Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pengenalan

Pengenalan

“Saya membesar di sebuah kampung kecil yang terletak di wilayah utara,” ujar Dauda dari Sierra Leone. “Ada satu kali, semasa saya masih kecil, terjadinya pertikaian hak milik tanah antara keluarga saya dengan keluarga lain. Kedua-duanya menuntut tanah yang sama. Seorang bomoh dipanggil untuk menyelesaikan isu tersebut. Bomoh itu memberi sebuah cermin kepada seorang lelaki lalu menutupinya dengan sehelai kain putih. Tidak lama kemudian, lelaki yang berada di bawah kain itu mula menggigil dan berpeluh. Apabila dia menengok cermin itu, dia menjerit, ‘Saya nampak seorang lelaki tua berjalan ke arah saya! Pakaiannya berwarna putih. Lelaki tua ini tinggi dan beruban, badannya bongkok sedikit semasa dia berjalan.’”

“Dia sedang menggambarkan Datuk! Kemudiannya, dia naik histeria dan berteriak, ‘Kalau kamu tak percaya kata-kata saya, marilah dan tengok sendiri!’ Sudah pasti, tiada seorang pun yang berani berbuat demikian! Bomoh itu menenangkannya dengan merenjiskan air jampi yang bercampur daun yang disimpan di dalam bekas labu.”

“Menerusi lelaki yang memegang cermin itu, ‘Datuk’ berkata bahawa tanah itu milik keluarga kami. ‘Datuk’ menyuruh nenek saya untuk mengerjakan tanah itu dan jangan risau. Keluarga yang lain menerima keputusannya. Pertikaian itu diselesaikan.”

Pengalaman sebegini sering terjadi di Afrika Barat. Di sana, dan juga di tempat-tempat lain, jutaan orang percaya bahawa orang mati bukan sahaja akan terus hidup di alam roh, malah dapat memerhatikan dan mempengaruhi kehidupan orang di bumi. Adakah kepercayaan ini benar? Betulkah orang yang telah mati masih hidup? Jika tidak, siapakah mereka yang mendakwa diri sebagai roh-roh orang mati? Penting sekali untuk mengetahui jawapan yang betul kepada soalan-soalan ini. Hal ini melibatkan soal hidup dan mati.