Makhluk Roh Tidak Pernah Hidup dan Mati di Bumi
Makhluk roh wujud! Dalam alam roh yang tidak kelihatan, terdapat roh yang baik dan roh yang jahat. Adakah mereka individu yang pernah hidup dan mati di bumi?
Bukan. Semasa seseorang mati, dia tidak terus hidup di alam roh seperti apa yang difikirkan oleh ramai orang. Bagaimanakah kita mengetahui hal ini? Kerana Bible berkata demikian. Bible ialah sebuah buku yang mengandungi kebenaran yang datang daripada satu-satunya Tuhan yang benar. Nama-Nya Yehuwa. Yehuwa telah mencipta manusia; Dia tahu benar apa yang terjadi kepada manusia apabila mereka mati.—Mazmur 83:18; 2 Timotius 3:16.
Bible menyatakan bahawa Tuhan “mengambil tanah” dan membentuk manusia yang pertama, Adam. (Kejadian 2:7) Tuhan menempatkannya di Firdaus, iaitu Taman Eden. Jika Adam mematuhi hukum Yehuwa, dia tidak akan mati; dia akan tetap hidup di bumi sampai hari ini. Tetapi sewaktu Adam sengaja melanggar hukum Tuhan, Tuhan berfirman kepadanya, “Engkau [akan] kembali ke tanah, kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau ini tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.”—Kejadian 3:19.
Apakah makna kata-kata ini? Cuba fikir, di manakah Adam sebelum Yehuwa menciptanya daripada tanah? Dia tidak berada di mana-mana. Dia juga bukan makhluk roh di syurga. Dia tidak wujud. Jadi, apabila Yehuwa berfirman bahawa Adam akan “kembali ke tanah,” Dia
bermaksud bahawa Adam akan mati. Adam tidak terus hidup di alam roh. Apabila dia mati, dia tidak bernyawa dan tidak wujud seperti dahulu. Kematian berlawanan dengan kehidupan.Tetapi bagaimana pula dengan orang lain yang telah mati? Adakah mereka juga tidak wujud? Bible memberikan jawapannya:
-
“Manusia dan binatang menuju ke tempat yang sama. Kedua-duanya berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah.”—Pengkhutbah 3:20.
-
“Orang mati tidak tahu apa-apa pun.”—Pengkhutbah 9:5.
-
“Kasih, kebencian, dan kecemburuan mereka, semuanya turut lenyap.”—Pengkhutbah 9:6.
-
“Di Kuburan, iaitu tempat yang akan kamu pergi, tidak ada pekerjaan, rancangan, pengetahuan, atau kebijaksanaan.”—Pengkhutbah 9:10.
-
“[Manusia] kembali ke tanah; pada hari itu juga, segala fikiran mereka lenyap.”—Mazmur 146:4.
Adakah hal ini bermaksud bahawa orang mati tidak mungkin hidup semula? Tidak, hal ini tidak bermaksud sedemikian. Kita akan membincangkan harapan pembangkitan kemudian. Sebaliknya, hal ini bermaksud bahawa orang mati tidak mengetahui apa yang sedang anda lakukan. Mereka tidak dapat melihat anda, mendengar anda, atau bercakap dengan anda. Anda tidak perlu takut akan mereka. Mereka tidak dapat membantu anda ataupun mengapa-apakan anda.—Pengkhutbah 9:4; Yesaya 26:14.