Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saudara Terlantik​—Teladanilah Timotius

Saudara Terlantik​—Teladanilah Timotius

TAHUN lalu, ribuan saudara di serata dunia telah dilantik sebagai penatua dan pembantu sidang. Jika anda salah seorang antara mereka, anda tentu sangat gembira.

Namun, anda juga mungkin sedikit risau. Jason, seorang penatua muda, berkata, “Semasa saya baru dilantik, saya rasa tanggungjawab saya terlalu berat.” Musa dan Yeremia juga berasa begitu semasa diberikan tugasan baharu daripada Yehuwa. (Kel. 4:10; Yer. 1:6) Jika itulah perasaan anda, bagaimanakah anda dapat mengatasinya dan terus membuat kemajuan? Perhatikan contoh Timotius.​—Kis. 16:1-3.

TIRULAH TELADAN TIMOTIUS

Semasa Timotius dijemput untuk menginjil bersama Rasul Paulus, dia mungkin berusia sekitar 20 tahun. Mula-mulanya, Timotius mungkin kurang yakin dan teragak-agak untuk menjalankan tugasnya kerana dia masih muda. (1 Tim. 4:11, 12; 2 Tim. 1:1, 2, 7) Namun, kira-kira 10 tahun kemudian, Paulus memberitahu sidang di Filipi, “Aku berharap agar aku dapat mengutus Timotius kepada kamu tidak lama lagi . . . aku tidak mempunyai sesiapa lagi yang bersikap sepertinya.”​—Flp. 2:19, 20.

Mengapakah Timotius seorang penatua yang begitu baik? Perhatikan enam faktor.

1. Dia sangat prihatin terhadap orang lain. Paulus memberitahu rakan seiman di Filipi, “[Timotius] benar-benar mengambil berat tentang kamu semua.” (Flp. 2:20) Ya, Timotius ambil peduli tentang kerohanian orang lain, dan dia rela bekerja keras demi mereka.

Janganlah menjadi seperti drebar bas yang begitu menepati masa sehingga enggan berhenti untuk mengambil penumpang. William, seorang penatua yang dihormati, yang telah berkhidmat lebih daripada 20 tahun, berkata, “Sayangilah saudara saudari. Bertumpulah kepada keperluan mereka, bukannya peraturan dan prosedur.”

2. Dia mengutamakan hal rohani. Paulus berada di Roma semasa dia menulis surat kepada sidang di Filipi, dan dia mendapati saudara-saudara di Roma sibuk “mencari kepentingan sendiri dan bukannya kepentingan Yesus Kristus.” (Flp. 2:21) Ya, mereka tidak melakukan hal rohani dengan sepenuh tenaga. Tetapi Timotius sangat berbeza. Semasa berpeluang menyebarkan berita baik, dia menunjukkan sikap seperti Yesaya, yang berkata, “Inilah aku! Utuslah aku!”​—Yes. 6:8.

Bagaimanakah anda dapat mengimbangi hal peribadi dan tanggungjawab rohani? Pertama, ‘kenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.’ (Flp. 1:10) Utamakan hal yang diutamakan Tuhan. Kedua, hentikan kegiatan yang mencuri masa dan tenaga anda. Paulus menasihati Timotius, “Jauhkanlah diri daripada nafsu orang muda. Sebaliknya berusahalah . . . untuk memupuk kebaikan, iman, kasih, dan kedamaian.”​—2 Tim. 2:22.

3. Dia bekerja keras dalam khidmat suci. Paulus mengingatkan orang Kristian di Filipi, “Kamu tahu bahawa Timotius sudah membuktikan kelayakannya. Seperti anak yang bekerja keras bersama bapanya, dia bekerja keras bersama aku untuk menyebarkan berita baik.” (Flp. 2:22) Timotius ringan tulang. Dia bekerja keras bersama Paulus, dan hal itu mengeratkan hubungan mereka berdua.

Hari ini, ada banyak kerja dalam organisasi Tuhan. Kerja itu amat memuaskan dan dapat membantu anda menghampiri saudara saudari. Oleh itu bertekadlah untuk sentiasa “sibuk dalam khidmat Tuan kita.”​—1 Kor. 15:58.

4. Dia menerapkan apa yang dipelajari. Paulus memberitahu Timotius, “Dengan cermat kamu sudah mengikut ajaranku, haluan hidupku, tujuanku, imanku, kesabaranku, kasihku, dan ketabahanku.” (2 Tim. 3:10) Oleh sebab Timotius menerapkan apa yang dipelajarinya, dia dapat memikul tugas yang lebih berat.​—1 Kor. 4:17.

Adakah anda mempunyai pembimbing rohani? Jika tiada, carilah seseorang untuk bantu anda. Tom, seorang penatua yang telah lama berkhidmat, menceritakan kisahnya dahulu, “Seorang penatua yang berpengalaman menjadi pembimbing saya dan beri saya latihan yang baik. Saya sering meminta dan menggunakan nasihatnya. Hal itu membina keyakinan saya dengan cepat.”

5. Dia terus melatih dirinya. Seorang ahli sukan biasanya ada jurulatih, tetapi dia juga perlu melatih dirinya. Paulus menggesa Timotius, “Latihlah dirimu dan bermatlamatlah untuk mengabdikan diri kepada Tuhan. . . . Teruslah mencurahkan usaha untuk membaca di hadapan umum, memberikan nasihat, dan mengajar. . . . Renungkanlah dan tumpukanlah sepenuh perhatian kepada hal-hal ini, supaya kemajuanmu dapat dilihat dengan jelas.”​—1 Tim. 4:7, 13-15.

Maka, teruslah mengasah kemahiran anda. Jadilah pelajar yang rajin dan kenalilah prosedur yang terkini. Selain itu, janganlah terlalu yakin atau fikir bahawa anda sudah cukup berpengalaman sehingga dapat menangani apa-apa situasi tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu. Seperti Timotius, “teruslah memberikan perhatian kepada dirimu sendiri dan kepada ajaranmu.”​—1 Tim. 4:16.

6. Dia bergantung pada kuasa suci Yehuwa. Paulus mengingatkan Timotius, “Dengan bantuan kuasa suci Tuhan yang ada dalam diri kita, jagalah harta berharga ini yang diamanahkan kepadamu.” (2 Tim. 1:14) Ya, untuk meneruskan tugas yang diamanahkan kepadanya, Timotius perlu bergantung pada kuasa suci Tuhan.

Donald, seorang penatua selama puluhan tahun, berkata, “Saudara yang terlantik mesti memelihara hubungan baik dengan Tuhan, barulah ‘kekuatan mereka akan semakin bertambah.’ Jika mereka minta kuasa suci Tuhan dan memupuk buahnya, mereka akan menjadi berkat kepada saudara saudari.”​—Mzm. 84:7; 1 Ptr. 4:11.

HARGAILAH PELUANG ISTIMEWA ANDA

Kami sangat digalakkan kerana ada begitu ramai saudara terlantik yang baharu, seperti anda, yang terus maju secara rohani. Jason, yang disebut tadi, berkata, “Sepanjang masa saya berkhidmat, saya belajar banyak dan menjadi lebih yakin. Sekarang saya suka tugasan saya dan amat menghargainya!”

Adakah anda akan terus maju secara rohani? Bertekadlah untuk meneladani Timotius. Dengan itu, anda juga akan menjadi berkat bagi umat Tuhan.