RENCANA PEMBELAJARAN 17
Yehuwa Akan Membantu Anda Menghadapi Cabaran yang Tidak Terduga
“Orang yang melakukan apa yang benar mengalami banyak kesusahan, tetapi Yehuwa menyelamatkannya daripada semua itu.”—MZM. 34:19.
LAGU 44 Doa Orang yang Patah Semangat
PENGENALAN a
1. Kita yakin akan hal apa?
SEBAGAI umat Yehuwa, kita yakin bahawa Tuhan mengasihi kita dan mahu kita menikmati kehidupan yang terbaik. (Rm. 8:35-39) Kita juga yakin bahawa jika kita hidup menurut prinsip Bible, kita akan meraih manfaat. (Yes. 48:17, 18) Bagaimana pula jika kita menghadapi cabaran yang tidak terduga?
2. Apakah masalah yang mungkin kita hadapi, dan apakah yang mungkin kita fikirkan apabila menghadapi masalah yang tidak terduga?
2 Semua penyembah Yehuwa menghadapi masalah. Sebagai contoh, ahli keluarga kita mungkin menghampakan kita. Kita mungkin tidak dapat berkhidmat kepada Yehuwa seperti dahulu kerana masalah kesihatan yang serius. Kita mungkin menjadi mangsa bencana alam, atau kita mungkin dianiaya kerana kepercayaan kita. Cabaran-cabaran sebegini mungkin membuat kita berfikir, “Mengapakah hal ini menimpa saya? Apakah salah saya? Adakah Yehuwa tidak lagi berkenan kepada saya?” Jika anda pernah berasa begitu, janganlah tawar hati. Banyak penyembah Yehuwa yang setia pun pernah bergelut dengan perasaan yang sama.—Mzm. 22:1, 2; Hab. 1:2, 3.
3. Apakah yang dapat kita belajar daripada Mazmur 34:19?
3 Baca Mazmur 34:19. Perhatikan dua isi utama dalam mazmur ini: (1) Orang yang melakukan apa yang benar akan mengalami kesusahan. (2) Yehuwa akan menyelamatkan kita daripada cubaan. Bagaimanakah Yehuwa menyelamatkan kita? Satu cara adalah dengan membantu kita mempunyai pandangan yang realistik tentang kehidupan dalam dunia ini. Yehuwa telah berjanji bahawa kita akan bersukacita kerana menyembah-Nya, tetapi Dia tidak pernah berkata bahawa hidup kita sekarang akan bebas daripada masalah. (Yes. 66:14) Dia menggalakkan kita untuk bertumpu kepada masa depan, iaitu masanya kita dapat menikmati kehidupan buat selama-lamanya. (2 Kor. 4:16-18) Sebelum masa itu tiba, Dia membantu kita untuk bertabah setiap hari.—Rat. 3:22-24.
4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
4 Dalam rencana ini, kita akan lihat apa yang dapat kita belajar daripada teladan penyembah Yehuwa yang setia pada zaman Bible dan zaman kita. Contoh mereka menunjukkan bahawa kita mungkin menghadapi masalah yang tidak terduga, tetapi jika kita bergantung pada Yehuwa, Dia pasti membantu kita. (Mzm. 55:22) Semasa membincangkan contoh-contoh ini, tanyalah diri, “Apakah reaksi saya jika saya menghadapi situasi yang sama? Bagaimanakah contoh ini menguatkan keyakinan saya terhadap Yehuwa? Apakah yang dapat saya terapkan daripada contoh ini?”
PADA ZAMAN BIBLE
5. Apakah cabaran yang dihadapi oleh Yakub? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
5 Hamba-hamba Yehuwa pada zaman Bible pernah menghadapi cabaran yang tidak dijangkakan. Fikirkan contoh Yakub. Bapanya menyuruhnya pergi kepada Laban, iaitu pak ciknya yang merupakan penyembah Yehuwa, dan mengahwini salah seorang anak perempuan Laban. Yakub juga diberitahu bahawa Yehuwa pasti memberkatinya dengan melimpah. (Kej. 28:1-4) Maka Yakub meninggalkan negeri Kanaan dan membuat perjalanan yang jauh ke rumah Laban. Laban mempunyai dua orang anak perempuan. Yang sulung bernama Lea, dan yang bongsu bernama Rahel. Yakub jatuh cinta dengan Rahel dan bersetuju untuk bekerja tujuh tahun bagi Laban supaya dapat mengahwini Rahel. (Kej. 29:18) Meskipun Yakub melakukan apa yang benar, dia menghadapi cabaran yang tidak dijangkakan. Laban telah menipu Yakub dan memberinya Lea sebagai isterinya. Laban membenarkan Yakub mengahwini Rahel seminggu kemudian, tetapi dengan syarat Yakub bekerja tujuh tahun lagi untuknya. (Kej. 29:25-27) Yakub telah bekerja untuk Laban selama 20 tahun. Sepanjang masa itu, Laban selalu mengambil kesempatan terhadapnya dan melayannya dengan tidak adil.—Kej. 31:41, 42.
6. Apakah masalah lain yang dihadapi oleh Yakub?
6 Yakub juga menghadapi banyak masalah yang lain. Dia mempunyai keluarga yang besar, tetapi anak-anak lelakinya tidak dapat hidup damai dengan satu sama lain. Mereka bahkan menjual adik mereka Yusuf sebagai hamba. Dua orang anak lelaki Yakub, iaitu Simeon dan Lewi, telah melakukan hal yang memalukan keluarga mereka dan memburukkan nama Yehuwa. Selain itu, isteri kesayangan Yakub, iaitu Rahel, meninggal semasa melahirkan anak kedua mereka. Semasa Yakub sudah tua, dia terpaksa berpindah ke Mesir kerana kebuluran yang teruk berlaku di Kanaan.—Kej. 34:30; 35:16-19; 37:28; 45:9-11, 28.
7. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada Yakub?
7 Walaupun menghadapi banyak cabaran, Yakub tidak pernah meragui Yehuwa dan janji-janji-Nya, dan Yehuwa menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada Yakub. Sebagai contoh, meskipun Laban cuba menipu Yakub, Yehuwa memberkati Yakub dengan memberinya banyak harta. Kemudian, semasa Yakub berjumpa semula dengan Yusuf di Mesir, dia pasti sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana sebelum itu, dia menyangka bahawa Yusuf sudah mati! Oleh sebab Yakub mempunyai persahabatan yang erat dengan Yehuwa, dia dapat menghadapi cubaan dengan berjaya. (Kej. 30:43; 32:9, 10; 46:28-30) Jika hubungan kita dengan Yehuwa tetap akrab, kita pun dapat menghadapi cabaran yang tidak terduga dengan berjaya.
8. Apakah yang ingin dilakukan oleh Raja Daud?
8 Raja Daud tidak dapat melakukan sesetengah hal yang ingin dilakukannya untuk Yehuwa. Sebagai contoh, Daud ingin membina Rumah Tuhan. Semasa dia memberitahu hal itu kepada Nabi Natan, Natan menjawab, “Lakukanlah apa saja yang tuanku inginkan kerana Tuhan yang benar menyertai tuanku.” (1 Taw. 17:1, 2) Kata-kata Natan pasti menaikkan semangat Daud. Barangkali dia segera merancang untuk memulakan projek itu.
9. Apakah reaksi Daud semasa mendapat berita yang mengecewakan?
9 Namun, “pada malam itu juga,” Yehuwa memberitahu Natan bahawa Rumah Tuhan tidak akan dibina oleh Daud tetapi oleh salah seorang anak lelakinya. (1 Taw. 17:3, 4, 11, 12) Apakah reaksi Daud semasa mendapat berita yang mengecewakan itu? Dia mengubah matlamatnya. Dia mula mengumpulkan wang dan bahan binaan yang diperlukan supaya anaknya Salomo dapat menyelesaikan projek itu.—1 Taw. 29:1-5.
10. Bagaimanakah Yehuwa memberkati Daud?
10 Sejurus selepas Yehuwa memberitahu Daud bahawa dia tidak dipilih untuk membina Rumah-Nya, Dia membuat perjanjian dengan Daud. Dia berjanji bahawa salah seorang keturunan Daud akan memerintah buat selama-lamanya. (2 Sam. 7:16) Semasa Daud hidup di bawah Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, bayangkan perasaannya semasa mendapat tahu bahawa Raja Yesus merupakan keturunannya! Kisah ini mengajar kita bahawa jika kita tidak dapat melakukan segala yang kita ingini untuk Yehuwa, kita tidak perlu risau. Yehuwa masih dapat memberkati kita dalam cara yang tidak kita jangkakan.
11. Bagaimanakah orang Kristian abad pertama diberkati biarpun Kerajaan Tuhan tidak datang pada masa yang mereka jangkakan? (Kisah 6:7)
11 Orang Kristian abad pertama menghadapi beberapa cabaran yang tidak dijangkakan. Sebagai contoh, mereka menantikan kedatangan Kerajaan Tuhan, tetapi mereka tidak tahu bila hal itu akan berlaku. (Kis. 1:6, 7) Jadi, apakah yang mereka lakukan? Mereka terus sibuk dalam kerja menginjil. Seraya mereka berbuat demikian, mereka melihat bukti bahawa Yehuwa memberkati usaha mereka.—Baca Kisah 6:7.
12. Apakah yang dilakukan oleh orang Kristian abad pertama semasa menghadapi kebuluran?
12 Pernah sekali, kebuluran yang teruk “melanda seluruh bumi.” (Kis. 11:28) Orang Kristian abad pertama juga terjejas. Dapatkah anda bayangkan perasaan mereka? Ketua keluarga pasti risau bagaimana mereka dapat menjaga keluarga mereka. Orang muda pada masa itu yang ingin meluaskan khidmat mereka mungkin tertanya-tanya jika mereka harus menundakan rancangan mereka. Namun begitu, mereka semua telah menyesuaikan diri dengan situasi tersebut. Mereka terus mencari jalan untuk menginjil, dan mereka mengongsi harta milik mereka dengan rakan seiman di Yudea.—Kis. 11:29, 30.
13. Bagaimanakah Yehuwa memberkati orang Kristian abad pertama semasa kebuluran melanda?
13 Bagaimanakah Yehuwa memberkati orang Kristian abad pertama semasa kebuluran melanda? Orang Kristian yang menerima bantuan kebendaan telah merasai sokongan Yehuwa. (Mat. 6:31-33) Mereka juga berasa lebih rapat dengan rakan seiman yang menghulurkan bantuan. Orang Kristian yang memberikan sumbangan atau bantuan lain pula telah merasai sukacita kerana memberi. (Kis. 20:35) Yehuwa telah memberkati mereka semua kerana mereka berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah.
14. Apakah yang berlaku kepada Barnabas dan Rasul Paulus? Apakah hasilnya? (Kisah 14:21, 22)
14 Orang Kristian abad pertama sering dianiaya, dan kadangkala hal itu berlaku semasa mereka tidak menjangkakannya. Itulah yang terjadi kepada Barnabas dan Rasul Paulus semasa mereka menginjil di Listra. Pada mulanya, orang di situ menerima mereka dengan tangan terbuka dan mendengar perkhabaran mereka. Tetapi kemudian para penentang “menghasut orang ramai.” Akibatnya, sesetengah orang yang pernah menyambut Paulus telah merejamnya dan membiarnya mati. (Kis. 14:19) Namun Barnabas dan Paulus terus menginjil di tempat lain. Apakah hasilnya? Mereka telah “membantu ramai orang untuk menjadi murid [Yesus].” Selain itu, kata-kata dan teladan mereka telah menguatkan rakan seiman. (Baca Kisah 14:21, 22.) Ya, banyak orang meraih manfaat kerana Barnabas dan Paulus tidak berputus asa biarpun dianiaya. Apakah pengajarannya bagi kita? Selagi kita tidak berputus asa dalam kerja yang diberikan oleh Yehuwa kepada kita, kita akan diberkati.
PADA ZAMAN KITA
15. Apakah yang anda pelajari daripada contoh Saudara A. H. Macmillan?
15 Menjelang tahun 1914, umat Yehuwa menjangkakan sesuatu yang istimewa akan berlaku. Fikirkan contoh Saudara A. H. Macmillan. Seperti ramai saudara saudari pada masa itu, Saudara Macmillan menyangka dia akan naik ke syurga tidak lama lagi. Dalam ceramahnya pada September 1914, dia berkata, “Barangkali, inilah ceramah umum terakhir yang akan saya sampaikan.” Sudah tentu, apa yang dijangkakannya tidak berlaku. Bertahun-tahun kemudian, Saudara Macmillan menulis, “Kami mungkin terlalu tergesa-gesa menyimpulkan bahawa kami akan segera naik ke syurga.” Dia menambah, “Sepatutnya kami terus sibuk berkhidmat untuk Tuan kita.” Itulah yang dilakukan oleh Saudara Macmillan. Dia terus menginjil dengan bersemangat, dan dia berpeluang menggalakkan ramai saudara yang dipenjarakan kerana enggan menyertai khidmat tentera. Dia juga menghadiri perjumpaan dengan setia, bahkan semasa dia sudah tua. Apakah berkat yang Saudara Macmillan raih kerana sibuk berkhidmat kepada Tuhan sambil menantikan ganjarannya? Tidak lama sebelum dia meninggal pada tahun 1966, dia menulis, “Iman saya tidak pernah goyah.” Teladan yang sungguh menggalakkan bagi kita, terutamanya jika masalah yang kita hadapi berlarutan!—Ibr. 13:7.
16. Apakah masalah yang tidak terduga yang dihadapi oleh Saudara Herbert Jennings dan isterinya? (Yakobus 4:14)
16 Ramai dalam kalangan umat Yehuwa tiba-tiba menghidap masalah kesihatan yang serius. Itulah yang berlaku kepada Saudara Herbert Jennings. b Dalam kisah hidupnya, Saudara Jennings berkata bahawa dia dan isterinya sangat menikmati tugasan mereka sebagai mubaligh di Ghana. Tetapi kemudian, doktor mendapati bahawa dia menghidap masalah gangguan emosi yang serius. Saudara Jennings berkata bahawa masalah yang tidak dijangkakan itu tepat menggambarkan Yakobus 4:14 yang menyatakan, “Kamu tidak tahu apa yang akan berlaku dengan hidup kamu hari esok.” (Baca.) Dia menulis, “Kami terpaksa menerima hakikatnya dan meninggalkan Ghana serta kawan-kawan rapat kami dan kembali ke Kanada [untuk menerima rawatan].” Yehuwa telah membantu Saudara Jennings dan isterinya untuk terus berkhidmat kepada-Nya dengan setia biarpun mereka menghadapi masalah yang tidak terduga.
17. Bagaimanakah teladan Saudara Jennings membantu saudara saudari lain?
17 Luahan hati Saudara Jennings yang ikhlas dan terus terang dalam kisah hidupnya telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada orang lain. Seorang saudari menulis, “Rencana inilah yang paling menyentuh hati saya. . . . Setelah membaca bagaimana Saudara Jennings terpaksa meninggalkan tugasannya untuk menjaga kesihatannya, saya dibantu untuk mempunyai pandangan yang seimbang terhadap situasi saya.” Seorang saudara menulis, “Selepas berkhidmat sebagai penatua selama 10 tahun, saya terpaksa berhenti kerana penyakit mental. Saya sering rasa saya tidak berguna. Akibatnya, saya tidak sanggup membaca kisah hidup orang lain. . . . Tetapi ketabahan Saudara Jennings menggalakkan saya.” Teladan Saudara Jennings mengingatkan kita bahawa walaupun kita ditimpa masalah yang tidak terduga, iman dan ketabahan kita masih dapat menguatkan orang lain.—1 Ptr. 5:9.
18. Daripada lakonan semula dalam gambar, apakah yang anda pelajari daripada teladan seorang balu di Nigeria?
18 Krisis seperti pandemik COVID-19 telah mempengaruhi kehidupan ramai penyembah Yehuwa. Perhatikan contoh seorang balu di Nigeria. Dia hanya mempunyai sedikit makanan dan sedikit duit. Suatu pagi, anak perempuannya menanya apa yang akan mereka makan setelah menghabiskan nasi mereka yang terakhir. Saudari kita menjawab bahawa mereka sudah kehabisan duit dan makanan, tetapi mereka harus meniru teladan balu dari Sarafat, iaitu menyediakan makanan yang terakhir dan percaya sepenuhnya kepada Yehuwa. (1 Raj. 17:8-16) Sebelum mereka sempat memikirkan apa yang akan mereka makan pada tengah hari, mereka menerima bekalan makanan daripada rakan seiman, dan bekalan itu cukup untuk lebih daripada dua minggu. Saudari itu kata dia tidak sedar Yehuwa begitu memperhatikan kata-katanya kepada anak perempuannya. Ya, jika kita bersandar pada Yehuwa, masalah yang tidak terduga sebenarnya dapat merapatkan lagi hubungan kita dengan-Nya.—1 Ptr. 5:6, 7.
19. Apakah cabaran yang dihadapi oleh Saudara Aleksey Yershov?
19 Belakangan ini, banyak saudara saudari kita telah menghadapi penganiayaan yang tidak terduga. Perhatikan contoh Saudara Aleksey Yershov yang tinggal di Rusia. Saudara Yershov dibaptis pada tahun 1994, semasa umat Yehuwa di Rusia masih menikmati kebebasan beragama. Tetapi keadaan itu berubah. Pada tahun 2020, rumah Saudara Yershov diserbu dan digeledah, dan banyak harta miliknya dirampas. Beberapa bulan kemudian, pihak kerajaan membuka kes jenayah terhadapnya. Yang lebih teruk lagi, tuduhan pihak kerajaan adalah berdasarkan rakaman video yang dibuat oleh seseorang yang berpura-pura belajar Bible untuk lebih daripada setahun. Alangkah jahatnya perbuatan orang itu!
20. Bagaimanakah Saudara Yershov menguatkan hubungannya dengan Yehuwa?
20 Adakah cabaran yang dihadapi Saudara Yershov membawa hasil yang baik? Ya. Hubungannya dengan Yehuwa semakin kuat. Dia berkata, “Saya dan isteri saya lebih kerap berdoa bersama-sama. Saya sedar bahawa tanpa bantuan Yehuwa, saya tidak dapat melalui semua ini.” Dia menambah, “Pembelajaran peribadi telah membantu saya mengatasi perasaan tawar hati. Saya juga merenungkan teladan hamba Yehuwa yang setia pada masa lalu. Terdapat banyak kisah Bible yang menunjukkan pentingnya untuk tetap tenang dan percaya kepada Yehuwa.”
21. Apakah yang telah kita pelajari dalam rencana ini?
21 Apakah yang telah kita pelajari dalam rencana ini? Dalam dunia ini, kita mungkin dilanda cabaran yang tidak terduga. Namun begitu, Yehuwa selalu membantu hamba-hamba-Nya yang bergantung pada-Nya. Seperti yang dinyatakan dalam ayat tema rencana ini, “Orang yang melakukan apa yang benar mengalami banyak kesusahan, tetapi Yehuwa menyelamatkannya daripada semua itu.” (Mzm. 34:19) Jadi, semoga kita terus berfokus, bukan kepada masalah kita, tetapi kepada bantuan Yehuwa. Dengan itu, kita dapat berkata seperti Rasul Paulus, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”—Flp. 4:13.
LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu
a Dalam dunia ini, kita mungkin dilanda cabaran yang tidak terduga. Namun, kita yakin bahawa Yehuwa akan membantu para penyembah-Nya yang setia. Bagaimanakah Yehuwa pernah membantu hamba-hamba-Nya pada masa lalu? Bagaimanakah Dia membantu kita sekarang? Setelah mengkaji contoh daripada zaman Bible dan zaman moden, kita akan bertambah yakin bahawa jika kita bersandar pada Yehuwa, Dia akan membantu kita.