Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Roh-Roh Jahat Menghasut Orang untuk Memberontak terhadap Tuhan

Roh-Roh Jahat Menghasut Orang untuk Memberontak terhadap Tuhan

Sesetengah adat resam didasarkan pada dusta bahawa orang mati dapat memerhatikan kita

Mengapakah Syaitan dan roh-roh jahatnya bersusah payah menipu orang? Hal ini kerana mereka ingin kita menyertai pemberontakan mereka. Mereka menginginkan penyembahan kita. Mereka ingin kita mempercayai dusta-dusta mereka dan mengikut amalan yang tidak disukai oleh Yehuwa. Banyak amalan ini merangkumi adat resam yang berkaitan dengan orang mati.

Apabila orang yang dikasihi meninggal, kita pasti berasa sangat sedih. Pada saat sebegini, adalah biasa dan tidak salah untuk meratap. Selepas sahabatnya Lazarus mati, “Yesus mula menangis.”—Yohanes 11:35.

Di serata dunia, terdapat banyak adat yang berbeza-beza sehubungan dengan kematian. Kebanyakannya tidak bercanggah dengan prinsip Bible. Namun, sesetengah amalan didasarkan atas kepercayaan bahawa orang mati masih hidup dan dapat memerhatikan orang hidup. Upacara perkabungan, berhimpun untuk membaca mantera atau doa perlindungan, mengupah orang untuk menentukan masa dan tempat yang sesuai bagi pengebumian, dan upacara pengebumian yang mewah semuanya berasaskan rasa takut pada roh orang mati. Tetapi, memandangkan orang mati “tidak tahu apa-apa pun,” mereka yang mengikut amalan sebegini sedang menyebarkan ajaran palsu Syaitan.—Pengkhutbah 9:5.

Adat resam yang lain didasarkan pada dusta bahawa orang mati memerlukan bantuan kita

Adat atau upacara lain berasal daripada kepercayaan bahawa orang mati memerlukan bantuan orang hidup dan akan mencederakan orang hidup jika kehendak mereka tidak dituruti. Di sesetengah negara, kenduri atau upacara korban diadakan pada hari yang tertentu atau setahun selepas seseorang mati. Majlis sebegini dikatakan dapat membantu si mati agar bersemadi dengan aman di alam roh. Amalan lain yang sering ditemui ialah memberi makanan, minuman, atau membakar wang kertas kepada si mati.

Amalan-amalan sebegini salah kerana menyebarkan dusta Syaitan tentang orang mati. Adakah Yehuwa akan senang hati jika kita mengikut adat resam yang berasaskan ajaran roh-roh jahat? Tidak sama sekali!—2 Korintus 6:14-18.

Hamba-hamba Tuhan yang benar tidak menyertai amalan-amalan yang menyokong dusta Syaitan. Sebaliknya, mereka dengan penuh kasih berusaha membantu orang yang masih hidup dan melegakan hati mereka. Mereka tahu bahawa setelah seseorang meninggal, hanya Yehuwa yang dapat membantunya.—Ayub 14:14, 15.

Tuhan Mengutuk Amalan Spiritisme

Sesetengah orang berhubung dengan roh-roh jahat secara langsung atau menerusi seorang perantara manusia seperti bomoh. Perbuatan ini dipanggil spiritisme. Voodoo, ilmu ghaib, mengubati penyakit dengan jampi, menilik nasib, membaca horoskop, dan bertanya kepada orang mati merupakan bentuk-bentuk spiritisme.

Tuhan membenci perbuatan jahat sebegini. Dia menghendaki kita menyembah Dia sahaja.—Keluaran 20:5

Bible mengutuk perbuatan sebegini dengan berkata, “Jangan mengamalkan ilmu ramal atau ilmu sihir. Jangan mencari petanda atau menjadi tukang sihir. Jangan mengenakan jampi kepada orang lain, dan jangan mencari bomoh atau meminta nasihat daripada tukang tilik. Jangan meminta petunjuk daripada orang mati. Yehuwa sangat membenci sesiapa yang melakukan perkara-perkara keji tersebut.”—Ulangan 18:10-12.

Mengapakah Yehuwa memberi kita amaran yang begitu tegas tentang amalan-amalan ini?

Yehuwa memberi kita amaran untuk menghindari semua bentuk spiritisme demi kesejahteraan kita. Dia mengasihi dan mengambil berat terhadap kita semua, dan Dia tahu bahawa mereka yang berhubung dengan roh-roh jahat pasti akan menderita.

Nilda mempunyai pengalaman sedemikian. Dia ialah seorang bomoh di Brazil. Roh-roh jahat menyebabkannya hidup merana. Katanya, “Saya dirasuk dan dikawal oleh roh-roh jahat. Ada masanya saya sedar, ada masanya saya tidak sedar diri. Saya ditahan kerana masalah sakit jiwa. Roh-roh jahat menganiaya saya dengan teruk sehingga sistem saraf dan emosi saya terjejas. Saya mengambil ubat penenang dan mula merokok dan minum tanpa henti. Keadaan ini berlarutan untuk bertahun-tahun.”

Mereka yang mengamalkan spiritisme sering menderita. Mereka mungkin kehilangan rumah, kebebasan, bahkan nyawa sendiri

Dengan bantuan Yehuwa dan Saksi-Saksi-Nya, Nilda akhirnya bebas daripada pengaruh roh-roh jahat. Kini, dia menjalani hidup yang sihat dan bermakna. “Saya menggalakkan semua agar jangan sekali-kali terlibat dengan roh-roh [jahat], biarpun untuk seketika,” kata Nilda.