Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dapatkah Pendidikan dan Wang Menjamin Masa Depan yang Lebih Baik?

Dapatkah Pendidikan dan Wang Menjamin Masa Depan yang Lebih Baik?

Banyak orang berfikir bahawa orang yang berpendidikan tinggi dan kaya akan memiliki masa depan yang lebih baik. Mereka percaya bahawa pendidikan di universiti akan menjadikan seseorang pekerja yang lebih cekap, ahli keluarga yang lebih baik, dan rakyat yang lebih berguna. Mereka juga mungkin berasa bahawa pendidikan tinggi akan membolehkan seseorang mendapat kerja yang bergaji tinggi dan hidup bahagia.

RAMAI YANG MEMILIHNYA

Zhang Chen, dari China, berkata, “Saya percaya saya perlu ijazah universiti supaya saya tidak hidup miskin lagi. Saya juga percaya jika saya ada kerja yang bergaji tinggi, saya pasti hidup bahagia dan puas.”

Untuk menikmati kehidupan yang lebih baik, ramai orang ingin pergi ke luar negara untuk menuntut di universiti yang terkemuka. Trend ini semakin meningkat sehinggalah COVID-19 menyebabkan perjalanan antarabangsa disekat. Sebuah laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi pada tahun 2012 menyatakan, “Antara semua pelajar yang menuntut di luar negara, 52% daripada mereka merupakan orang Asia.”

Ibu bapa sering membuat pengorbanan yang besar untuk menghantar anak mereka ke universiti di luar negara. Qixiang dari Taiwan berkata, “Ibu bapa saya tidak kaya, tapi mereka hantar kami empat adik-beradik ke universiti di Amerika Syarikat.” Untuk membayar kos pendidikan, keluarga Qixiang perlu menanggung hutang yang sangat besar. Hal itu juga berlaku kepada banyak keluarga.

APAKAH HASILNYA?

Ramai yang mengejar pendidikan tinggi dan kekayaan akhirnya kecewa

Pendidikan memang dapat meningkatkan mutu hidup. Namun, ramai pelajar mendapati bahawa pendidikan tidak selalu membawa hasil yang diingini. Contohnya, selepas menghabiskan masa bertahun-tahun dan menanggung hutang yang besar, ramai lepasan universiti tidak dapat mencari kerja yang diinginkan mereka. Sebuah laporan oleh Rachel Mui dalam akhbar Singapura Business Times menyatakan, “Masalah pengangguran lepasan universiti nampaknya semakin bertambah.” Jianjie, seorang pemegang ijazah kedoktoran dari Taiwan, menyatakan, “Ramai lepasan universiti tiada pilihan, jadi mereka terpaksa menerima kerja yang tiada kaitan dengan ijazah mereka.”

Orang yang mendapat kerja idaman mereka pun tidak semestinya puas dengan kehidupan mereka. Setelah tamat pengajian universiti di United Kingdom, Niran pulang ke Thailand dan mendapat kerja yang berkaitan dengan kursusnya. Dia berkata, “Dengan adanya ijazah, saya mendapat kerja yang bergaji tinggi. Namun, kerja itu mengambil semakin banyak masa saya. Akhirnya, syarikat itu memberhentikan kebanyakan pekerjanya, termasuk saya. Saya sedar kerja tidak dapat menjamin masa depan kita.”

Sebenarnya, orang yang kaya atau hidup mewah pun tidak terkecuali daripada masalah keluarga, masalah kesihatan, dan masalah kewangan. Katsutoshi, dari Jepun, mengaku, “Saya ada banyak wang, tetapi saya tidak gembira kerana orang lain iri hati terhadap saya, bersaing dengan saya, dan melayan saya dengan buruk.” Lam, seorang wanita di Vietnam, berkata, “Saya nampak banyak orang cuba mendapat kerja yang bergaji tinggi. Mereka fikir jika mereka ada banyak wang, hidup mereka akan terjamin. Tetapi sering kali mereka berasa risau, jatuh sakit, dan menjadi murung.”

Seperti Franklin, ramai orang sedar bahawa terdapat hal yang lebih penting daripada mengejar pendidikan tinggi dan kekayaan. Jadi, daripada bertumpu kepada harta benda, mereka berusaha untuk menjadi insan yang baik dan melakukan kerja kebajikan kerana berfikir hal-hal itu dapat memberi mereka masa depan yang baik. Apakah hasilnya? Lihatlah rencana yang seterusnya.