Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CARA MEMUTUSKAN KITARAN KEBENCIAN

3 | Singkirkan Kebencian daripada Fikiran Anda

3 | Singkirkan Kebencian daripada Fikiran Anda

Ajaran Bible:

“Ubahlah fikiran kamu agar kamu dapat mengetahui kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.”​ROMA 12:2.

Maksudnya:

Tuhan menyelidiki fikiran kita. (Yeremia 17:10) Jadi kita bukan sahaja mahu mengelak daripada mengatakan atau melakukan apa-apa yang menunjukkan kebencian, tetapi kita juga perlu segera berhenti memikirkan hal-hal yang membuat kita berasa benci. Hal ini demikian kerana kebencian bermula dalam hati dan minda. Dengan menyingkirkan kebencian daripada hati dan minda, barulah kita dapat ‘mengubah fikiran’ kita dan memutuskan kitaran kebencian.

Apa yang Boleh Anda Lakukan:

Periksalah fikiran dan perasaan anda terhadap orang lain, terutamanya orang daripada bangsa atau negara lain. Tanyalah diri dengan jujur, “Apakah pandangan saya terhadap mereka? Adakah saya mempunyai pandangan itu kerana saya benar-benar mengenali mereka, atau adakah saya dipengaruhi sikap prasangka?” Selain itu, elakkanlah media sosial, wayang, atau hiburan yang menggalakkan kebencian dan keganasan.

Firman Tuhan dapat membantu kita menyingkirkan kebencian daripada hati dan minda kita

Tidak selalunya mudah untuk jujur dengan diri sendiri, tetapi Bible dapat membantu kita untuk “menilai fikiran dan niat hati” kita. (Ibrani 4:12) Jadi, teruslah mengkaji Bible. Bandingkanlah fikiran anda dengan ajaran Bible dan berusahalah untuk memupuk fikiran yang dapat menyenangkan hati Tuhan. Firman Tuhan sememangnya dapat membantu kita menyingkirkan kebencian “yang sudah berurat berakar” dalam hati dan minda kita.​—2 Korintus 10:4, 5.