Ketinggalan Zaman atau Mendahului Masanya?
SAINS
BIBLE BUKAN BUKU TEKS SAINS, TETAPI MENGANDUNGI MAKLUMAT YANG MENDAHULUI ZAMANNYA. PERHATIKAN BEBERAPA CONTOH INI.
Adakah alam semesta mempunyai permulaan?
Ahli sains yang terkemuka dahulunya berasa jawapannya tidak. Namun sekarang mereka setuju bahawa alam semesta mempunyai permulaan. Itulah yang dikatakan Bible sejak dahulu lagi.—Kejadian 1:1.
Apakah bentuk bumi?
Orang zaman kuno fikir bahawa bumi berbentuk leper. Pada abad kelima SM, ahli sains Yunani menyatakan bahawa bumi berbentuk sfera. Namun, lama sebelum itu, iaitu pada abad kelapan SM, penulis Bible bernama Yesaya menyebut tentang “bulatan bumi,” atau sfera bumi.—Yesaya 40:22.
Adakah benda di langit dapat mereput?
Aristotle, seorang ahli sains Yunani pada abad keempat SM, mengajarkan bahawa pereputan hanya berlaku di bumi, dan benda di langit tidak akan berubah atau reput. Pandangan itu telah kekal selama ratusan tahun. Tetapi pada abad ke-19, ahli sains telah mengemukakan konsep entropi, yang menyatakan bahawa semua benda, tidak kira yang di langit atau di bumi, akan reput. Lord Kelvin, salah seorang ahli sains yang mengembangkan konsep itu, tahu akan pernyataan Bible ini: “Bumi dan langit akan menjadi usang seperti pakaian.” (Mazmur 102:25, 26) Walaupun begitu, Kelvin juga percaya ajaran Bible bahawa Tuhan dapat menghalang ciptaan-Nya daripada mereput.—Pengkhutbah 1:4.
Adakah planet-planet, seperti bumi kita, tergantung pada sesuatu?
Aristotle mengajarkan bahawa semua bintang dan planet disimpan di dalam bola-bola lut sinar yang tersusun satu di dalam yang lain, dari yang kecil sampai yang besar, dan bumi terletak di pusat semua bola itu. Menjelang abad ke-18 M, ahli sains mula menerima idea bahawa bintang dan planet mungkin tidak tergantung pada apa-apa. Namun, buku Bible yang ditulis pada abad ke-15 SM menyatakan bahawa Pencipta kita “menempatkan bumi di angkasa hampa.”—Ayub 26:7.
PERUBATAN
BIBLE BUKAN BUKU TEKS PERUBATAN, TETAPI MENGANDUNGI PRINSIP TENTANG KESIHATAN YANG MENDAHULUI ZAMANNYA.
Mengasingkan orang sakit.
Hukum Tuhan pada zaman kuno menghendaki agar pesakit kusta diasingkan daripada orang lain. Para doktor hanya menyedari pentingnya langkah ini semasa tercetusnya wabak pada Zaman Pertengahan. Sampai hari ini, langkah tersebut masih berkesan.—Imamat bab 13 dan 14.
Membersihkan diri selepas menyentuh mayat.
Sehingga lewat abad ke-19, doktor sering menyentuh mayat dan kemudiannya merawat pesakit tanpa membasuh tangan. Amalan itu menyebabkan banyak kematian. Namun, Hukum Tuhan menyatakan bahawa sesiapa yang menyentuh mayat akan menjadi tidak suci dan harus membersihkan diri dengan air. Upacara itu sudah tentu bermanfaat untuk kesihatan juga. —Bilangan 19:11, 19.
Pembuangan najis.
Setiap tahun, lebih daripada setengah juta orang kanak-kanak mati akibat cirit-birit yang kebanyakannya disebabkan oleh pendedahan kepada najis manusia. Hukum Tuhan menyatakan bahawa najis harus ditanam jauh dari tempat tinggal.—Ulangan 23:13.
Masa untuk bersunat.
Hukum Tuhan menghendaki bayi lelaki disunat pada hari kelapan selepas dilahirkan. (Imamat 12:3) Bagi bayi yang baru lahir, kebolehan darah untuk membeku dikatakan mencapai paras normal selepas minggu pertama. Memandangkan rawatan perubatan yang canggih tidak terdapat pada zaman Bible, sunat yang dilakukan selepas minggu pertama adalah lebih selamat.
Kaitan antara emosi dengan kesihatan.
Para penyelidik perubatan dan ahli sains berkata bahawa emosi yang positif seperti sukacita, harapan, kesyukuran, dan kerelaan untuk memaafkan orang, akan membawa manfaat kepada kesihatan. Bible menyatakan, “Hati yang gembira bagaikan ubat yang mujarab, tetapi hati yang hancur mematahkan semangat.”—Amsal 17:22.