10; Lukas 13:5.
Orang Mati Akan Hidup Semula!
Setelah Syaitan dan roh-roh jahat dikurung di dalam jurang, Yehuwa akan melimpahi umat manusia dengan berkat. Anda tentu ingat bahawa orang mati tidak bernyawa dan tidak wujud. Yesus menyamakan kematian dengan tidur, iaitu tidur yang nyenyak tanpa mimpi. (Yohanes 11:11-14) Yesus berkata demikian kerana dia tahu bahawa pada masa depan, orang yang mati akan hidup semula, sebagaimana orang yang tidur akan dikejutkan. Kata Yesus, “Masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan . . . keluar.”—Yohanes 5:28, 29; bandingkan Kisah 24:15.
Mereka akan hidup semula di bumi. Kita tidak akan lagi mendengar pengumuman tentang kematian orang. Sebaliknya, kita akan gembira sekali kerana mendengar laporan-laporan tentang mereka yang hidup semula! Alangkah gembiranya kita semasa menyambut orang yang dikasihi yang dibangkitkan dari kubur!