Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 16

“Adik Kamu Akan Hidup Semula”!

“Adik Kamu Akan Hidup Semula”!

“Yesus berkata kepada [Marta], ‘Adik kamu akan hidup semula.’”​—YOH. 11:23.

LAGU 151 Dia Akan Memanggil

PENGENALAN a

1. Apakah yang dikatakan seorang budak lelaki tentang harapan pembangkitan?

 SEORANG budak lelaki yang bernama Matthew mempunyai masalah kesihatan yang serius dan perlu menjalani banyak pembedahan. Semasa berumur tujuh tahun, dia dan keluarganya menonton program Siaran JW. Pada hujung program itu, terdapat video muzik tentang menyambut orang tersayang yang dibangkitkan. b Selepas program itu, Matthew mendekati ibu bapanya, memegang tangan mereka, dan berkata, “Mak, Ayah, jangan risau. Biarpun saya mati, saya akan hidup semula. Kamu tunggu saja saya dibangkitkan.” Dapatkah anda bayangkan perasaan ibu bapa Matthew semasa melihat dia begitu mempercayai harapan pembangkitan?

2-3. Mengapakah kita digalakkan untuk merenungkan harapan pembangkitan?

2 Dari masa ke masa, kita digalakkan untuk merenungkan harapan pembangkitan. (Yoh. 5:28, 29) Mengapa? Kerana hidup kita tidak menentu. Kita mungkin tiba-tiba jatuh sakit atau kehilangan orang tersayang. (Pkh. 9:11; Yak. 4:13, 14) Harapan pembangkitan dapat membantu kita menghadapi cabaran sedemikian dengan tabah. (1 Tes. 4:13) Bible meyakinkan kita bahawa Yehuwa sangat mengenali kita dan mengasihi kita. (Luk. 12:7) Untuk membangkitkan kita dengan keperibadian dan ingatan yang sama, sudah tentu Tuhan Yehuwa harus tahu segala sesuatu tentang kita. Yehuwa pasti sangat mengasihi kita kerana memberi kita peluang untuk hidup selama-lamanya. Jika kita mati pun, Dia berjanji untuk membangkitkan kita.

3 Dalam rencana ini, mula-mula kita akan membincangkan mengapa kita dapat mempercayai harapan pembangkitan. Kemudian, kita akan mengkaji kisah Bible yang mengandungi ayat tema rencana ini: “Adik kamu akan hidup semula.” (Yoh. 11:23) Akhir sekali, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat menguatkan iman kita terhadap harapan pembangkitan.

MENGAPA HARAPAN PEMBANGKITAN DAPAT DIPERCAYAI

4. Untuk mempercayai janji seseorang, kita perlu yakin akan hal apa? Berikan contoh.

4 Untuk mempercayai janji seseorang, kita mesti yakin bahawa orang itu mempunyai keinginan dan kuasa, atau kemampuan, untuk menunaikan janjinya. Fikirkan contoh ini: Bayangkan rumah anda mengalami kerosakan teruk akibat ribut. Seorang kawan berjanji kepada anda, “Saya akan bina semula rumah kamu.” Kawan anda itu memang ikhlas, jadi anda yakin bahawa dia mempunyai keinginan untuk membantu anda. Jika dia seorang pembina yang mahir dan memiliki peralatan yang diperlukan, anda juga yakin bahawa dia mempunyai kemampuan untuk membantu anda. Maka anda mempercayai janjinya. Bagaimana pula dengan janji Tuhan untuk membangkitkan orang mati? Adakah Dia benar-benar mempunyai keinginan dan kuasa untuk menunaikannya?

5-6. Mengapakah kita dapat yakin bahawa Yehuwa mempunyai keinginan untuk membangkitkan orang mati?

5 Adakah Yehuwa mempunyai keinginan untuk membangkitkan orang mati? Sudah tentu. Dia telah mengilhami beberapa penulis Bible untuk mencatatkan janji-Nya tentang harapan pembangkitan. (Yes. 26:19; Hos. 13:14; Why. 20:11-13) Yehuwa tidak pernah memungkiri janji-Nya. (Yos. 23:14) Sebenarnya, Yehuwa sangat ingin membangkitkan orang mati. Bagaimanakah kita tahu?

6 Perhatikan apa yang dikatakan oleh Ayub. Dia yakin bahawa biarpun dia mati, Yehuwa ingin membangkitkannya. (Ayb. 14:14, 15) Yehuwa merindui semua penyembah-Nya yang sudah mati. Dia ingin membangkitkan mereka dan memberi mereka tubuh yang sihat dan kehidupan yang bahagia. Bagaimana pula dengan jutaan orang yang mati sebelum berpeluang untuk mengenali Yehuwa? Bapa kita yang pengasih ingin membangkitkan mereka juga. (Kis. 24:15) Yehuwa mahu mereka berpeluang untuk menjadi sahabat-Nya dan hidup selama-lamanya di bumi. (Yoh. 3:16) Jelaslah, Yehuwa ingin sekali membangkitkan orang yang mati.

7-8. Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa mempunyai kuasa untuk membangkitkan orang mati?

7 Adakah Yehuwa juga mempunyai kuasa untuk membangkitkan orang mati? Sudah tentu! Dia ialah “Tuhan Yang Maha Kuasa.” (Why. 1:8) Dia mampu mengalahkan semua musuh-Nya, bahkan kematian. (1 Kor. 15:26) Hal ini melegakan hati kita dan membantu kita tabah menghadapi kesusahan. Fikirkan pengalaman Saudari Emma Arnold. Dia dan keluarganya telah menghadapi cubaan yang berat semasa Perang Dunia Kedua. Untuk melegakan hati anak perempuannya yang kehilangan orang tersayang dalam kem Nazi, Emma berkata, “Jika kematian dapat membelenggu manusia buat selama-lamanya, kematian sudah lebih kuat daripada Tuhan, bukan?” Hal itu mustahil, kerana tiada apa-apa pun yang lebih kuat daripada Yehuwa! Dia telah menciptakan nyawa, maka Dia pasti mampu memulihkan nyawa hamba-hamba-Nya yang sudah meninggal.

8 Satu lagi sebab kita tahu Yehuwa mampu membangkitkan orang mati ialah Dia mempunyai ingatan yang sempurna. Bible kata Dia dapat memanggil nama setiap bintang. (Yes. 40:26) Dia juga dapat ingat semua orang yang telah meninggal. (Ayb. 14:13; Luk. 20:37, 38) Dia dapat ingat perincian yang terkecil tentang orang yang akan dibangkitkan-Nya, termasuk DNA mereka, pengalaman hidup mereka, dan ingatan mereka.

9. Mengapakah anda mempercayai janji Yehuwa untuk membangkitkan orang mati?

9 Jelaslah, kita dapat mempercayai janji Yehuwa untuk membangkitkan orang mati kerana kita tahu bahawa Yehuwa mempunyai keinginan dan kuasa untuk melakukannya. Perhatikan satu lagi sebab mengapa kita mempercayai janji ini: Yehuwa pernah membangkitkan orang mati. Pada zaman Bible, Yehuwa telah memberikan kuasa kepada sesetengah hamba-Nya, termasuk Yesus, untuk membangkitkan orang mati. Mari kita mengkaji salah satu pembangkitan yang dilakukan oleh Yesus, yang dicatatkan di Yohanes bab 11.

SAHABAT KESAYANGAN YESUS MENINGGAL

10. Apakah yang berlaku semasa Yesus berada di seberang Sungai Yordan? Apakah yang dilakukannya? (Yohanes 11:1-3)

10 Baca Yohanes 11:1-3. Bayangkan keadaannya di Betania pada hujung tahun 32 Masihi. Betania ialah tempat tinggal beberapa sahabat rapat Yesus, iaitu Lazarus dan dua orang kakaknya, Maria dan Marta. (Luk. 10:38-42) Semasa Lazarus jatuh sakit, kakaknya sangat risau dan menghantar utusan untuk memberitahu Yesus tentang hal itu. Pada masa itu, Yesus berada di seberang Sungai Yordan. Untuk sampai ke Betania, dia perlu berjalan kira-kira dua hari. (Yoh. 10:40) Sedihnya, sekitar masa utusan itu menjumpai Yesus, Lazarus sudah meninggal. Biarpun Yesus tahu sahabatnya baru sahaja meninggal, dia tunggu dua hari lagi sebelum bertolak ke Betania. Jadi semasa Yesus tiba, Lazarus sudah mati selama empat hari. Yesus berbuat demikian kerana dia ingin melakukan sesuatu untuk membantu sahabat-sahabatnya dan memuliakan Tuhan.​—Yoh. 11:4, 6, 11, 17.

11. Apakah yang dapat kita belajar tentang persahabatan daripada kisah ini?

11 Daripada kisah ini, kita belajar cara untuk menjadi sahabat yang baik. Fikirkan: Semasa Maria dan Marta menghantar utusan kepada Yesus, mereka tidak memintanya untuk datang ke Betania. Mereka sekadar memberitahu Yesus bahawa Lazarus telah jatuh sakit. (Yoh. 11:3) Selepas Lazarus mati, biarpun Yesus mempunyai kuasa untuk membangkitkannya dari seberang Sungai Yordan, dia memilih untuk membuat perjalanan ke Betania agar dia dapat melegakan hati Maria dan Marta. Adakah anda mempunyai seorang sahabat yang sudi membantu anda biarpun anda tidak meminta bantuannya? Jika ya, dia sememangnya sahabat yang dapat diharapkan “pada masa kesusahan.” (Ams. 17:17) Seperti Yesus, semoga kita menjadi sahabat yang sejati kepada orang lain! Sekarang, mari kita kembali kepada kisah Lazarus.

12. Apakah janji Yesus kepada Marta, dan mengapakah hal itu bukan janji kosong? (Yohanes 11:23-26)

12 Baca Yohanes 11:23-26. Semasa Marta mendapat tahu bahawa Yesus berada tidak jauh dari Betania, dia bergegas untuk berjumpa dengan Yesus. Dia berkata, “Jika Tuan ada di sini, tentu adikku tidak akan mati.” (Yoh. 11:21) Memang benar, Yesus dapat menyembuhkan Lazarus. Tetapi dia ingin melakukan sesuatu yang lebih menakjubkan. Dia berjanji kepada Marta, “Adik kamu akan hidup semula.” Dia juga menjelaskan kepada Marta mengapa janji itu bukan janji kosong. Dia berkata, “Akulah pembangkitan dan kehidupan.” Ya, Yesus diberi kuasa untuk membangkitkan orang yang mati. Sebelum ini, Yesus pernah membangkitkan seorang gadis kecil yang baru meninggal. Dia juga pernah membangkitkan seorang lelaki muda tidak lama selepas lelaki itu mati. (Luk. 7:11-15; 8:49-55) Namun, Lazarus sudah meninggal selama empat hari, dan mayatnya sudah mula reput. Dapatkah Yesus membangkitkannya?

“LAZARUS, KELUARLAH!”

Yesus berbelas kasihan terhadap kawannya yang bersedih atas kematian orang tersayang (Lihat perenggan 13-14)

13. Menurut Yohanes 11:32-35, apakah reaksi Yesus semasa melihat Maria dan orang lain menangis? (Lihat juga gambar.)

13 Baca Yohanes 11:32-35. Bayangkan apa yang berlaku seterusnya. Maria, iaitu kakak Lazarus yang seorang lagi, pergi berjumpa dengan Yesus. Dia pun berkata, “Jika Tuan ada di sini, adikku tentu tidak akan mati.” Semasa Yesus melihat dan mendengar Maria dan orang lain menangis dengan sedih, dia berasa susah hati. Dia begitu mengasihani sahabat-sahabatnya sehingga mula menitiskan air mata. Ya, Yesus faham betapa pilunya seseorang yang kehilangan orang tersayang. Sudah pasti dia ingin mengubati kesedihan mereka!

14. Apakah yang dapat kita belajar tentang Yehuwa daripada reaksi Yesus?

14 Reaksi Yesus mengajar kita bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang berbelas kasihan. Mengapakah kita dapat berkata demikian? Seperti yang dinyatakan dalam rencana sebelumnya, Yesus mencerminkan perasaan dan pemikiran Bapanya dengan sempurna. (Yoh. 12:45) Jadi apabila kita membaca bahawa kesedihan rakan-rakan Yesus membuatnya menitiskan air mata, kita dapat menyimpulkan bahawa Yehuwa juga berasa susah hati apabila kita bersedih. (Mzm. 56:8) Tidakkah hal ini membuat anda ingin lebih menghampiri Tuhan kita yang penyayang?

Yesus menunjukkan bahawa dia mampu mengalahkan kematian (Lihat perenggan 15-16)

15. Berdasarkan catatan di Yohanes 11:41-44, apakah yang berlaku di makam Lazarus? (Lihat juga gambar.)

15 Baca Yohanes 11:41-44. Apabila Yesus tiba di makam Lazarus, dia menyuruh orang untuk mengalihkan batu yang menutup pintu masuk makam. Marta berkata bahawa mayat Lazarus pasti sudah berbau busuk. Tetapi Yesus menjawab, “Bukankah aku sudah mengatakan bahawa jika kamu percaya, kamu akan melihat kemuliaan Tuhan?” (Yoh. 11:39, 40) Yesus kemudiannya melihat ke langit dan mengucapkan doa di hadapan orang ramai, kerana dia ingin memuliakan Yehuwa atas apa yang bakal dilakukannya. Selepas itu, dia berseru, “Lazarus, keluarlah!” dan Lazarus pun keluar dari makam! Yesus telah melakukan sesuatu yang dianggap mustahil.​—Lihat nota pembelajaran di Yohanes 11:17 dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.

16. Bagaimanakah kisah di Yohanes bab 11 menguatkan keyakinan kita terhadap harapan pembangkitan?

16 Kisah di Yohanes bab 11 menguatkan keyakinan kita terhadap harapan pembangkitan. Bagaimana? Ingatlah, Yesus telah berjanji kepada Marta, “Adik kamu akan hidup semula.” (Yoh. 11:23) Seperti Bapanya, Yesus mempunyai keinginan dan kuasa untuk menunaikan janjinya. Air mata yang dititiskan oleh Yesus menunjukkan bahawa dia sangat ingin melenyapkan kematian dan kesedihan. Semasa Lazarus keluar dari makam, Yesus membuktikan sekali lagi bahawa dia mempunyai kuasa untuk membangkitkan orang mati. Dia juga mengingatkan Marta, “Jika kamu percaya, kamu akan melihat kemuliaan Tuhan.” (Yoh. 11:40) Ya, kita mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk percaya bahawa Tuhan pasti menunaikan janji-Nya untuk membangkitkan orang mati! Namun, bagaimanakah kita dapat menguatkan keyakinan kita terhadap harapan pembangkitan?

BAGAIMANA KITA DAPAT MENGUATKAN KEYAKINAN KITA TERHADAP HARAPAN PEMBANGKITAN

17. Apakah yang harus kita lakukan semasa membaca kisah-kisah pembangkitan dalam Bible?

17 Baca dan renungkan kisah pembangkitan. Bible mengandungi lapan kisah tentang orang yang dibangkitkan ke bumi. c Cubalah kaji setiap kisah ini dengan teliti. Semasa anda berbuat demikian, jangan lupa bahawa semua ini ialah kisah benar yang melibatkan lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang pernah wujud. Carilah pengajaran yang dapat anda raih. Fikirkan bagaimana setiap kisah ini menunjukkan bahawa Tuhan ada keinginan dan kuasa untuk membangkitkan orang mati. Namun, jangan lupa untuk merenungkan pembangkitan yang terpenting, iaitu pembangkitan Yesus ke syurga. Pembangkitan Yesus disahkan oleh ratusan saksi dan hal ini memberi kita sebab yang kukuh untuk mempercayai harapan pembangkitan.​—1 Kor. 15:3-6, 20-22.

18. Bagaimanakah anda dapat meraih manfaat daripada lagu rohani tentang pembangkitan? (Lihat juga nota kaki.)

18 Manfaatkan “lagu rohani” yang menyebut tentang harapan pembangkitan. d (Ef. 5:19) Lagu-lagu ini dapat menguatkan keyakinan kita terhadap harapan pembangkitan. Maka semasa penyembahan keluarga, dengarlah, latihlah, dan bincangkan maksud lirik lagu-lagu ini. Hafallah lagu-lagu ini agar liriknya terpahat di hati dan minda anda. Dengan itu, apabila nyawa anda terancam atau anda kehilangan orang yang tersayang, kuasa suci Yehuwa akan membantu anda untuk mengingat semula lagu-lagu itu. Hal itu akan menguatkan dan melegakan hati anda.

19. Bagaimanakah kita dapat menggunakan daya imaginasi kita? (Lihat kotak “ Apakah yang Ingin Anda Tanya Mereka?”)

19 Gunakan daya imaginasi anda. Yehuwa telah memberi kita kebolehan untuk membayangkan diri di dunia baharu. Seorang saudari menjelaskan, “Saya begitu sering membayangkan diri di dunia baharu sehingga saya rasa bahawa saya dapat menghidu harum semerbak bunga ros yang mekar di Firdaus.” Bayangkan anda berjumpa dengan watak Bible yang setia. Anda ingin berjumpa dengan siapa? Apakah soalan yang akan anda tanya dia? Bayangkan juga anda berjumpa semula dengan orang kesayangan yang sudah meninggal. Bayangkan tangisan gembira, pelukan mesra, dan kata-kata pertama yang akan anda ucapkan kepada mereka.

20. Apakah sepatutnya tekad kita?

20 Kita sangat bersyukur atas harapan pembangkitan yang Yehuwa janjikan kepada kita! Kita boleh yakin janji ini akan menjadi kenyataan, kerana Yehuwa mempunyai keinginan dan kuasa untuk melakukannya. Semoga kita bertekad untuk menguatkan iman kita terhadap janji yang menakjubkan ini. Dengan berbuat demikian, kita akan semakin menghampiri Tuhan yang berjanji kepada setiap seorang daripada kita, “Orang kesayangan anda akan hidup semula!”

LAGU 147 Kehidupan Abadi Dijanjikan

a Jika orang tersayang anda meninggal, harapan pembangkitan pasti melegakan hati anda. Bagaimanakah anda dapat menjelaskan kepada orang lain sebabnya anda mempercayai harapan pembangkitan? Bagaimanakah anda dapat menguatkan keyakinan anda terhadap janji itu? Rencana ini akan membantu kita semua menguatkan iman kita terhadap harapan pembangkitan.

b Video muzik ini bertajuk Tidak Lama Tiba dan muncul dalam Siaran JW bulan November 2016.

c Lihat kotak Delapan Kebangkitan yang Ditulis dalam Alkitab dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Ogos 2015, ms. 4.

d Lihat lagu-lagu berikut dalam Nyanyi dengan Gembira kepada Yehuwa:Bayangkan Dirimu di Dunia Baharu” (Lagu 139), “Tataplah Pahala!” (Lagu 144), dan “Dia Akan Memanggil” (Lagu 151). Lihat juga lagu asal berikut di jw.org/ms: “Tidak Lama Tiba,” “Di Dunia yang Baru,” dan “Bayangkan dan Lihat.”