Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Orang yang Setia Diperkenankan Tuhan

Orang yang Setia Diperkenankan Tuhan

“Tirulah contoh mereka yang mewarisi apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kerana mereka beriman dan bersabar.”—IBR. 6:12.

LAGU: 86, 54

1, 2. Apakah cabaran yang dihadapi Yefta dan anak perempuannya?

SEORANG wanita muda berlari ke arah bapanya, Yefta. Dia menyanyi dan menari dengan gembira kerana bapanya mendapat kemenangan dalam peperangan. Namun, apa yang dilakukan dan dikatakan Yefta mengejutkan. Dia mengoyakkan pakaian dan berseru, “Aduh anakku, hancurlah hatiku!” Kemudian, Yefta memberitahu anaknya tentang janjinya kepada Yehuwa. Janji ini akan mengubah hidup anaknya buat selama-lamanya kerana dia tidak dapat berkahwin atau mempunyai anak. Tetapi, anaknya memberikan jawapan yang sangat mengagumkan. Dia menggalakkan bapanya untuk menepati janji kepada Yehuwa. Jawapannya itu menunjukkan bahawa dia percaya apa pun yang diinginkan Yehuwa adalah untuk kebaikannya. (Hak. 11:34-37) Yefta sangat bangga apabila nampak iman anaknya dan sedar bahawa kerelaan anaknya menggembirakan Yehuwa.

2 Yefta dan anaknya percaya sepenuhnya kepada Yehuwa dan cara Dia melakukan sesuatu perkara. Mereka tetap setia walaupun tidak mudah untuk melakukannya. Mereka rela membuat apa sahaja pengorbanan kerana ingin mendapat perkenan Yehuwa.

3. Mengapakah teladan Yefta dan anak perempuannya dapat membantu kita?

3 Tidak mudah untuk tetap setia kepada Yehuwa. Kita “harus berjuang dengan bersungguh-sungguh demi kepercayaan.” (Yud. 3) Maka, kita perlu belajar cara Yefta dan anak perempuannya menghadapi cabaran dengan jayanya. Bagaimanakah mereka tetap setia kepada Yehuwa?

SETIA WALAUPUN MENGHADAPI PENGARUH DUNIA

4, 5. (a) Apakah yang diperintahkan Yehuwa apabila orang Israel masuk ke Tanah yang Dijanjikan? (b) Menurut Mazmur 106, apakah yang berlaku kepada orang Israel yang tidak taat kepada Tuhan?

4 Yefta dan anak perempuannya sentiasa ingat akibat buruk yang dialami orang Israel kerana tidak setia kepada Yehuwa. Kira-kira 300 tahun sebelum itu, Yehuwa memerintahkan umat Israel untuk membunuh semua penganut agama palsu di Tanah yang Dijanjikan. Namun, mereka tidak mentaati Tuhan. (Ul. 7:1-4) Ramai orang Israel mula mengikut orang Kanaan dan menyembah tuhan palsu serta menjalani kehidupan yang tidak bermoral.—Baca Mazmur 106:34-39.

5 Oleh sebab orang Israel tidak taat, Yehuwa tidak melindungi mereka daripada musuh. (Hak. 2:1-3, 11-15; Mzm. 106:40-43) Pada masa itu, sangat susah bagi orang untuk tetap setia kepada Yehuwa. Namun Bible menyebut tentang orang yang setia seperti Yefta dan anak perempuannya, serta Elkana, Hana, dan Samuel. Mereka bertekad untuk menyenangkan hati Yehuwa.—1 Sam. 1:20-28; 2:26.

6. Apakah pengaruh daripada dunia hari ini? Apakah yang harus kita lakukan?

6 Pada hari ini, orang juga berfikir dan berkelakuan seperti orang Kanaan. Mereka mengutamakan seks, keganasan, dan wang. Namun Yehuwa memberikan amaran yang jelas. Dia ingin melindungi kita sepertimana Dia ingin melindungi orang Israel daripada pengaruh buruk. Bagaimanakah kita dapat menggelakkan kesilapan orang Israel? (1 Kor. 10:6-11) Kita harus menolak pemikiran dunia. (Rm. 12:2) Adakah kita berusaha untuk melakukannya?

YEFTA TETAP SETIA WALAUPUN BERASA KECEWA

7. (a) Apakah layanan yang dialami Yefta? (b) Apakah reaksi Yefta?

7 Pada zaman Yefta, orang Israel ditindas oleh orang Filistin dan orang Amon kerana mereka mengingkari Yehuwa. (Hak. 10:7, 8) Selain itu, Yefta juga menghadapi cabaran daripada saudaranya dan pemimpin umat Israel. Oleh sebab saudaranya cemburu dan benci terhadap Yefta, mereka mengusirnya dari tanah miliknya. (Hak. 11:1-3) Namun, Yefta tidak dipengaruhi oleh sikap kejam mereka. Bagaimanakah kita tahu? Apabila para pemimpin merayu meminta bantuannya, dia segera membantu mereka. (Hak. 11:4-11) Apakah yang mendorong Yefta untuk bereaksi sedemikian?

8, 9. (a) Apakah prinsip dalam Hukum Musa yang telah membantu Yefta? (b) Bagi Yefta, apakah yang lebih penting?

8 Yefta seorang pahlawan yang gagah. Dia juga tahu tentang sejarah orang Israel dan Hukum Musa dengan baik. Melalui cara Yehuwa memperlakukan umat-Nya, dia belajar tentang piawaian Tuhan mengenai apa yang betul dan salah. (Hak. 11:12-27) Prinsip Tuhan di sebalik Hukum Musa mempengaruhi pemikiran dan perasaan Yefta. Dia tahu bahawa Yehuwa tidak memperkenankan orang yang menyimpan dendam dan Tuhan ingin umat-Nya saling mengasihi. Selain itu, Hukum Musa juga mengajarnya cara memperlakukan orang lain, termasuk mereka yang membencinya.—Baca Keluaran 23:5; Imamat 19:17, 18.

9 Teladan Yusuf mungkin telah membantu Yefta. Dia mempelajari cara Yusuf menunjukkan belas kasihan terhadap saudaranya walaupun mereka membencinya. (Kej. 37:4; 45:4, 5) Dengan merenungkan contoh ini, Yefta dibantu untuk bertindak dalam cara yang diperkenankan Yehuwa. Apa yang dilakukan oleh saudara Yefta memang menyakiti hatinya. Namun, mempertahankan nama Yehuwa dan umat-Nya adalah lebih penting daripada perasaannya. (Hak. 11:9) Dia bertekad untuk setia kepada Yehuwa. Sikap ini telah membawa berkat Yehuwa bagi dirinya dan orang Israel.—Ibr. 11:32, 33

10. Bagaimanakah prinsip Tuhan membantu kita untuk bertindak seperti orang Kristian yang matang?

10 Apakah yang kita pelajari daripada contoh Yefta? Apakah yang akan kita lakukan jika rakan seiman mengecewakan kita atau kita diperlakukan dengan tidak adil? Kita tidak harus membiarkan perasaan sakit hati menghalang kita daripada menyembah Yehuwa. Janganlah berhenti menghadiri perjumpaan atau bergaul dengan saudara saudari. Marilah kita meniru teladan Yefta dan taat kepada Yehuwa. Hal ini akan membantu kita untuk mengatasi situasi yang susah supaya kita juga dapat menjadi teladan yang baik seperti Yefta.—Rm. 12:20, 21; Kol. 3:13.

MENUNJUKKAN IMAN MELALUI SEMANGAT RELA BERKORBAN

11, 12. Apakah janji yang diucapkan Yefta? Apakah maksud janji tersebut?

11 Yefta tahu bahawa dia memerlukan bantuan Tuhan untuk membebaskan orang Israel daripada ancaman orang Amon. Jika Yehuwa memberinya kemenangan, dia berjanji untuk mempersembahkan orang yang pertama-tama keluar dari rumahnya sebagai “korban bakar” apabila dia kembali daripada peperangan. (Hak. 11:30, 31, nota kaki) Apakah maksudnya?

12 Yehuwa membenci korban berupa manusia. Maka, kita tahu bahawa Yefta tidak mempersembahkan korban sebegini. (Ul. 18:9, 10) Di bawah Hukum Musa, korban bakar merupakan pemberian istimewa yang diberikan sepenuhnya kepada Yehuwa. Oleh itu, Yefta memaksudkan bahawa orang yang dipersembahkan kepada Yehuwa akan berkhidmat di khemah suci buat seumur hidup. Yehuwa mendengar permohonan Yefta lalu membantunya untuk mendapat kemenangan. (Hak. 11:32, 33) Namun, siapakah yang akan dipersembahkan Yefta kepada Yehuwa?

13, 14. Bagaimanakah kata-kata Yefta di Hakim-Hakim 11:35 menunjukkan imannya?

13 Fikirkan peristiwa yang disebutkan pada permulaan rencana. Apabila Yefta kembali daripada peperangan, orang yang pertama-tama keluar untuk berjumpa dengannya ialah anak kesayangannya, iaitu anak tunggalnya! Adakah Yefta akan menunaikan janjinya? Adakah dia akan memberikan anak perempuannya kepada Yehuwa untuk berkhidmat di khemah suci buat seumur hidup?

14 Sekali lagi, prinsip dalam Hukum Musa membantu Yefta untuk membuat keputusan yang betul. Mungkin dia teringat kata-kata di Keluaran 23:19 yang mengajar umat Tuhan untuk rela memberikan yang terbaik kepada Yehuwa. Hukum itu juga menunjukkan bahawa apabila seseorang mengucapkan janji kepada Yehuwa, “dia tidak boleh memungkiri janjinya. Dia harus melakukan segala yang dikatakannya.” (Bil. 30:2) Yefta perlu menunjukkan kesetiaan seperti Hana, yang mungkin hidup sezaman dengannya. Biarpun tidak mudah bagi Yefta dan anaknya, dia tetap menepati janjinya. Oleh sebab anaknya akan berkhidmat di khemah suci, dia tidak akan berkahwin atau melahirkan anak. Jadi, tiada sesiapa pun yang akan mewarisi nama dan tanah Yefta. (Hak. 11:34) Namun, Yefta berkata, ‘Aku telah bersumpah kepada Yehuwa dan aku tidak dapat memungkiri janjiku!’ (Hak. 11:35) Yehuwa menghargai pengorbanan Yefta dan memberkatinya. Adakah anda juga akan menunjukkan kesetiaan seperti Yefta?

15. Apakah janji yang kita ucapkan? Bagaimanakah kita dapat menepati janji itu?

15 Apabila kita membaktikan diri kepada Yehuwa, kita berjanji untuk melakukan kehendak-Nya tidak kira apa pun yang berlaku. Kita sedar bahawa tidak mudah untuk menepati janji tersebut. Namun, apakah reaksi kita apabila diminta untuk melakukan sesuatu yang kita tidak suka? Jika kita mengatasi perasaan negatif dan rela mentaati Tuhan, kita membuktikan bahawa kita menepati janji. Pengorbanan kita mungkin besar, namun berkat Yehuwa lebih besar. (Mal. 3:10) Bagaimana pula dengan anak perempuan Yefta? Apakah reaksinya terhadap janji yang dibuat bapanya?

Bagaimanakah kita dapat meniru iman Yefta dan anak perempuannya? (Lihat perenggan 16, 17)

16. Apakah reaksi anak perempuan Yefta terhadap janji bapanya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

16 Janji Yefta berbeza daripada janji Hana. Hana berjanji untuk menyerahkan anaknya, iaitu Samuel, untuk berkhidmat di khemah suci sebagai orang Nazir. (1 Sam. 1:11) Orang Nazir dibenarkan untuk berkahwin dan berkeluarga. Namun, anak perempuan Yefta diberikan sepenuhnya sebagai “korban bakar.” Maka dia tidak dapat menjadi seorang isteri atau ibu. (Hak. 11:37-40) Fikirkan hal ini: Dia mungkin berpeluang untuk berkahwin dengan lelaki yang terbaik di negeri itu kerana bapanya merupakan pemimpin orang Israel. Sebaliknya, dia menjadi seorang hamba di khemah suci. Apakah reaksi wanita muda ini? Kata-katanya menunjukkan bahawa dia mengutamakan khidmat kepada Yehuwa. Dia berkata kepada bapanya, “Lakukanlah apa saja terhadap diri saya untuk memenuhi janji ayah itu.” (Hak. 11:36) Dia mengorbankan keinginannya untuk menjadi seorang isteri dan ibu supaya dapat berkhidmat kepada Yehuwa. Bagaimanakah kita dapat meniru semangatnya yang rela berkorban?

17. (a) Bagaimanakah kita dapat meniru iman Yefta dan anak perempuannya? (b) Bagaimanakah Ibrani 6:10-12 menggalakkan anda untuk menunjukkan semangat rela berkorban?

17 Ribuan orang Kristian yang muda rela membuat pengorbanan. Mereka tidak berkahwin atau memiliki anak buat masa ini. Mengapa? Kerana mereka ingin mengutamakan khidmat kepada Yehuwa. Selain itu, banyak orang tua rela mengorbankan masa bersama anak atau cucu kerana mereka memberikan masa dan tenaga kepada Yehuwa. Ada di antara mereka menyertai projek pembinaan, menghadiri Sekolah Latihan Penginjil, serta berpindah ke tempat yang lebih memerlukan bantuan. Sesetengah orang pula membuat rancangan untuk meningkatkan khidmat kepada Yehuwa pada musim Peringatan. Tuhan tidak akan melupakan pengorbanan yang ditunjukkan oleh umat-Nya yang setia. (Baca Ibrani 6:10-12.) Bagaimana pula dengan anda? Dapatkah anda membuat lebih banyak pengorbanan dalam khidmat kepada Yehuwa?

APAKAH PENGAJARANNYA BAGI KITA?

18, 19. Apakah yang kita pelajari daripada kisah Yefta dan anak perempuannya? Bagaimanakah kita dapat meniru teladan mereka?

18 Apakah yang membantu Yefta menangani cabaran-cabaran yang dihadapi? Yefta membiarkan Yehuwa membimbing hidupnya. Dia tidak dipengaruhi oleh orang di sekelilingnya. Walaupun orang lain menyakiti hati Yefta, dia tidak membenarkan hal itu melemahkan tekadnya untuk menyembah Yehuwa. Yehuwa memberkati Yefta dan anak perempuannya kerana mereka rela membuat pengorbanan. Yehuwa menggunakan mereka berdua untuk memajukan ibadat sejati. Walaupun orang lain berhenti melakukan kehendak Tuhan, Yefta dan anak perempuannya tetap setia kepada Yehuwa.

19 Bible menyatakan, “Tirulah contoh mereka yang mewarisi apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kerana mereka beriman dan bersabar.” (Ibr. 6:12) Marilah kita meniru teladan Yefta dan anak perempuannya. Jika kita tetap setia kepada Yehuwa, Dia akan memberkati kita.