Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 32

Apakah yang Boleh Dilakukan pada Hari Sabat?

Apakah yang Boleh Dilakukan pada Hari Sabat?

MATIUS 12:9-14 MARKUS 3:1-6 LUKAS 6:6-11

  • MENYEMBUHKAN TANGAN SEORANG LELAKI PADA HARI SABAT

Pada hari Sabat yang lain, Yesus pergi ke rumah ibadat, yang mungkin terletak di Galilea. Di sana, dia menjumpai seorang lelaki yang tangan kanannya lumpuh. (Lukas 6:6) Para jurutulis hukum dan orang Farisi memperhatikan Yesus dengan teliti lalu bertanya, “Salahkah untuk menyembuhkan orang pada hari Sabat?” (Matius 12:10) Mereka ingin mencari alasan untuk menuduh Yesus.

Menurut pandangan mereka, seseorang dibenarkan untuk memberikan rawatan pada hari Sabat hanya jika situasi itu mengancam nyawa. Maka pada hari Sabat, seseorang tidak boleh membalut bahagian badan yang terseliuh atau memulihkan tulang yang patah kerana situasi ini tidak akan menyebabkan kematian. Jelaslah bahawa para jurutulis hukum dan orang Farisi mengemukakan soalan itu kerana mereka ingin mencari kesalahan Yesus, bukannya kerana mereka prihatin terhadap lelaki itu.

Yesus mengetahui apa yang difikirkan oleh mereka. Meskipun Hukum Tuhan melarang orang untuk bekerja pada hari Sabat, pandangan mereka keterlaluan dan tidak munasabah. (Keluaran 20:8-10) Sebelum ini, dia telah dituduh melanggar hukum kerana berbuat baik pada hari Sabat. Jadi sekarang dia mahu membetulkan pandangan mereka yang salah. Dia berkata kepada lelaki itu, “Bangunlah dan berdirilah di tengah.”​—Markus 3:3.

Kemudian dia berkata kepada para jurutulis hukum dan orang Farisi, “Andai kata kamu mempunyai seekor biri-biri, tetapi biri-biri itu jatuh ke dalam sebuah lubang pada hari Sabat, tidakkah kamu akan menarik biri-biri tersebut keluar daripada lubang itu?” (Matius 12:11) Mereka akan mengalami kerugian jika mereka membiarkan biri-biri itu di dalam lubang sehingga keesokan hari kerana biri-biri itu mungkin akan mati. Selain itu, Firman Tuhan menyatakan, “Orang baik menjaga binatang peliharaannya.”​—Amsal 12:10.

Yesus menyambung, “Sudah tentu manusia jauh lebih berharga daripada biri-biri! Jadi berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.” (Matius 12:12) Ya, Yesus tidak melanggar hukum jika dia menyembuhkan tangan lelaki itu pada hari Sabat. Para pemimpin agama hanya berdiam diri kerana tidak dapat membantah hujah Yesus yang logik itu.

Yesus amat marah dan kecewa terhadap mereka. Kemudian dia berkata kepada lelaki itu, “Hulurkanlah tanganmu.” (Matius 12:13) Lelaki itu menghulurkan tangannya lalu tangannya pun sembuh. Lelaki itu pasti sangat gembira, tetapi bagaimana pula dengan para penentang Yesus?

Orang Farisi tidak gembira dengan apa yang berlaku, jadi mereka keluar dan segera berkomplot dengan “pengikut-pengikut Herodes untuk membunuh Yesus.” (Markus 3:6) Pengikut-pengikut Herodes ialah sekumpulan pejuang politik. Nampaknya beberapa orang Saduki telah menyertai kumpulan ini. Biasanya orang Saduki bermusuhan dengan orang Farisi, tetapi sekarang mereka bersatu untuk menentang Yesus.