Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Menggunakan Daya Imaginasi dengan Bijak?

Adakah Anda Menggunakan Daya Imaginasi dengan Bijak?

OTAK manusia yang hanya seberat 1.4 kg dikatakan sebagai sesuatu yang “paling rumit di alam semesta.” Otak manusia memang menakjubkan. Lebih banyak kita belajar tentangnya, lebih besar penghargaan kita terhadap ciptaan Yehuwa yang “mengagumkan.” (Mzm. 139:14) Pertimbangkan salah satu kebolehan otak kita, iaitu daya imaginasi.

Apakah itu imaginasi? Sebuah kamus menjelaskannya sebagai “kemampuan untuk membentuk gambaran atau idea dalam minda mengenai perkara yang baru dan menarik, atau perkara yang belum pernah dialami.” Tidakkah anda setuju bahawa kita sering menggunakan imaginasi kita? Contohnya, pernahkah anda membaca atau mendengar tentang suatu tempat yang anda tidak pernah lawat? Adakah hal ini menghalang anda daripada membayangkannya? Kita menggunakan daya imaginasi setiap kali kita memikirkan sesuatu yang tidak dapat dilihat, didengar, dirasai, disentuh, atau dihidu.

Bible menyatakan bahawa manusia diciptakan menurut gambaran Tuhan. (Kej. 1:26, 27) Tidakkah hal ini membuktikan bahawa Yehuwa juga memiliki daya imaginasi? Memandangkan Yehuwa memilih untuk memberi kita kemampuan ini, Dia ingin kita menggunakannya untuk memahami kehendak-Nya. (Pkh. 3:11) Bagaimanakah kita dapat menggunakan daya imaginasi dengan bijak dan apakah yang harus dielakkan?

MENGGUNAKAN DAYA IMAGINASI DENGAN TIDAK BIJAK

(1) Berangan-angan tentang perkara yang salah atau pada masa yang salah.

Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa imaginasi bermanfaat. Namun, Pengkhutbah 3:1 (NW) berkata, “Ada waktu yang ditetapkan untuk segala sesuatu.” Maka kita mungkin melakukan aktiviti tertentu pada masa yang salah. Misalnya, jika kita berangan-angan semasa perjumpaan atau pembelajaran peribadi, adakah kita menggunakan daya imaginasi dengan bijak? Yesus memberikan amaran tentang bahaya membiarkan minda kita berkhayal tentang perkara yang tidak bermoral. (Mat. 5:28) Hal sebegini tidak menyenangkan hati Yehuwa. Jika kita berkhayal tentang perkara yang tidak bermoral, lambat laun kita mungkin melakukan perbuatan itu. Maka, bertekadlah agar imaginasi anda tidak menyebabkan anda menjauhi Yehuwa!

(2) Menyangka bahawa kekayaan membawa perlindungan berkekalan.

Harta benda memang berguna. Namun, kita akan berasa kecewa jika kita menyangka bahawa kekayaan memberi perlindungan dan kebahagiaan sejati. Raja Salomo yang bijak berkata, “Orang kaya menyangka bahawa harta yang melindungi mereka seperti tembok tinggi dan kuat di sekeliling kota.” (Ams. 18:11) Pada bulan September 2009, lebih daripada 80 peratus bandar Manila, Filipina, diliputi air kerana hujan lebat. Dapatkah orang kaya menyelamatkan diri? Seorang lelaki kaya yang kehilangan banyak harta benda semasa banjir itu berkata, “Baik yang kaya mahupun yang miskin dilanda kesusahan dan penderitaan.” Memang mudah bagi kita untuk berfikir bahawa kekayaan membawa perlindungan. Namun, hakikatnya ialah hal ini tidak benar.

(3) Terlalu khuatir tentang perkara yang mungkin tidak berlaku.

Yesus menasihati kita agar tidak terlalu “khuatir.” (Mat. 6:34) Orang yang selalu khuatir sebenarnya banyak menggunakan imaginasi mereka. Kita membuang masa jika kita berfikir mengenai masalah yang belum berlaku, atau yang mungkin tidak akan berlaku. Bible berkata bahawa kekhuatiran sedemikian boleh menyebabkan kita kecewa dan tawar hati. (Ams. 12:25) Maka, adalah bijak untuk mengikut nasihat Yesus supaya tidak terlalu khuatir dan menghadapi cabaran sehari demi sehari.

MENGGUNAKAN DAYA IMAGINASI DENGAN BIJAK

(1) Berfikir terlebih dahulu mengenai situasi bahaya dan mengelakkannya.

Bible menggalakkan kita untuk berfikir dan bertindak dengan bijak. (Ams. 22:3) Kita boleh menggunakan imaginasi kita untuk memikirkan akibat buruk keputusan tertentu. Bayangkan anda dijemput untuk menghadiri jamuan. Bagaimanakah anda boleh menggunakan daya imaginasi untuk membuat keputusan bijak? Anda boleh memikirkan faktor-faktor seperti siapa yang dijemput, berapa ramai yang menghadirinya, dan di mana jamuan itu diadakan. Anda juga boleh bertanya, “Apakah yang akan berlaku di jamuan itu? Adakah jamuan itu selaras dengan prinsip Bible?” Soalan-soalan sebegini dapat membantu anda untuk membayangkan jamuan itu. Anda boleh membuat keputusan bijak dan mengelakkan bahaya rohani dengan menggunakan daya imaginasi.

(2) Berlatih cara menangani masalah dalam minda.

Imaginasi merangkumi “keupayaan untuk menghadapi dan mengatasi masalah.” Katakan terdapat salah faham antara anda dan seorang ahli sidang. Bagaimanakah anda dapat berbincang untuk memulihkan hubungan dengannya? Anda boleh mempertimbangkan beberapa faktor: Apakah cara dia berkomunikasi? Bilakah masa yang sesuai untuk berbincang dengannya? Apakah kata-kata dan nada suara yang patut digunakan? Dengan menggunakan imaginasi, anda dapat memikirkan beberapa cara untuk mengatasi masalah itu, dan memilih cara yang paling sesuai. (Ams. 15:28) Dengan demikian, anda tentu dapat mengekalkan kedamaian sidang. Anda juga menggunakan daya imaginasi dengan bijak.

(3) Meningkatkan mutu pembacaan dan pembelajaran Bible peribadi.

Pembacaan Bible harian sangat penting. Namun, membaca Bible sahaja tidak cukup. Kita harus memahami pengajaran penting yang terkandung dalam Bible dan cara untuk menerapkannya dalam kehidupan. Dengan membaca Bible, kita akan lebih menghargai perbuatan Yehuwa. Bagaimanakah daya imaginasi dapat membantu kita? Fikirkan buku Tirulah Iman Mereka. * Kisah-kisah dalam buku ini boleh membantu kita untuk membayangkan latar belakang watak-watak Bible. Kita seperti boleh melihat, mendengar, menghidu, dan merasai apa yang berlaku pada masa itu. Dengan berbuat demikian, kita dapat meraih pengajaran dan galakan yang bernilai daripada kisah Bible yang mungkin sudah kita dengar berulang kali. Imaginasi memang dapat meningkatkan mutu pembacaan dan pembelajaran Bible peribadi kita.

(4) Memupuk dan menunjukkan empati.

Empati ialah sifat indah yang membantu kita merasai kesakitan orang lain di dalam hati kita. Memandangkan Yehuwa dan Yesus menunjukkan empati, kita boleh meniru teladan mereka. (Kel. 3:7; Mzm. 72:13) Bagaimanakah kita boleh memupuk empati? Salah satu cara adalah dengan menggunakan daya imaginasi. Kita mungkin tidak pernah mengalami masalah yang dihadapi oleh saudara saudari. Namun, tanyalah diri, “Jika saya menghadapi situasi itu, apakah perasaan saya? Apakah yang saya perlukan?” Dengan menggunakan daya imaginasi untuk menjawab soalan-soalan ini, kita dapat memikirkan cara untuk menunjukkan empati. Sifat ini boleh membantu dalam semua aspek kehidupan orang Kristian, termasuk kerja penyebaran dan hubungan kita dengan rakan seiman.

(5) Membayangkan kehidupan di dunia baru.

Di dalam Bible, terdapat banyak penjelasan yang terperinci mengenai dunia baru yang dijanjikan Tuhan. (Yes. 35:5-7; 65:21-25; Why. 21:3, 4) Bahan bacaan kita mempunyai banyak gambar yang indah. Mengapa? Gambar-gambar membantu kita menggunakan daya imaginasi. Maka kita dapat membayangkan diri menikmati berkat-berkat yang dijanjikan. Yehuwa, Pencipta imaginasi, tahu cara yang terbaik bagi kita untuk menggunakan kemampuan ini. Dengan menggunakan imaginasi kita untuk membayangkan janji-janji Tuhan, kita berasa lebih yakin bahawa janji itu akan menjadi kenyataan. Maka, kita dapat tetap setia dan tabah menghadapi apa sahaja cabaran dalam kehidupan sekarang.

Yehuwa, Tuhan yang penyayang, telah memberi kita daya imaginasi yang menakjubkan. Kemampuan ini boleh membantu kita untuk menyembah-Nya dengan setia hari demi hari. Semoga kita bersyukur kepada Tuhan atas pemberian ini dan menggunakan daya imaginasi kita dengan bijak!

^ per. 18 Terdapat dalam bahasa Indonesia.