Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tetap Tenang dan Tenteram semasa Menghadapi Perubahan

Tetap Tenang dan Tenteram semasa Menghadapi Perubahan

“Hatiku tenang dan tenteram.”​—MZM. 131:2.

LAGU: 128, 129

1, 2. (a) Bagaimanakah perubahan yang tidak terduga mungkin mempengaruhi orang Kristian? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Menurut Mazmur 131, apakah yang dapat membantu kita tetap tenang dan tenteram?

SETELAH berkhidmat di Bethel untuk lebih daripada 25 tahun, Lloyd dan Alexandra diberitahu bahawa mereka akan ditugaskan sebagai perintis. Mula-mulanya mereka berasa sedih. Lloyd berkata, “Bethel dan tugas saya sudah sebati dengan diri saya. Saya tahu terdapat sebab yang baik di sebalik perubahan itu, tetapi untuk beberapa minggu dan bulan yang seterusnya, saya berasa seperti ditolak. Emosi saya tidak menentu; kejap positif, kejap murung.”

2 Ketika hidup kita dilanda perubahan yang tidak terduga, kita biasanya berasa risau dan tertekan. (Ams. 12:25) Kita bahkan mungkin berasa susah untuk menerima apa yang berlaku. Dalam keadaan sebegini, bagaimanakah kita dapat tetap “tenang dan tenteram”? (Baca Mazmur 131:1-3.) Mari kita meneliti bagaimana sesetengah hamba Yehuwa pada zaman kuno dan moden tetap tenang dan tenteram ketika menghadapi perubahan.

MERASAKAN “KESEJAHTERAAN DARIPADA TUHAN”

3. Apakah perubahan yang dihadapi Yusuf?

3 Yusuf ialah anak kesayangan Yakub. Ketika berumur 17 tahun, dia dijual sebagai hamba oleh abang-abangnya yang iri hati. (Kej. 37:2-4, 23-28) Selama kira-kira 13 tahun, Yusuf hidup berjauhan daripada ayahnya dan menderita sebagai hamba dan tahanan di Mesir. Apakah yang membantunya agar tidak ditenggelami rasa marah dan putus harapan?

4. (a) Semasa di penjara, apakah yang difikirkan oleh Yusuf? (b) Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa Yusuf?

4 Semasa menderita di penjara, Yusuf pasti bertumpu kepada berkat yang diberi Yehuwa. (Kej. 39:21; Mzm. 105:17-19) Dia mungkin memikirkan mimpi tentang masa depan yang diterimanya semasa muda, dan menganggap itu sebagai bukti akan perkenan Yehuwa. (Kej. 37:5-11) Barangkali, dia sering meluahkan keperitannya melalui doa. (Mzm. 145:18) Yehuwa telah menjawab doa Yusuf dengan meyakinkannya bahawa Dia pasti “menyertai Yusuf” tidak kira apa dugaan yang dihadapinya.​—Kis. 7:9, 10. *

5. Bagaimanakah “kesejahteraan daripada Tuhan” dapat membantu kita terus mengejar matlamat rohani?

5 Ketika kita diselubungi kerisauan kerana terpaksa menempuh jalan hidup yang berliku-liku, berpalinglah kepada Yehuwa. Dengan itu, “kesejahteraan daripada Tuhan” akan menjaga dan menenangkan fikiran kita, menguatkan tekad kita untuk mencapai matlamat rohani, dan membantu kita melawan kecenderungan untuk menyerah. (Baca Filipi 4:6, 7.) Perhatikan beberapa contoh zaman moden yang membuktikan hal ini.

MINTALAH BANTUAN YEHUWA AGAR TETAP TENANG

6, 7. Bagaimanakah doa yang spesifik dapat membantu kita tetap tenang? Berikan contoh.

6 Semasa Ryan dan Juliette diberitahu bahawa tugas mereka sebagai perintis khas sementara akan ditamatkan, mereka berasa tawar hati. “Kami segera menghadap Yehuwa dalam doa,” kata Ryan. “Kami tahu inilah peluang untuk menunjukkan keyakinan kami kepada-Nya. Terdapat ramai orang baharu di sidang kami, maka kami memohon agar Yehuwa membantu kami menunjukkan iman yang dapat diteladani mereka.”

7 Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa mereka? Ryan berkata, “Selepas doa itu, perasaan negatif dan kekhuatiran kami segera hilang. Kesejahteraan daripada Tuhan melindungi hati dan fikiran kami. Kami sedar bahawa kami akan terus berguna di mata Yehuwa jika kami memelihara sikap yang betul.”

8-10. (a) Bagaimanakah kuasa suci Tuhan membantu kita menangani kekhuatiran? (b) Bagaimanakah Yehuwa memberkati orang yang berusaha bertumpu kepada khidmat-Nya?

8 Selain menenangkan kita, kuasa suci Tuhan dapat menghalakan perhatian kita kepada ayat Bible yang sesuai, agar kita dibantu menetapkan keutamaan yang betul. (Baca Yohanes 14:26, 27.) Fikirkan pengalaman Philip dan Mary, pasangan yang telah berkhidmat di Bethel untuk hampir 25 tahun. Dalam masa empat bulan, kedua-dua ibu mereka dan seorang saudara-mara telah meninggal. Mereka juga perlu menjaga bapa Mary yang nyanyuk.

9 Philip berkata, “Saya fikir saya menangani situasi ini dengan baik, tetapi ada sesuatu yang kurang. Dalam sebuah rencana pembelajaran, saya nampak Kolose 1:11. Saya memang bertabah, tetapi tidak dengan sepenuhnya. Saya perlu bertabah ‘dengan sabar dan sukacita.’ Ayat itu mengingatkan saya bahawa sukacita saya tidak bergantung pada situasi, tetapi pada kesan kuasa suci Tuhan dalam kehidupan saya.”

10 Oleh sebab Philip dan Mary berusaha bertumpu kepada khidmat Yehuwa, mereka dilimpahi pelbagai berkat daripada-Nya. Tidak lama selepas meninggalkan Bethel, mereka berdua mendapat pelajar Bible yang membuat kemajuan dan yang ingin belajar lebih daripada sekali seminggu. Mengenang kembali masa itu, Mary berkata, “Merekalah sukacita kami. Melalui mereka, Yehuwa memberitahu kami bahawa segala-galanya akan okey.”

BERILAH YEHUWA SESUATU UNTUK DIBERKATI

Bagaimanakah kita dapat meneladani Yusuf dalam apa jua situasi? (Lihat perenggan 11-13)

11, 12. (a) Bagaimanakah Yusuf memberi Yehuwa sesuatu untuk diberkati? (b) Bagaimanakah ketabahan Yusuf membawa ganjaran?

11 Semasa dilanda perubahan yang mendadak, fikiran kita mungkin dibanjiri kekhuatiran. Hal itu mungkin terjadi kepada Yusuf, tetapi dia memutuskan untuk melakukan apa yang terdaya, agar dia dapat memberi Yehuwa sesuatu untuk diberkati. Semasa di penjara, Yusuf melaksanakan apa sahaja tugas yang diberikan dengan gigih, sebagaimana dia bekerja dengan rajin untuk Potifar dahulu.​—Kej. 39:21-23.

12 Suatu hari, Yusuf disuruh mengawasi dua orang banduan yang pernah memegang jawatan tinggi di istana Firaun. Layanan yang baik daripada Yusuf telah menggerakkan dua orang itu untuk meluahkan masalah mereka dan menceritakan mimpi mereka pada malam sebelumnya. (Kej. 40:5-8) Ketika itu, Yusuf tidak sangka bahawa perbualan itulah yang akan membolehkannya dibebaskan dua tahun kemudian. Akhirnya, Yusuf dibebaskan dan pada hari yang sama, dia menjadi orang yang kedua berkuasa di Mesir selepas Firaun.​—Kej. 41:1, 14-16, 39-41.

13. Tidak kira apa situasi kita, bagaimanakah kita dapat memberi Yehuwa sesuatu untuk diberkati?

13 Seperti Yusuf, kita mungkin tidak dapat mengubah situasi sendiri. Namun, jika kita bersabar dan berusaha melakukan apa yang terdaya, kita sedang memberi Yehuwa sesuatu untuk diberkati. (Mzm. 37:5) Memang benar, ada kalanya kita akan “kebingungan,” tetapi seperti yang dikatakan Rasul Paulus, kita tidak akan sekali-kali “putus harapan.” (2 Kor. 4:8, nota kaki) Yehuwa pasti membuka jalan keluar, terutamanya jika kita terus bertumpu kepada kerja penyebaran.

TERUS BERTUMPU KEPADA KERJA PENYEBARAN

14-16. Bagaimanakah Filipus tetap bertumpu kepada kerja penyebaran meskipun kehidupannya berubah?

14 Filipus tetap bertumpu kepada kerja penyebaran meskipun menghadapi perubahan. Apabila Filipus sedang menikmati tugasan baharu di Yerusalem, penganiayaan terhadap orang Kristian tercetus ekoran pembunuhan Stefanus. * (Kis. 6:1-6) Ketika pengikut Kristus tercerai-berai ke merata tempat, Filipus tidak duduk berpeluk tubuh. Dia pergi ke Samaria, tempat yang kebanyakan penduduknya belum mendengar berita baik.​—Mat. 10:5; Kis. 8:1, 5.

15 Filipus sudi pergi ke mana sahaja menurut pimpinan kuasa suci Tuhan, maka Yehuwa telah menggunakannya untuk menginjil di kawasan baharu. Pendekatan Filipus yang bebas daripada prasangka mungkin telah menawan hati orang Samaria, yang sering dipandang hina oleh orang Yahudi. Maka tidak hairanlah mereka “menumpukan sepenuh perhatian” kepada kata-katanya!​—Kis. 8:6-8.

16 Kemudian, kuasa suci Tuhan memimpin Filipus ke Asdod dan Kaisarea, dua buah kota yang mempunyai ramai penduduk bukan Yahudi. (Kis. 8:39, 40) Kira-kira 20 tahun selepas Filipus pergi ke Samaria untuk menginjil, kehidupannya berubah lagi. Kini, dia sudah berumah tangga dan menetap di kawasan penyebarannya. Meskipun begitu, Filipus tetap bertumpu kepada kerja penyebaran. Hasilnya, dia dan keluarganya dilimpahi banyak berkat daripada Yehuwa.​—Kis. 21:8, 9.

17, 18. Semasa menghadapi perubahan, apakah manfaatnya jika kita berfokus kepada kerja penyebaran?

17 Ramai pekhidmat sepenuh masa berkata bahawa mereka dibantu mengekalkan keseimbangan semasa menghadapi perubahan kerana berfokus kepada kerja penyebaran. Osborne dan Polite ialah sepasang suami isteri di Afrika Selatan. Semasa meninggalkan Bethel, mereka sangka mereka dapat mencari kerja separuh masa dan tempat tinggal dalam masa yang singkat. “Namun,” kata Osborne, “kerja itu tidak datang dalam masa yang kami harapkan.” Isterinya Polite berkata, “Kami menganggur selama tiga bulan, dan kami tiada simpanan. Masa itu memang mencabar.”

18 Apakah yang membantu mereka untuk menangani tekanan itu? Osborne menjelaskan, “Menginjil bersama sidang amat membantu kami untuk tetap berfokus dan berfikiran positif. Kami memutuskan untuk bergiat sepenuhnya dalam kerja penyebaran dan bukannya duduk sambil risau di rumah. Usaha itu menghasilkan sukacita yang besar. Kami mencari pekerjaan di merata tempat, dan akhirnya kami berjaya.”

NANTIKAN YEHUWA DENGAN SABAR

19-21. (a) Apakah yang akan membantu kita tetap tenang dan tenteram? (b) Apakah manfaat yang dapat diraih jika kita menyesuaikan diri dengan keadaan baharu?

19 Contoh-contoh tadi menunjukkan bahawa jika kita melakukan apa yang terdaya dalam situasi kita dan menantikan Yehuwa dengan yakin, kita dapat tetap tenang dan tenteram. (Baca Mikha 7:7.) Usaha kita untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharu bahkan mungkin merapatkan hubungan kita dengan Yehuwa. Polite berkata, “Tugasan baharu itu mengajar saya maksudnya bergantung pada Yehuwa apabila saya nampaknya tiada jalan keluar. Hubungan saya dengan-Nya telah bertambah erat.”

20 Mary, yang disebut tadi, kini masih merintis sambil menjaga bapanya yang berusia. Dia mengaku, “Saya sudah belajar bahawa apabila saya berasa khuatir, saya perlu berhenti, berdoa, dan relaks. Saya belajar untuk menyerahkan masalah saya ke dalam tangan Yehuwa, dan pengajaran yang penting ini akan menjadi amat berguna pada masa depan.”

21 Lloyd dan Alexandra, yang disebut di awal rencana ini, mengakui bahawa perubahan situasi telah menguji iman mereka dalam cara yang tidak disangka. Tetapi mereka berkata, “Ujian sebegini menunjukkan sama ada iman kami cukup kuat atau tidak untuk meneguhkan dan melegakan kami pada waktu kesusahan. Hasilnya, kami menjadi orang yang lebih baik.”

Perubahan yang tidak terduga dapat membawa berkat yang tidak disangka! (Lihat perenggan 19-21)

22. Jika kita berusaha melakukan apa yang terdaya dalam situasi kita sekarang, kita dapat yakin akan hal apa?

22 Semasa menghadapi perubahan yang tidak terduga, sama ada dalam tugasan rohani, kesihatan, atau tanggungjawab keluarga, yakinlah bahawa Yehuwa mengambil berat terhadap anda dan pasti membantu anda pada masa yang tepat. (Ibr. 4:16; 1 Ptr. 5:6, 7) Sementara itu, lakukanlah apa yang terdaya dalam situasi anda. Hampirilah Bapa anda yang di syurga melalui doa, dan serahkanlah diri anda di bawah jagaan-Nya. Dengan itu, anda juga dapat tetap tenang dan tenteram semasa menghadapi perubahan.

^ per. 4 Setelah dibebaskan dari penjara, Yusuf berkata bahawa Yehuwa telah melegakan hatinya dengan memberinya seorang anak. Anak sulungnya itu diberi nama Manasye, kerana Yusuf berkata, “Tuhan telah membuat aku lupa akan semua penderitaanku.”​—Kej. 41:51, nota kaki.

^ per. 14 Lihat rencana “Tahukah Anda?” dalam terbitan ini.