CARA MEMUTUSKAN KITARAN KEBENCIAN
2 | Jangan Membalas Dendam
Ajaran Bible:
“Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan terhadap sesiapa pun. . . . Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai dengan semua orang. . . . janganlah membalas dendam, . . . kerana ada tertulis, ‘Yehuwa berfirman, “Akulah yang akan menuntut pembalasan, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.”’”—ROMA 12:17-19.
Maksudnya:
Jika seseorang melayan kita dengan buruk, memang biasa untuk berasa marah. Namun, Tuhan tidak mahu kita membalas dendam. Sebaliknya, Dia mahu kita bersabar kerana Dia sudah berjanji untuk menegakkan keadilan tidak lama lagi.—Mazmur 37:7, 10.
Apa yang Boleh Anda Lakukan:
Apabila manusia yang tidak sempurna cuba membalas dendam, hal itu hanya akan memarakkan api kebencian. Maka, jika seseorang menyinggung perasaan anda atau melayan anda dengan buruk, janganlah membalas dendam. Cubalah bertenang dan kawallah reaksi anda. Dalam sesetengah situasi, adalah lebih baik jika anda melupakan apa yang telah berlaku. (Amsal 19:11) Dalam situasi lain pula, adalah lebih baik jika anda melakukan sesuatu. Misalnya, jika anda menjadi mangsa jenayah, anda boleh melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa, contohnya pihak polis.
Membalas dendam hanya merugikan diri sendiri
Namun, bagaimana pula jika suatu masalah nampaknya tidak dapat diselesaikan dalam cara yang damai? Atau anda sudah cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah itu, tetapi tidak berjaya? Dalam keadaan sebegini, janganlah membalas dendam, kerana perbuatan ini bagaikan menuang minyak ke dalam api. Sebaliknya, putuskanlah kitaran kebencian. Percayalah bahawa Tuhan mengetahui cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah itu. Bible menasihati kita, “Bergantunglah pada-Nya, dan Dia akan bertindak bagi pihakmu.”—Mazmur 37:3-5.