Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Betul atau Salah? Bible​—Bimbingan yang Dapat Dipercayai

Betul atau Salah? Bible​—Bimbingan yang Dapat Dipercayai

Jika kita hanya bergantung pada perasaan sendiri atau perasaan orang lain untuk menentukan apa yang betul dan salah, hasilnya tidak semestinya baik. Bible bukan sahaja menjelaskan mengapa perasaan manusia tidak dapat dipercayai dengan sepenuhnya, tetapi juga menyediakan bimbingan moral yang dapat dipercayai. Dengan mengikut bimbingan Bible, kita dapat hidup puas dan bahagia.

BIMBINGAN YANG KITA PERLUKAN

Dalam Bible, Tuhan Yehuwa a menjelaskan bahawa manusia tidak dapat menentukan segala-galanya dalam jalan hidup sendiri dan memerlukan bimbingan-Nya. (Yeremia 10:23) Itulah sebabnya Dia memberi kita bimbingan moral menerusi Bible. Dia mengasihi umat manusia dan tidak mahu kita membuat keputusan buruk yang akan menyakiti kita dan membuat hidup kita susah. (Ulangan 5:29; 1 Yohanes 4:8) Selain itu, sebagai Pencipta kita, Dia memiliki kebijaksanaan dan pengetahuan yang tidak terhingga. Maka, Dia dapat memberi kita nasihat yang terbaik. (Mazmur 100:3; 104:24) Namun, Tuhan tidak pernah memaksa orang untuk hidup menurut standard-Nya.

Yehuwa telah memberi pasangan manusia yang pertama, iaitu Adam dan Hawa, segala yang diperlukan untuk hidup bahagia. (Kejadian 1:​28, 29; 2:​8, 15) Dia juga memberi mereka beberapa arahan yang mudah dipatuhi. Namun, Dia memberi mereka kebebasan untuk memilih sama ada mereka mahu patuh atau tidak. (Kejadian 2:​9, 16, 17) Sedihnya, Adam dan Hawa memilih untuk hidup menurut standard sendiri dan tidak mematuhi Tuhan. (Kejadian 3:6) Apakah akibatnya? Adakah manusia lebih bahagia setelah mengikut standard sendiri tentang apa yang betul dan salah? Tidak. Sejarah membuktikan bahawa apabila manusia mengetepikan standard Tuhan, mereka tidak dapat menikmati kedamaian dan kebahagiaan yang berkekalan.​—Pengkhutbah 8:9.

Tidak kira apa latar belakang kita, bimbingan dalam Bible dapat membantu kita untuk membuat keputusan yang bijak. (2 Timotius 3:​16, 17; lihat kotak “ Buku untuk Semua Orang.”) Mengapakah bimbingan Bible begitu berkesan?

Belajar lebih lanjut tentang sebabnya Bible dipanggil “perkhabaran daripada Tuhan.”​—1 Tesalonika 2:13. Lihat video Siapakah Pengarang Bible? di jw.org.

BIBLE MENGANDUNGI BIMBINGAN TUHAN

Bible mencatatkan hubungan Tuhan dengan manusia sejak ribuan tahun dahulu. Melalui catatan Bible, kita dapat mengetahui pandangan Tuhan tentang apa yang betul dan salah, atau apa yang bermanfaat dan berbahaya. (Mazmur 19:​7, 11) Dengan mengetahui pandangan Tuhan, kita mempelajari prinsip-prinsip yang sentiasa berguna, yang dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak.

Sebagai contoh, perhatikan nasihat yang terdapat di Amsal 13:20: “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak, tetapi orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” Prinsip ini sangat berguna, baik pada zaman kuno, mahupun pada zaman sekarang. Bible kaya dengan prinsip-prinsip sebegini.​—Lihat juga kotak “ Nasihat Bible—Tidak Luput Ditelan Masa.”

Anda mungkin tertanya-tanya, “Bagaimanakah saya boleh percaya bahawa bimbingan moral Bible memang berkesan hari ini?” Rencana seterusnya mengandungi beberapa kisah benar.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.​—Mazmur 83:18.