Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Meramalkan Masa Depan

Meramalkan Masa Depan

Pernahkah anda terfikir tentang masa depan anda dan keluarga anda? Adakah kehidupan anda akan makmur atau miskin, dipenuhi kasih atau kesunyian? Adakah anda akan panjang umur? Manusia sudah memikirkan soalan sebegini selama ribuan tahun.

Terdapat pakar yang mengkaji keadaan dunia untuk meramalkan masa depan. Banyak ramalan mereka memang terjadi, tetapi ada pula yang tidak berlaku, malah jauh berbeza daripada realiti. Contohnya, pada tahun 1912, Guglielmo Marconi, pencipta sejenis telegraf tanpa kabel, dikatakan membuat ramalan ini: “Kedatangan zaman tanpa wayar akan menghentikan peperangan.” Seorang ejen daripada Syarikat Rekod Decca, yang menolak kumpulan Beatles pada tahun 1962, percaya bahawa kumpulan pemain gitar akan menjadi tidak popular.

Ramai yang menggunakan kuasa ghaib untuk mengetahui masa depan. Ada yang minta nasihat ahli nujum atau membaca horoskop dalam majalah dan surat khabar. Ada yang cari tukang tilik atau psikik yang kononnya dapat “membaca” masa depan dengan melihat kad tarot, angka, atau telapak tangan.

Pada zaman kuno, sesetengah orang meminta nasihat ahli ramal, yang dikatakan mewakili dewa atau dewi tertentu. Contohnya, menurut laporan, Raja Croesus dari Lydia menghantar hadiah yang sangat mahal kepada seorang ahli ramal di Delphi, Yunani, untuk mengetahui apa yang akan berlaku jika dia melawan Kores, raja Persia. Setelah ahli ramal itu memberitahunya bahawa dia akan menghancurkan “sebuah empayar besar,” Croesus melancarkan serangannya dengan yakin. Tetapi akhirnya empayar besar yang hancur itu ialah empayar Croesus sendiri!

Sebenarnya, ramalan itu langsung tidak berguna​—tidak kira siapa yang menang, ramalan itu akan kelihatan betul. Maklumat yang salah itu telah membawa kerugian besar kepada Croesus. Bagaimana pula dengan kaedah ramalan yang popular pada zaman moden?