Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Jalan yang Membawa Kebebasan Sejati

Jalan yang Membawa Kebebasan Sejati

Jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas.”​—YOH. 8:36.

LAGU: 54, 36

1, 2. (a) Apakah yang dilakukan banyak orang untuk memperoleh kebebasan? (b) Apakah akibat perjuangan mereka?

HARI ini, kebebasan dan hak yang sama rata merupakan topik hangat. Orang dari banyak negara ingin bebas daripada penindasan, diskriminasi, dan kemiskinan. Ada yang menuntut agar diberi kebebasan untuk bercakap, memilih, dan hidup mengikut cara yang diingini. Ya, orang di merata tempat mahu kebebasan.

2 Untuk memuaskan kemahuan itu, banyak orang mengadakan tunjuk perasaan atau pemberontakan, dan bahkan mencetuskan revolusi. Namun, adakah hasrat mereka tercapai? Tidak. Perbuatan sebegini sering mengakibatkan kesusahan dan kematian. Semua itu membuktikan betapa benarnya kata-kata Raja Salomo, “Manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.”​—Pkh. 8:9.

3. Bagaimanakah kita dapat meraih kebahagiaan dan kepuasan sejati?

3 Yakobus, seorang murid Yesus, telah menyatakan kunci kepada kebahagiaan dan kepuasan sejati: “Jika seseorang meneliti hukum yang sempurna dan yang membawa kebebasan, dan terus mematuhinya, orang itu akan bahagia.” (Yak. 1:25) Hukum yang sempurna itu berasal daripada Yehuwa, dan Dia tahu apa yang kita perlukan untuk hidup puas dan bahagia. Dia telah memberi pasangan manusia yang pertama segala yang diperlukan agar mereka bahagia, termasuk kebebasan sejati.

KETIKA MANUSIA BENAR-BENAR BEBAS

4. Apakah kebebasan yang dinikmati Adam dan Hawa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

4 Semasa membaca dua bab pertama buku Kejadian, kita belajar bahawa Adam dan Hawa dikurniai kebebasan yang diidamkan manusia hari ini. Mereka tidak kekurangan apa-apa, mereka bebas daripada penindasan dan rasa takut, dan mereka langsung tidak perlu khuatir tentang makanan, kerja, penyakit, dan kematian. (Kej. 1:27-29; 2:8, 9, 15) Namun, adakah kebebasan mereka tidak terbatas? Mari kita lihat.

5. Tidak seperti yang difikirkan ramai orang, apakah yang diperlukan supaya semua orang dapat menikmati kebebasan?

5 Ramai orang berasa bahawa kebebasan sejati bermaksud dibenarkan melakukan apa sahaja yang disukai tanpa mengira akibatnya. Menurut Ensiklopedia Dunia, kebebasan ialah “kebolehan untuk membuat pilihan dan melaksanakannya.” Namun, buku itu juga menyatakan, “Orang yang tidak disekat oleh peraturan yang tidak adil, tidak munasabah, atau yang tidak diperlukan, ialah orang yang bebas.” Kata-kata itu menunjukkan bahawa batas-batas tertentu diperlukan supaya semua orang dapat menikmati kebebasan. Namun, persoalannya: Siapakah yang berhak menentukan sama ada sesuatu batas itu adil, munasabah, dan penting?

6. (a) Mengapakah Yehuwa sahaja yang memiliki kebebasan yang mutlak? (b) Apakah kebebasan yang diberikan kepada manusia? Mengapa?

6 Kita harus ingat bahawa hanya Tuhan Yehuwa yang mempunyai kebebasan yang mutlak dan yang tidak terbatas. Mengapa? Kerana Dia ialah Pencipta segala sesuatu dan Pemerintah tertinggi yang maha kuasa atas alam semesta. (1 Tim. 1:17; Why. 4:11) Hanya Yehuwa memiliki kedudukan luhur yang istimewa, seperti yang digambarkan oleh Raja Daud dalam buku Tawarikh. (Baca 1 Tawarikh 29:11, 12.) Semua makhluk di syurga dan di bumi pula memiliki kebebasan yang terhad, atau relatif. Kita mesti sedar bahawa hanya Yehuwa yang berhak untuk menentukan batasan yang adil, penting, dan munasabah. Itulah yang dilakukan Tuhan Yehuwa sejak manusia diciptakan.

7. Apakah sesetengah kegiatan yang perlu kita lakukan untuk hidup bahagia?

7 Adam dan Hawa diberi banyak kebebasan, tetapi mereka perlu mengikut batasan tertentu. Sesetengah batasan itu merupakan hal yang semula jadi. Contohnya, untuk terus hidup, mereka perlu bernafas, makan, minum, tidur, dan sebagainya. Adakah batasan itu meragut kebebasan mereka? Tidak. Yehuwa memastikan agar kegiatan sedemikian membawa nikmat dan kepuasan. (Mzm. 104:14, 15; Pkh. 3:12, 13) Siapakah yang tidak suka menghirup udara segar, menjamu makanan kegemaran, atau tidur lena semalaman? Kegiatan sedemikian tidak mengongkong atau menyusahkan kita, malah kita suka melakukannya. Adam dan Hawa pasti berasa begitu juga.

8. Apakah perintah yang diberikan Tuhan kepada pasangan manusia yang pertama? Apakah tujuan perintah itu?

8 Yehuwa telah memberi Adam dan Hawa perintah yang spesifik: Memenuhi bumi ini dengan anak cucu mereka dan mengurus bumi. (Kej. 1:28) Adakah perintah itu menyekat kebebasan mereka? Sudah pasti tidak! Perintah itu membuka peluang kepada Adam dan Hawa untuk menyertai pelaksanaan tujuan Yehuwa, iaitu menjadikan seluruh bumi ini firdaus agar manusia yang sempurna dapat mendiaminya untuk selama-lamanya. (Yes. 45:18) Hari ini, orang yang memilih untuk tidak beranak atau terus membujang, tidak melanggar perintah Yehuwa. Namun, ramai orang masih berkahwin dan beranak meskipun hal itu tidak mudah. (1 Kor. 7:36-38) Mengapa? Kerana hal itu biasanya mendatangkan kepuasan dan kebahagiaan. (Mzm. 127:3) Jika Adam dan Hawa patuh kepada Yehuwa, perkahwinan dan keluarga mereka akan bahagia selama-lamanya.

MANUSIA KEHILANGAN KEBEBASAN SEJATI

9. Mengapakah perintah Tuhan di Kejadian 2:17 adil, penting, dan munasabah?

9 Yehuwa memberikan satu lagi perintah kepada Adam dan Hawa, dan Dia menjelaskan akibatnya jika mereka melanggar perintah tersebut: “Engkau dilarang makan buah daripada pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat, kerana jika engkau memakannya, pada hari itu juga engkau akan mati.” (Kej. 2:17) Adakah perintah itu tidak adil, tidak penting, atau tidak munasabah? Adakah perintah itu membuat Adam dan Hawa kehilangan kebebasan mereka? Tidak. Ramai cendekiawan Bible setuju bahawa perintah Tuhan itu bijak dan munasabah. Seorang cendekiawan berkata, “Perintah Tuhan menunjukkan bahawa hanya Dia yang tahu apa yang baik . . . dan apa yang buruk . . . untuk manusia. Untuk menikmati apa yang ‘baik,’ manusia mesti percaya dan patuh kepada Tuhan. Jika tidak, mereka sendiri perlu menentukan apa yang baik . . . dan yang tidak baik.” Tanggungjawab itu memang terlalu berat untuk dipikul oleh manusia.

Keputusan Adam dan Hawa membawa padah! (Lihat perenggan 9-12)

10. Mengapakah kebebasan untuk memilih tidak sama dengan hak untuk menentukan apa yang baik dan buruk?

10 Ramai orang berasa bahawa perintah Yehuwa kepada Adam telah menyekat kebebasannya untuk memilih. Namun, kebebasan untuk memilih sebenarnya berbeza daripada hak untuk menentukan apa yang baik dan buruk. Adam dan Hawa bebas untuk memilih sama ada mereka akan mematuhi Tuhan atau tidak, tetapi hanya Yehuwa yang berhak untuk menentukan apa yang baik dan buruk, seperti yang dilambangkan oleh “pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat” di Taman Eden. (Kej. 2:9) Kita tidak mampu mengetahui akibat setiap keputusan kita, dan kita tidak tahu sama ada setiap pilihan kita pasti membawa hasil yang baik atau tidak. Itulah sebabnya banyak orang membuat keputusan dengan niat yang baik, tetapi akhirnya mengalami masalah, tragedi, dan penderitaan. (Ams. 14:12) Ya, kebolehan manusia sangat terhad. Maka, menerusi perintah-Nya, Yehuwa sedang mengajar Adam dan Hawa bahawa jika mereka mahu kebebasan sejati, mereka mesti mematuhi-Nya. Namun, apakah reaksi mereka?

11, 12. Mengapakah keputusan Adam dan Hawa membawa padah? Jelaskan dengan menggunakan contoh.

11 Sedihnya, Adam dan Hawa memilih untuk melanggar perintah Tuhan. Janji Syaitan bahawa ‘mata mereka akan terbuka dan mereka akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat,’ berjaya mengumpan Hawa. (Kej. 3:5) Adakah keputusan Adam dan Hawa membawa lebih banyak kebebasan, seperti yang dijanjikan Syaitan? Tidak. Sebaliknya, mereka mendapati bahawa menolak arahan Yehuwa dan bertindak sesuka hati hanya merugikan diri. (Kej. 3:16-19) Mengapa? Kerana Yehuwa tidak memberi manusia kebebasan untuk menentukan apa yang baik dan apa yang buruk.​—Baca Amsal 20:24 dan nota kaki; Yeremia 10:23.

12 Fikirkan contoh seorang juruterbang. Untuk sampai ke destinasi dengan selamat, dia perlu membawa kapal terbangnya mengikut haluan yang ditetapkan. Dia akan berkomunikasi dengan pekerja di menara kawalan dan menggunakan alat navigasi di dalam kapal terbang. Tetapi jika dia enggan mengikut bimbingan yang diberikan dan membawa kapal terbang itu sesuka hati, kemalangan mungkin berlaku. Seperti juruterbang itu, Adam dan Hawa enggan mengikut bimbingan Tuhan dan mahu bertindak mengikut cara sendiri. Akibatnya, mereka “terhempas” lalu menyebabkan diri mereka dan keturunan mereka dijangkiti dosa dan kematian. (Rm. 5:12) Oleh sebab mereka ingin menentukan apa yang baik dan buruk, mereka kehilangan kebebasan sejati yang dikurniakan Yehuwa.

CARA MENDAPAT KEBEBASAN SEJATI

13, 14. Bagaimanakah kita dapat memperoleh kebebasan sejati?

13 Ada orang yang fikir bahawa kebebasan yang tiada batasan ialah kebebasan yang terbaik. Adakah hal itu benar? Kebebasan memang membawa banyak manfaat, tetapi dapatkah anda bayangkan dunia yang langsung tiada peraturan? Ensiklopedia Dunia menyatakan, “Undang-undang bagi setiap masyarakat yang tertib sangat rumit kerana perlu menjamin dan membatasi kebebasan rakyat pada masa yang sama.” Hal itu memang sesuatu yang rumit. Itulah sebabnya kita ada begitu banyak undang-undang dan begitu banyak peguam dan hakim untuk mentafsirkan dan menguatkuasakan undang-undang itu.

14 Yesus Kristus menjelaskan cara yang mudah untuk menikmati kebebasan yang sejati. Dia berkata, “Jika kamu sentiasa mematuhi ajaranku, kamu benar-benar ialah muridku. Kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan membebaskan kamu.” (Yoh. 8:31, 32) Untuk memiliki kebebasan sejati, kita perlu memenuhi dua syarat: Satu, menerima kebenaran yang diajarkan Yesus, dan dua, menjadi muridnya. Jika kita melakukan kedua-duanya, kita akan mendapat kebebasan sejati. Dibebaskan daripada apa? Yesus menjelaskan, “Setiap orang yang berbuat dosa ialah hamba dosa. . . . Jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas.”​—Yoh. 8:34, 36.

15. Bagaimanakah kebebasan yang dijanjikan Yesus membuat kita “benar-benar bebas”?

15 Jelaslah, kebebasan yang dijanjikan Yesus lebih unggul daripada kebebasan politik atau sosial yang diingini ramai orang hari ini. Semasa Yesus berkata, “Jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas,” dia memaksudkan pembebasan daripada perhambaan yang paling teruk, iaitu dibebaskan daripada menjadi “hamba dosa.” Dosa bukan sahaja menyebabkan kita berbuat salah, malah menghalang kita daripada melakukan yang terbaik atau melakukan hal yang kita tahu patut dilakukan. Kerana dosa, kita kecewa, sedih, menderita, dan akhirnya mati. (Rm. 6:23) Rasul Paulus memahami betapa susahnya menjadi hamba dosa. (Baca Roma 7:21-25.) Apabila belenggu dosa disingkirkan, barulah kita dapat benar-benar bebas seperti Adam dan Hawa pada mulanya.

16. Bagaimanakah kita dapat benar-benar bebas?

16 Kata-kata Yesus yang berbunyi “jika kamu sentiasa mematuhi ajaranku” menunjukkan bahawa terdapat syarat, atau batasan, yang perlu dipatuhi oleh mereka yang ingin dibebaskan olehnya. Sebagai orang Kristian yang telah membaktikan diri, kita sudah melupakan kepentingan diri dan memilih untuk mematuhi batasan yang ditetapkan Yesus bagi murid-muridnya. (Mat. 16:24) Seperti yang dijanjikan Yesus, kita akan benar-benar bebas pada masa depan apabila kita menerima manfaat yang sepenuhnya daripada korban tebusannya.

17. (a) Apakah yang perlu dilakukan untuk mendapat kehidupan yang puas dan bermakna? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Sebagai murid-murid Yesus, kita perlu mematuhi ajarannya. Dengan berbuat demikian, kita akan menikmati kehidupan yang puas dan bermakna. Selain itu, kita akan berpeluang untuk dibebaskan sepenuhnya daripada perhambaan dosa dan kematian. (Baca Roma 8:1, 2, 20, 21.) Rencana seterusnya akan membincangkan bagaimana kita dapat menggunakan kebebasan yang kita ada sekarang dengan bijak, supaya kita dapat memuliakan Yehuwa, Tuhan kebebasan sejati, untuk selama-lamanya.