KEHIDUPAN KRISTIAN KITA
Pergi dan Berdamai Dahulu dengan Saudaramu—Bagaimana?
Bayangkan anda tinggal di Galilea pada zaman Yesus. Anda pergi ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Pondok Daun. Kota itu riuh-rendah dan penuh dengan umat Tuhan yang datang dari tempat lain. Anda membawa seekor kambing sebagai korban kepada Yehuwa. Seraya anda menuju ke Rumah Tuhan, anda melalui lorong-lorong yang sesak dengan orang. Setibanya di situ, anda nampak ramai yang datang untuk mempersembahkan korban. Akhirnya, tibalah giliran anda untuk menyerahkan korban kepada imam. Pada masa itu, anda teringat bahawa seorang saudara tidak senang hati terhadap anda. Namun, anda tidak tahu di mana dia berada. Apakah yang harus anda lakukan? Jawapannya ada dalam kata-kata Yesus. (Baca Matius 5:24.) Bagaimanakah anda dan saudara itu boleh mengikut nasihat Yesus untuk berdamai? Dalam senarai yang berikut, tandakan jawapan yang betul.
ANDA PATUT . . .
-
bercakap kepadanya jika anda fikir dia mempunyai sebab yang munasabah untuk berasa tersinggung
-
membetulkan fikirannya jika anda berasa bahawa dia juga bersalah atau dia terlalu sensitif
-
mendengar dengan sabar apabila dia meluahkan perasaannya. Walaupun anda tidak faham situasi itu dengan sepenuhnya, anda patut minta maaf dengan ikhlas kerana menyinggung perasaannya atau kerana tindakan anda telah menimbulkan kesusahan
SAUDARA ITU PATUT . . .
-
memberitahu orang lain di sidang tentang perbuatan anda yang telah menyinggung perasaannya agar mereka menyebelahinya
-
memarahi anda dan menyenaraikan semua kesilapan anda, lalu menuntut anda untuk mengakui kesalahan
-
sedar bahawa anda menunjukkan kerendahan hati dan keberanian untuk berdamai dengannya, lalu mengampuni anda dengan ikhlas
Hari ini, kita tidak perlu mempersembahkan korban binatang. Namun, menurut ajaran Yesus, bagaimanakah hubungan kita dengan rakan seiman dapat mempengaruhi ibadat kita kepada Tuhan?