RENCANA PEMBELAJARAN 15
Apakah yang Dapat Kita Belajar daripada Mukjizat Yesus?
‘Dia pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang.’—KIS. 10:38.
LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita
PENGENALAN a
1. Apakah keadaannya semasa Yesus melakukan mukjizatnya yang pertama?
BAYANGKAN apa yang berlaku pada hujung tahun 29 Masihi. Yesus baru mula menjalankan kerja penyebaran. Dia dan ibunya Maria, bersama beberapa orang muridnya dijemput untuk menghadiri sebuah jamuan perkahwinan di Kana, iaitu sebuah kampung yang terletak di utara Nasaret. Maria ialah kawan kepada pasangan pengantin, dan dia sedang membantu mereka untuk menjaga keperluan para tetamu. Tetapi semasa jamuan itu, mereka kehabisan wain. Masalah itu pasti membuat pasangan baharu dan keluarga mereka sangat malu. b Barangkali, mereka tidak sangka begitu banyak orang akan datang. Dengan segera, Maria melihat ke arah Yesus dan berkata, “Mereka kehabisan wain.” (Yoh. 2:1-3) Apakah yang Yesus lakukan? Dia melakukan sesuatu yang luar biasa: Dia mengubah air menjadi “wain yang bermutu tinggi.”—Yoh. 2:9, 10.
2-3. (a) Apakah mukjizat yang pernah dilakukan oleh Yesus? (b) Mengapakah kita patut mengkaji mukjizat Yesus?
2 Sepanjang kerja penyebarannya di bumi, Yesus melakukan banyak mukjizat dan membantu berpuluh-puluh ribu orang. c Sebagai contoh, fikirkan dua mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Pernah sekali, dia menyediakan makanan untuk 5,000 orang lelaki. Pada peristiwa lain, dia menyediakan makanan untuk 4,000 orang lelaki. Jika kita mengira wanita dan kanak-kanak yang turut hadir pada masa itu, Yesus mungkin telah menyediakan makanan untuk lebih daripada 27,000 orang. (Mat. 14:15-21; 15:32-38) Pada kedua-dua peristiwa itu, Yesus juga menyembuhkan banyak orang yang sakit. (Mat. 14:14; 15:30, 31) Orang ramai pasti sangat kagum semasa Yesus menyembuhkan mereka dan menyediakan makanan untuk mereka!
3 Kita dapat mempelajari banyak hal daripada mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa pengajaran yang dapat menguatkan iman kita. Kemudian, kita akan mengkaji bagaimana kita dapat meniru kerendahan hati dan sifat belas kasihan yang Yesus tunjukkan semasa melakukan mukjizat.
APA YANG DAPAT KITA BELAJAR TENTANG YEHUWA DAN YESUS
4. Kita dapat belajar tentang siapa daripada mukjizat yang dilakukan oleh Yesus?
4 Mukjizat yang dilakukan oleh Yesus bukan sahaja mengajar kita tentang dirinya, tetapi juga tentang Bapanya. Mengapa? Kerana Yehuwa ialah Sumber kuasa di sebalik mukjizat Yesus. Kisah 10:38 memberitahu kita, “Tuhan telah mengurapi Yesus dengan kuasa suci-Nya dan memberinya kekuatan. Oleh sebab Tuhan menyertainya, dia dapat pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang ditindas oleh Iblis.” Selain itu, segala-gala yang dilakukan dan dikatakan oleh Yesus, termasuk mukjizatnya, mencerminkan pemikiran dan perasaan Bapanya dengan sempurna. (Yoh. 14:9) Sekarang mari kita lihat tiga pengajaran yang dapat kita raih daripada mukjizat Yesus.
5. Apakah yang mendorong Yesus untuk melakukan mukjizat? (Matius 20:30-34)
5 Pertama, Yesus dan Bapanya sangat mengasihi kita. Semasa di bumi, Yesus menunjukkan betapa dalamnya kasihnya terhadap orang dengan melakukan mukjizat untuk membantu mereka. Pernah sekali, dua orang lelaki buta berseru meminta bantuannya. (Baca Matius 20:30-34.) Yesus “berasa kasihan” terhadap mereka lalu tergerak untuk menyembuhkan mereka. Kata kerja bahasa Yunani yang diterjemahkan sebagai “berasa kasihan” menunjukkan bahawa Yesus dapat menyelami penderitaan mereka. Perasaan ini mencerminkan kasih Yesus dan juga menggerakkannya untuk memberikan makanan kepada orang yang lapar dan menyembuhkan pesakit kusta. (Mat. 15:32; Mrk. 1:41) Kita boleh yakin bahawa Yehuwa, Tuhan yang “sangat berbelas kasihan,” dan Anak-Nya sangat mengasihi kita dan berasa susah hati semasa melihat kita menderita. (Luk. 1:78; 1 Ptr. 5:7) Mereka pasti sangat ingin melenyapkan semua masalah kita!
6. Tuhan telah memberi Yesus kuasa untuk melakukan apa?
6 Kedua, Tuhan telah memberi Yesus kuasa untuk menyelesaikan semua masalah manusia. Menerusi mukjizatnya, Yesus menunjukkan bahawa dia mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah yang mustahil diselesaikan oleh manusia. Sebagai contoh, Yesus mempunyai kuasa untuk membebaskan kita daripada dosa, iaitu punca segala penderitaan manusia, termasuk penyakit dan kematian. (Mat. 9:1-6; Rm. 5:12, 18, 19) Mukjizat Yesus membuktikan bahawa dia mempunyai kuasa untuk “menyembuhkan setiap masalah kesihatan dan setiap jenis penyakit” dan bahkan membangkitkan orang yang telah meninggal. (Mat. 4:23; Yoh. 11:43, 44) Yesus juga mempunyai kuasa untuk meredakan ribut dan membebaskan orang daripada roh-roh jahat. (Mrk. 4:37-39; Luk. 8:2) Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa telah memberi Anak-Nya kuasa yang begitu besar?
7-8. (a) Mukjizat Yesus meyakinkan kita akan hal apa? (b) Apakah mukjizat yang ingin anda lihat di dunia baharu?
7 Ketiga, kita dapat yakin sepenuhnya bahawa janji Tuhan tentang masa depan akan menjadi kenyataan. Mukjizat yang dilakukan oleh Yesus sebagai manusia di bumi menunjukkan apa yang akan dilakukannya pada skala yang jauh lebih besar sebagai Raja Kerajaan Tuhan di syurga. Apakah keadaan hidup pada masa itu? Kita akan menikmati kesihatan yang sempurna, kerana Yesus akan menyingkirkan segala jenis penyakit dan masalah kesihatan. (Yes. 33:24; 35:5, 6; Why. 21:3, 4) Kita tidak akan kelaparan atau perlu menghadapi bencana alam. (Yes. 25:6; Mrk. 4:41) Kita akan menikmati sukacita besar semasa mengalu-alukan orang tersayang yang keluar dari “makam peringatan.” (Yoh. 5:28, 29) Apakah mukjizat yang ingin anda lihat di dunia baharu nanti?
8 Mukjizat yang dilakukan oleh Yesus menonjolkan kerendahan hati dan belas kasihannya. Sekarang mari kita lihat dua contoh mukjizat Yesus dan membincangkan bagaimana kita dapat meniru kerendahan hati dan belas kasihannya.
KERENDAHAN HATI
9. Apakah yang dilakukan Yesus semasa majlis perkahwinan di Kana? (Yohanes 2:6-10)
9 Baca Yohanes 2:6-10. Bayangkan perasaan anda jika makanan atau minuman habis semasa majlis perkahwinan anda. Anda mungkin berasa malu dan susah hati. Semasa wain habis di majlis perkahwinan itu, perlukah Yesus melakukan sesuatu? Tidak. Tiada nubuat yang menyatakan bahawa Mesias akan melakukan mukjizat untuk menyediakan wain. Namun, Yesus berasa kasihan terhadap pasangan baharu itu dan keluarga mereka, dan dia tidak mahu mereka berasa malu. Jadi, dia melakukan mukjizat dengan menukarkan kira-kira 390 liter air menjadi wain yang terbaik. Barangkali Yesus menyediakan begitu banyak wain supaya boleh diminum pada kemudian hari, atau supaya pasangan baharu itu boleh menjualnya untuk mendapat wang. Pasangan baharu itu pasti sangat bersyukur!
10. Apakah sesetengah butiran yang menarik dalam catatan di Yohanes bab 2? (Lihat juga gambar.)
10 Perhatikan beberapa butiran yang menarik dalam catatan di Yohanes bab 2. Yang mengisi tempayan batu dengan air bukanlah Yesus tetapi para pelayan. (Ayat 6, 7) Selepas air diubah menjadi wain, yang membawa wain itu kepada ketua majlis bukanlah Yesus tetapi para pelayan. (Ayat 8) Yesus juga tidak mengangkat secawan wain itu di depan para tetamu dan berkata, “Rasailah wain yang baru aku hasilkan!” Ya, Yesus tidak menarik perhatian kepada dirinya.
11. Apakah yang dapat kita belajar daripada mukjizat Yesus?
11 Apakah yang dapat kita belajar daripada mukjizat Yesus? Kita belajar cara untuk menunjukkan kerendahan hati. Yesus tidak bercakap besar tentang mukjizat itu. Sebenarnya dia tidak pernah membanggakan diri atas pencapaiannya. Sebaliknya dengan rendah hati, dia menghalakan segala perhatian dan pujian kepada Bapanya. (Yoh. 5:19, 30; 8:28) Seperti Yesus, kita mahu rendah hati dan tidak membanggakan diri atas pencapaian kita. Tidak kira apa yang dapat kita lakukan untuk Yehuwa, janganlah kita bersikap sombong. Sebaliknya, kita mahu berbangga kerana diberi penghormatan untuk menyembah Yehuwa. (Yer. 9:23, 24) Kita mahu menghalakan segala pujian kepada Yehuwa, kerana kita tidak dapat melakukan apa-apa tanpa bantuan-Nya.—1 Kor. 1:26-31.
12. Apakah satu lagi cara kita dapat meniru kerendahan hati Yesus? Jelaskan.
12 Perhatikan satu lagi cara kita dapat meniru kerendahan hati Yesus. Fikirkan senario ini: Seorang penatua meluangkan masa berjam-jam untuk membantu seorang pembantu sidang menyediakan ceramah umumnya yang pertama. Hasilnya, pembantu sidang itu dapat memberikan ceramah yang menggalakkan, dan saudara saudari sangat menikmatinya. Selepas perjumpaan, seseorang memberitahu penatua itu, “Sangat bagus kan ceramah saudara itu?” Adakah penatua itu akan berkata, “Mestilah. Saya telah meluangkan masa berjam-jam untuk membantunya”? Atau adakah dia akan berkata dengan rendah hati, “Ya, ceramahnya sangat bagus”? Jika kita rendah hati, kita tidak akan menarik perhatian kepada diri sendiri atas hal baik yang kita lakukan untuk orang lain. Asalkan Yehuwa melihat dan menghargai usaha kita, kita sudah puas hati. (Bandingkan Matius 6:2-4; Ibr. 13:16) Apabila kita meniru kerendahan hati Yesus, Yehuwa pasti sangat gembira.—1 Ptr. 5:6.
BELAS KASIHAN
13. Apakah yang Yesus lihat semasa dia menghampiri kota Nain? Apakah yang dilakukannya? (Lukas 7:11-15)
13 Baca Lukas 7:11-15. Peristiwa ini berlaku kira-kira dua tahun selepas Yesus memulakan kerja penyebarannya. Dia dalam perjalanan ke Nain, sebuah kota berdekatan Sunem, iaitu tempat Nabi Elisa membangkitkan anak seorang wanita kira-kira 900 tahun yang lalu. (2 Raj. 4:32-37) Bayangkan keadaannya. Semasa Yesus menghampiri pintu kota, dia nampak perarakan pengebumian meninggalkan kota itu. Suasananya sangat menyedihkan. Anak tunggal seorang balu telah meninggal, dan orang ramai sedang menemani ibu yang bersedih itu. Yesus menyuruh mereka berhenti berjalan dan melakukan sesuatu yang menakjubkan bagi ibu yang bersedih itu: Dia membangkitkan anak lelakinya! Bible mencatatkan tiga pembangkitan yang dilakukan oleh Yesus, dan inilah pembangkitan yang pertama.
14. Apakah sesetengah butiran yang menarik dalam catatan di Lukas bab 7? (Lihat juga gambar.)
14 Perhatikan beberapa butiran yang menarik dalam catatan di Lukas bab 7. Catatan itu kata Yesus “melihat wanita itu” bersedih dan kemudian “dia berasa kasihan terhadapnya.” (Ayat 13) Barangkali Yesus nampak wanita itu menangis dengan sedih semasa dia berjalan dekat mayat anak lelakinya. Hal itu pasti telah menyentuh hati Yesus. Namun, Yesus tidak sekadar berasa kasihan terhadapnya, dia malah menunjukkan belas kasihannya. Dengan lembut, dia berkata kepada wanita itu, “Janganlah menangis.” Kemudian dia melakukan sesuatu yang menakjubkan: Dia membangkitkan lelaki tersebut dan ‘menyerahkannya kepada ibunya.’—Ayat 14, 15.
15. Apakah yang dapat kita belajar daripada mukjizat Yesus?
15 Apakah yang dapat kita belajar daripada mukjizat ini? Kita belajar untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang yang bersedih. Sudah tentu, kita tidak dapat membangkitkan orang mati. Tetapi seperti Yesus, kita dapat menunjukkan belas kasihan jika kita peka terhadap mereka yang kehilangan orang tersayang. Kita boleh mengambil inisiatif untuk mengatakan atau melakukan sesuatu untuk membantu dan melegakan hati mereka. d (Ams. 17:17; 2 Kor. 1:3, 4; 1 Ptr. 3:8) Sebenarnya, kata-kata yang ringkas dan perbuatan yang kecil pun dapat melegakan mereka.
16. Berdasarkan lakonan semula dalam gambar, apakah yang anda pelajari daripada pengalaman seorang ibu yang baru kehilangan anak perempuannya?
16 Fikirkan pengalaman berikut: Beberapa tahun lalu, semasa menyanyikan lagu di perjumpaan, seorang saudari mendapati bahawa seorang ibu yang berada berdekatannya sedang menangis. Lagu itu adalah tentang pembangkitan, dan ibu itu baru sahaja kehilangan anak perempuannya. Saudari itu segera pergi memeluk ibu tersebut dan menyanyikan lagu itu bersamanya. Mengenang kembali apa yang berlaku, ibu itu berkata, “Pada saat itu, kasih saya untuk saudara saudari melimpah di hati saya.” Dia amat bersyukur kerana menghadiri perjumpaan pada hari itu. Dia berkata, “Dewan Perjumpaanlah tempat kita menerima bantuan.” Marilah kita menunjukkan belas kasihan kepada orang yang bersedih dan “orang yang remuk hati.” Biarpun apa yang kita lakukan itu hal yang kecil sahaja, Yehuwa pasti melihat dan menghargainya.—Mzm. 34:18.
PROJEK PEMBELAJARAN YANG MENARIK
17. Apakah yang telah kita pelajari dalam rencana ini?
17 Kisah tentang mukjizat Yesus dapat dijadikan projek pembelajaran yang menarik. Mukjizat yang dilakukan oleh Yesus mengajar kita tiga perkara ini: (1) Yehuwa dan Yesus sangat mengasihi kita, (2) Yesus mempunyai kuasa untuk menyelesaikan semua masalah manusia, dan (3) kita dapat yakin sepenuhnya bahawa harapan masa depan yang dijanjikan Tuhan pasti menjadi kenyataan. Apabila kita membaca kisah-kisah ini, kita dapat merenungkan bagaimana kita dapat meniru sifat-sifat Yesus. Jika boleh, jadualkanlah satu sesi pembelajaran peribadi atau Penyembahan Keluarga untuk mengkaji mukjizat-mukjizat lain yang dilakukan oleh Yesus. Lihat apa yang dapat anda belajar, dan kemudian kongsikannya dengan orang lain. Anda pasti dapat menikmati banyak perbualan menarik bersama saudara saudari lain!—Rm. 1:11, 12.
18. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?
18 Pembangkitan terakhir yang dilakukan oleh Yesus berlaku menjelang akhir kerja penyebarannya di bumi. Namun, pembangkitan itu sangat istimewa, kerana dia telah membangkitkan sahabatnya yang sudah meninggal selama empat hari. Apakah yang dapat kita belajar daripada mukjizat itu? Bagaimanakah kita dapat menguatkan iman kita terhadap harapan pembangkitan? Rencana seterusnya akan membincangkan soalan-soalan itu.
LAGU 20 Engkau Mengurniakan Anak-Mu yang Tersayang
a Kita sangat teruja semasa membaca tentang mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Dia menenangkan ribut, menyembuhkan orang sakit, dan membangkitkan orang mati. Kisah-kisah ini dicatatkan dalam Bible, bukan untuk menghiburkan kita, tetapi untuk mengajar kita. Semasa mengkaji mukjizat Yesus, kita dapat belajar lebih banyak tentang Yehuwa dan Yesus, dan kita dapat mengenal pasti sifat-sifat murni yang boleh kita pupuk.
b Seorang pakar Bible menjelaskan, “Di negeri Israel, menyambut tetamu dengan mesra dianggap sebagai kewajipan. Tuan rumah yang baik tidak boleh sekadar menyajikan makanan atau minuman yang secukupnya. Sebaliknya dia harus menyediakan semua itu secara berlimpah-limpah, terutamanya semasa kenduri perkahwinan.”
c Buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, mencatatkan lebih daripada 30 mukjizat Yesus secara berasingan. Selain itu, ada kalanya dalam satu peristiwa yang dicatatkan, ada banyak mukjizat yang berlaku. Sebagai contoh, pernah sekali, “semua penduduk kota” datang kepada Yesus, dan dia “menyembuhkan ramai orang yang menghidap pelbagai penyakit.”—Mrk. 1:32-34.
d Untuk cadangan tentang apa yang dapat anda katakan atau lakukan untuk orang yang sedang bersedih kerana kehilangan orang tersayang, lihat rencana “Menghiburkan Mereka yang Bersedih” dalam majalah Menara Pengawal No. 3, 2016.
e KETERANGAN GAMBAR: Yesus melihat pasangan pengantin itu dan para tetamu menikmati wain yang bermutu tinggi.