Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

PEMBACA BERTANYA . . .

Patutkah Orang Kristian Menyambut Krismas?

Patutkah Orang Kristian Menyambut Krismas?

Jutaan orang di serata dunia percaya bahawa Krismas ialah hari jadi Yesus Kristus. Namun, pernahkah anda terfikir sama ada orang Kristian abad pertama, iaitu orang Kristian yang paling rapat dengan Yesus, menyambut Krismas atau tidak? Tahukah anda apa yang dikatakan Bible tentang hari jadi? Jawapannya akan membantu kita menentukan sama ada orang Kristian patut menyambut Krismas atau tidak.

Bible tidak menyebut tentang sambutan hari jadi Yesus mahupun penyembah Tuhan yang lain. Bible hanya mencatatkan sambutan hari jadi dua orang. Mereka berdua bukan penyembah Tuhan Yehuwa, dan hal yang buruk telah berlaku semasa sambutan hari jadi mereka. (Kejadian 40:20; Markus 6:21) Menurut Encyclopædia Britannica, orang Kristian dahulu menolak “sambutan hari jadi yang merupakan adat kafir.”

Bilakah tarikh lahir Yesus?

Bible tidak memberitahu secara spesifik bila Yesus lahir. “Hari kelahiran Yesus tidak dapat dipastikan daripada Perjanjian Baharu atau daripada sumber mana pun,” menurut Cyclopedia McClintock dan Strong. Sudah pasti, jika Yesus mahu pengikutnya merayakan hari jadinya, dia akan memberitahu mereka tarikh kelahirannya.

Kedua, Bible tidak menyatakan bahawa Yesus atau muridnya menyambut Krismas. Menurut New Catholic Encyclopedia, sambutan Krismas disebut buat kali pertama “dalam Chronograph Philocalus, sebuah terbitan Roma yang berdasarkan maklumat seawal tahun 336 M,” lama selepas Bible disiapkan, dan ratusan tahun selepas Yesus datang ke bumi. Maka, McClintock dan Strong menyatakan bahawa “sambutan Krismas tidak berasal daripada Tuhan, dan tidak berasaskan Perjanjian Baharu.” *

Yesus menyuruh murid-muridnya untuk merayakan sambutan apa?

Yesus, Guru Agung kita, telah memberikan arahan yang jelas mengenai hal-hal yang harus dilakukan para pengikutnya. Semua arahan itu tercatat dalam Bible, tetapi menyambut Krismas tidak tergolong antaranya. Sebagaimana cikgu di sekolah tidak mahu murid-muridnya melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan kepada mereka, Yesus juga tidak mahu pengikutnya melakukan “sesuatu yang melebihi apa yang tertulis” dalam Bible.​—1 Korintus 4:6.

Namun, terdapat satu sambutan penting yang sangat dikenali orang Kristian dahulu—Peringatan kematian Yesus. Yesus telah memberitahu murid-muridnya bila sambutan itu harus dirayakan dan menunjukkan cara merayakannya. Semua arahannya, termasuk tarikh kematiannya, dicatatkan dalam Bible.​—Lukas 22:19; 1 Korintus 11:25.

Seperti yang telah kita lihat, Krismas ialah sambutan hari jadi, dan orang Kristian dahulu tidak menyambut perayaan kafir itu. Lagipun, Bible tidak menyebut bahawa Yesus atau orang lain menyambut Krismas. Oleh itu, jutaan orang Kristian di serata dunia telah menyimpulkan bahawa mereka tidak patut menyambut Krismas.

^ per. 6 Untuk lebih banyak maklumat tentang asal usul tradisi Krismas, lihat rencana “Pembaca Bertanya . . . Apa Saja Fakta tentang Natal?” dalam Menara Pengawal 1 Disember 2014 dalam bahasa Indonesia. Juga terdapat di www.pr418.com.