Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 37

Yesus Membangkitkan Anak Seorang Balu

Yesus Membangkitkan Anak Seorang Balu

LUKAS 7:11-17

  • PEMBANGKITAN DI NAIN

Selepas menyembuhkan hamba seorang pegawai tentera, Yesus bertolak ke Nain, sebuah kota yang terletak lebih daripada 32 kilometer dari Kapernaum. Murid-muridnya dan sekumpulan besar orang pergi bersamanya. Kira-kira waktu petang, apabila mereka hampir tiba di Nain, mereka nampak sekumpulan orang Yahudi mengusung mayat seorang pemuda keluar dari kota untuk dikebumikan.

Orang yang paling sedih dalam kalangan mereka ialah ibu pemuda itu. Apabila suaminya meninggal, dia masih mempunyai seorang anak. Dia pasti sangat rapat dengan anaknya kerana dia tidak mempunyai sesiapa lagi di dunia ini. Tetapi sekarang anak kesayangannya pun turut meninggal. Siapakah lagi yang dapat menemaninya dan menyokongnya?

Wanita itu sangat sedih, dan Yesus berasa kasihan melihatnya. Maka dengan penuh belas kasihan, dia berkata kepadanya, “Janganlah menangis.” Kemudian dia menghampiri dan menyentuh usungan itu, lalu para pengusung itu berhenti. (Lukas 7:13, 14) Pastinya kata-kata dan tindakan Yesus membuat semua orang di situ hairan.

Bagaimana pula dengan murid-murid dan orang ramai yang mengikut Yesus? Mereka pernah nampak Yesus melakukan mukjizat, tetapi mereka belum pernah nampak Yesus membangkitkan orang mati. Dahulu nabi-nabi pernah membangkitkan orang mati, tetapi sekarang dapatkah Yesus berbuat demikian juga? (1 Raja-Raja 17:17-23; 2 Raja-Raja 4:32-37) Yesus berkata, “Hai lelaki muda, aku menyuruhmu: Bangunlah!” (Lukas 7:14) Lelaki yang mati itu pun duduk dan mula bercakap! Kemudian Yesus menyerahkan lelaki tersebut kepada ibunya. Pasti ibunya terkejut dan sangat gembira! Ya, dia tidak keseorangan lagi.

Apabila semua orang di situ nampak bahawa lelaki itu hidup semula, mereka memuliakan Yehuwa, Sumber Kehidupan. Mereka berkata, “Seorang nabi yang agung telah muncul dalam kalangan kita.” Ada yang memahami maksud di sebalik kejadian ini, maka mereka berkata, “Tuhan berbelas kasihan terhadap umat-Nya.” (Lukas 7:16) Dengan cepat, berita ini tersebar ke kawasan yang berdekatan dan mungkin juga sehingga ke kampung halaman Yesus, iaitu kota Nasaret, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Nain. Bahkan orang di Yudea pun mendengar tentang hal ini.

Yohanes Pembaptis masih meringkuk di dalam penjara, dan dia sangat ingin mengetahui semua perbuatan Yesus. Pengikut Yohanes memberitahunya mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Apakah reaksi Yohanes?