Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Maut Menantikan Kita Semua

Maut Menantikan Kita Semua

BAYANGKAN anda sedang menonton sebuah filem tentang kehidupan seorang selebriti, mungkin tentang seorang artis kegemaran anda. Pada mulanya, anda melihat zaman kanak-kanaknya, bagaimana dia belajar muzik dan menghabiskan banyak masa untuk berlatih. Kemudian, anda melihatnya menjelajah ke pelbagai tempat untuk mengadakan konsert lalu menjadi terkenal di seluruh dunia. Tidak lama selepas itu, anda melihat usianya semakin meningkat, dan akhirnya dia meninggal.

Beginilah kehidupan ramai orang yang terkenal. Tidak kira mereka ialah ahli muzik, ahli sains, atau ahli sukan, kesudahan mereka tetap sama. Seseorang mungkin meraih kejayaan yang besar dalam hidupnya, tetapi anda mungkin berfikir, “Jika dia tidak menjadi tua lalu mati, sudah pasti dia dapat melakukan lebih banyak lagi!”

Sedihnya, itulah hakikat kehidupan. (Pengkhutbah 9:5) Walau apa pun yang kita lakukan, kita pasti akan menjadi tua lalu mati. Bukan itu sahaja, nyawa kita mungkin tiba-tiba diragut akibat kemalangan atau penyakit. Bible menyatakan bahawa kita “bagaikan kabus yang muncul seketika lalu lenyap begitu sahaja.”​—Yakobus 4:14.

Bagi sesetengah orang, hidup ini tidak menentu dan tidak bermakna. Mereka hilang harapan dan berasa bahawa nyawa mereka mungkin akan berakhir pada bila-bila masa. Oleh itu mereka mengamalkan gaya hidup yang mencerminkan sikap ini: “Marilah kita makan dan minum kerana esok kita akan mati.” (1 Korintus 15:32) Bagaimana pula dengan pandangan anda? Semasa mengharungi detik-detik yang susah, pernahkah anda tertanya-tanya, “Begini sahajakah kehidupan ini?” Dari manakah anda dapat mencari jawapannya?

Ramai orang berharap agar ahli sains dapat menemui jawapannya. Kemajuan dalam bidang sains dan perubatan memang membolehkan manusia hidup lebih lama, dan sesetengah ahli sains sedang mencari jalan untuk melanjutkan lagi umur kita. Tidak kira para ahli sains itu berjaya ataupun tidak, soalan-soalan berikut masih perlu dijawab: Mengapakah kita menjadi tua dan mati? Dapatkah kematian dikalahkan? Begini sahajakah kehidupan ini? Rencana-rencana berikut akan menjawabnya.