Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bible dan Masa Depan Anda

Bible dan Masa Depan Anda

BAYANGKAN anda sedang berjalan di sebuah lorong yang gelap. Matahari sudah lama terbenam, tetapi anda tidak risau, kerana anda mempunyai lampu suluh yang sangat terang. Semasa menghalakannya ke bawah, anda dapat melihat apa yang ada di depan kaki anda. Semasa menghalakannya ke depan, cahayanya yang terang menembusi kegelapan yang pekat itu dan menyinari jalan yang terletak jauh di depan anda.

Bible ibarat lampu suluh. Rencana-rencana sebelum ini telah menunjukkan bagaimana Firman Tuhan dapat membantu kita menangani masalah yang timbul sekarang dalam dunia yang tidak menentu ini. Tambahan lagi, Bible dapat menerangi masa depan kita dan membantu kita menemui dan mengikuti jalan hidup yang membawa kebahagiaan dan kepuasan yang kekal. (Mazmur 119:105) Bagaimana?

Mari kita lihat dua cara Bible membantu kita membina masa depan yang cerah: 1 Membantu kita memahami tujuan hidup, dan 2 mengajar kita cara menjalin persahabatan yang kekal dengan Pencipta kita.

1 TUJUAN HIDUP KITA

Nasihat Bible tentang menangani masalah sangat berkesan, namun Bible bukan sekadar buku panduan. Daripada menggalakkan kita untuk bertumpu semata-mata kepada masalah sendiri, Bible mengajar kita untuk melihat situasi kita dengan lebih menyeluruh. Dengan berbuat demikian, barulah kehidupan kita akan lebih bermakna.

Fikirkan prinsip Bible ini: “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kisah 20:35) Pernahkah anda memberikan bantuan kebendaan kepada seseorang, atau meluangkan masa untuk mendengar luahan hati sahabat anda? Tidakkah anda berasa puas setelah memberikan bantuan sebegitu?

Kita mendapat kebahagiaan yang besar apabila kita memberi tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Seorang penulis menyatakan, “Anda tidak mungkin mengorbankan sesuatu tanpa mendapat kembali lebih banyak lagi—tetapi anda mesti memberi tanpa mengharapkan apa-apa balasan.” Apabila kita membuat pengorbanan untuk membantu orang, terutamanya mereka yang tidak mampu membalas kita, kita akan menerima berkat. Kita sedang menyumbang kepada sesuatu yang lebih mulia dan sedang bekerjasama dengan Pencipta kita. Bantuan yang kita hulurkan dianggap seperti pinjaman kepada-Nya. (Amsal 19:17) Dia bukan sahaja menghargai usaha kita, malah berjanji untuk membalasnya dengan mengurniai kita kehidupan kekal di bumi firdaus. Bukankah itu harapan masa depan yang amat cerah?​—Mazmur 37:29; Lukas 14:12-14. *

Penting sekali, Bible mengajar kita tujuan hidup kita: Menyembah Yehuwa, Tuhan yang benar. Bible menjemput kita untuk mentaati-Nya dan memberi-Nya pujian dan kemuliaan yang layak diterima-Nya. (Pengkhutbah 12:13; Wahyu 4:11) Apabila kita berbuat demikian, apakah hasilnya? Perhatikan seruan Pencipta kita, “Jadilah bijak dan gembirakanlah hatiku.” (Amsal 27:11) Bayangkan, apabila kita membuat keputusan yang bijak berdasarkan prinsip Bible, kita menggembirakan hati Bapa kita yang pengasih di syurga! Mengapa? Kerana Dia mengambil berat tentang kita dan ingin kita meraih manfaat daripada bimbingan-Nya. (Yesaya 48:17, 18) Sesungguhnya, apabila kita menyembah Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat, dan menjalankan kehidupan kita dalam cara yang menyenangkan hati-Nya, itulah tujuan hidup yang paling luhur.

2 PERSAHABATAN DENGAN PENCIPTA KITA

Bible juga mengajar kita untuk membina persahabatan dengan Pencipta kita. Bible menyatakan, “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” (Yakobus 4:8) Ada kalanya kita mungkin berasa ragu-ragu sama ada kita dapat bersahabat dengan Pencipta yang agung atau tidak. Namun Bible meyakinkan kita bahawa jika kita “mencari-Nya,” kita akan “menemui Tuhan, kerana Dia sebenarnya tidak jauh daripada kita masing-masing.” (Kisah 17:27) Nasihat Bible untuk menjadi sahabat Tuhan berkait rapat dengan masa depan kita. Mengapa?

Fikirkan hakikat ini: Tiada seorang pun yang mampu membebaskan diri daripada cengkaman maut. (1 Korintus 15:26) Namun, Tuhan itu abadi, dan Dia mahu sahabat-sahabat-Nya hidup kekal juga. Kehendak Yehuwa bagi orang yang mencari-Nya disingkapkan menerusi kata-kata ini: “Semoga mereka menikmati kehidupan buat selama-lamanya!”​—Mazmur 22:26.

Bagaimanakah anda dapat menjadi sahabat Tuhan untuk selama-lamanya? Teruslah mengkaji Bible untuk belajar tentang-Nya. (Yohanes 17:3; 2 Timotius 3:16) Mintalah bantuan Tuhan untuk memahami Firman-Nya. Bible meyakinkan kita bahawa jika kita “terus meminta” kebijaksanaan, Dia akan mengabulkan permintaan kita. * (Yakobus 1:5) Selain itu, berusahalah untuk menerapkan apa yang dipelajari supaya Firman Tuhan menjadi “pelita yang membimbing langkah [anda]” dan “cahaya yang menerangi jalan [anda]”​—kini dan untuk selama-lamanya.​—Mazmur 119:105.

^ per. 8 Untuk mengetahui tentang janji Tuhan untuk memberi manusia kehidupan abadi di bumi Firdaus, lihat bab 3 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 13 Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan pembelajaran Bible yang percuma untuk membantu anda memahami Bible. Untuk maklumat lanjut, sila lihat video Apakah yang Berlaku semasa Pembelajaran Bible? di jw.org/ms. Tekan “Bahan Terbitan,” kemudian “Video,” dan masukkan tajuk video itu di dalam ruang carian.

Tuhan itu abadi, dan Dia mahu sahabat-sahabat-Nya hidup kekal juga