Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | MENGAPAKAH YESUS MENDERITA DAN MATI?

Adakah Hal Itu Benar-Benar Berlaku?

Adakah Hal Itu Benar-Benar Berlaku?

Pada 33 M, Yesus dari Nasaret, dijatuhkan hukuman mati. Dia didakwa mencetuskan pemberontakan, dipukul dengan teruk, dan dipakukan pada tiang. Dia mati dalam kesakitan yang tidak dapat dibayangkan. Namun, Tuhan membangkitkannya, dan 40 hari kemudian, Yesus naik ke syurga.

Kisah yang menakjubkan ini terdapat dalam Kitab Yunani Kristian, yang biasanya dipanggil Perjanjian Baru. Adakah hal ini benar-benar berlaku? Soalan ini sangat penting. Jika semua peristiwa ini tidak berlaku, iman orang Kristian sia-sia dan harapan untuk hidup kekal di Firdaus angan-angan belaka. (1 Korintus 15:14) Sebaliknya, jika semua peristiwa ini memang berlaku, manusia berpeluang menikmati masa depan yang cerah. Maka, adakah kisah Yesus fakta atau cerita rekaan?

APAKAH FAKTANYA?

Tidak seperti cerita dongeng, tulisan dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes tepat dan terperinci. Contohnya, nama tempat dalam catatan itu benar-benar wujud. Banyak tempat tersebut masih boleh dilawati hari ini. Para sejarawan juga menyokong tentang kewujudan orang yang disebutkan dalam catatan itu.​—Lukas 3:1, 2, 23.

Penulis sekular pada abad pertama dan kedua pernah menyebut tentang Yesus. * Cara kematian Yesus yang dijelaskan dalam Bible adalah selaras dengan cara orang Roma menjatuhkan hukuman pada masa itu. Selain itu, kisah dalam Bible diceritakan dalam cara yang terus terang dan berdasarkan fakta, bahkan kesilapan para pengikut Yesus pun ditulis. (Matius 26:56; Lukas 22:24-26; Yohanes 18:10, 11) Semua bukti ini menunjukkan bahawa penulis Bible jujur dan menceritakan kisah Yesus dengan tepat.

BAGAIMANA DENGAN PEMBANGKITAN YESUS

Ramai orang percaya bahawa Yesus pernah hidup dan kemudian mati. Namun sesetengah orang mempersoalkan pembangkitannya. Para rasul pun tidak percaya laporan bahawa Yesus telah dibangkitkan. (Lukas 24:11) Namun mereka melihat Yesus yang sudah dibangkitkan, maka mereka pun percaya. Pernah sekali, lebih daripada 500 orang telah melihat Yesus yang sudah dibangkitkan.​—1 Korintus 15:6.

Walaupun pengikut Yesus mempunyai risiko ditahan dan dibunuh, mereka dengan berani mengisytiharkan pembangkitan Yesus kepada semua orang termasuk musuh-musuhnya. (Kisah 4:1-3, 10, 19, 20; 5:27-32) Jika pengikut Yesus tidak yakin bahawa dia dibangkitkan, adakah mereka akan mengisytiharkan hal itu dengan berani? Sebenarnya, pembangkitan Yesus menjadi dorongan di sebalik agama Kristian yang tersebar di seluruh dunia pada zaman lampau dan juga sekarang.

Catatan Bible mengenai kematian dan pembangkitan Yesus memang merupakan sejarah yang tepat. Dengan membaca catatan ini secara teliti, anda akan yakin bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku. Keyakinan anda akan bertambah jika anda memahami mengapa hal itu berlaku. Rencana seterusnya akan menerangkan hal itu.

^ per. 7 Tacitus yang lahir kira-kira pada 55 M menulis bahawa Kristus menderita hukuman yang berat di tangan seorang gabenor, iaitu Pontius Pilatus, semasa pemerintahan Tiberius. Suetonius (abad pertama); sejarawan Yahudi, Josephus (abad pertama); dan gabenor Bitinia, Pliny yang Muda (awal abad kedua) juga pernah menyebut tentang Yesus.