Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

2 Mengatasi Masalah

2 Mengatasi Masalah

Sesetengah masalah kehidupan mungkin berakar sebelum kita menyedarinya dan berlanjutan untuk masa yang lama. Dapatkah Bible membantu kita menyelesaikan masalah yang rumit dan yang berterusan? Fikirkan contoh-contoh ini.

KERISAUAN YANG MELAMPAU

Rosie berkata, “Saya selalu risau tentang sesetengah hal sehingga saya sangka hal itu jauh lebih teruk daripada keadaan yang sebenar.” Salah satu ayat Bible yang membantunya ialah Matius 6:34: “Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri. Cukuplah masalah untuk hari ini.” Rosie mengatakan bahawa kata-kata Yesus membantunya untuk tidak lagi khuatir tentang apa yang mungkin terjadi pada hari esok. Dia menambah, “Masalah saya sekarang sudah cukup. Saya tidak perlu khuatir tentang situasi yang belum berlaku dan yang mungkin tidak akan berlaku.”

Yasmine juga pernah dikuasai kekhuatiran. “Saya akan nangis beberapa hari dalam seminggu, dan ada kalanya tidak dapat tidur. Saya rasa seperti ditelan hidup-hidup oleh fikiran yang negatif.” Apakah yang membantunya? Nasihat di 1 Petrus 5:7 menyatakan, “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.” Yasmine berkata, “Seraya masa berlalu, saya terus berdoa kepada Yehuwa, dan Dia menjawab doa saya. Beban saya yang berat seolah-olah diangkat. Kadangkala fikiran yang negatif datang semula, tapi kini saya tahu mengawalnya.”

SIKAP BERLENGAH-LENGAH

Seorang wanita muda yang bernama Isabella berkata, “Saya rasa saya mewarisi sikap ini daripada ayah. Saya tangguhkan hal yang penting semata-mata untuk relaks atau tonton TV. Tabiat buruk ini akan menambahkan stres dan menjejaskan mutu kerja.” Prinsip Bible yang membantunya tercatat di 2 Timotius 2:15: “Berusahalah sedaya upaya untuk mempersembahkan dirimu kepada Tuhan sebagai orang yang diperkenankan-Nya, sebagai pekerja yang tidak malu dengan pekerjaannya.” Isabella berkata, “Saya tidak mahu Yehuwa berasa malu dengan pekerjaan saya kerana saya suka berlengah-lengah.” Kini dia sudah membuat banyak kemajuan.

Kelsey juga ada masalah yang sama. Dia berkata, “Saya akan berlambat-lambat sehingga saat terakhir. Barulah saya menangis, tidak tidur, dan risau. Sikap ini memudaratkan saya.” Kelsey telah dibantu setelah merenungkan ayat di Amsal 13:16: “Orang bijak bertindak berdasarkan pengetahuan; orang bodoh mendedahkan kebodohan dirinya sendiri.” Dia menjelaskan, “Perancangan awal ialah langkah yang bijak dan praktikal. Sekarang di meja saya ada jadual tugasan agar saya dapat buat rancangan dan tidak menunggu sehingga saat terakhir.”

PERASAAN SUNYI

“Suami saya meninggalkan saya dan empat orang anak kecil,” kata Kirsten. Apakah prinsip Bible yang membantunya? Amsal 17:17 menyatakan, “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.” Semasa Kirsten meminta bantuan daripada sahabat yang menyembah Yehuwa, apakah hasilnya? “Mereka memberikan bantuan dalam pelbagai cara. Ada yang tinggalkan barang keperluan dan bunga di depan pintu saya. Sebanyak tiga kali, mereka datang beramai-ramai untuk bantu saya dan anak-anak pindah rumah. Seorang lagi bantu saya cari kerja. Kawan-kawan saya sentiasa sedia membantu.”

Delphine, yang disebut tadi, berkata, “Saya berasa bahawa orang lain semuanya hidup bahagia, tetapi saya seperti menjenguk kebahagiaan mereka melalui tingkap sahaja. Saya rasa sunyi sekali.” Satu ayat Bible yang membantunya ialah Mazmur 68:6: “Tuhan menyediakan tempat tinggal untuk orang yang bersendirian.” Dia menjelaskan, “Saya tahu bahawa ‘tempat tinggal’ yang disediakan Tuhan itu bukan sekadar kediaman, tetapi rumah rohani yang memberikan keselamatan sejati. Di situ, saya dapat menikmati hubungan yang akrab dan kasih sayang antara mereka yang mengasihi Yehuwa. Namun saya sedar bahawa untuk menghampiri mereka, saya perlu menghampiri Yehuwa dahulu. Nasihat di Mazmur 37:4 telah membantu saya: ‘Carilah kebahagiaan yang datang daripada Yehuwa, lalu Dia akan mengabulkan segala keinginan hatimu.’”

Delphine juga berkata, “Saya sedar saya perlu mengeratkan hubungan saya dengan Yehuwa. Dialah Sahabat yang terbaik. Saya buat satu senarai aktiviti yang dapat saya nikmati bersama orang yang mengasihi Yehuwa, supaya saya dapat mendekati mereka. Saya belajar untuk bertumpu kepada sifat baik dan bukannya ketidaksempurnaan mereka.”

Sudah pasti, sahabat kita yang menyembah Yehuwa masih tidak sempurna. Saksi-Saksi Yehuwa juga dilanda masalah seperti orang lain. Tetapi nasihat Bible mendorong seseorang agar berusaha membantu orang lain, dan orang sebeginilah yang kita inginkan sebagai sahabat. Namun, dapatkah prinsip Bible membantu kita apabila masalah yang kita hadapi tidak dapat diselesaikan sekarang, seperti masalah kesihatan yang kronik dan kematian orang tersayang?

Dengan menerapkan nasihat Bible, anda dapat menemui sahabat yang bersedia menyokong anda