Tuhan Akan Mengakhiri Penderitaan Tidak Lama Lagi
“Ya Yehuwa, berapa lama lagi aku harus berseru meminta tolong? Bilakah Engkau akan mendengarkan seruanku? Berapa lama lagi aku harus berseru meminta bantuan? Bilakah Engkau akan menyelamatkan aku daripada keganasan?” (Habakuk 1:2, 3) Demikianlah rayuan Habakuk, seorang lelaki baik yang disenangi Tuhan. Adakah dia berkata demikian kerana imannya lemah? Tidak. Tuhan meyakinkan Habakuk bahawa Dia sudah menentukan masa untuk mengakhiri penderitaan.—Habakuk 2:2, 3.
Apabila kita atau orang tersayang kita menderita, kita mungkin cepat berfikir bahawa Tuhan lambat bertindak. Namun Bible meyakinkan kita, “Yehuwa tidak berlambat-lambat untuk menunaikan janji-Nya, seperti yang difikirkan oleh sesetengah orang. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.”—2 Petrus 3:9.
BILAKAH TUHAN AKAN BERTINDAK?
Tidak lama lagi! Yesus menjelaskan bahawa satu generasi manusia akan menyaksikan beberapa keadaan unik yang akan menandakan hari-hari terakhir bagi “sistem ini.” (Matius 24:3-42) Keadaan-keadaan yang disebut oleh Yesus sedang berlaku pada zaman kita. Maksudnya, waktu Tuhan bertindak sudah di ambang pintu. *
Bagaimanakah Tuhan akan menghapuskan penderitaan? Semasa Yesus berada di bumi, dia menunjukkan kebolehan Tuhan untuk berbuat demikian. Perhatikan beberapa contoh.
Bencana Alam: Semasa Yesus dan para rasulnya belayar di Tasik Galilea, perahu mereka hampir karam akibat ribut yang kencang. Namun Yesus menunjukkan bahawa dia dan Bapanya dapat mengawal unsur alam. (Kolose 1:15, 16) Yesus hanya berkata, “Diam! Tenanglah!” lalu “angin pun reda dan tasik menjadi tenang sekali.”—Markus 4:35-39.
Penyakit: Yesus dikenali kerana dapat menyembuhkan orang yang buta dan tempang, serta mereka yang menderita penyakit sawan, kusta, dan masalah kesihatan yang lain. “Dia juga menyembuhkan semua orang sakit.”—Matius 4:23, 24; 8:16; 11:2-5.
Kebuluran: Yesus telah menggunakan kuasa yang diberikan Bapanya untuk menggandakan bekalan makanan. Catatan Bible menunjukkan bahawa dia memberikan makanan kepada ribuan orang sebanyak dua kali.—Matius 14:14-21; 15:32-38.
Kematian: Kebolehan Yehuwa untuk mengalahkan maut ditonjolkan melalui tiga pembangkitan yang dilakukan Yesus. Salah seorang yang dibangkitkan oleh Yesus telah meninggal selama empat hari.—Markus 5:35-42; Lukas 7:11-16; Yohanes 11:3-44.
^ per. 5 Untuk maklumat lanjut tentang hari-hari terakhir, lihat pelajaran 32 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dan dapat dimuat turun secara percuma di www.pr418.com/ms.