Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Biarlah Ketabahan Kamu Mencapai Tujuannya”

“Biarlah Ketabahan Kamu Mencapai Tujuannya”

“Biarlah ketabahan kamu mencapai tujuannya, supaya kamu menjadi serba lengkap, tidak bercela dalam segala hal, dan tidak kekurangan apa-apa pun.”—YAK. 1:4.

LAGU: 135, 139

1, 2. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada ketabahan Gideon dan 300 orang askarnya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Menurut Lukas 21:19, mengapakah ketabahan sangat penting?

BAYANGKAN pertempuran yang sengit apabila askar Israel yang dipimpin oleh Hakim Gideon berperang dengan askar musuh. Sepanjang malam, Gideon dan para askarnya mengejar orang Midian serta sekutu mereka sejauh 32 km! Bible berkata, “Gideon bersama dengan tiga ratus orang anak buahnya telah sampai ke Sungai Yordan dan telah menyeberanginya. Mereka letih sekali.” Namun mereka belum mendapat kemenangan, dan masih perlu melawan 15,000 orang askar. Mereka tidak harus berputus asa kerana musuh telah menindas mereka selama bertahun-tahun. Maka, Gideon dan para askarnya “terus mengejar musuh” sehingga tewas!—Hak. 7:22; 8:4, 10, 28.

2 Kita juga berada dalam pertempuran yang sengit. Syaitan, dunianya, dan ketidaksempurnaan kita merupakan musuh kita. Sesetengah daripada kita telah melawan musuh-musuh ini selama bertahun-tahun. Dengan bantuan Yehuwa, kita berjaya memenangi banyak pertempuran. Namun, kita belum mendapat kemenangan mutlak. Ada kalanya kita mungkin berasa penat untuk melawan. Kita juga mungkin berasa letih kerana telah lama menunggu akhir sistem dunia ini. Yesus memberikan amaran bahawa kita akan mengalami cabaran dan penganiayaan yang teruk pada hari-hari terakhir. Tetapi, dia juga berkata bahawa jika kita bertabah, kita pasti menang. (Baca Lukas 21:19.) Apakah itu ketabahan? Apakah yang membantu kita bertabah? Apakah yang dapat kita pelajari daripada mereka yang menunjukkan ketabahan? Bagaimanakah kita dapat ‘membiarkan ketabahan mencapai tujuannya’?—Yak. 1:4.

APAKAH ITU KETABAHAN?

3. Apakah maksud ketabahan?

3 Dalam Bible, ketabahan bukan sekadar bertahan menghadapi kesusahan. Sifat ini melibatkan perasaan, pemikiran, serta cara kita berdepan dengan cabaran. Ketabahan membantu kita untuk menjadi berani, setia, dan sabar. Sebuah rujukan mengatakan bahawa ketabahan membantu kita memiliki harapan yang kukuh dan tidak berputus asa. Sifat ini membantu kita berdiri teguh dan tidak tergoyah walaupun menghadapi cabaran teruk. Sifat ini juga membolehkan kita bertumpu kepada matlamat kita, bukannya kepada keperitan yang dialami. Dengan demikian, kita akan berjaya mengatasi cabaran.

4. Mengapakah ketabahan didorong oleh kasih?

4 Kasih mendorong kita untuk bertabah. (Baca 1 Korintus 13:4, 7.) Bagaimana? Kasih kepada Yehuwa mendorong kita untuk tabah menghadapi segala kesusahan yang diizinkan-Nya. (Luk. 22:41, 42) Kasih kepada saudara saudari membantu kita untuk bersabar dengan ketidaksempurnaan mereka. (1 Ptr. 4:8) Kasih kepada pasangan hidup pula membolehkan kita tabah menghadapi “kesusahan” yang dialami oleh semua suami isteri. Kasih dapat mengeratkan hubungan perkahwinan kita.—1 Kor. 7:28.

APAKAH YANG MEMBANTU ANDA UNTUK BERTABAH?

5. Mengapakah Yehuwa layak membantu kita bertabah?

5 Memohon kekuatan daripada Yehuwa. Yehuwa ialah ‘Tuhan yang memberikan ketabahan dan kelegaan hati.’ (Rm. 15:5) Hanya Dialah yang memahami sepenuhnya situasi, perasaan, dan latar belakang kita. Maka, Tuhan tahu apa yang kita perlukan untuk bertabah. Bible berkata, “Dia membekalkan keperluan semua orang yang menghormati-Nya; Dia mendengar seruan mereka dan menyelamatkan mereka.” (Mzm. 145:19) Tetapi, bagaimanakah Tuhan menjawab doa kita?

6. Menurut Bible, bagaimanakah Yehuwa “memberikan jalan keluar” semasa kita menghadapi cabaran?

6 Baca 1 Korintus 10:13. Apabila kita memohon bantuan Yehuwa, “Dia akan memberikan jalan keluar.” Bagaimana? Ada kalanya, Dia menghentikan cabaran tersebut. Tetapi biasanya, Dia memberi kita kekuatan untuk “tabah menempuh segala sesuatu dengan sabar dan sukacita.” (Kol. 1:11) Memandangkan Yehuwa tahu keterbatasan fizikal, mental, dan emosi kita, Dia tidak akan membenarkan kita mengalami suatu situasi yang begitu teruk sehingga kita tidak dapat setia kepada-Nya.

7. Mengapakah kita memerlukan makanan rohani untuk bertabah? Berikan contoh.

7 Makanan rohani menguatkan iman. Mengapakah makanan rohani sangat penting? Fikirkan hal ini: Untuk mendaki Gunung Everest, seorang pendaki memerlukan 6,000 kalori sehari. Jumlah ini jauh lebih banyak daripada apa yang biasanya diperlukan. Maka, dia perlu makan banyak supaya dapat bertabah sehingga mencapai matlamatnya. Begitu juga, kita memerlukan banyak makanan rohani untuk bertabah dan mencapai matlamat kita. Kita harus bertekad untuk meluangkan masa bagi pembelajaran peribadi dan perjumpaan. Aktiviti sebegini dapat menguatkan iman kita.—Yoh. 6:27.

8, 9. (a) Menurut Ayub 2:4, 5, apakah yang terlibat sewaktu kita menghadapi cubaan? (b) Semasa dicuba, apakah yang boleh anda bayangkan?

8 Fikirkan kesetiaan kepada Tuhan. Kita menderita sewaktu menghadapi cubaan. Tetapi sebenarnya kesetiaan kita kepada Tuhan sedang diuji. Cara kita menghadapi cubaan akan menunjukkan sama ada kita menerima Yehuwa sebagai Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. Mengapa? Syaitan yang menentang pemerintahan Tuhan mendakwa bahawa manusia hanya menyembah Tuhan kerana mereka mementingkan diri. Dia berkata, “Manusia rela mengorbankan segala milik mereka supaya dapat terus hidup.” Mengenai Ayub, Syaitan berkata, “Jika Engkau menyakiti tubuhnya, tentu dia akan mengutuk Engkau secara terang-terang.” (Ayb. 2:4, 5) Adakah Syaitan mengubah pandangannya? Tidak! Apabila Syaitan dibuang dari syurga bertahun-tahun kemudian, dia masih menuduh hamba Tuhan. (Why. 12:10) Hari ini, Syaitan masih mendakwa bahawa manusia menyembah Tuhan atas sebab yang mementingkan diri. Syaitan ingin kita menolak pemerintahan Tuhan dan berhenti menyembah-Nya.

9 Semasa menghadapi cubaan, bayangkan apa yang sedang berlaku di alam roh. Syaitan dan roh-roh jahat sedang melihat anda dan mendakwa bahawa anda akan berputus asa. Namun, Yehuwa, Yesus Kristus, kaum terurap yang sudah naik ke syurga, serta ribuan malaikat juga melihat anda. Mereka tahu cabaran yang anda hadapi dan mereka menggalakkan anda! Mereka gembira kerana anda tabah dan setia kepada Yehuwa. Yehuwa memberitahu anda, “Hai anakku, hendaklah kamu bijak, supaya aku gembira dan dapat menjawab jika dicela.”—Ams. 27:11.

10. Bagaimanakah anda boleh meniru ketabahan Yesus?

10 Bertumpu kepada ganjaran. Bayangkan anda membuat perjalanan dan melalui sebuah terowong. Di dalam terowong, semuanya gelap. Tetapi jika anda meneruskan perjalanan, anda akan keluar dari terowong dan melihat cahaya. Kehidupan anda boleh disamakan dengan hal itu. Ada kalanya, cabaran yang dihadapi membuat anda berasa sangat tertekan. Yesus mungkin berasa begitu. Apabila dipakukan pada tiang seksaan, dia dimalukan dan menderita. Sudah tentu, itulah saat yang paling susah dalam hidupnya. Apakah yang membantunya bertabah? Bible berkata bahawa dia bertumpu kepada “sukacita yang ada di hadapannya.” (Ibr. 12:2, 3) Yesus bertabah kerana berfokus kepada ganjarannya. Yang lebih penting, dia berfokus kepada peranannya dalam menyucikan nama Yehuwa dan menyokong pemerintahan Tuhan. Dia tahu bahawa cabaran yang dihadapi hanya sementara, tetapi ganjarannya di syurga adalah berkekalan. Hari ini, cubaan yang kita hadapi mungkin sangat susah dan membuat kita menderita. Namun, ingatlah semua ini hanya sementara.

“ORANG YANG MENGHADAPI CUBAAN DENGAN TABAH”

11. Mengapakah kita harus mengkaji pengalaman “orang yang menghadapi cubaan dengan tabah”?

11 Kita tidak perlu bertabah seorang diri. Rasul Petrus menggalakkan kita untuk bertabah menghadapi cubaan Syaitan dengan berkata, “Kamu harus menentang dia dengan iman yang teguh kerana kamu tahu bahawa semua saudara seiman di dunia sedang mengalami penderitaan yang sama.” (1 Ptr. 5:9) Pengalaman “orang yang menghadapi cubaan dengan tabah” mengajar kita cara untuk tetap setia, meyakinkan kita bahawa kita boleh berjaya, dan mengingatkan kita bahawa kesetiaan kita akan diberkati. (Yak. 5:11) Mari kita mengkaji beberapa contoh. [1]

12. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan kerub-kerub yang ditempatkan di Taman Eden?

12 Kerub-kerub merupakan malaikat yang berpangkat tinggi. Selepas Adam dan Hawa berdosa, Yehuwa memberikan tugas baru kepada beberapa kerub. Tugas ini sangat berbeza daripada tugas di syurga. Teladan mereka mengajar kita untuk bertabah apabila menerima tugas yang susah. Bible mengatakan bahawa Yehuwa “menempatkan kerub, dan sebilah pedang berapi yang berpusing ke segala arah, untuk mengawal jalan ke pokok yang memberi hidup.” [2] (Kej. 3:24) Bible tidak mengatakan bahawa kerub-kerub ini mengadu atau berasa mereka terlalu penting untuk melakukan tugas baru itu. Mereka tidak bosan atau berputus asa. Sebaliknya, mereka melaksanakan tugas itu sehingga selesai, kemungkinan pada masa Banjir, iaitu kira-kira 1,600 tahun kemudian.

13. Apakah yang membantu Ayub untuk bertabah?

13 Ayub yang setia. Ada kalanya, anda mungkin berasa sakit hati apabila seorang kawan atau ahli keluarga mengatakan sesuatu yang mengecewakan. Anda juga mungkin menghidapi penyakit serius atau menderita kerana orang yang dikasihi meninggal. Tidak kira apa yang berlaku, anda boleh mendapat kelegaan hati melalui teladan Ayub. (Ayb. 1:18, 19; 2:7, 9; 19:1-3) Ayub tidak tahu sebabnya dia menderita, namun dia tidak berputus asa. Mengapa? Kerana dia mengasihi Yehuwa dan enggan mengecewakan-Nya. (Ayb. 1:1) Ayub bertekad untuk menyenangkan hati Tuhan dalam keadaan senang mahupun susah. Selain itu, dengan bantuan Yehuwa, Ayub mengingati perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Yehuwa menerusi daya aktif-Nya. Hal ini meyakinkan Ayub bahawa Yehuwa akan mengakhiri cubaannya pada masa yang sesuai. (Ayb. 42:1, 2) Cubaannya memang telah berakhir. ‘Yehuwa menjadikan Ayub kaya semula, dan memberi dia kekayaan dua kali ganda daripada yang pernah dimilikinya.’ Ayub menikmati hidupnya dan “meninggal dalam usia yang sangat lanjut.”—Ayb. 42:10, 17.

14. Menurut 2 Korintus 1:6, bagaimanakah ketabahan Paulus membantu orang lain?

14 Rasul Paulus. Adakah anda menderita akibat tentangan atau penganiayaan? Adakah anda seorang penatua atau penyelia litar yang berasa tertekan kerana mempunyai banyak tanggungjawab? Jika ya, teladan Paulus dapat membantu anda. Paulus menderita disebabkan penganiayaan yang teruk, dan dia selalu risau tentang saudara saudari. (2 Kor. 11:23-29) Namun, Paulus tidak berputus asa dan teladannya menguatkan orang lain. (Baca 2 Korintus 1:6.) Begitu juga, ketabahan anda dapat menggalakkan orang lain.

ADAKAH “KETABAHAN KAMU MENCAPAI TUJUANNYA”?

15, 16. (a) Bagaimanakah ketabahan “mencapai tujuannya”? (b) Berikan contoh tentang cara ketabahan “mencapai tujuannya.”

15 Yakobus menulis, “Biarlah ketabahan kamu mencapai tujuannya, supaya kamu menjadi serba lengkap, tidak bercela dalam segala hal, dan tidak kekurangan apa-apa pun.” (Yak. 1:4) Bagaimanakah ketabahan “mencapai tujuannya”? Apabila kita dicuba, kita mungkin perlu lebih bersabar, bersyukur, atau menunjukkan kasih. Maka, cubaan boleh membantu kita untuk menunjukkan sifat-sifat sebegini dengan lebih baik dan mempertingkatkan keperibadian Kristian kita.

Jika kita menghadapi cabaran dengan tabah, hal itu akan mempertingkatkan keperibadian Kristian kita (Lihat perenggan 15, 16)

16 Oleh sebab ketabahan membantu kita untuk menjadi orang Kristian yang lebih baik, janganlah melanggar hukum Yehuwa semata-mata agar cabaran tersebut berakhir. Contohnya, jika anda bergelut dengan pemikiran yang tidak bermoral, janganlah mengalah. Mintalah bantuan Yehuwa untuk menolak pemikiran itu. Adakah anda menghadapi tentangan daripada ahli keluarga? Janganlah putus asa! Bertekadlah untuk terus menyembah Yehuwa. Hasilnya, anda akan memperdalamkan keyakinan anda terhadap Yehuwa. Ingatlah bahawa untuk mendapat perkenan Tuhan, kita harus bertabah.—Rm. 5:3-5; Yak. 1:12.

17, 18. (a) Berikan contoh tentang pentingnya untuk bertabah sampai akhir. (b) Oleh sebab akhir semakin dekat, apakah keyakinan yang kita miliki?

17 Kita harus bertabah bukan hanya untuk seketika, tetapi sampai akhir. Bayangkan sebuah kapal yang karam. Untuk selamat, penumpang harus berenang sampai ke darat. Penumpang yang berputus asa beberapa meter sebelum sampai ke darat akan lemas. Begitu juga, jika kita ingin hidup di dunia baru, kita perlu bertabah. Tirulah sikap Paulus yang berkata, “Kami tidak berputus asa.”—2 Kor. 4:1, 16.

18 Seperti Paulus, kita yakin bahawa Yehuwa akan membantu kita untuk tabah sampai akhir. Paulus menulis, “Kita akan mendapat kemenangan yang mutlak melalui dia yang mengasihi kita. Aku yakin bahawa baik kematian atau kehidupan atau malaikat-malaikat atau kerajaan atau perkara yang ada sekarang atau perkara yang akan datang atau kuasa-kuasa atau ketinggian atau kedalaman atau mana-mana ciptaan lain, tidak dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan yang ditunjukkan melalui Kristus Yesus, Tuan kita.” (Rm. 8:37-39) Kadangkala kita memang berasa penat. Namun, tirulah Gideon dan para pengikutnya. Walaupun mereka penat, mereka tidak berputus asa. Sebaliknya, mereka meneruskan usaha mereka.—Hak. 8:4.

^ [1] (perenggan 11) Anda akan digalakkan semasa membaca pengalaman umat Tuhan yang tabah pada zaman moden. Contohnya, Buku Tahunan 1992, 1999, dan 2008 mempunyai laporan yang menggalakkan tentang saudara saudari di Etiopia, Malawi, dan Rusia.

^ [2] (perenggan 12) Bible tidak menyatakan bilangan kerub yang menerima tugas ini.