Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah pengubahsuaian genetik kunci kepada kehidupan abadi?

Usaha untuk Melanjutkan Usia

Usaha untuk Melanjutkan Usia

“Tuhan telah membuat segala sesuatu dengan baik, tepat pada waktunya. Dia telah menyematkan keabadian ke dalam hati manusia.”​Pengkhutbah 3:11.

KATA-KATA Raja Salomo itu tepat menggambarkan perasaan manusia tentang kehidupan. Oleh sebab nyawa itu singkat dan kematian tidak dapat dielakkan, manusia sentiasa berusaha melanjutkan jangka hayat mereka. Sejak dahulu lagi, sejarah manusia penuh dengan kisah dan legenda tentang orang yang mencari rahsia untuk memanjangkan umur.

Fikirkan contoh Gilgamesh, seorang raja Sumeria. Terdapat banyak kisah dongeng tentang kehidupannya. Salah satu kisah itu, yang tercatat dalam Epik Gilgamesh, mengatakan bahawa dia telah membuat perjalanan yang berbahaya untuk menemui rahsia kehidupan abadi. Namun, usahanya gagal.

Seorang ahli kimia zaman dahulu dalam makmalnya

Pada abad keempat SM, ahli kimia di China mencuba menghasilkan “air kehidupan” yang dapat memanjangkan hayat. Akhirnya, mereka menghasilkan cecair yang mengandungi unsur merkuri dan arsenik. Air itu dipercayai telah menyebabkan kematian beberapa orang maharaja China. Pada zaman pertengahan di Eropah pula, sebilangan ahli kimia berusaha mengubah emas menjadi bahan yang dapat dimakan. Mereka percaya bahawa emas dapat melanjutkan usia manusia kerana logam itu tidak dapat dimusnahkan.

Hari ini terdapat ahli biologi dan pakar genetik yang berusaha membongkar misteri penuaan. Pencarian mereka menunjukkan bahawa sampai sekarang, manusia masih berharap dapat menemui penawar kepada usia tua dan kematian. Namun, apakah hasil usaha mereka?

TUHAN TELAH “MENYEMATKAN KEABADIAN KE DALAM HATI MANUSIA.”​—PENGKHUTBAH 3:11

MENCARI PUNCA PENUAAN PADA ZAMAN INI

Ahli sains yang mengkaji sel manusia mempunyai lebih daripada 300 teori untuk menjelaskan sebabnya kita menjadi tua dan mati. Beberapa tahun belakangan ini, ahli biologi molekul berjaya membuat pengubahsuaian genetik dan protein untuk melambatkan proses penuaan haiwan di dalam makmal dan sel manusia. Perkembangan sebegini telah mendorong sesetengah orang yang terkemuka untuk membiayai penyelidikan yang bertujuan mengatasi “masalah kematian.” Apakah hasilnya?

Rahsia awet muda. Sesetengah ahli biologi percaya bahawa satu punca utama penuaan ialah pemendekan telomer, iaitu bahagian hujung pada kromosom. Fungsi telomer adalah untuk melindungi maklumat genetik dalam sel semasa sel membiak. Tetapi setiap kali sel membahagi, telomer akan menjadi semakin pendek. Akhirnya sel tidak dapat membahagi lagi, dan seseorang pun menjadi tua.

Elizabeth Blackburn, seorang penerima anugerah Nobel pada tahun 2009, dan pasukannya telah mengenal pasti sejenis enzim yang dapat melambatkan pemendekan telomer, justeru memperlambat penuaan sel. Namun, dalam laporan mereka, mereka mengakui bahawa telomer “bukanlah kunci untuk memanjangkan usia. Kita masih tidak dapat hidup melebihi jangka hayat normal bagi manusia.”

Pemprograman semula sel merupakan satu lagi usaha untuk melawan penuaan. Apabila sel kita menjadi terlalu tua untuk membahagi, sel-sel itu mungkin menghantar isyarat yang salah kepada sel pertahanan yang berdekatan, lalu menyebabkan radang, kesakitan kronik, dan penyakit. Baru-baru ini, ahli sains di Perancis telah memprogramkan semula sel yang diambil daripada warga emas, yang antara mereka berusia lebih daripada 100 tahun. Ketua pasukan penyelidik bagi projek itu, iaitu Profesor Jean-Marc Lemaître, berkata bahawa kerja mereka menunjukkan bahawa proses penuaan dalam sel dapat disongsangkan.

DAPATKAH SAINS MEMANJANGKAN HAYAT KITA?

Ramai ahli sains berkata bahawa meskipun terdapat pelbagai rawatan untuk melawan penuaan, jangka hayat manusia tidak dapat dipanjangkan. Memang benar, purata umur manusia telah meningkat sejak abad ke-19, tetapi sebab utamanya adalah kerana amalan kebersihan yang lebih baik, langkah pencegahan penyakit berjangkit, dan penggunaan antibiotik dan vaksin. Sesetengah ahli genetik percaya bahawa jangka hayat manusia sudah mencapai tahap maksimum.

Kira-kira 3,500 tahun lalu, seorang penulis Bible menyatakan, “Usia kami hanya 70 tahun, atau 80 tahun jika kami sangat kuat. Tetapi hidup kami sarat dengan kesusahan dan kesedihan. Hidup kami berlalu dalam sekelip mata, dan kami pun lenyap.” (Mazmur 90:10) Meskipun terdapat usaha untuk melanjutkan usia kita, jangka hayat manusia lebih kurang sama dengan apa yang digambarkan oleh penulis Bible itu.

Namun, hidupan seperti landak laut merah dan sejenis kerang quahog dapat hidup lebih daripada 200 tahun, dan pokok sequoia dapat hidup selama ribuan tahun. Semasa membandingkan jangka hayat kita dengan hidupan sebegini, tidakkah kita tertanya-tanya, “Mengapakah kita dapat hidup 70 atau 80 tahun sahaja?”