Tahukah Anda?
Pada zaman kuno, bagaimanakah gulungan Bible dibuat dan digunakan?
Buku Lukas menyatakan bahawa Yesus membuka gulungan nabi Yesaya, membacanya, lalu menggulung gulungan itu. Yohanes berkata bahawa ada banyak mukjizat yang dilakukan Yesus tidak ditulis dalam gulungannya.—Lukas 4:16-20; Yohanes 20:30; 21:25.
Bagaimanakah gulungan dibuat? Kertas kulit atau papirus dilekat bersama untuk menjadi satu gulungan yang panjang. Satu hujung gulungan dililitkan pada sebuah batang. Tulisan terdapat di bahagian dalam gulungan dan disusun dalam bentuk lajur. Jika gulungan sangat panjang, terdapat batang pada kedua-dua hujung. Untuk mencari ayat yang diinginkan, pembaca akan menggunakan satu batang untuk membuka gulungan sambil menggunakan batang yang satu lagi untuk menggulung semula gulungan itu.
Buku The Anchor Bible Dictionary menyatakan bahawa “sebuah gulungan yang panjang (kira-kira 10 m) boleh mengandungi sebuah buku kecil.” Dianggarkan bahawa gulungan buku Lukas ialah 9.5 m panjang. Ada kalanya, bahagian pinggir gulungan digunting, dihaluskan dengan batu pumis, dan dicelup dengan warna.
Siapakah “ketua imam” yang disebutkan dalam Kitab Yunani Kristian?
Sejak permulaan aturan imam di Israel, hanya seorang lelaki yang berkhidmat sebagai imam agung dan pelantikannya adalah sepanjang hayat. (Bilangan 35:25) Harun ialah imam agung yang pertama. Seterusnya, anak lelaki sulung daripada keturunannya menjadi imam agung. (Keluaran 29:9) Kebanyakan keturunan anak lelaki Harun berkhidmat sebagai imam. Tetapi, hanya beberapa orang yang berkhidmat sebagai imam agung.
Apabila orang Israel ditawan oleh bangsa asing, pemerintah asing dengan sesuka hati melantik dan menyingkirkan imam agung yang berbangsa Yahudi. Nampaknya, orang yang dilantik itu biasanya dipilih daripada keturunan Harun, dan beberapa daripada keluarga yang lain. Ungkapan “ketua imam” biasanya merujuk kepada para imam yang terkenal. Mereka merangkumi ketua-ketua 24 kumpulan imam; orang terkemuka daripada keluarga imam agung; dan mereka yang pernah berkhidmat sebagai imam agung, seperti Hanas.—1 Tawarikh 24:1-19; Matius 2:4; Markus 8:31; Kisah 4:6.