Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 19

Kuatkanlah Iman Anda bahawa Dunia Baharu yang Dijanjikan Yehuwa Pasti Datang!

Kuatkanlah Iman Anda bahawa Dunia Baharu yang Dijanjikan Yehuwa Pasti Datang!

“Tuhan pasti melaksanakan apa yang dikatakan-Nya.”​—BIL. 23:19.

LAGU 142 Berpegang Teguh pada Harapan Kita

PENGENALAN a

1-2. Apakah yang perlu kita lakukan sementara menantikan kedatangan dunia baharu?

 KITA bersyukur kerana Yehuwa telah berjanji untuk menggantikan dunia jahat ini dengan dunia yang baharu. (2 Ptr. 3:13) Kita tidak tahu bila hal itu akan berlaku, tetapi terdapat bukti yang menunjukkan bahawa masa itu sudah sangat dekat.​—Mat. 24:32-34, 36; Kis. 1:7.

2 Tidak kira berapa lama kita berada dalam kebenaran, kita harus menguatkan iman kita terhadap janji itu. Mengapa? Kerana iman yang kuat pun mungkin menjadi lemah. Sebenarnya Rasul Paulus berkata bahawa iman yang lemah ialah “dosa yang dapat menjerat kita dengan senang.” (Ibr. 12:1) Untuk memastikan iman kita tetap kukuh, kita perlu sering mengkaji bukti yang menunjukkan bahawa dunia baharu sudah dekat.​—Ibr. 11:1.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga cara untuk menguatkan iman kita bahawa dunia baharu yang dijanjikan Yehuwa pasti datang, iaitu: (1) Merenungkan korban tebusan, (2) memikirkan betapa besarnya kuasa Yehuwa, dan (3) melakukan kegiatan rohani. Kemudian, kita akan membincangkan bagaimana firman Yehuwa kepada Habakuk dapat menguatkan iman kita dewasa ini. Sekarang, mari kita membincangkan beberapa sebab kita memerlukan iman yang kuat bahawa dunia baharu yang dijanjikan Tuhan pasti datang.

SEBABNYA KITA MEMERLUKAN IMAN YANG KUAT

4. Bilakah kita memerlukan iman yang kuat?

4 Kita memerlukan iman yang kuat untuk membuat keputusan yang penting dalam hidup. Sebagai contoh, kita harus membuat keputusan dalam soal pergaulan, hiburan, pendidikan, perkahwinan, anak, dan pekerjaan. Tanyalah diri, “Adakah pilihan saya menunjukkan bahawa saya percaya sistem dunia ini hanya sementara dan akan digantikan dengan dunia baharu Tuhan tidak lama lagi? Atau adakah pilihan saya dipengaruhi oleh orang yang tidak percaya bahawa mereka dapat hidup selama-lamanya?” (Mat. 6:19, 20; Luk. 12:16-21) Ingatlah, kita akan membuat keputusan yang terbaik jika kita menguatkan iman kita bahawa dunia baharu Tuhan sudah dekat.

5-6. Mengapakah kita memerlukan iman yang kuat semasa menghadapi cubaan? Berikan contoh.

5 Kita juga memerlukan iman yang kuat semasa menghadapi cubaan. Ketika kita dianiaya, jatuh sakit, atau menghadapi masalah lain, pada mulanya kita mungkin berazam untuk bertahan. Tetapi jika masalah itu berlanjutan, kita mungkin akan rasa tawar hati. Oleh itu, kita memerlukan iman yang kuat supaya dapat bertabah dan terus menyembah Yehuwa dengan sukacita.​—Rm. 12:12; 1 Ptr. 1:6, 7.

6 Semasa menghadapi cubaan, kita mungkin berasa bahawa dunia baharu masih jauh. Adakah hal itu bermaksud iman kita lemah? Tidak semestinya. Fikirkan contoh ini: Jika hujan sudah turun selama berminggu-minggu di tempat anda, anda mungkin rasa hujan akan terus turun. Namun, anda tahu hujan akhirnya akan berhenti dan matahari akan keluar. Begitu juga, semasa kita sangat tawar hati, kita mungkin rasa dunia baharu masih jauh. Namun, jika iman kita kuat, kita tahu bahawa dunia baharu pasti datang kerana itulah yang dijanjikan oleh Yehuwa. (Mzm. 94:3, 14, 15; Ibr. 6:17-19) Keyakinan itu membantu kita terus mengutamakan ibadat kepada Yehuwa biarpun semasa ditimpa masalah.

7. Apakah sikap yang harus kita jauhi?

7 Kita juga memerlukan iman yang kuat semasa menjalankan kerja penyebaran. Semasa menginjil, kita menjumpai banyak orang yang berasa bahawa “berita baik” tentang dunia baharu yang akan datang hanyalah mimpi. (Mat. 24:14; Yeh. 33:32) Jika kita tidak mahu dipengaruhi oleh sikap mereka, kita memerlukan iman yang kuat. Sekarang, mari kita lihat tiga cara untuk menguatkan iman kita.

RENUNGKAN KORBAN TEBUSAN

8-9. Jika kita merenungkan korban tebusan, bagaimanakah hal itu dapat menguatkan iman kita?

8 Salah satu cara kita dapat menguatkan iman kita adalah dengan merenungkan korban tebusan. Korban tebusan merupakan jaminan bahawa janji-janji Tuhan pasti ditunaikan. Apabila kita merenungkan sebabnya Tuhan memberikan tebusan dan apa yang perlu Tuhan lakukan untuk menyediakan tebusan, kita akan bertambah yakin bahawa janji Tuhan untuk memberi kita kehidupan kekal dalam dunia yang lebih baik pasti menjadi kenyataan. Mengapakah kita dapat berkata demikian?

9 Apakah yang perlu Tuhan lakukan untuk menyediakan tebusan? Tuhan telah mengutus Anak sulung-Nya yang tersayang, yang merupakan sahabat-Nya yang paling akrab, untuk datang ke bumi sebagai manusia. Semasa di bumi, Yesus menghadapi bermacam-macam kesusahan, dan akhirnya dia diseksa dan menderita sehingga mati. Ya, Yehuwa telah membuat pengorbanan yang sungguh besar untuk menyediakan tebusan! Adakah Dia melakukan semua itu supaya kita boleh hidup bahagia untuk sementara waktu sahaja? Tidak! (Yoh. 3:16; 1 Ptr. 1:18, 19) Yehuwa telah membuat pengorbanan yang begitu besar untuk menyediakan tebusan, maka Dia tentu akan memastikan agar janji-Nya untuk memberi kita kehidupan kekal di dunia baharu menjadi kenyataan.

MEMIKIRKAN BETAPA BESARNYA KUASA YEHUWA

10. Menurut Efesus 3:20, apakah yang mampu Yehuwa lakukan?

10 Cara kedua kita dapat menguatkan iman kita adalah dengan memikirkan betapa besarnya kuasa Yehuwa. Dia mempunyai kuasa untuk menunaikan apa sahaja yang dijanjikan-Nya. Semasa mendengar bahawa Tuhan akan memberi manusia hidup kekal di dunia baharu, ramai orang rasa hal itu tidak mungkin berlaku. Namun sejak dahulu lagi, Yehuwa telah menjanjikan banyak hal yang mustahil dilakukan manusia. Ingatlah, Dia ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. (Ayb. 42:2; Mrk. 10:27) Jadi, kita tidak perlu berasa hairan semasa Dia menjanjikan sesuatu yang luar biasa.​—Baca Efesus 3:20.

11. Apakah sesetengah janji Tuhan yang nampaknya mustahil ditunaikan? (Lihat kotak “ Sesetengah Janji yang Luar Biasa yang Menjadi Kenyataan.”)

11 Perhatikan beberapa janji Yehuwa pada masa dahulu yang nampaknya mustahil ditunaikan. Dia memberitahu Abraham dan Sara bahawa mereka akan mendapat seorang anak semasa mereka sudah sangat tua. (Kej. 17:15-17) Dia juga berjanji kepada Abraham bahawa keturunannya akan tinggal di negeri Kanaan. Semasa orang Israel, iaitu keturunan Abraham, menjadi hamba di Mesir untuk masa yang lama, janji itu nampaknya tidak akan menjadi kenyataan. Tetapi Yehuwa telah menunaikan janji itu. Pada kemudian hari, Yehuwa berjanji bahawa Elisabet yang sudah berumur akan melahirkan anak. Dia juga memberitahu Maria, seorang anak dara, bahawa dia akan melahirkan Anak Tuhan, dan peristiwa itu berkaitan dengan sebuah janji yang dibuat ribuan tahun dahulu di Taman Eden. (Kej. 3:15) Ya, tidak ada satu pun daripada janji Yehuwa yang dimungkiri-Nya!

12. Apakah yang kita pelajari tentang kuasa Yehuwa daripada Yosua 23:14 dan Yesaya 55:10, 11?

12 Apabila kita merenungkan bagaimana Yehuwa telah menunaikan semua janji-Nya pada masa lalu, iman kita dikuatkan. Kita menjadi lebih yakin bahawa Yehuwa mempunyai kuasa untuk membawa dunia baharu yang dijanjikan-Nya. (Baca Yosua 23:14; Yesaya 55:10, 11.) Dengan itu, kita pun dapat meyakinkan orang lain bahawa janji Tuhan tentang dunia baharu bukanlah janji kosong. Setelah berfirman tentang langit baharu dan bumi baharu, Yehuwa menjamin, “Kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.”​—Why. 21:1, 5.

MELAKUKAN KEGIATAN ROHANI

PERJUMPAAN

Bagaimanakah kegiatan rohani ini dapat menguatkan iman anda? (Lihat perenggan 13)

13. Bagaimanakah perjumpaan menguatkan iman kita? Jelaskan.

13 Cara ketiga kita dapat menguatkan iman kita adalah dengan melakukan kegiatan rohani. Salah satu kegiatan rohani yang bermanfaat untuk kita ialah menghadiri perjumpaan. Anna, yang telah menceburi khidmat sepenuh masa selama puluhan tahun, berkata, “Perjumpaan membantu iman saya tetap teguh. Biarpun penceramah itu kurang mahir atau tidak mengongsi poin yang baharu, sering kali saya dapat mendengar komen yang membantu saya lebih memahami kebenaran Bible, dan hal itu menguatkan iman saya.” b Iman kita juga dikuatkan apabila kita mendengar komen daripada saudara saudari di sidang.​—Rm. 1:11, 12; 10:17.

KERJA PENYEBARAN

Bagaimanakah kegiatan rohani ini dapat menguatkan iman anda? (Lihat perenggan 14)

14. Bagaimanakah kerja penyebaran menguatkan iman kita?

14 Iman kita juga dikuatkan semasa kita menyertai kerja penyebaran. (Ibr. 10:23) Barbara, yang telah menyembah Yehuwa untuk lebih daripada 70 tahun, berkata, “Iman saya selalu dikuatkan semasa saya menginjil. Semakin kerap saya memberitahu orang tentang janji Yehuwa, semakin kuat dan membara iman saya.”

PEMBELAJARAN PERIBADI

Bagaimanakah kegiatan rohani ini dapat menguatkan iman anda? (Lihat perenggan 15)

15. Bagaimanakah pembelajaran peribadi menguatkan iman kita? (Lihat juga gambar.)

15 Satu lagi kegiatan rohani yang dapat menguatkan iman kita ialah pembelajaran peribadi. Susan berkata bahawa perancangan yang baik telah membantunya membuat pembelajaran peribadi. Dia berkata, “Pada hari Ahad, saya akan kaji rencana untuk Pembelajaran Menara Pengawal minggu depan. Pada hari Isnin dan Selasa, saya membuat persiapan bagi perjumpaan pertengahan minggu. Hari-hari yang selebihnya saya akan membuat projek pembelajaran peribadi.” Dengan mengikut jadual yang tetap untuk membuat pembelajaran, Susan dapat terus membina imannya. Irene, yang telah berkhidmat selama puluhan tahun di ibu pejabat sedunia, mendapati bahawa imannya dikuatkan semasa mengkaji nubuat Bible. Dia berkata, “Saya kagum kerana nubuat Yehuwa selalu menjadi kenyataan, bahkan dalam hal yang sangat kecil.” c

JANJI TUHAN “PASTI MENJADI KENYATAAN”

16. Bagaimanakah kita tahu bahawa kata-kata Yehuwa kepada Habakuk juga ditujukan kepada kita? (Ibrani 10:36, 37)

16 Ada antara umat Yehuwa yang sudah lama menunggu akhir sistem dunia ini. Jadi sesetengah orang mungkin berasa bahawa janji Tuhan telah ditangguhkan. Namun, perhatikan jaminan yang diberikan oleh Yehuwa kepada Nabi Habakuk: “Segala perkara yang dinyatakan dalam penglihatan ini akan berlaku pada masa yang ditentukan. Masa itu akan segera tiba, dan segala yang dinyatakan dalam penglihatan ini benar-benar akan berlaku. Biarpun masa itu lambat datang, teruslah menantikannya dengan bersungguh-sungguh! Hal ini demikian kerana penglihatan ini pasti menjadi kenyataan dan tidak akan ditangguhkan!” (Hab. 2:3) Adakah jaminan Tuhan diberikan kepada Habakuk sahaja? Atau adakah kata-kata-Nya juga ditujukan kepada kita hari ini? Di bawah ilham Tuhan, Rasul Paulus memetik kata-kata itu dalam suratnya kepada orang Kristian yang menantikan dunia baharu. (Baca Ibrani 10:36, 37.) Ya, kita dapat yakin bahawa biarpun penyelamatan yang dijanjikan oleh Tuhan nampaknya lambat datang, janji itu “pasti menjadi kenyataan dan tidak akan ditangguhkan!”

17. Bagaimanakah seorang saudari menerapkan nasihat Yehuwa kepada Habakuk?

17 Banyak hamba Yehuwa telah menerapkan nasihat Yehuwa untuk menantikan kedatangan hari-Nya, dan mereka telah berbuat demikian selama bertahun-tahun. Sebagai contoh, Saudari Louise mula menyembah Yehuwa pada tahun 1939. Dia berkata, “Pada masa itu, saya sangka Armagedon akan datang sebelum saya tamat sekolah menengah, tetapi hal itu tidak berlaku. Saya dibantu kerana membaca tentang watak Bible seperti Nuh, Abraham, Yusuf, dan orang lain, yang perlu menunggu masa yang lama sebelum menerima ganjaran yang dijanjikan oleh Yehuwa. Dengan sentiasa menantikan hari Yehuwa, saya dan saudara saudari lain yakin bahawa dunia baharu memang sangat dekat.” Ramai orang yang telah lama menyembah Yehuwa pasti setuju dengan kata-katanya!

18. Jika kita memperhatikan ciptaan Tuhan, bagaimanakah hal itu meyakinkan kita bahawa janji Tuhan tentang dunia baharu pasti menjadi kenyataan?

18 Memang benar, dunia baharu belum lagi tiba, atau wujud. Namun, perhatikan sesetengah ciptaan Tuhan yang sudah wujud, seperti bintang, pokok, binatang, dan manusia. Dahulu, semua ini tidak wujud, tetapi Tuhan telah menciptakannya. Kini, tiada orang yang akan menafikan kewujudan hal-hal ini. (Kej. 1:1, 26, 27) Begitu juga, Tuhan kita telah berjanji untuk menciptakan dunia baharu di mana manusia dapat menikmati kehidupan yang sempurna buat selama-lamanya, dan Dia pasti menunaikan janji itu. Pada masa yang ditentukan Tuhan, dunia baharu akan wujud dan menjadi kenyataan, seperti semua ciptaan Tuhan yang kita perhatikan sekarang.​—Yes. 65:17; Why. 21:3, 4.

19. Bagaimanakah anda dapat menguatkan iman anda?

19 Sementara menantikan ketibaan dunia baharu, gunakanlah setiap peluang yang ada untuk menguatkan iman anda. Tingkatkanlah penghargaan anda terhadap korban tebusan, renungkanlah betapa besarnya kuasa Yehuwa, dan lakukanlah kegiatan rohani dengan bersungguh-sungguh. Dengan demikian, anda akan tergolong antara “mereka yang mewarisi apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kerana mereka beriman dan bersabar.”​—Ibr. 6:11, 12; Rm. 5:5.

LAGU 139 Bayangkan Dirimu di Dunia Baharu

a Ramai orang hari ini tidak percaya bahawa dunia baharu yang dijanjikan dalam Bible akan menjadi realiti. Mereka berfikir bahawa itu hanyalah mimpi yang tidak mungkin berlaku. Namun, kita yakin bahawa semua janji Tuhan akan ditunaikan. Meskipun begitu, kita masih perlu terus menguatkan iman kita supaya iman kita tidak menjadi lemah. Bagaimana? Rencana ini akan menjelaskannya.

b Sesetengah nama telah diubah.

c Terdapat banyak rencana tentang nubuat Bible dalam Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa di bawah subjek “Bible,” di bawah tajuk kecil “Nubuat.” Sebagai contoh, lihat rencana “Percaya pada Yehuwa yang Menguasai ‘Musim dan Masa’” dalam majalah Menara Pengawal terbitan 15 Mei 2012.