Berkat bagi Mereka yang Mentaati Tuhan
Musa mengatakan bahawa jika kita mentaati perintah Tuhan, kita akan diberkati. (Ulangan 10:13; 11:27) Kita mentaati Tuhan bukan kerana kita takut dihukum, tetapi kerana kita mengasihi-Nya. Sifat-sifat Tuhan yang baik mendorong kita mentaati-Nya dan menjauhi perkara-perkara yang akan membuat Tuhan berasa sedih. “Mengasihi Tuhan bererti mematuhi perintah-Nya. Perintah-Nya pun tidak membebankan.”—1 Yohanes 5:3.
Namun bagaimanakah ketaatan kepada Tuhan membawa berkat? Terdapat dua cara:
1. KITA AKAN MENJADI BIJAK
“Aku, Yehuwa, ialah Tuhan kamu. Aku mengajar kamu apa yang bermanfaat bagi kamu. Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh.”—YESAYA 48:17.
Pencipta kita, Tuhan Yehuwa, mengenali kita dan menyediakan bimbingan yang kita perlukan. Jika kita ingin membuat keputusan yang bijak, kita mesti mengkaji ajaran Tuhan dalam Ayat-Ayat Suci dan melakukan apa yang dikehendaki-Nya.
2. KITA AKAN BERSUKACITA
“Berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!”—LUKAS 11:28.
Hari ini, jutaan orang menikmati kebahagiaan sejati kerana mentaati Firman Tuhan. Perhatikan contoh seorang lelaki dari Sepanyol yang panas baran dan melayan orang lain dengan kasar, termasuk isterinya sendiri. Pada suatu hari, dia membaca kisah di buku Kejadian bab 37-45 tentang Yusuf, iaitu anak kepada Yakub. Yusuf seorang yang lemah lembut. Yusuf dijual sebagai hamba dan kemudiannya dipenjarakan walaupun dia tidak bersalah. Namun, dia tetap sabar, tenang, dan rela mengampuni orang lain. Lelaki dari Sepanyol itu berkata, “Contoh Yusuf mendorong saya untuk memupuk sifat kelemahlembutan, kebaikan, dan kawalan diri. Sekarang, hidup saya lebih bahagia.”
Ayat-Ayat Suci memberi kita lebih banyak bimbingan tentang cara melayan orang lain. Perhatikan rencana yang seterusnya.