Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengapakah Kita Berkumpul Bersama untuk Menyembah Tuhan?

Mengapakah Kita Berkumpul Bersama untuk Menyembah Tuhan?

‘Mereka terus menumpukan sepenuh perhatian untuk bergaul dengan satu sama lain.’—KIS. 2:42.

LAGU: 20, 119

1-3. (a) Bagaimanakah orang Kristian menunjukkan bahawa mereka menantikan masanya untuk berkumpul bersama? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

APABILA Corinna berumur 17 tahun, ibunya ditangkap dan dihantar ke kem buruh. Kemudian, Corinna juga dibawa ke Siberia yang terletak jauh dari rumahnya. Di sana, dia bekerja di ladang dan dilayan seperti hamba. Ada kalanya, dia dipaksa untuk bekerja di luar apabila cuaca sangat sejuk dan dia tidak mempunyai pakaian yang sesuai. Walaupun begitu, Corinna dan seorang saudari berusaha untuk pergi ke perjumpaan.

2 Corinna berkata, “Kami meninggalkan tempat kerja pada waktu petang dan berjalan sejauh 25 km ke stesen kereta api. Kami menaiki kereta api pada pukul dua pagi. Enam jam kemudian, kami turun daripada kereta api dan berjalan sejauh 10 km untuk sampai ke tempat perjumpaan.” Corinna sangat gembira kerana dapat menghadiri perjumpaan. Dia berkata, “Di sana, kami belajar majalah Menara Pengawal dan menyanyikan lagu Kerajaan. Kami sangat digalakkan dan iman kami dikuatkan.” Selepas tiga hari, dua saudari ini kembali ke ladang. Namun, pengurus ladang tidak sedar bahawa mereka telah membuat perjalanan itu.

3 Umat Yehuwa selalu menantikan masanya mereka dapat berkumpul bersama. Contohnya, orang Kristian pada abad pertama tidak sabar untuk berkumpul bersama supaya dapat menyembah Yehuwa dan belajar tentang-Nya. (Kis. 2:42) Sudah tentu, anda juga suka menghadiri perjumpaan. Namun seperti saudara saudari lain, anda mungkin menghadapi cabaran untuk menghadiri perjumpaan secara tetap. Mungkin anda sibuk, perlu bekerja, atau berasa letih. Jadi, apakah yang mendorong kita untuk terus berusaha sedaya upaya agar menghadiri perjumpaan? [1] Bagaimanakah kita dapat menggalakkan pelajar Bible dan orang lain untuk menghadiri perjumpaan secara tetap? Rencana ini akan menjelaskan mengapa menghadiri perjumpaan (1) membawa manfaat kepada kita, (2) dapat membantu orang lain, dan (3) menyenangkan hati Yehuwa. [2]

PERJUMPAAN BERMANFAAT UNTUK KITA

4. Bagaimanakah perjumpaan membantu kita untuk lebih mengenali Yehuwa?

4 Kita diajar melalui perjumpaan. Setiap perjumpaan membantu kita untuk lebih mengenali Yehuwa. Contohnya, sidang anda mungkin telah membincangkan buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan semasa Pembelajaran Bible Sidang. Apakah perasaan anda semasa membincangkan sifat-sifat Yehuwa dan mendengar komen saudara saudari tentang-Nya? Sudah tentu anda digerakkan untuk lebih mengasihi Yehuwa. Semasa perjumpaan, kita belajar lebih banyak dengan menumpukan perhatian pada ceramah, demonstrasi, dan pembacaan Bible. (Neh. 8:8) Fikirkan betapa banyak perkara yang diterokai setiap minggu apabila kita membuat persiapan untuk pembacaan Bible dan mendengar komen-komen orang lain.

5. Bagaimanakah perjumpaan mengajar anda menggunakan prinsip Bible dalam kehidupan dan meningkatkan kemahiran dalam kerja penyebaran?

5 Perjumpaan mengajar kita cara menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan. (1 Tes. 4:9, 10) Contohnya, pernahkah pembelajaran Menara Pengawal menggerakkan anda untuk meluaskan khidmat kepada Yehuwa, meningkatkan mutu doa, atau mengampuni saudara saudari? Perjumpaan pada pertengahan minggu mengajar kita cara untuk menyebarkan berita baik dan membantu orang memahami kebenaran Bible.—Mat. 28:19, 20.

6. Bagaimanakah perjumpaan menggalakkan dan menguatkan kita?

6 Perjumpaan menggalakkan kita. Dunia Syaitan cuba melemahkan iman kita dan membuat kita berasa tertekan serta kecewa. Namun, perjumpaan menggalakkan kita dan menguatkan tekad kita untuk menyembah Yehuwa. (Baca Kisah 15:30-32.) Kita selalu membincangkan bagaimana nubuat Bible menjadi kenyataan. Hal ini meyakinkan kita bahawa janji-janji Yehuwa pada masa depan akan menjadi kenyataan. Kita digalakkan bukan hanya melalui ceramah saudara saudari, tetapi juga melalui komen dan nyanyian pujian kepada Yehuwa. (1 Kor. 14:26) Apabila kita berbual dengan mereka sebelum dan selepas perjumpaan, kita disegarkan kerana mempunyai sahabat yang mengambil berat tentang kita.—1 Kor. 16:17, 18.

7. Mengapakah penting untuk menghadiri perjumpaan?

7 Di perjumpaan, kita menerima bantuan daya aktif Tuhan. Yesus menggunakan daya aktif Tuhan untuk memimpin sidang. Dia menyuruh kita untuk “mendengar apa yang dikatakan oleh daya aktif Tuhan kepada sidang-sidang.” (Why. 2:7) Daya aktif membantu kita untuk menolak godaan, menginjil dengan berani, dan membuat keputusan yang bijak. Itulah sebabnya kita harus berusaha untuk menghadiri perjumpaan dan menerima bantuan daya aktif Tuhan.

MANFAAT BAGI ORANG LAIN

8. Apabila saudara saudari melihat kita di perjumpaan dan mendengar komen serta nyanyian kita, bagaimanakah hal ini membantu mereka? (Lihat juga kotak, “Dia Selalu Berasa Lega Selepas Perjumpaan.”)

8 Di perjumpaan, kita berpeluang untuk menunjukkan kasih kepada saudara saudari. Banyak rakan seiman menghadapi situasi yang susah. Itulah sebabnya rasul Paulus menulis, “Marilah kita mengambil berat tentang satu sama lain.” (Ibr. 10:24, 25, nota kaki) Kita boleh melakukannya dengan berkumpul bersama dan menggalakkan mereka. Dengan menghadiri perjumpaan secara tetap, kita menunjukkan bahawa kita ingin berada bersama saudara saudari, bercakap dengan mereka, dan mengetahui perasaan mereka. Kita juga dapat menggalakkan mereka melalui komen dan nyanyian dari hati.—Kol. 3:16.

9, 10. (a) Jelaskan bagaimana kata-kata Yesus di Yohanes 10:16 membantu kita memahami mengapa penting untuk berkumpul bersama saudara saudari. (b) Dengan menghadiri perjumpaan secara tetap, bagaimanakah kita dapat membantu mereka yang tidak lagi diterima oleh keluarga?

9 Dengan menghadiri perjumpaan, kita membantu sidang untuk bersatu padu. (Baca Yohanes 10:16.) Yesus membandingkan dirinya seperti seorang gembala, manakala para pengikutnya seperti kawanan biri-biri. Fikirkan hal ini: Jika dua ekor biri-biri di atas bukit, dua ekor lagi di lembah, dan satu ekor di tempat lain, adakah kelima-lima biri-biri ini merupakan satu kawanan? Tidak. Biasanya satu kawanan biri-biri berkumpul bersama di bawah jagaan seorang gembala. Begitu juga, kita tidak patut menjauhi saudara saudari dengan tidak menghadiri perjumpaan. Kita perlu berkumpul bersama untuk menjadi “satu kawanan” yang mengikut “satu gembala.”

10 Perjumpaan menyatukan kita sebagai sebuah keluarga. (Mzm. 133:1) Sesetengah saudara saudari tidak lagi diterima oleh ibu bapa dan adik-beradik mereka. Namun, Yesus berjanji untuk memberi mereka sebuah keluarga yang akan mengasihi dan menjaga mereka. (Mrk. 10:29, 30) Jika anda menghadiri perjumpaan secara tetap, anda dapat menjadi seperti seorang bapa, ibu, atau adik-beradik bagi seseorang. Tidakkah hal ini mendorong kita untuk menghadiri semua perjumpaan?

KITA DAPAT MENYENANGKAN HATI YEHUWA

11. Dengan menghadiri perjumpaan, bagaimanakah kita memberi Yehuwa apa yang layak diterima-Nya?

11 Di perjumpaan, kita memberi Yehuwa apa yang layak diterima-Nya. Memandangkan Yehuwa ialah Pencipta, kita patut bersyukur kepada-Nya, serta menghormati dan memuji-Nya. (Baca Wahyu 7:12.) Kita boleh berbuat demikian dengan berdoa kepada Yehuwa, menyanyikan lagu pujian, dan memberitahu orang lain tentang-Nya. Kita berpeluang untuk melakukan hal ini di perjumpaan setiap minggu!

12. Apakah perasaan Yehuwa jika kita mentaati perintah-Nya untuk menghadiri perjumpaan?

12 Kita harus mentaati Yehuwa kerana Dialah yang mencipta kita. Dia memerintahkan kita untuk berkumpul bersama, lebih-lebih lagi semasa akhir dunia semakin mendekat. Dengan mentaati perintah itu, kita menyenangkan hati Yehuwa. (1 Yoh. 3:22) Yehuwa memerhatikan kita dan menghargai usaha kita untuk menghadiri perjumpaan.—Ibr. 6:10.

13, 14. Bagaimanakah kita menghampiri Yehuwa dan Yesus menerusi perjumpaan?

13 Dengan menghadiri perjumpaan, kita menunjukkan bahawa kita ingin menghampiri Yehuwa dan Yesus. Di perjumpaan, Pendidik Agung membimbing kita melalui Firman-Nya, Bible. (Yes. 30:20, 21) Apabila orang yang bukan Saksi menghadiri perjumpaan, mereka pun sedar bahawa kita dibimbing oleh-Nya. (1 Kor. 14:23-25) Yehuwa membimbing kita di perjumpaan melalui daya aktif-Nya. Dengan menghadiri perjumpaan, kita akan mendengar ajaran Yehuwa dan merasai kasih-Nya. Hal ini mendorong kita untuk menghampiri-Nya.

14 Ketua sidang, iaitu Yesus, berkata, “Apabila dua atau tiga orang berkumpul atas namaku, aku akan ada bersama-sama mereka.” (Mat. 18:20) Bible juga berkata bahawa Yesus mengawasi sidang-sidang Kristian. (Why. 1:20–2:1) Jelaslah bahawa Yehuwa dan Yesus menyertai dan menguatkan kita menerusi perjumpaan. Pada pendapat anda, apakah perasaan Yehuwa apabila anda berusaha sedaya upaya untuk menghampiri-Nya dan Anak-Nya?

15. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita mentaati Tuhan semasa menghadiri perjumpaan?

15 Dengan menghadiri perjumpaan, kita menunjukkan bahawa kita menyokong pemerintahan Yehuwa. Yehuwa tidak memaksa kita untuk mentaati-Nya. (Yes. 43:23) Namun, apabila kita mentaati perintah-Nya untuk menghadiri perjumpaan, kita menunjukkan kasih terhadap-Nya dan menyokong pemerintahan-Nya. (Rm. 6:17) Contohnya, bagaimana jika majikan menyuruh kita bekerja lebih masa sehingga kita tidak dapat menghadiri perjumpaan dengan tetap? Bagaimana pula jika kerajaan mendenda, memenjarakan, atau menghukum mereka yang berkumpul untuk menyembah Yehuwa? Atau mungkinkah kita ingin melakukan hal lain dan bukannya menghadiri perjumpaan? Dalam semua situasi ini, kita harus membuat keputusan peribadi. (Kis. 5:29) Namun jika kita mentaati Yehuwa, kita akan menggembirakan hati-Nya.—Ams. 27:11.

TERUS BERKUMPUL BERSAMA RAKAN SEIMAN

16, 17. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa perjumpaan sangat penting bagi orang Kristian pada abad pertama? (b) Apakah perasaan Saudara George Gangas mengenai perjumpaan?

16 Selepas perjumpaan pada Pentakosta 33 M, orang Kristian berkumpul bersama secara tetap untuk menyembah Yehuwa. Mereka ‘terus menumpukan sepenuh perhatian kepada ajaran para rasul dan bergaul dengan satu sama lain.’ (Kis. 2:42) Walaupun dianiaya oleh kerajaan Roma dan pemimpin agama Yahudi, mereka berusaha untuk terus menghadiri perjumpaan.

17 Hari ini, umat Yehuwa juga menghargai dan menikmati perjumpaan. George Gangas yang pernah menjadi ahli Badan Pimpinan selama 22 tahun berkata, “Bagi saya, berjumpa dengan saudara saudari membawa sukacita yang besar dan kelegaan dalam hidup. Saya berusaha menjadi orang yang terawal datang ke Dewan Perjumpaan dan yang terakhir untuk beredar. Saya gembira berbual dengan umat Tuhan. Apabila saya berada bersama mereka, saya seolah-olah di firdaus rohani bersama keluarga saya.” Dia menambah, “Menghadiri perjumpaan merupakan keinginan hati saya.”

18. Apakah perasaan anda terhadap perjumpaan? Apakah tekad anda?

18 Adakah anda juga berasa sedemikian apabila berkumpul bersama untuk menyembah Yehuwa? Jika ya, bertekadlah untuk berkumpul bersama saudara saudari di perjumpaan walaupun hal itu tidak mudah. Tunjukkanlah kepada Yehuwa bahawa anda berasa seperti Raja Daud yang berkata, ‘Ya Yehuwa, aku mengasihi Rumah kediaman-Mu.’—Mzm. 26:8.

^ [1] (perenggan 3) Sesetengah saudara saudari tidak dapat menghadiri perjumpaan dengan tetap disebabkan situasi yang di luar kawalan. Contohnya, mereka mungkin menghidapi penyakit serius. Namun, Yehuwa memahami situasi mereka dan sangat menghargai usaha mereka untuk menyembah-Nya. Penatua boleh membantu mereka mendengar perjumpaan melalui telefon atau rakaman.

^ [2] (perenggan 3) Lihat kotak, “Sebab untuk Menghadiri Perjumpaan.”