Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Anda Dapat Hidup Kekal di Bumi

Anda Dapat Hidup Kekal di Bumi

HARAPAN YANG MENAKJUBKAN! Pencipta kita telah berjanji untuk memberi kita kehidupan kekal di bumi. Namun, ramai orang rasa bahawa hal itu mustahil. Mereka berfikir, “Semua orang akhirnya akan mati. Hidup dan mati memang hal biasa.” Yang lain pula berasa bahawa kita dapat hidup selama-lamanya, tetapi kita harus mati dan pergi ke syurga terlebih dahulu. Apakah pandangan anda?

Sebelum menjawab soalan itu, cuba fikirkan jawapan Bible kepada tiga soalan ini: Bagaimanakah cara manusia diciptakan menunjukkan berapa lama mereka sepatutnya hidup? Apakah tujuan asal Tuhan bagi bumi dan manusia? Bagaimanakah maut mula menjangkiti manusia?

MANUSIA​—CIPTAAN YANG UNIK

Manusia ialah ciptaan yang paling unik antara semua ciptaan di bumi. Mengapa? Kerana hanya manusia yang dicipta “menurut gambaran Tuhan.” (Kejadian 1:26, 27) Maksudnya, hanya manusia dapat mencerminkan sifat-sifat Tuhan, seperti kasih dan keadilan.

Selain itu, manusia juga dikurniai kebolehan untuk berfikir, membuat pertimbangan, membezakan antara baik dan jahat, dan dikurniai keinginan untuk mengenali dan bersahabat dengan Tuhan. Itulah sebabnya kita dapat mengagumi alam semesta yang luas, menikmati keindahan alam semula jadi, dan menghargai seni, muzik, dan puisi. Penting sekali, hanya manusia yang diberi kebolehan untuk menyembah Pencipta. Itulah sebabnya terdapat jurang perbezaan yang begitu besar antara manusia dengan semua makhluk lain di bumi.

Fikirkan: Adakah Tuhan mengurniai manusia segala sifat, kebolehan, dan potensi yang begitu hebat untuk digunakan selama beberapa tahun sahaja? Tidak. Tuhan memberi manusia semua kurniaan yang istimewa itu supaya kita dapat menikmati kehidupan di bumi untuk selama-lamanya.

TUJUAN ASAL TUHAN

Sesetengah orang mengatakan bahawa Tuhan tidak pernah merancang untuk membiarkan manusia hidup selama-lamanya di bumi. Mereka percaya bahawa Tuhan menciptakan bumi sebagai tempat tinggal sementara bagi manusia, supaya Dia dapat menguji kita dan menentukan siapa yang layak tinggal selama-lamanya di syurga bersama-Nya. Namun, jika kepercayaan tersebut benar, hal itu bermaksud Tuhanlah penyebab segala masalah dan kejahatan di bumi. Mustahil Tuhan akan berbuat demikian, kerana Bible menyatakan, “Segala haluan-Nya sempurna dan saksama. Dia Tuhan yang setia dan tidak berat sebelah; Dia Tuhan yang adil dan benar.”​—Ulangan 32:4.

Bible memberitahu kita dengan jelas tujuan asal Tuhan bagi bumi. Bible menyatakan, “Syurga ialah kepunyaan Yehuwa, tetapi Dia telah memberikan bumi kepada manusia.” (Mazmur 115:16) Ya, Tuhan telah menciptakan bumi untuk menjadi kediaman yang kekal dan cantik bagi manusia, dan Dia telah memenuhinya dengan segala sesuatu yang kita perlukan untuk menikmati hidup buat selama-lamanya.​—Kejadian 2:8, 9.

“Syurga ialah kepunyaan Yehuwa, tetapi Dia telah memberikan bumi kepada manusia.”​—Mazmur 115:16

Bible juga menjelaskan tujuan Tuhan bagi manusia. Dia memerintahkan manusia pertama untuk ‘memenuhi bumi dan menguasai semua makhluk hidup di bumi.’ (Kejadian 1:28) Mereka mendapat peluang istimewa untuk menjaga dan meluaskan bumi Firdaus. Sesungguhnya, peluang yang menantikan Adam, Hawa, dan keturunan mereka ialah kehidupan kekal di bumi, bukannya di syurga.

MENGAPAKAH KITA MATI?

Jadi, mengapakah kita akan mati? Bible menjelaskan bahawa salah satu makhluk roh, yang kemudiannya dikenali sebagai Syaitan Si Iblis, telah memberontak dan cuba merosakkan rancangan Tuhan di Taman Eden. Bagaimana?

Syaitan memberitahu Adam dan Hawa bahawa mereka kekurangan sesuatu yang baik kerana Tuhan tidak memberi mereka hak untuk menentukan apa yang betul dan salah. Oleh itu, Adam dan Hawa memilih untuk menyertai pemberontakan Syaitan dan melawan Tuhan. Apakah akibatnya? Seperti yang difirmankan oleh Tuhan, mereka akhirnya mati. Mereka kehilangan peluang untuk hidup kekal di bumi Firdaus.​—Kejadian 2:17; 3:1-6; 5:5.

Perbuatan Adam dan Hawa telah mempengaruhi manusia sampai hari ini. Firman Tuhan menjelaskan, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [Adam], dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang.” (Roma 5:12) Ya, kita mati kerana kita mewarisi dosa dan kematian daripada Adam dan Hawa, bukan kerana kematian ialah ketentuan atau rancangan Tuhan.

ANDA BOLEH HIDUP KEKAL DI BUMI

Pemberontakan di Eden tidak menggagalkan tujuan asal Tuhan bagi manusia dan bumi. Kasih dan keadilan Tuhan yang sempurna telah mendorong-Nya untuk membuka jalan supaya kita dibebaskan daripada dosa dan kematian yang diwariskan oleh Adam. Rasul Paulus menjelaskan, “Upah dosa ialah kematian, tetapi kurniaan daripada Tuhan ialah kehidupan kekal melalui Kristus Yesus, Tuan kita.” (Roma 6:23) Tuhan dengan pengasih telah “memberikan Anak tunggal-Nya [Yesus Kristus], supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” (Yohanes 3:16) Dengan mempersembahkan dirinya sebagai korban tebusan, Yesus telah menebus kembali segala berkat yang dihilangkan oleh Adam. *

Janji Tuhan tentang bumi firdaus akan menjadi nyata tidak lama lagi. Masa depan yang indah ini dapat menjadi milik anda jika anda mengikut nasihat Yesus, “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu yang lebar dan jalan yang luas menuju kebinasaan. Ramai orang melalui jalan itu. Tetapi pintu yang sempit dan jalan yang susah menuju kehidupan. Hanya sedikit orang menjumpai jalan itu.” (Matius 7:13, 14) Ya, masa depan anda berada dalam tangan anda. Apakah yang akan anda lakukan?

^ Untuk mengetahui manfaat tebusan bagi anda, lihat pelajaran 27 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Boleh dimuat turun secara percuma dari www.pr418.com/ms.