Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sembahlah Yehuwa, Tuhan Kebebasan

Sembahlah Yehuwa, Tuhan Kebebasan

“Di mana ada kuasa suci Yehuwa, di situ ada kebebasan.”​—2 KOR. 3:17.

LAGU: 49, 73

1, 2. (a) Mengapakah orang pada zaman Paulus sering memikirkan topik perhambaan dan kebebasan? (b) Bagaimanakah Paulus membantu orang mendapat kebebasan sejati?

ORANG Kristian abad pertama hidup dalam kalangan orang Roma, yang membanggakan kebebasan diri, sistem perundangan, dan sistem penghakiman mereka. Namun, kuasa dan kegemilangan Empayar Roma kebanyakannya merupakan hasil titik peluh golongan hamba. Untuk suatu ketika, 30 peratus daripada penduduk Roma ialah hamba. Sudah tentu, perhambaan dan kebebasan merupakan topik yang sering difikirkan orang ramai, termasuk orang Kristian.

2 Surat Paulus sering menyentuh topik kebebasan, tetapi tujuannya bukan untuk membawa reformasi yang diinginkan ramai orang pada zaman itu. Sebaliknya, Paulus dan rakan seimannya berusaha keras untuk mengajar orang berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan korban tebusan Kristus Yesus yang tidak ternilai. Melalui suratnya, Paulus menghalakan perhatian rakan seimannya kepada Sumber kebebasan sejati. Contohnya, dia menulis, “Yehuwa ialah Roh. Di mana ada kuasa suci Yehuwa, di situ ada kebebasan.”​—2 Kor. 3:17.

3, 4. (a) Apakah yang dibincangkan oleh Paulus sebelum dia menulis kata-kata di 2 Korintus 3:17? (b) Apakah yang mesti kita lakukan untuk mendapat kebebasan yang dikurniakan Yehuwa?

3 Dalam suratnya yang kedua kepada sidang di Korintus, Paulus menyebut tentang kemuliaan yang terpancar dari wajah Musa selepas dia menghadap malaikat Yehuwa di Gunung Sinai. Apabila orang Israel nampak Musa, mereka begitu takut sehingga Musa perlu menutupi mukanya dengan selubung. (Kel. 34:29, 30, 33; 2 Kor. 3:7, 13) Paulus menyambung, “Namun selubung itu ditanggalkan apabila seseorang berpaling kepada Yehuwa.” (2 Kor. 3:16) Apakah maksudnya?

4 Seperti yang telah kita pelajari dalam rencana sebelumnya, hanya Yehuwa, Pencipta segala sesuatu, yang memiliki kebebasan yang tidak terbatas. Maka, di hadirat Yehuwa dan “di mana ada kuasa suci Yehuwa,” di situ ada kebebasan. Namun, untuk memiliki kebebasan itu, kita mesti “berpaling kepada Yehuwa,” atau menjalin hubungan yang akrab dengan-Nya. Orang Israel di padang belantara berfikiran duniawi dan tidak memiliki pandangan Yehuwa. Oleh itu, hati dan minda mereka seolah-olah ditutupi selubung. Selepas dibebaskan dari Mesir, mereka hanya ingin menggunakan kebebasan itu untuk memuaskan nafsu sendiri.​—Ibr. 3:8-10.

5. (a) Apakah kebebasan yang dikurniakan kuasa suci Yehuwa? (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa orang yang terkurung atau diperhamba juga dapat menikmati kebebasan yang diberikan Yehuwa? (c) Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab?

5 Kebebasan yang dikurniakan kuasa suci Yehuwa lebih unggul berbanding pembebasan daripada perhambaan. Kuasa suci Yehuwa dapat membebaskan kita daripada dosa dan kematian, dan melepaskan kita daripada belenggu agama palsu dan adat yang salah. Tidakkah anda setuju bahawa tiada manusia yang mampu membawa pembebasan sebegini? (Rm. 6:23; 8:2) Kebebasan itu sangat menakjubkan, kerana manfaatnya dapat dirasai bahkan semasa seseorang terkurung atau diperhamba. (Kej. 39:20-23) Saudari Nancy Yuen dan Saudara Harold King telah merasai kebebasan itu semasa mereka dipenjarakan selama bertahun-tahun demi kepercayaan mereka. Anda dapat melihat temu ramah mereka di Siaran JW. (Lihat bahagian TEMU RAMAH DAN PENGALAMAN > MENGHADAPI CUBAAN DENGAN TABAH.) Sekarang mari kita bincangkan dua soalan: Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai kebebasan kita? Bagaimanakah kita dapat menggunakan kebebasan itu dengan bijak?

MENGHARGAI KEBEBASAN DARIPADA TUHAN

6. Apakah yang menunjukkan bahawa orang Israel tidak menghargai kebebasan yang dikurniakan Yehuwa?

6 Semasa seseorang beri kita hadiah yang bernilai, kita terdorong untuk berterima kasih kepadanya. Tetapi orang Israel tidak menghargai kebebasan yang dikurniakan Yehuwa. Selepas dibebaskan dari Mesir, dalam masa beberapa bulan, mereka mula rindu akan makanan dan minuman di Mesir. Mereka bersungut-sungut tentang makanan yang diberikan Yehuwa dan bahkan ingin kembali ke Mesir. Bayangkan, bagi mereka, ‘ikan, timun, tembikai, bawang perai, bawang merah, dan bawang putih,’ lebih penting daripada kebebasan yang diberikan Yehuwa kepada mereka untuk menyembah-Nya. Itulah sebabnya Yehuwa begitu murka terhadap mereka. (Bil. 11:5, 6, 10; 14:3, 4) Apakah pengajarannya bagi kita?

7. Bagaimanakah Paulus mengamalkan nasihat yang diberinya sendiri di 2 Korintus 6:1? Bagaimanakah kita dapat melakukan hal yang sama?

7 Rasul Paulus menggesa semua orang Kristian agar tidak mensia-siakan kebebasan yang dikurniakan Yehuwa melalui Anak-Nya Yesus Kristus. (Baca 2 Korintus 6:1.) Hati nurani Paulus amat terseksa kerana dia dibelenggu dosa dan kematian, tetapi dia bersyukur kepada Tuhan melalui Yesus Kristus. (Rm. 7:24, 25) Mengapa? Paulus memberitahu rakan seimannya, “Kerana hukum kuasa suci Tuhan yang menyebabkan orang bersatu dengan Kristus Yesus telah membebaskan kamu daripada hukum dosa dan kematian.” (Rm. 8:2) Seperti Paulus, jangan sekali-kali lupa bahawa Yehuwa telah membebaskan kita daripada dibelenggu dosa dan kematian. Tanpa tebusan, kita tidak dapat menyembah Tuhan kita dengan hati nurani yang bersih dan meraih sukacita yang besar. Semoga kita sentiasa bersyukur atas kurniaan itu.​—Mzm. 40:8.

Adakah anda menggunakan kebebasan memilih untuk memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan atau kepentingan sendiri? (Lihat perenggan 8-10)

8, 9. (a) Apakah amaran yang diberikan Rasul Petrus tentang cara kita menggunakan kebebasan? (b) Mengapakah amaran Petrus juga sesuai bagi kita hari ini?

8 Selain mengungkapkan rasa syukur, kita juga perlu berwaspada agar tidak menyalahgunakan kebebasan kita. Rasul Petrus mengingatkan kita agar tidak menggunakan kebebasan itu sebagai alasan untuk berbuat salah. (Baca 1 Petrus 2:16.) Amaran itu mengingatkan kita tentang apa yang berlaku kepada orang Israel di padang belantara. Amaran itu juga sesuai bagi kita, lebih-lebih lagi pada hari ini. Syaitan dan dunianya menawarkan beraneka jenis pilihan yang menarik dalam soal pakaian, dandanan, makanan, minuman, rekreasi, hiburan, dan sebagainya. Dunia iklan pula sering menggunakan orang yang tampan dan jelita untuk mempromosikan produk, sehingga barang yang tidak diperlukan kelihatan seperti barang yang mesti dimiliki. Helah-helah sedemikian dapat memperdaya kita dengan mudah dan membuat kita menyalahgunakan kebebasan sendiri.

9 Nasihat Petrus juga berguna untuk hal-hal yang lebih serius dalam kehidupan, seperti memilih pendidikan, pekerjaan, atau kerjaya. Contohnya, ramai anak muda hari ini diberi tekanan untuk belajar bermati-matian agar layak memasuki institusi pengajian tinggi yang terkemuka. Mereka asyik diberitahu bahawa pendidikan tinggi ialah kunci untuk mendapat pekerjaan baik yang bergaji lumayan, dan mereka sering ditunjukkan maklumat tentang jurang pendapatan antara lulusan universiti dengan lulusan sekolah menengah. Semasa membuat keputusan yang dapat mempengaruhi seluruh kehidupan mereka, orang muda mungkin sangat tertarik dengan pendidikan tinggi. Namun, apakah yang harus diingat oleh mereka dan ibu bapa mereka?

10. Apakah yang harus kita ingat semasa menggunakan kebebasan untuk memilih?

10 Sesetengah orang berasa bahawa hal-hal itu merupakan keputusan peribadi, maka mereka bebas memilih apa-apa sahaja asalkan hati nurani mereka tidak terganggu. Mereka mungkin teringat kata-kata Paulus, “Mengapakah aku harus dihakimi berdasarkan hati nurani orang lain?” (1 Kor. 10:29) Memang benar, kita bebas untuk memilih pendidikan dan kerjaya, tetapi jangan lupa bahawa kebebasan kita ada batas dan setiap keputusan kita ada kesannya. Itulah sebabnya Paulus juga berkata, “Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi bukan segala-galanya berfaedah. Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi bukan segala-galanya menguatkan orang.” (1 Kor. 10:23) Ya, biarpun kita diberi kebebasan dalam hal peribadi, ingatlah bahawa terdapat hal-hal lain yang lebih penting daripada keinginan diri sendiri.

GUNA KEBEBASAN DENGAN BIJAK UNTUK SEMBAH YEHUWA

11. Mengapakah Yehuwa membebaskan kita?

11 Setelah mengingatkan kita agar tidak menyalahgunakan kebebasan sendiri, Petrus menggesa kita agar menggunakannya untuk “menjadi hamba Tuhan.” Itulah tujuan Yehuwa membebaskan kita daripada hukum dosa dan kematian melalui Kristus, iaitu supaya kita membaktikan kehidupan kita untuk menjadi “hamba Tuhan.”

12. Apakah teladan baik yang ditunjukkan oleh Nuh dan keluarganya?

12 Cara terbaik untuk menggunakan kebebasan kita adalah dengan bergiat sepenuhnya dalam hal rohani. Dengan itu, kita tidak akan diperhamba semula oleh keinginan dan cita-cita dunia. (Gal. 5:16) Fikirkan contoh Nuh dan keluarganya, yang hidup dalam dunia yang ganas dan tidak bermoral. Bagaimanakah mereka melindungi diri daripada dijerat oleh nafsu dan matlamat orang di sekeliling mereka? Mereka sibuk melakukan kerja Yehuwa​—membina bahtera, mengumpulkan makanan, dan memberikan amaran kepada orang lain. Oleh sebab Nuh “melakukan segala sesuatu yang diperintahkan oleh Tuhan,” dia dan keluarganya terselamat semasa dunia itu dibinasakan.​—Kej. 6:22; Ibr. 11:7.

13. Apakah amanah yang diberikan Yehuwa kepada kita?

13 Apakah perintah Yehuwa kepada kita hari ini? Sebagai murid Yesus, amanah kita ialah kerja penyebaran. (Baca Lukas 4:18, 19.) Hari ini, Syaitan telah membutakan kebanyakan orang dan menjadikan mereka hamba kepada agama palsu, harta benda, dan sistem politik. (2 Kor. 4:4) Seperti Yesus, kita diberi penghormatan untuk membantu orang mengenali dan menyembah Yehuwa, Tuhan kebebasan. (Mat. 28:19, 20) Kerja itu tidak mudah. Di sesetengah kawasan, kita disambut dingin dan bahkan ditentang. Namun, kita masing-masing dapat menanya diri, “Dapatkah saya menggunakan kebebasan saya untuk menyokong Kerajaan Tuhan dengan lebih giat lagi?”

14, 15. Apakah yang dilakukan oleh ramai penyembah Yehuwa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

14 Kita amat digalakkan kerana ramai rakan seiman menyedari bahawa akhir sudah dekat lalu menyederhanakan kehidupan sendiri agar dapat menginjil sepenuh masa. (1 Kor. 9:19, 23) Ada yang berkhidmat di kawasan tempatan, dan yang lain berpindah ke tempat yang lebih memerlukan bantuan. Dalam lima tahun yang lalu, lebih daripada 250,000 orang mula merintis, dan kini terdapat lebih daripada 1,100,000 orang perintis di serata dunia. Tidakkah anda kagum dengan mereka yang menggunakan kebebasan sendiri untuk menyembah Yehuwa?​—Mzm. 110:3.

15 Apakah yang membantu mereka menggunakan kebebasan dengan bijak? John dan Judith, yang pernah berkhidmat di beberapa negara sepanjang 30 tahun yang lalu, menjelaskan bahawa apabila Sekolah Latihan Perintis diasaskan pada tahun 1977, para pelajar digalakkan untuk berpindah ke tempat yang lebih memerlukan bantuan. John menjelaskan bahawa dia tukar banyak pekerjaan agar dapat menyederhanakan kehidupan dan tetap bertumpu kepada matlamat itu. Apakah yang membantu mereka mengatasi cabaran seperti perbezaan bahasa, budaya, dan cuaca, semasa berkhidmat di luar negara? Mereka berdoa kepada Yehuwa dan bergantung pada-Nya. Setelah berkhidmat begitu lama, apakah perasaan mereka? John menjelaskan, “Inilah aktiviti terbaik yang pernah saya ceburi, dan saya dapat melakukannya dengan sepenuh tenaga. Yehuwa menjadi lebih nyata kepada saya seperti bapa yang pengasih. Kini, saya lebih memahami maksud Yakobus 4:8, ‘Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.’ Saya sudah jumpa apa yang saya cari selama ini, iaitu tujuan hidup yang memuaskan.”

16. Bagaimanakah beribu-ribu orang rakan seiman kita menggunakan kebebasan mereka dengan bijak?

16 Sesetengah saudara saudari tidak dapat berkhidmat sepenuh masa untuk waktu yang panjang seperti John dan Judith. Namun, mereka menawarkan diri untuk membantu dalam kerja pembinaan teokratik di serata dunia. Contohnya, semasa ibu pejabat sedunia di Warwick, New York, sedang dibina, kira-kira 27,000 orang pekerja sukarela datang untuk membantu. Ada yang menolong selama dua atau beberapa minggu, dan ada yang menyertai projek itu untuk setahun atau lebih lama lagi. Ramai daripada mereka telah membuat pengorbanan untuk membantu di Warwick. Mereka memang contoh baik kerana menggunakan kebebasan sendiri untuk memuji dan memuliakan Yehuwa, Tuhan kebebasan!

17. Jika kita menggunakan kebebasan sendiri dengan bijak sekarang, apakah masa depan yang menantikan kita?

17 Kita bersyukur kerana dapat mengenal Yehuwa dan menikmati kebebasan yang dikurniakan kepada semua penyembah-Nya. Semoga pilihan kita membuktikan bahawa kita menghargai kebebasan itu. Janganlah mensia-siakan atau menyalahgunakannya. Sebaliknya, gunakanlah kebebasan itu untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuhnya. Dengan itu, kita akan dilimpahi berkat yang dijanjikan Yehuwa dalam nubuat ini: “Ciptaan dapat dibebaskan daripada menjadi hamba tubuh yang boleh musnah lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.”​—Rm. 8:21.