Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimanakah Kematian Akan Dikalahkan?

Bagaimanakah Kematian Akan Dikalahkan?

MESKIPUN perbuatan Adam dan Hawa menyebabkan umat manusia dijangkiti dosa dan kematian, tujuan Tuhan bagi manusia tidak berubah. Melalui Firman-Nya Bible, Tuhan berulang kali menekankan bahawa tujuan-Nya tetap sama.

  • “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.”​Mazmur 37:29.

  • “Dia akan melenyapkan kematian buat selama-lamanya. Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah.”​Yesaya 25:8.

  • “Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah kematian.”​1 Korintus 15:26.

  • “Kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.”​Wahyu 21:4.

Bagaimanakah Tuhan akan “melenyapkan kematian”? Bible jelas menyatakan bahawa “orang yang melakukan apa yang benar” akan hidup selama-lamanya, tetapi Bible juga mengatakan, “Tiada orang baik di bumi yang selalu berbuat baik.” (Pengkhutbah 7:20) Jika begitu, adakah Tuhan akan mengetepikan hukum-Nya tentang apa yang benar, supaya manusia yang berdosa dapat hidup selama-lamanya? Hal itu mustahil kerana “Tuhan . . . tidak dapat berdusta.” (Titus 1:2) Jadi, bagaimanakah Tuhan akan mencapai tujuan asal-Nya bagi manusia?

TUHAN “AKAN MELENYAPKAN KEMATIAN BUAT SELAMA-LAMANYA.”​—YESAYA 25:8

MENYEDIAKAN TEBUSAN UNTUK MENGALAHKAN KEMATIAN

Yehuwa, Tuhan kita yang pengasih, telah menyediakan tebusan untuk menyelamatkan manusia daripada kematian. Tebusan merupakan sesuatu yang sama nilainya, yang dibayar sebagai ganti rugi atau untuk memenuhi syarat keadilan. Memandangkan semua orang berdosa dan dijatuhkan hukuman mati, Bible menyatakan, “Tiada seorang pun yang dapat menebus saudaranya atau membayar harga tebusan kepada Tuhan bagi saudaranya, (harga tebusan untuk nyawa manusia begitu mahal, dan tidak mungkin dapat dibayar sampai bila-bila).”​—Mazmur 49:7, 8.

Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita tidak dapat menebus diri sendiri ataupun orang lain daripada kematian. Semasa kita mati, kita hanya membayar hutang dosa sendiri. (Roma 6:7) Oleh itu, kita memerlukan seorang manusia yang sempurna dan tidak berdosa untuk mengorbankan nyawanya sebagai bayaran, bukan untuk dosanya tetapi untuk dosa kita.​—Ibrani 10:1-4.

Itulah yang dilakukan Tuhan. Dia mengutus Anak-Nya Yesus dari syurga untuk dilahirkan di bumi sebagai seorang manusia yang sempurna dan tidak berdosa. (1 Petrus 2:22) Yesus berkata bahawa dia datang ke bumi untuk “menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.” (Markus 10:45) Pengorbanan Yesus akan mengalahkan kematian dan membolehkan kita hidup kekal.—Yohanes 3:16.

BILAKAH KEMATIAN AKAN DIKALAHKAN?

Kini, kita hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi,” yang sudah dinubuatkan Bible. Hal itu membuktikan bahawa sekaranglah “hari-hari terakhir” dunia jahat ini. (2 Timotius 3:1) Selepas itu, akan tibanya “hari penghakiman dan pembinasaan orang yang tidak menghormati Tuhan.” (2 Petrus 3:3, 7) Tetapi orang yang mengasihi Tuhan akan terselamat dan “hidup selama-lamanya.”​—Matius 25:46.

Yesus datang untuk “menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.”​—Markus 10:45

Jutaan orang yang sudah meninggal pula akan dibangkitkan dan berpeluang hidup selama-lamanya. Yesus menunjukkan bahawa orang mati memang dapat dibangkitkan semasa dia pergi ke kota Nain. Dia “berasa kasihan” terhadap seorang balu yang baru kehilangan anak tunggalnya lalu membangkitkan anak itu. (Lukas 7:11-15) Paulus juga berkata, “Aku memiliki harapan bahawa Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.” Harapan yang pasti ini menonjolkan betapa besarnya kasih Tuhan terhadap manusia.​—Kisah 24:15.

Jutaan orang berpeluang untuk hidup selama-lamanya. Bible menyatakan, “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.” (Mazmur 37:29) Pada masa itu, mereka akan hidup bahagia dan menyaksikan bagaimana kata-kata Paulus yang ditulis kira-kira 2,000 tahun lalu menjadi kenyataan: “Hai maut, di manakah kemenanganmu? Hai maut, di manakah sengatmu?” (1 Korintus 15:55) Ketika itu, kematian, iaitu musuh ketat manusia, akan dikalahkan!